PENGGABUNGAN PROTON-PERODUA: SELESAIKAN ISU KEGAGALAN DASAR PERLINDUNGAN DAN POLITIK NAUNGAN DAHULU

Baru-baru ini dilaporkan akhbar bahawa satu Majlis Penasihat bakal ditubuhkan untuk meneliti cadangan penggabungan antara Proton Holding Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).[1] Penggabungan ini digemari pihak Proton dan agensi kerajaan berkaitan tetapi menerima bantahan daripada pihak Perodua kerana tidak memanfaatkan pihak Perodua yang sedang beroperasi dengan lancar.

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpandangan bahawa penggabungan tersebut selain menyekat pilihan pengguna dalam pasaran kereta domestik, juga bakal menemui kegagalan sekiranya isu pokok yang menghantui kereta nasional khususnya Proton selama 25 tahun tidak diatasi terlebih dahulu. Isu pokok yang dimaksudkan termasuk dasar perlindungan yang berlanjutan, campur tangan dan naungan politik yang kuat serta kegagalan pihak pengurusan untuk menggariskan serta melaksanakan dasar industri secara mapan.

Dasar Perlindungan Berlanjutan

Selama ini, Proton mengaut keuntungan melalui benteng perlindungan, pengecualian cukai, rebat, subsidi dan bukan melalui daya saing sebenarnya. Begitu juga, prestasi penjualan Proton juga amat bergantung kepada akses kewangan yang murah, pakej promosi istimewa dan juga sokongan kerajaan.

Sejak pengoperasian pada 7 Mei 1983, Proton diberikan pengecualian duti import sehingga tahun 1991, dan hanya dikenakan duti sebanyak 13% atas model pemasangan tempatan (CKD – Complete Knock Down) selepas itu, berbanding dengan duti import tipikal setinggi 42%. Perlindungan pasaran tersebut memberikan kelebihan harga sebanyak 24% hingga 64% kepada Proton berbanding dengan kereta bukan buatan tempatan. Dasar sedemikian membolehkan syarikat ini menguasai 65% pasaran kereta penumpang pada tahun 1987 dan 74.2% menjelang tahun 1993.[2]

Perlindungan juga diberikan dalam bentuk geran kajian dan pembangunan (R&D) kerajaan. Misalnya, Dalam Laporan Tahunan Proton Tahun 2008, keuntungan bersih Proton mencatat RM184.5 juta, tetapi dilaporkan juga bahawa geran R&D daripada kerajaan adalah sebanyak RM193.7 juta, iaitu RM9.2 juta lebih daripada keuntungan bersihnya. Andainya tidak dibantu dengan pemberian grant, maka Proton akan berada dalam defisit dan kerugian.[3]

Sesungguhnya, berdasarkan ASEAN Common Effective Preferential Tariff (CEPT), mulai tahun 2003, duti import kereta tidak boleh melebihi 20%. Namun, untuk terus memberikan perlindungan kepada Proton, kerajaan telah mendapatkan persetujuan ASEAN untuk mengecualikan bahan gantian terutamanya dari Thailand daripada penurunan tarif. [4]

Walau bagaimanapun, selepas kerajaan melonggarkan harga kereta dan membenarkan persaingan antara pengedar, penguasaan pasaran Proton telah menurun daripada 74% (1993) kepada 43-45% (2003) dan kini kepada kurang daripada 30%.[5]

Tambahan pula, selepas penyenaraian dan penswastaan Proton pada tahun 1995, peratusan eksport mengikut unit jualan tidak meningkat, sebaliknya menurun daripada 15.8% kepada 14.7%, dan kadar ini turut menyusut secara mendadak selepas itu. Trend ini menunjukkan kebergantungan yang tinggi terhadap dasar perlindungan pasaran domestik (protected domestic market), dan betapa lemahnya daya saing Proton walaupun diberi keistimewaan selama hampir 25 tahun. Apatah lagi jika dasar perlindungan dimansuhkan sepenuhnya!

Namun, soal survial Proton tidak harus menjadi sebab utama kerajan meneruskan dasar perlindungan sehingga menjejaskan perkembangan industri kereta termasuk Perodua. Dalam era di mana daya saing industri kereta Thailand telah mengatasi Malaysia, daya saing Proton akan terus menjadi lemah juga jika sekiranya dasar perlindungan sedia ada diteruskan, sementara rakyat Malaysia terus dibebani hutang kereta yang tinggi.

Campur Tangan dan Naungan Politik

Sejak permulaan, rundingan dengan Mitsubishi yang diketuai mantan Perdana Menteri Tun Mahathir pada masa itu diselubungi kerahsiaan sehingga mengecualikan MIDA dan syarikat-syarikat tempatan yang berpengalaman berhubung pemindahan teknologi dan kandungan tempatan CKD. Hal ini mengakibatkan kontrak yang ditandatangani tersebut berat sebelah, iaitu lebih memihak kepada pihak Jepun serta Mitsubishi daripada Malaysia.[6] Misalnya, Proton yang seharusnya mengutamakan pasaran eksport, telah disekat untuk berbuat demikian dalam perjanjian asal kerana Mitsubishi tidak inginkan Proton bersaing dengannya dalam pasaran antarabangsa.[7]

’Minat peribadi’ Mahathir terhadap Proton tidak terbatas sehingga mencampuri urusan pelantikan jawatan penting, pembukaan pasaran baru, membantah penjualan saham Proton dan seumpamanya. Sungguhpun beliau bukan lagi Perdana Menteri, intervensi tersebut berterusan sehingga hari ini.[8]

Proses penswastaan Proton juga memperlihatkan pelbagai tindak-tanduk yang dicorakkan oleh kronisme dan nepotisme. Semasa penyenaraian Proton dalam Bursa Malaysia, Khazanah menjualkan 32% pegangan sahamnya yang bernilai RM1.72 bilion kepada Diversified Resources Bhd (DRB) milikan Yahaya Ahmad tanpa bidaan terbuka.[9] Kemudian, apabila Malaysia dilanda krisis ekonomi, Petronas terpaksa mengambil alih 27.2% saham Proton pada 29 Oktober 1998. Ini satu contoh klasik ”keuntungan diswastakan, kerugian dinasionalisasikan”!

Selain itu, kebanyakan pembekal komponen kereta Proton tidak mendapat pengiktirafan QS9000. Terdapat dakwaan bahawa barangan hasil mereka banyak bermasalah akibat terbentuk sikap keselesaan dan tidak apa kerana dijamin dengan kontrak jangka panjang dan mempunyai pertalian politik yang kuat.[10] Dengan kata lain, naungan politik bukan sahaja berlaku pada peringkat atasan, tetapi juga meresap ke tulang rusuk Proton sehingga peringkat rantaian pembekalan (supply chain). Lantaran itu, rakyat Malaysia dibebani kos penyelenggaraan kereta yang berlarutan.

Kegagalan Pihak Pengurusan untuk Menggariskan Serta Melaksanakan Dasar Industri Yang Mapan

Sejak permulaan, Proton telah gagal mencapai pelbagai sasaran yang ditetapkan. Antaranya termasuk:

  • Pada tahun 1996, Proton mensasarkan pengeluaran sebanyak 500,000 buah kereta menjelang tahun 2000 tetapi hanya mencapai 230,000 buah.[11] Pada tahun 2006, jualan kereta Proton tempatan hanya mencapai 115,538 unit sahaja.[12]
  • Pada tahun 1995, sasaran eksport Proton ialah 30% menjelang 1998-2000. Akan tetapi, sehingga 2003, eksport hanya menyumbang 5-10% daripada hasil, meskipun sasarannya ialah 30%. Hakikatnya, peratusan eksport menyusut daripada 18.9% pada tahun 1992 kepada hanya 3.7% pada tahun 2002. [13] Pada tahun 2009, Proton hanya mampu menjual 960 buah kereta di British, menjadikan bahagian pasarannya sebanyak 0.05%.[14]
  • Dari segi pembangunan teknologi, Enjin Campro yang dijadualkan pengeluaran pada tahun 2000, hanya dapat dihasilkan pada tahun 2004.[15]

Jika sekiranya kegagalan yang disebut di atas tidak ditangani terlebih dahulu, gabungan Proton dan Perodua bukan sahaja akan menghanyutkan Perodua, malahan tidak dapat menyelamatkan Proton. Tambahan lagi, para pembeli kereta di Malaysia akan kekurangan satu lagi pilihan di pasaran yang sudah terhad ekoran penalti kerajaan terhadap kereta import.

KPRU berpendapat bahawa sebelum terjerumus ke dalam kesimpulan secara tergesa-gesa iaitu menggabungkan Perodua dan Proton, Majlis Penasihat yang bakal ditubuhkan seharusnya memberi tumpuan kepada masalah struktur yang dihadapi Proton terlebih dahulu, dan seterusnya mengemukakan saranan yang profesional tanpa campur tangan politik. Kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan selama ini sama ada atas kecuaian ataupun secara sengaja telah dibangkitkan berkali-kali oleh pelbagai pihak dan membawa banyak pengajaran pahit. Apa yang diharapkan ialah diagnosis dan tindakan yang betul dapat mentransformasikan industri automotif negara secara amnya dan Proton khasnya.


[1] Advisory Council to Study Proton-Perodua Merger, The Edge Financial Daily, 18 April 2011

[2] Privatization in Malaysia, Regulation, rent-seeking and policy failure, Jeff Tan, m.s 165

[4] Privatization in Malaysia, Regulation, rent-seeking and policy failure, Jeff Tan, m.s 174

[5] Advisory Council to Study Proton-Perodua Merger, The Edge Financial Daily, 18 April 2011

[6] Far Eastern Economic Review, 20 April 1989

[7] Privatization in Malaysia, Regulation, rent-seeking and policy failure, Jeff Tan, m.s 181

[8] Privatization in Malaysia, Regulation, rent-seeking and policy failure, Jeff Tan, m.s 184

[9] Privatization in Malaysia, Regulation, rent-seeking and policy failure, Jeff Tan, m.s 166

[10] Privatization in Malaysia, Regulation, rent-seeking and policy failure, Jeff Tan, m.s 177

[11] Privatization in Malaysia, Regulation, rent-seeking and policy failure, Jeff Tan, m.s 170

[13] Privatization in Malaysia, Regulation, rent-seeking and policy failure, Jeff Tan, m.s 172

[15] Privatization in Malaysia, Regulation, rent-seeking and policy failure, Jeff Tan, m.s 176

About these ads

2 thoughts on “PENGGABUNGAN PROTON-PERODUA: SELESAIKAN ISU KEGAGALAN DASAR PERLINDUNGAN DAN POLITIK NAUNGAN DAHULU

  1. Pingback: Perspektif KPRU: Isu Penggabungan Proton-Perodua | Malaysia Blogs

  2. Pingback: Perspektif KPRU: Isu Penggabungan Proton-Perodua | Malaysia Blogs

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s