Isu FBC Media: PENYELEWENGAN WANG RAYAT UNTUK PROPAGANDA POLITIK ATAU PERUNTUKAN UNTUK KEPENTINGAN NEGARA?

Baru-baru ini, dunia kewartawanan bersifat penyiasatan dipelopori SarawakReport[1] menyaksikan pendedahan skandal penyelewengan wang rakyat (baca: pembayar cukai) sebanyak RM57.68 juta[2] dalam projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ yang juga merupakan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited, yakni sebuah firma media dan hiburan di Eropah. Terdapat kemusykilan berkaitan wang rakyat dipergunakan oleh pemimpin kerajaan untuk kepentingan politik tetapi bertopengkan nama ‘negara’.

Walaupun defisit fiskal negara kekal tinggi sejak pasca krisis kewangan 1997/98 sehingga hari ini, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering berbicara mengenai keazaman kerajaan untuk mengurangkan deficsit fiskal, tetapi pendedahan demi pendedahan kes-kes tertentu masih menunjukkan bahawa kerajaan hari ini terlibat dengan pembaziran atau dakwaan penyelewengan wang rakyat untuk projek-projek yang tidak diketahui butirannya. Semuanya kononnya atas nama kepentingan negara atau pembangunan negara.

Dalam pendedahan baru-baru ini, kerajaan didakwa ‘mendahulukan rakyat’ dengan membelanjakan wang rakyat dalam kempen publisiti politik kotor. Kerajaan menyatakan projek berkaitan berfungsi untuk mengendalikan kempen media di peringkat antarabangsa dan menjalankan beberapa aktiviti promosi Malaysia. Namun demikian, SarawakReport telah mendedahkan bahawa apa yang dikendalikan oleh projek tersebut bercorak aktiviti politik kotor yang melibatkan serangan peribadi dan publisiti palsu melalui program televisyen dan blog.

Kajian yang dijalankan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati, terdapat sekurang-kurangnya tiga peruntukan Belanjawan Negara yang melibatkan projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ atau FBC Media. ketiga-tiga peruntukan tersebut didapati termaktub dalam Maksud B.6 yang merujuk kepada perbelanjaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Apa yang menarik perhatian adalah, ketiga-tiga peruntukan tersebut bukan termaktub dalam belanjawan tahunan negara atau Akta Perbekalan tetapi termaktub dalam belanjawan tambahan atau Akta Perbekalan Tambahan.

Dengan kata lain, ketiga-tiga peruntukan tersebut termaktub dalam Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009, Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010 dan Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010. Maksud-maksud berkaitan berbunyi seperti berikut:

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2008) 2009

Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM29,337,650 adalah untuk kos perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited bagi melaksanakan projek Global Strategic Communications tahun 2008.

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2009) 2010

Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM28,350,000 untuk membiayai kos perjanjian pelaksanaan projek Global Strategic Communications Campaign antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited bagi tahun 2009.

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2010) 2010

Maksud B.06 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM42,000,000 adalah dikehendaki untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.

Merujuk kepada kertas perintah berkenaan dengan Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009 dan Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010, RM57.68 juta telah dibayar oleh JPM antara tahun 2008 hingga 2009 kepada FBC Media untuk menjalankan projek ‘Global Strategic Communications Campaign’. RM29,337,650 telah dibayar pada tahun 2008 dan RM28,350,000 telah dibayar pada tahun 2009.

Merujuk kepada Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010, timbul kemusykilan berhubung kaitan antara FBC Media dengan peruntukan sebanyak RM42,000,000 untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.

Ketiga-tiga kertas perintah Akta Perbekalan Tambahan di atas jelas menunjukkan jumlah perbelanjaan yang telah dipergunakan oleh pemimpin kerajaan. Projek yang melibatkan dana sebesar ini sememangnya memerlukan semakan atas prinsip akauntabiliti atau kebertanggungjawaban yang lebih terbuka. Sehingga kini, kita tidak jelas akan perbelanjaan sebenar dan aktiviti yang dijalankan di bawah projek tersebut. Selanjutnya, sebuah firma komunikasi awam dan hal ehwal strategi di Amerika Syarikat, APCO Worldwide telah didedahkan berkhidmat kepada FBC Media dengan bayaran $70,000 dalam tempoh dua tahun yang lalu untuk menjalankan kempen melobi di Amerika Syarikat bagi Kerajaan Malaysia.

Dengan yuran sebesar USD70,000 itu, antara perkhidmatan yang diberikan kononnya untuk mendukung dan mengangkat kempen Kerajaan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang pro-perniagaan, pro-pelaburan, pro-reform dan juga beberapa syor untuk menangani aktiviti pencegahan keganasan. Apakah serangan peribadi terhadap pemimpin politik negara ini juga dianggap sebagai ‘menangani aktiviti pencegahan keganasan’?

Tambahan lagi, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga didedahkan membayar FBC Media sebanyak RM15 juta setahun untuk menjalankan kempen media secara haram memandangkan beliau sedang mengalami krisis publisiti berhubung tuduhan rasuah. SarawakReport mempunyai maklumat eksklusif yang dipersetujui antara FBC Media dan Taib Mahmud. Dalam surat kepada Ketua Menteri pada bulan Januari, Pengerusi FBC Media, Alan Friedman, berikrar untuk berusaha menangkis ‘persepsi negatif dan kepalsuan’ yang telah merebak tidak adil mengenai perkara-perkara alam sekitar seperti empangan Bakun, perlombongan, pembalakan dan perladangan kelapa sawit dan juga akan menentang tuduhan-tuduhan rasuah mengenai Taib Mahmud. FBC Media kemudian akan ‘melantun kembali’ maklumat tersebut ke dalam akhbar Sarawak, pengiktirafan antarabangsa ini sekaligus membawa hasil yang positif untuk rakyat Sarawak.[3] Lantaran itu, pelbagai persoalan timbul terutamanya isu bagaimana wang rakyat telah diselewengkan untuk membaiki reputasi diri pemimpin politik atas nama ‘negara’.

Menurut laporan The Malaysian Insider pada 12 Ogos 2011 , Kerajaan Malaysia telah menamatkan kontrak dengan FBC Media selepas pendedahan skandal ini. The Malaysian Insider difahamkan bahawa JPM menamatkan kontrak dengan FBC Media kerana JPM telah mempunyai orang yang cukup untuk mengendalikan publisiti di dalam dan luar Negara.[4] Namun demikian, KPRU tidak menganggap ini sebagai kata penutup kepada skandal tersebut. Kerajaan harus memberikan penjelasan kepada rakyat.

Masih banyak persoalan yang menanti jawapan JPM khususnya Perdana Menteri (PM) Najib. Antaranya, bilakah projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media mula dilaksanakan? Berapa lama sebenarnya tempoh kontrak perkhidmatan FBC Media? Berapakah jumlah bayaran sebenar oleh JPM kepada FBC Media?

Untuk menjelaskan pelbagai kemusykilan dan persoalan yang timbul, JPM harus mengumumkan segala butiran kontrak antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media, termasuk juga aktiviti yang telah dijalankan oleh APCO dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang pro-perniagaan, pro-pelaburan, dan pro-reform? Setelah menggunakan perkhidmatan FBC Media, sejauh mana persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia telah diperbaiki? Contohnya, apakah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia ekoran kes kematian Altantuya?

FBC Media juga didapati berhubung dengan sepasukan blogger yang dipimpin oleh Josh Trevino, kononnya menjalankan kempen publisiti untuk Kerajaan Malaysia tetapi melakukan fitnah dan serangan peribadi terhadap musuh politik rejim pemerintah di Malaysia (baca: UMNO-Barisan Nasional (BN)). Laman web bernama New Ledger di bawah penyeliaan Josh Trevino, terdapat anggotanya, Rachel Motte, Christopher Badeaux, Leon Wolf dan Brad Jackson yang ditugaskan menulis artikel fitnah dalam blog. Mereka adalah golongan yang tidak berprofil di Amerika Syarikat dan bukan kepakaran yang diiktiraf di Malaysia. New Ledger cuba untuk memusnahkan imej Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Amerika Syarikat. Tambahan pula, dengan mengeksploitasi prejudis dan kejahilan di Amerika Syarikat, agenda yang jelas dan sengaja telah mewujudkan ketakutan dan kebencian terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

SarawakReport telah mendapat laporan daripada orang-orang yang dekat dengan BN bahawa Josh Trevino telah ditauliahkan untuk menjalankan operasi blog yang dinyatakan dalam kontrak Media FBC dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan Malaysia. Ini terus disokong dengan bukti daripada gambar secara online. Josh telah menunjukkan kepada dunia bagaimana beliau dan Alan Friedman dan rakan sekerja FBC, Emily Lightfoot telah berkumpul bersama-sama di Putrajaya pada bulan Jun 2008. Juga terdapat banyak bukti bahawa Josh Trevino berhubungan rapat dengan Presiden FBC Media, John Defterios.

Berhubung dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia membayar penulis-penulis blog ini melalui FBC Media yang berhubungan dengan Josh Trevino. Josh Trevino tidak lama dahulu telah menawarkan semua perbelanjaan dibayar bagi penulis blog rakan-rakannya ke Malaysia sebagai pulangan terhadap penulisan dalam blog mereka.[5]

Skandal ini juga mempunyai kaitan dengan beberapa rangkaian penyiaran yang paling berprestij di dunia, termasuk CNBC, CNN, dan BBC World yang disokong oleh kerajaan British. Stesen-stesen tersebut telah menjalankan program-program yang ditauliahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada FBC Media. Selepas pendedahan oleh SarawakReport bagi kempen ‘haram’ (illegal) antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media, CNBC dan BBC World telah membatalkan program FBC Media dan mengadakan penyiasatan tentang insiden ini. Menurut undang-undang penyiaran, syarikat penyiaran seperti CNBC dan BBC harus bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa perlesenan penyiaran tentang kandungan program mereka. Justeru, bagaimana mereka boleh membenarkan program yang bersifat ‘haram’ antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media ditayangkan sekian lama ini? CNBC juga dipersoalkan untuk memberi kenyataan kepada awam bahawa siapa yang mentauliahkan program ‘World Business’ daripada FBC Media? [6]

CNN adalah satu lagi syarikat yang mempunyai banyak rangkaian hubungan dengan FBC Media. CNN telah menyatakan bahawa tidak ada kandungan yang songsang etika dalam pengaturcaraan mereka. Tiada kontrak antara CNN dengan FBC Media untuk menjalankan apa-apa kandungan editorial yang berkaitan dengan Malaysia. John Defterios adalah pengurus yang mengendalikan kebanyakan program perniagaan CNN. Peranan John Defterios amat dicurigakan, beliau juga merupakan Presiden FBC Media yang menyelia pengaturcaraan. Beliau dikatakan telah memutuskan hubungan dengan FBC Media dan bekerja sepenuh masa di CNN. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang yakin menunjukkan John Defterios memutuskan hubungan dengan FBC. Sebaliknya, beliau terus diiklankan di laman web mereka sebagai Presiden Kumpulan dan menyelia semua operasi dan beliau terus didaftarkan sebagai pengarah dan pemegang saham kedua-dua FBC Media dan syarikat induk FBC di UK. Tambahan pula, isterinya, Manuela Mirkos, kekal sebagai ahli sepenuh masa dalam syarikat itu.[7] Terdapat dakwaan bahawa John Defterios merupakan orang yang dibayar oleh tokoh politik Malaysia dalam menjalankan program publisti ‘haram’ dalam CNN.

Kata tutupnya, KPRU berharap, JPM khususnya PM Najib tidak lagi senyap atau cuba mengetepikan isu ini. Beliau wajar memberi respons berhubung persoalan bagaimana wang rakyat dibelanjakan dalam perkara di atas. Bukankah respons PM adalah begitu penting dalam isu ini ekoran liputan luas oleh media antarabangsa berkenaan isu ini?[8]


[8] Antara liputan media antarabangsa:

 

About these ads

2 thoughts on “Isu FBC Media: PENYELEWENGAN WANG RAYAT UNTUK PROPAGANDA POLITIK ATAU PERUNTUKAN UNTUK KEPENTINGAN NEGARA?

  1. A very good analytical reporting. My only hope is that Najib will clarify this matter and rectify the mistakes.

  2. Pingback: Najib’s Illusory Transformation (II): PSC Report on Electoral Reform – A Facile and Selective Solution « Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s