Buku “Pendedahan di Parlimen” dengan Kata Pengantar oleh DS Anwar Ibrahim

 

Buku pertama Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU – Political Studies for Change) berjudul “Pendedahan di Parlimen: Dasar dan Cabaran Malaysia” kini diterbitkan dengan kata pengantar oleh Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Buku ini disunting oleh Pengarah Eksekutif KPRU, Ooi Heng dan memberi tumpuan kepada topik-topik penting tatkala Malaysia berada di ambang perubahan.  

Sebagai sebuah badan pemikir dan penyelidikan, KPRU berharap kelahiran buku ini dapat memanjangkan wacana yang mengangkat dasar kepedulian rakyat.

Buku setebal 290 halaman ini berharga RM28 (tidak termasuk kos kiriman) dan merupakan penerbitan bersama KPRU dengan Strategic Information and Research Development Center (SIRD). Sesiapa yang berminat untuk membelinya sila emel Ooi Heng melalui ooiheng@gmail.com dengan menyatakan nama, nombor telefon bimbit, alamat dan bilangan tempahan.

 

**Petikan Kata Pengantar Dato’ Seri Anwar Ibrahim**

Berbeza dengan sistem parlimen di India, Indonesia, United Kingdom dan Australia, ahli-ahli Parlimen di Malaysia tidak diperuntukkan dengan pegawai penyelidik. Justeru, penubuhan Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) sebagai sebuah pasukan penyelidikan yang digerakkan oleh saudara Ooi Heng dan sekumpulan anak-anak muda yang komited dalam membantu urusan penyelidikan dan penyediaan maklumat sebagai dukungan terhadap peranan wakil-wakil rakyat pembangkang sewajarnya dihargai dan dimanfaatkan sebaiknya. Komitmen mereka sememangnya bererti dalam memudahcara tugas serta tanggungjawab seseorang wakil Parlimen yang secara umumnya berperanan untuk menggubal undang-undang dan juga dasar yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Parlimen seharusnya menjadi “gelanggang” rasmi di mana segala bentuk perbincangan, perbahasan dan persetujuan melibatkan dasar negara termasuk aliran keluar masuk wang awam dikawal selia secara telus dan terbuka. Dalam erti kata lain, Parlimen bukan sekadar platform untuk perbahasan dasar-dasar yang berkait dengan kepentingan rakyat, bahkan seharusnya ia bersifat luwes yakni berupaya berperanan sebagai pemantau yang menjadi penimbang tara kepada ketelusan pentadbiran kerajaan yang memerintah.

  

**Terjemahan Bahasa Inggeris Kata Pengantar**

Terjemahan nama buku –  “The Parliament Exposed: Policies and Challenges of Malaysia”

Unlike the parliamentary system in India, Indonesia, United Kingdom and Australia, members of Parliament in Malaysia are not provided with research officer. Therefore, the establishment of Political Studies for Change (KPRU) as a research team that is driven by Ooi Heng and his group of young people committed to conducting research and providing information as a form of support to the opposition elected representatives should be appreciated and utilized properly. Their commitment is indeed meant to facilitate the task and responsibility of Parliament representative, whose role is to enact laws and policies affecting the national interest.

Parliament should be a “court” where all forms of formal discussion, debate and agreement involving national policy including flow in and out of public funds should be regulated in a transparent and open manner. In other words, Parliament is not just a platform for policy debate related to the interests of the people; it should even be flexible enough to act as a watchdog and as an arbitrator to supervise the transparency of government administration.

 

**Terjemahan Bahasa Cina Kata Pengantar**

Terjemahan nama buku – 《透析国会:国家政策与未来挑战》

有别于印度、印尼、英国与澳洲的国会制度,马来西亚的国会议员并没有获得研究员的分配。有鉴于此,政改研究所(KPRU)的成立——一支由王维兴所推动的研究团队,以及由一群年轻人献身协助并处理研究工作及提供信息与资料,以作为对反对党内人民代议士的支持——应被给予肯定以及充分地被善用。他们的付出是为了减轻一个国会议员在针对牵涉到国家与人民利益的法律和政策制定方面所扮演的角色和责任。

国会应作为一个正式的“球场”——任何有关国家政策的讨论、辩论和协议,包括公共资金的进出,都应以透明与公开的方式监管着。换句话说,国会不只是一个辩论攸关人民利益政策的平台,更应灵活且有能力扮演监察者的角色,以衡量政府在执政方面的透明度。

 

 

Pandangan Awal terhadap Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan

Pendahuluan

Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut beliau,[1] PPP bersifatkan futuristik, berani, telus, menyeluruh dan demokratik dan ianya dirangka untuk membantu setiap pelajar sekolah di Malaysia merealisasikan bakat yang telah dikurniakan kepadanya. Beliau juga menyatakan bahawa hasil daripada PPP ini akan memenuhi impian dan asiprasi rakyat negara.

Akan tetapi, sejauh mana kekukuhan pendapat beliau adalah terbuka untuk dibahaskan. Di antara persoalan berkenaan kenyataan Najib ialah kewujudan lompong dalam kebenaran pelaksanaan kuasa autonomi oleh pejabat daerah dan sekolah daripada apa-apa keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran. Kebebasan melaksanakan kuasa desentralisasi langsung tidak dibincangkan dalam laporan awal PPP ini. Sepertimana pembaharuan yang diimpikan oleh Najib, suatu pembaharuan terhadap cara sekolah mengendalikan pelaksanaan keputusan yang berbeza dari keputusan pusat Kementerian seharusnya ditangani atau sekurang-kurangnya dirujuk untuk laporan PPP yang sepenuhnya.

Pada masa yang sama, laporan awal PPP ini juga tidak menyentuh secara menyeluruh mengenai para guru yang gagal mencapai prestasi cemerlang. Persoalan yang timbul adalah sama ada memindahkan guru berprestasi rendah ke fungsi lain akan menyelesaikan masalah sistem pendidikan dalam negara? Adakah tindakan ini bersifat proaktif terhadap cita-cita seseorang untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi akan tetapi gagal mencapai standard yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran? Adakah tindakan ini adil kepada guru-guru yang berdedikasi, guru yang disayangi oleh para pelajarnya tetapi gagal mencapai “standard” yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran? Ketentuan mengenai standard Kementerian Pelajaran adalah samar-samar lantas, berpotensi menjadi sebuah alat penyelewengan. Persoalan ini timbul ekoran pengamatan berkenaan standard kementerian dalam beberapa aspek penting khususnya keputusan pelajar. Keputusan murid sekolah saban tahun sering dilaporkan sebagai cemerlang dari segi bilangan murid yang mendapat A, tetapi anehnya, pelajar Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding pelajar negara lain meskipun jumlah A begitu merangsangkan? Apakah “Taburan Normal” yang pernah didakwa sebagai panduan dalam penilaian standard murid, kalau wujud, akan dijadikan rujukan dalam penilaian standard guru?

Kelompangan laporan awal PPP ini tidak terhenti di situ. Penerbitan laporan ini juga melihatkan terdapatnya kekurangan penekanan oleh Kementerian Pelajaran dalam pembangunan modal insan negara ini berbanding dengan negara-negara maju seperti Korea Selatan dan Singapura. Pembangunaan modal insan yang signifikan untuk pembangunan negara, untuk memastikan para pelajar kita membesar menjadi individu yang lengkap bukan sahaja kemahiran menghafal, tetapi lengkap dengan kemahiran-kemahiran lain yang membenarkan para pelajar kita bersaing dengan para pelajar dari negara-negara maju seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.

Angka Tidak Tepat

Selepas Najib mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009, beliau telah melaksanakan beberapa pelan peralihan yang menurut beliau berpotensi untuk mentransformasi negara kepada sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Namun prestasi sistem pendidikan negara yang gagal untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan pentas antarabangsa telah menjadi satu halangan dalam perjalanan Malaysia menjadi sebuah negara maju mahupun sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Menurut laporan awal PPP ini, Malaysia menduduki tempat ketiga terbawah dalam Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2009 bagi ujian Matematik, Sains dan membaca. Dalam penilaian yang terkini, hampir 60% pelajar sekolah Malaysia gagal mencapai paras minimum dalam penilian subjek Matematik. Begitu juga peratusan rendah yang dicapai oleh para pelajar Malaysia dalam kemahiran membaca dan subjek Sains iaitu sebanyak 44% dan 43%.

Jadual 1: Perbandingan Kedudukan Pisa 2009+ Malaysia dengan Negara Lain

Sumber: Laporan awal PPP

Merujuk kepada Jadual 1, Malaysia berada di tangga 55, 54 dan 52 bagi Bacaan, Matematik dan Sains, masing-masing berada di belakang negara Thailand. Walaupun Malaysia berada di tangga hadapan Indonesia, akan tetapi, pada masa yang sama Malaysia berada di tangga yang lagi rendah berbanding negara Croatia, Republik Slovak juga Ireland. Ini menandakan kegagalan pelajar Malaysia dalam menandingi kebolehan menguasai kemahiran mengira, membaca dan menganalisis sesuatu perkara. Ianya juga menandakan kekurangan dalam budaya membaca yang membawa kepada minat belajar dalam dan luar kelas.

Korea Selatan yang pada satu ketika mempunyai ekonomi yang lebih lemah daripada Malaysia, kini menguasai dan mendahului Malaysia dalam ketiga-tiga bidang; Matemaik, Sains dan membaca. Persoalan yang tidak dijawab oleh laporan awal PPP ini mahupun oleh Najib ialah di mana silap kita sebagai ekonomi yang dikenali sebagai “salah satu tiger economy of South East Asia”? Persoalan yang timbul ialah di mana silap kita dalam merancang sistem pendidikan Malaysia? Malah negara jiran kita yang kecil, Singapura telah mendahului kita dari pencapaian Matemaik, Sains dan membaca.

Najib berkata bahawa tiada keaiban dalam berasa malu mengakui bahawa Malaysia menduduki tempat ketiga terbawah dalam PISA 2009 dalam ujian matematik, membaca dan sains. Beliau menyifatkan tindakan ini oleh kerajaan Malaysia sebagai suatu tindakan berani dalam menghadapi realiti dan ini menunjukkan keupayaan Malaysia untuk mengubah situasi tersebut.

Namun persoalan yang bebas untuk dibahaskan adalah sama ada ini mencukupi untuk mengatakan bahawa kerajaan persekutuan ikhlas dalam menangani masalah sistem pendidikan negara ini setelah 55 tahun memegang pentadbiran negara pasca laporan PPP? Kerajaan persekutuan menunjukkan bahawa purata jumlah perbelanjaan bagi pendidikan negara ini adalah sebanyak 16 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan Belanjawan Negara dari tahun 2008 hingga tahun 2012. Jumlah ini merupakan jumlah yang tinggi berbanding dengan negara lain. Jadual kedua yang dipetik daripada Laporan awal PPP telah menunjukkan Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Thailand berkenaan perbelanjaan pendidikan asas jika berbanding dengan Korea, Hong Kong dan Jepun atau negara-negara lain.

Jadual 2: Perbelanjaan Pendidikan Asas Sebagai Peratus Jumlah Perbelanjaan Kerajaan bagi Malaysia dan Negara setara

Sumber: Laporan Awal PPP

Namun begitu, selepas diteliti oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), ianya didapati bahawa angka yang diterbitkan oleh laporan awal PPP dalam Jadual 2 ini adalah kurang tepat berbanding angka yang dikeluarkan oleh Laporan UNESCO mengenai perbelanjaan Korea ke atas pendidikan negara mereka.[2] Menurut laporan tersebut,  perbelanjaan kerajaan Korea dalam pendidikan asas adalah sebanyak 20 peratus daripada perbelanjaan nasional dan jika ianya digabung dengan pendidikan tinggi, peratus tersebut mencapai sebanyak 24 peratus dan bukan 11 peratus yang ditunjuk oleh laporan PPP. Lantas, ini merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang mengelirukan dan menimbulkan pertanyaan. Seharusnya, laporan-laporan penting seperti laporan awal PPP yang bertanggungjawab mengenai perancangan pendidikan negara adalah tepat dan bebas daripada fakta-fakta yang mengelirukan rakyat.

Jadual 3: Anggaran Perbelanjaan Kementerian Pelajaran Tahun 2008 – 2012

Tahun

2008

2009

2010

2011

2012

Mengurus

27,268,030,471

28,822,699,753

28,253,024,345

29,360,378,000

32,698,787,200

Pembangunan

4,681,213,992

5,136,579,263

4,971,703,030

6,402,584,700

4,581,995,900

Jumlah

31,949,244,463

33,959,279,016

33,224,727,375

35,762,962,700

37,280,783,100

Jumlah besar Belanjawan

202,640,721,366

208,154,659,798

191,498,805,000

213,987,217,000

232,832,900,000

Peratus daripada Keseluruhan Belanjawan (%)

15.8

16.3

17.3

16.7

16.0

Sumber: Laporan Belanjawan Persekutuan

Jadual 3 yang dikemaskini oleh KPRU menunjukkan bahawa selama 5 tahun peruntukan kerajaan kepada Kementerian Pelajaran dikekalkan pada 16-17 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan Negara. Penemuan ini membuktikan kekurangan kajian terperinci oleh kerajaan persekutuan dalam penentuan keadaan sebenar sistem pendidikan negara, terutamanya dalam menentukan penyelesaian kepada kos mentadbir yang semakin meningkat, jumlah pelajar yang semakin meningkat dan penyelesaian kepada bilangan guru yang tidak mencukupi dalam sekolah-sekolah.

Manakala, walaupun Kementerian Pelajaran mendapat peruntukan sebanyak RM36 bilion pada tahun 2011. Namun (Sila lihat Jadual 4) didapati 61 peratus daripada peruntukan tersebut digunakan untuk operasi pendidikan, 18 peratus digunakan untuk perbelanjaan pembangunan, hanya 3 peratus diperuntukkan untuk pembangunan profesionalisme keguruan, dan sebanyak 11 peratus diperuntukkan untuk pembayaran berbentuk “ONE-OFF”.

Jadual 4: Pecahan Peruntukan Belanjawan 2011 di Kementerian Pelajaran

Sumber: Laporan Belanjawan Persekutuan

Jadual 4 menjelaskan pecahan penggunaan peruntukan kerajaan BN dalam perkara sistem pendidikan negara. Sebahagian besar (60 peratus) daripada peruntukan di bawah Kementerian Pelajaran digunakan untuk operasi pendidikan; iaitu pentadbiran di sekolah-sekolah. Manakala hanya 1 peratus diperuntukan untuk melaksanakan dasar dan pembangunan pendidikan Kementerian Pelajaran dalam sekolah-sekolah berbanding dengan peratusan sebanyak 18 peratus yang digunakan untuk perbelanjaan pembangunan di bawah Kementerian Pelajaran. Manakala 11 peratus peruntukan digunakan untuk membayar program-program “One-Off” seperti Program Susu 1Malaysia dan penyelenggaraan sekolah dan asrama.

Ketidaksamaan pengagihan peruntukan di bawah Kementerian Pelajaran ini menunjukkan bahawa hanya peratusan yang kecil iaitu 1 peratus yang digunakan untuk penambahbaikan pelajar menurut dasar-dasar pendidikan yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran. Ini juga menunjukkan ketirisan di pihak Kementerian kerana sebahagian besar peruntukan digunapakai untuk kegunaan pejabat-pejabat berbanding kegunaan ke atas penambahbaikan pembelajaran para pelajar di sekolah-sekolah. Persoalan yang timbul adalah di bawah pentadbiran kerajaan BN, adakah peruntukan untuk kegunaan pejabat-pejabat lebih penting daripada memastikan para pelajar dapat belajar dalam keadaan kondusif dan efektif berteraskan dasar-dasar pendidikan?

Jadual 5: Sasaran Program Untuk Semakan Semula pada 2015

Sumber: Laporan Awal PPP

Jadual 6: Sasaran Program Untuk Semakan Semula pada 2015 (Bahasa Inggeris)

Sumber: Laporan Awal PPP

Seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 5 dan 6 di atas, Ekshibit 6-10 bagi penerbitan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu merupakan dua perkara yang berbeza lantas mengelirukan para pembaca mengenai apa yang ingin dicapaikan oleh kementerian dalam pembentangan laporan awal PPP ini. Ekshibit 6-10 penerbitan laporan awal PPP dalam bahasa Melayu menyatakan program-program yang disasarkan oleh kementerian untuk mengalami pemotongan peruntukan dan di antara program-program sekolah yang disasarkan ialah program Bantuan Makanan Asrama, program Skim Pinjaman Buku Teks (SBPT) dan program Susu 1Malaysia. Manakala bagi Ekshibit yang sama dalam penerbitan bahasa Inggeris pula, pemotongan peruntukan disasarkan kepada beberapa kategori. Di antara kategori yang akan mengalami pemotongan peruntukan ialah peruntukan untuk elaun perjalanan dan penginapan, menambahkan jumlah sekolah bagi satu kontrak untuk perkhidmatan profesional, layanan mesra (hospitality) dan mengurangkan peruntukan bagi pembekalan bahan.

Persoalan yang timbul ialah mengapa kementerian menerbitkan dua Ekshibit yang berbeza bagi perkara pengurangan peruntukan program-program? Jumlah penjimatan yang disasarkan juga mempunyai perbezaan. Dalam penerbitan bahasa Melayu, jumlah yang disasarkan adalah sebanyak RM579-813 juta manakala dalam penerbitan bahasa Inggeris pula jumlah yang disasarkan adalah sebanyak RM190 juta.  Kalau perbezaan ini bukan masalah teknikal, maka Pperbezaan dalam pembentangan maklumat memberikan gambaran ketirisan kewangan yang serius berlaku dan penerbitan maklumat yang berbeza ini juga mencerminkan kekurangan ketelusan kementerian dalam memperbaharuai sistem pendidikan melalui pembaharuan pentadbiran kementerian.

Keperluan Desentralisasi Kuasa Pentadbiran dalam Pembaharuan

Ini membuka kepada persoalan kekurangan ketelusan Kementerian dalam melaksanakan desentralisasi yang akan memberi kuasa autonomi kepada pejabat daerah dan para pengetua untuk menentukan program kurikulum dan ko-kurikulum yang sesuai untuk sekolah dalam daerah yang ditadbir. Najib mahupun laporan ini gagal untuk menjelaskan sama ada desentralisasi atau pemusatan kuasa autonomi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha pembaharuan sistem pendidikan pasca laporan  awal PPP ini.

Gambar Rajah 1: Cadangan Laluan Bagi Guru yang Secara Konsisten Berprestasi Rendah

Sumber: Laporan Awal PPP

Laporan awal PPP ini juga gagal untuk menyiarkan cara kementerian menentukan minat dan kekuatan para pelatih guru sebelum mereka ditugaskan. Sebagaimana juga laporan ini juga gagal untuk menyiarkan bagaimana guru-guru yang didapati yang tidak dapat ditugaskan mengikut kekuatan mahupun minatnya akan ditugaskan di sekolah berbeza. Laporan awal PPP ini gagal untuk menyatakan kaedah yang digunakan untuk tentukan faktor yang menentukan sekolah mana yang akan ditugaskan kepada guru yang mana.

Sepertimana Gambar Rajah 1 di atas, guru yang berprestasi tinggi akan dikembalikan kepada laluan normal manakala guru yang mencapai hasil yang dipindahkan ke fungsi lain. Di samping kekaburan penjelasan mengenai sistem sokongan yang akan diberikan kepada para guru yang berprestasi rendah, gambar rajah di atas gagal menjelaskan cara dan tempoh masa guru tersebut akan dinilai. Tiada ukuran mengenai apa yang dimaksudkan dengan ukuran prestasi berdasarkan kompetensi. Terdapat kekaburan mengenai apa yang dimaksudkan dengan kompetensi. Juga terdapat kekaburan mengenai apa yang dimaksudkan dengan ‘hasil yang mungkin dicapai’. Laporan ini gagal untuk menyatakan mengenai kayu ukur yang digunakan untuk menentukan apa yang dimaksudkan dengan ‘hasil yang mungkin dicapai’.

Keengganan kerajaan untuk menerbitkan empat laporan[3] oleh UNESCO, World Bank, laporan panel yang diketuai oleh bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Dzulkiflee Abdul Razaq dan sebuah lagi laporan sebuah panel yang diketuai oleh Tan Sri Wan Zahid Wan Noordin hanya akan menyebabkan spekulasi orang awam mengenai ketelusan kerajaan untuk membawa sebarang perubahan bermakna kepada sistem pendidikan dalam negara.

Pegawai Cekap Digalakkan, Ketidakcekapan Dibiarkan?

Gambar Rajah 2: Cadangan Transformasi Struktur Kementerian

Sumber: Laporan Awal PPP

Sama seperti keengganan kerajaan untuk menerbitkan empat laporan ini, begitu juga keengganan kementerian untuk membersihkan senarai pegawai yang tidak cekap. Ianya akan membawa kepada bubble yang akan menjejaskan usaha kerajaan untuk merevolusikan sistem pendidikan dalam negara. Memindahkan pegawai yang tidak cekap ke bahagian atau tempat lain tidak akan membantu usaha pembaharuan kerajaan ini. Lambat laun, bubble ini akan pecah dan dalam konteks usaha pembaharuan sistem pendidikan ini, pecahnya bubble ini akan memberi kesan negtaif kepada aliran ke bawah sistem pendidkan negara. Mana-mana pegawai atau staf atau para guru dan pengetua yang tidak cekap akan menjejaskan prestasi dan keupayaan para pelajar untuk memajukan diri mereka lantas, mengalahkan tujuan pembaharuan sistem pendidikan negara ini melalui kenderaan PPP.

Gambar Rajah 2 menggambarkan harapan kementerian untuk menyelesaikan masalah pentadbiran bertindih di antara pihak sekolah, daerah dan kementerian. Akan tetapi, seperti yang sudah dijelaskan dalam perenggan di atas, dengan hanya memindahkan pegawai yang tidak cekap, masalah kaedah pelaksanaan dasar oleh pentadbiran kementerian dan sekolah tidak akan selesai. Lambat-laun, susunan organisasi pentadbiran yang berbentuk piramid ini akan mengembang dan ianya akan kembali pada bentuk asal. Untuk menjayakan kaedah piramid ini, seharusnya kementerian pelajaran menguruskan jumlah staf yang kembung iaitu sebanyak 32,200 orang kepada bilangan yang lebih strategik untuk menjayakan susunan organisasi piramid tersebut.

 

Masalah Teknikal atau Ketirisan?

Dalam usaha memperbaharui infrastruktur, kerajaan telah membelanjakan lebih daripada RM20 bilion untuk perkara ini sahaja. Namun, keadaannya masih kekal di mana infrastruktur elektrikal bagi 57 peratus sekolah menengah iaitu 1,293 daripada 2,285 buah sekolah berada dalam keadaan yang teruk manakala 30 peratus daripada sekolah menengah mengalami situasi infrastruktur fizikal berada dalam keadaan getir.

Gambar Rajah 3: Mengenal Pasti Jurang Infrastruktur di Sekolah-Sekolah

Sumber: Laporan Awal PPP

Gambar Rajah 3 menunjukkan bahawa walaupun dengan peruntukan sebanyak RM20 bilion dari tahun 2006 hingga 2010, kerajaan masih tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu sekolah-sekolah di Malaysia. Rancangan Malaysia Ke-9 membelanjakan sebanyak 80 peratus daripada peruntukan RM19,771 juta pada penambahbaikan insfrastruktur fizikal, namun, 27 peratus sekoah masih tidak mempunyai makmal komputer untuk kegunaan para pelajar dan guru sekolah. Begitu juga bagi makmal sains di mana 20 peratus sekolah masih tidak mempunyai makmal sains bagi pembelajaran para pelajarnya.

 

Penutup Kata

Laporan yang telah dibanggakan sebgai laporan awal revolusi dalam pembaharuan dalam sistem pendidikan ini merupakan suatu kesamaran yang menyeluruh. Ianya merupakan suatu aksi publisiti pra-pilihan raya umum yang akan datang. Walaupun ianya hanya merupakan sebuah laporan awal, akan tetapi, suatu laporan yang kononnya bakal membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan di Malaysia seharusnya lengkap dan tidak mengelirukan rakyat Malaysia. Seharusnya kerajaan bersikap telus dengan menerbitkan sekali empat laporan bersama-sama dengan pelancaran laporan awal PPP ini bagi menampilkan keikhlasan kerajaan dalam memperbaharui sistem pendidikan negara.

Pembaharuan yang efektif dan proaktif tidak memerlukan perbelanjaan berbilion-bilion ataupun jutaan. Ia memerlukan sekumpulan individu yang bersemangat untuk membantu memajukan pembelajaran para pelajar supaya mereka dapat membesar menjadi seorang warga yang proaktif dalam masyarakat. Sumbangan kumpulan individu tersebut secara profesional sewajarnya dipandangan berat tanpa campur tangan politik dan kesemua laporan yang menyokong dan tidak menyokong laporan PPP didedahkan untuk tatapan dan penilaian. Perubahan kosmetik tidak akan memberi manfaat kepada para pelajar. Tidak menerbitkan laporan-laporan lain berkenaan serentak dengan pelancaran awal laporan awal PPP ini juga tidak membantu keadaan.

Dengan itu, ia dapat disimpulkan pada peringkat awal bahawa pelancaran awal laporan awal PPP ini hanyalah sebuah retorik Najib untuk mendapat keyakinan rakyat terhadap “keikhlasan” kerajaan BN dalam menerajui pembaharuan dalam negara.


[1] New Straits Time, New Education BluePrine Goes Beyond Politics, 11 September 2012, http://www.nst.com.my/latest/new-education-blueprint-goes-beyond-politics-1.142169#

[2] UNESDOC, The Impact Of Economic Crisis On Higher Education, 2012

http://unesdoc.unesco.org/images/0021/002171/217144e.pdf

Rumah Mampu Milik: Di Sini dan Di Seberang

Pendahuluan

Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 24 September 2012. Isu perumahan merupakan antara isu dasar yang akan menjadi tumpuan Belanjawan 2013. Lantaran itu, penulisan Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) kali ini memberi tumpuan kepada masalah rumah mampu milik dengan meninjau skim perumahan berkaitan di Malaysia dan Singapura.

 

Dalam usaha untuk membantu rakyat Malaysia mempunyai keupayaan untuk memperolehi rumah mampu milik, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan beberapa program perumahan untuk membantu rakyat Malaysia menyelesaikan kemelut ini. Di antara program-program perumahan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN ialah Skim Rumah Pertamaku (SRP), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M).

 

Pelbagai program perumahan telah dilancarkan, namun kejayaan program-program perumahan tersebut terbantut dan menimbulkan beberapa persoalan isu perumahan penting, antaranya termasuk masalah rumah terbengkalai, pelaksanaan konsep jual dan bina, peningkatan harga bahan binaan, serta kuasa membeli rakyat Malaysia yang masih berada pada tahap yang rendah.

 

Kuasa membeli rakyat Malaysia dikatakan masih berada pada paras yang rendah apabila hampir separuh daripada 1,642 pemohon skim SRP[2] didapati tidak layak untuk menerima pinjaman dari bank untuk membeli rumah di bawah SRP. Ini berikutan industri perbankan mendapati mereka yang mempunyai gaji pendapatan sebanyak RM3,000 dan ke bawah gagal untuk melayakkan diri untuk mendapat pinjaman bernilai RM400,000 kerana dalam skim pembayaran semula pinjaman sebanyak 80 peratus, pemohon perlu membayar deposit sebanyak RM80,000 dan kebanyakan pemohon di bawah skim ini tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membayar deposit mahupun bayaran bulanan pinjaman tesebut.

 

Manakala bagi peningkatan harga bahan binaan perumahan pula, syarikat-syarikat pengeluar simen dalam negara mengumumkan peningkatan harga dalam harga simen daripada RM16.50 kepada RM17.50 bagi satu beg simen seberat 50 kg[3]. Hanya satu syarikat di Sarawak yang akan mengekalkan harga simen. Peningkatan harga simen ini pula telah mengakibatkan peningkatan harga rumah contohnya di Pulau Pinang di mana harga hartanah di Pulau Pinang dijangka meningkat sebanyak 5 peratus hingga 10 peratus. Ini berikutan 60 peratus hingga 80 peratus[4] bahan binaan terdiri daripada bahan binaan berkaitan dengan penggunaan simen.

 

Ini sejajar dengan kenyataan media Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA)[5] yang menyatakan peningkatan harga simen akan mempengaruhi kenaikan harga rumah. Lantas, peningkatan harga bahan binaan ini akan mewujudkan jurang di antara rakyat Malaysia berpendapatan sederhana dan rendah dengan rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi dalam keupayaan memiliki rumah mampu milik dalam pasaran perumahan yang kian melambung. Ini mengambil kira bahawa sebuah rumah yang dibina di Perlis dan Lembah Klang yang menggunakan bahan binaan sama akan mengalami perbezaan harga tinggi. Rumah yang dibina di Perlis mungkin akan berharga RM250,000, manakala sebuah rumah yang dibina di Lembah Klang, contohnya di kawasan KLCC akan berharga RM1 juta. Peningkatan harga bahan binaan ini akan meningkatkan lagi jurang tersebut.

 

Ini berikutan peningkatan harga pembinaan pada tahun 2011 sebanyak 10 peratus akibat daripada peningkatan inflasi dan harga bahan binaan serta cukai import yang tinggi.[6] Kenaikan harga hartanah ini telah menyebabkan beberapa syarikat pemaju mengalami kenaikan dalam keuntungan pada kadar 18 peratus[7] lebih tinggi daripada keuntungan projek-projek pembinaan mereka. Ini pula dapat mencerminkan bahawa rakyat Malaysia yang menampung keuntungan syarikat-syarikat pemaju berkaitan.

 

Pasaran hartanah di Sabah dan Sarawak tidak terlepas daripada kemelut kenaikan harga bahan binaan. Walaupun kerajaan telah melaksanakan had harga maksimum[8] bagi rumah harga rendah di Sabah dan Sarawak sebanyak RM50,400 berbanding had harga maksimum di Semanjung sebanyak RM42,000, harga pasaran bagi jenis perumahan lain melambung tinggi. Peningkatan harga bahan binaan di Semanjung akan meningkatkan lagi harga pasaran perumahan di Sabah dan Sarawak, lantas menjauhkan lagi jarak jurang di antara masyarakat di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dari segi kemampuan kewangan untuk memiliki rumah mampu milik.

 

Projek Perumahan Menemui Kegagalan

Projek-projek perumahan yang dilancarkan oleh Najib untuk menyelesaikan kemelut perumahan dalam negara merangkumi Skim Rumah Pertamaku (SRP), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M).

 

Jadual 1: Skim-Skim Perumahan Malaysia

Skim Rumah Pertamaku (SRP)[9] Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)[10] Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M)[11]
Dilancarkan pada 8 Mac 2011[12] Dilancarkan pada 4 Julai 2011 Nama sebelum ini: program Rumah Mesra Rakyat.[13]
Pembeli rumah pertama Pembeli rumah pertama. Pembeli rumah pertama.
Umur tidak lebih dari 35 tahun - Berusia dalam lingkungan 18-65 tahun.
Pendapatan kasar tidak melebihi RM3000 sebulan dan pendapatan kasa peminjam bersama tidak melebihi RM6000 sebulan. Terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja di sektor awam, swasta dan bekerja sendiri. Pendapatan isi rumah dari RM3,000 dan ke bawah.
Nilai minimum hartanah RM100,000. Nilai minimum hartanah RM150,000[14]. Rumah-rumah RMR1M dibina menggunakan teknologi Industrialised Building System (IBS).
Nilai maksimum hartanah RM400,000. Nilai maksimum hartanah RM300,000[15]. -
Pinjaman 100 peratus dari bank, pembayaran semula selama 30 tahun. Pinjaman 105 peratus dan 5 peratus bagi insurans dan yuran S&P. Pembayaran semula selama 30 tahun. -
Pembeli mestilah menghuni kediaman berkenaan. - Rumah tersebut usang dan tidak lengkap.
Sehingga Mac,[16] daripada 1,709 permohonan, hanya 399 diluluskan. 1,118 permohonan ditolak atas pelbagai masalah. Unit-unit akan dijual pada harga murah tetapi unit tersebut akan mengalami kesusutan nilai berbanding hartanah yang tidak disubsidikan.[17] -

 

Jadual 1 menerakan skim-skim perumahan yang dilancarkan dengan agenda untuk membantu rakyat Malaysia memperolehi rumah mampu milik bagi diri sendiri dan keluarga. Persoalan tuntutan keadilan perumahan di Malaysia timbul berikutan persoalan keberkesanan projek-projek perumahan yang dilancarkan ini dalam menyelesaikan kemelut perumahan Malaysia.

 

Tatkala pada hari ini, skim perumahan SRP dibuka kepada seluruh negara, berbanding dengan skim PR1MA di mana projek-projek perumahannya terhad[18] kepada beberapa tempat seperti di Putrajaya, Seremban, Cyberjaya, Bandar Tun Razak Cheras, Sungai Besi Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Selangor. Negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak pula masih tidak dapat merasai kebaikan yang diajukan oleh skim-skim perumahan di Semanjung ini. Maka timbul dakwaan tiada keadilan bagi Sabah dan Sarawak kerana masih terperangkap dalam kemelut perumahan yang berharga melangkaui kemampuan rakyat biasa Sabah dan Sarawak.

 

Malah jumlah tunggakan bayaran hutang bulanan bagi RMR1M sehingga Julai 2012[19] telah mencecah RM11.7 juta yang terkumpul sejak tahun 2002. Tunggakan hutang ini berdasarkan kategori penerima yang tidak membayar jumlah bulanan lebih daripada tiga bulanan dan menjangkau lebih setahun. Persoalan yang timbul ialah sejauh mana usaha Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dalam mengutip hutang-hutang tersebut? Kegagalan dalam pembayaran semula menandakan para pemohon tidak layak dari segi kewangan untuk memohon rumah di bawah RMR1M tetapi masih diberikan rumah.

 

Di mana skim perumahan SRP telah menunjukkan kegagalan untuk membantu golongan muda dalam usaha membeli rumah pertama mereka, PR1MA dan RMR1M pula dilancarkan dengan kekurangan butir-butiran mengenai skim tersebut di samping kekurangan maklumat mengenai syarat-syarat permohonan telah menandakan bahawa Kerajaan BN tidak bersedia untuk menyelesaikan kemelut perumahan secara sistematik dan cekap.

 

Tiada keadilan apabila dalam kejadian projek perumahan PR1MA gagal untuk disiapkan oleh Korporasi PR1MA, tiada kepastian mengenai pihak mana yang akan bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut.[20] Nescaya, rakyat yang akan menanggung kegagalan tersebut dengan wang rakyat digunakan untuk menyiapkan projek perumahan tersebut. Di sebalik memperolehi rumah-rumah mampu milik yang sesuai, rakyat Malaysia dibebani dengan kemungkinan wang mereka digunakan untuk menyelesaikan masalah ekoran kelemahan kerajaan. Jurang dalam pelan pelaksanaan skim-skim perumahan kerajaan BN menonjolkan suatu kelemahan yang mempunyai implikasi besar kepada Malaysia, iaitu, tiada kajian terperinci yang dilakukan sebelum skim-skim ini dilancarkan.

 

Perbandingan Projek Perumahan Singapura dan Malaysia.

Dalam membicarakan masalah perumahan, Singapura mungkin merupakan jiran terdekat yang dapat dijadikan contoh oleh Malaysia. Lembaga Pembangunan dan Perumahan Singapura atau HDB ditubuhkan pada 1 Februari 1960[21] dengan misi menyediakan perumahan awam berkualiti dan berpatutan. Kejayaan HDB terletak pada kejayaan kerajaan Singapura menyediakan perumahan kepada golongan miskin yan terdiri daripada 20 peratus isi rumah[22] di Singapura. Seharusnya, kerajaan Malaysia pimpinan Najib mencontohi atau membandingkan kejayaan kerajaan Singapura sebelum menuntut kejayaan projek-projek perumahan beliau. HDB merupakan projek kelahiran parti politik People’s Action Party (PAP) selepas parti tersebut mula berkuasa sebagai parti politik pemerintah Singapura[23]. Pada mulanya, HDB merupakan suatu  projek untuk menyelesaikan kemelut kekurangan perumahan dan ianya mempunyai tempoh masa selama lima tahun untuk dijayakan.

 

Namun selepas empat dekad, HDB telah membina lebih 800,000 rumah flat kepada kira-kira 85 peratus populasi Singapura. Di antara perbezaaan kejayan projek perumahan Najib dan projek perumahan HDB ialah HDB membenarkan mereka yang berpendapatan rendah untuk menyewa rumah hak milik HDB; di samping itu, rakyat tua juga disediakan apartmen studio yang direka khas dengan persekitaran mesra warga tua.[24] Perbezaannya tidak terhenti di situ. Kadar penyewaan flat-flat HDB ini juga bergantung kepada gaji pendapatan bulanan penyewa[25], lantas tidak membebani rakyat Singapura, terutamanya mereka yang mempunyai gaji pendapatan rendah. Dalam menjamin kemampanan, kebersihan dan keselamatan di kawasan-kawasan perumahan HDB ini, HDB mendesentralisasikan kuasanya kepada majlis perbandaran[26] untuk memberikan kuasa kepada para penduduk kawasan perumahan HDB terhadap penentuan keadaan kebersihan, kemampanan dan keselamatan kawasan perumahan mereka.

 

Sebagai usaha kerajaan Singapura memberikan peluang kepada rakyat Singapura tidak kira jumlah pendapatannya dalam memiliki rumah mampu milik, pinjaman cagaran bukan sahaja perlu berada pada kadar yang mampu ditanggung oleh para peminjam, ianya juga perlu bersifat daya maju kepada pemberi pinjaman dan bertindak sebagai sumber hasil kepada sektor perumahan. Antara dasar HDB membantu isu rumah yang berpendapatan rendah adalah seperti berikut[27]:

 

Penjualan rumah flat kepada penyewa yang sedia ada pada kadar diskaun dengan 100 peratus pembiayaan.

HDB membeli balik flat tiga bilik dari pasaran terbuka untuk menjual pada harga bersubsidi kepada keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada $1500 ( subsidi adalah sebanyak $50,000 untuk setiap flat tiga bilik).

Penjualan flat empat bilik dengan kawasan lantai sedikit kecil dan siapan yang lagi ringkas.

Penyewa yang memohon untuk flat empat bilik di bawah Sistem Pendaftaran Flat diberi permulaan awal selama enam bulan berbanding para bukan penyewa dalam pemberian flat. Syarat kepada ini ialah para penyewa hendaklah merupakan pembeli kali pertama dan menduduki flat sewaan mereka sekurang-kurangnya lima tahun.

Skim sewa dan beli akan membenarkan keluarga dengan pendapatan bulanan yang rendah di antara $800 hingga $1,500 untuk pada awalnya menyewa dan kemudian membeli flat yand disewakan itu.

 

Ianya dapat dilihat melalui skim HDB ini, rakyat Singapura terutamanya mereka yang berpendapatan bulanan rendah tidak dibebani dengan kadar pinjaman tinggi serta di bawah skim ini, walaupun mereka menyewa atau membeli rumah mampu milik, kawasan rumah tersebut dipastikan bersih, mampan dan selamat melalui Majlis Perbandaran kawasan perumahan tersebut.

 

Seperti yang dipetik menerusi kata-kata Dr Koon Hean Cheong, CEO, Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) Singapura[28]:

 

“No government has enough money, but you need to decide what is most important to you, and you will make the right choices if you look very long-term. If you look very short-term and worry about the next election, you may not make the right choice. In Singapore, we have not spent money on things that do not help the country or the economy, and we have been quite disciplined.”

 

Terjemahannya berbunyi:

 

“Tiada kerajaan yang mempunyai dana mencukupi tetapi anda perlu memutuskan perkara yang paling penting kepada diri anda, dan anda akan melakukan keputusan yang betul jika anda merancang secara jangka panjang. Jika anda merancang pada jangka pendek dan bimbang dengan pilihan raya akan datang, anda tidak akan melakukan keputusan yang sewajarnya.”

 

Untuk menjayakan rancangan menyelesaikan masalah perumahan, suatu rancangan jangka panjang perlu dilakukan. Dan ianya bukan sahaja melibatkan pelancaran projek-projek perumahan yang tidak mendapat sambutan daripada warganegara, tetapi juga kegagalan projek-projek perumahan tersebut dalam mencerminkan keadaan sebenar pasaran perumahan dan keadaan sebenar ekonomi negara serta taraf hidup melampau yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia.

 

Ini merupakan suatu pengajaran yang boleh diambil oleh kepimpinan negara ini. Di sebalik melancarkan projek perumahan dan menggalakkan pembangunan yang mengutamakan para pemaju, pelabur dan kerajaan, adalah wajar untuk projek perumahan dan pembangunan kini dilaksanakan dengan menjaga keperluan dan kepentingan rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Di samping menggalakkan pembangunan mampan dan memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia tidak kira status dan kuasa membeli untuk memperolehi rumah idaman sendiri.

 

Kata Penutup

Menurut kata Dr Vivian Banakrishan, Menteri Alam Sekitar Singapura[29],

 

“Build the most beautiful city you can. Plant as many threes as you can. Invest in the latest technology. Conserve energy, water and resources. And find a way to have an honest, competent and visionary leadership.”

 

Terjemahannya berbunyi:

 

“Bina bandaraya yang paling cantik. Tanam sebanyak pokok yang boleh. Melabur dalam teknologi terkini. Jimatkan tenaga, air dan sumber yang ada. Dan cari cara untuk memperolehi kepimpinan yang paling jujur, berwibawa dan berwawasan.”

 

Kepimpinan yang jujur, berwibawa dan berwawasan akan memastikan hak para pembeli akan terlindung dari kerakusan para pemaju. Ianya juga akan memastikan segala pembangunan terutamanya pembangunan projek perumahan akan dilakukan dengan mengutamakan kemampanan dan turutan terhadap perundangan yang sedia ada.

 

Penyelesaian kepada masalah pembangunan projek perumahan di Malaysia tidak terhenti di sini sahaja. Konsep BDJ bukanlah satu-satunya penyelesaian terhadap masalah pembangunan projek perumahan di Malaysia. Negara jiran kita, Singapura telah membuktikan dengan perancangan yang teliti, lebih daripada 70 peratus rakyat mereka, tidak kira gaji pendapatan mempunyai kuasa membeli yang tinggi untuk memperolehi rumah yang diidamkan. Perancangan yang berteraskan keperluan rakyat Malaysia perlu diutamakan.

 

Oleh itu, ianya dapat dikatakan bahawa projek-projek perumahan Najib menemui kegagalan kerana pertimbangan dibuat untuk tujuan politik dan untuk memuaskan kehendak para pemaju dan bukannya keperluan rakyat Malaysia. Kerana kehendak golongan yang berpendapatan tinggi diutamakan dan keperluan golongan yang berpendapatan rendah tidak diendahkan. Kerana perundangan mengenai pelaksanaan projek perumahan memang sedia ada tetapi penguatkuasaan terhadap undang-undang ini tidak dilaksanakan. Kerana perancangan dilakukan untuk memuaskan jangka masa yang pendek dan bukannya jangka masa yang panjang.

 

Persoalan yang timbul ialah sampai bilakah situasi ini dibenarkan berlangsung? Sebagai kerajaan yang mentadbir, keperluan rakyat tidak kira status dalam masyarakat mahupun jumlah gaji pendapatan bulanan perlu dipertimbangkan. Kawasan perumahan yang tidak bersih, tidak selamat, kualiti perumahan yang buruk, projek perumahan terbengkalai akan membawa kepada lagi banyak isu ketidakadilan sosial dalam masyarakat, lantas, menjarakkan lagi jurang di antara golongan yang berada dengan golongan sederhana dan miskin. Maka, cita-cita untuk mencapai sebuah negara maju akan tinggal sebagai retorik kerajaan Najib kerana masalah seperti perumahan masih gagal untuk diselesaikan 55 tahun selepas kemerdekaan dan kita berada di era globalisasi di mana kita digalakkan untuk menggunakan kreativiti dan inovasi untuk memajukan dan membangunkan masyarakat dan negara.

 


[2] The Malaysian Insider, Almost Half Ineligable For My First Home Scheme Loan, Says BNM, 14 Mac 2012,

http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/almost-half-ineligible-for-my-first-home-scheme-loan-say-bnm/

[3] Malaysia Property News, House Price Hike Likely, 17 Ogos 2012,

http://www.malaysiapropertynews.net/2012/08/house-price-hike.html

[4] ibid

[5] Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Joint Communique By Malaysian Developers’ Council, 8 Ogos 2012, http://www.rehda.com/posts/press-release-120808.pdf

[7] The Star, Are Developers Really Making Too Much? 11 Ogos 2012,

http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/8/11/business/11821521&sec=business

[8] The Borneo Post, Govt Mechanisms Help Control Rise In House Prices – Chor, 10 Julai 2012,

http://www.theborneopost.com/2012/07/10/govt-mechanisms-help-control-rise-in-house-prices-chor/

[9] Skim Rumah Pertamaku, Ciri –Ciri Dan Kriteria,

http://www.srp.com.my/docs/html/ciri2_n_feadah.html

[10] PR1MA.net, Eligibility,

http://pr1ma.net/eligibility/

[11] PR1MA.net, Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, 26 Februari  2012,

http://pr1ma.net/category/rmr1m/

[12] The Star, Scheme Launched For Young Adults To Get 100% Financing For New Home, 9 Mac 2011,

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/3/9/nation/8218336&sec=nation

[13] Sinar Harian, Pendapatan Isi Rumah RM3,000 Layak Pohon RMR1M, 24 Februari 2012,

http://www.sinarharian.com.my/nasional/pendapatan-isi-rumah-rm3-000-layak-pohon-rmr1m-1.26796

[14] The Malaysian Insider, Mid-Range Public Housing Launched With Scant Details On Who Qualifies, 5 Septmeber 2012, http://www.themalaysianinsider.com/mobile/malaysia/article/mid-range-public-housing-launched-with-scant-details-on-who-qualifies/

[15] ibid

[16] MalayMail, 399 Get My First Home Loans, 11 Mei 2012,

http://www.mmail.com.my/story/399-get-my-first-home-loans

[17] Property Guru, Pr1ma Homes Cannot Be Sold To Open Market, 9 Julai 2012,

http://blog.propertyguru.com.my/5339/pr1ma-homes-cannot-be-sold-to-open-market.html

[18] iProperty, PR1MA Pinning Down The Locations, 8 Mei 2012,

http://www.iproperty.com.my/news/5247/PR1MA-Pinning-down-the-locations

[19] Mstar, Tunggakan Bayaran Bulanan Rumah Mesra Rakyat Kini EN11.7 Juta – SPNB, 8 Julai 012, http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/7/8/mstar_berita/20120708163037&sec=mstar_berita

[20] The Sun Daily, Prima Bill 2011 Passed, 30 November 2011,

http://www.thesundaily.my/news/224807

[22] Global Urban Development Magazine, Squatters No More: Singapore Social Housing, November 2007,

http://www.globalurban.org/GUDMag07Vol3Iss1/Yuen.htm

[23] Housing Authority, Public Housing Governance In Singapore: Current Issues and Challenges, 2004,

http://www.housingauthority.gov.hk/hdw/ihc/pdf/phgslc.pdf

[24] World Bank, Sustainable Affordable Housing For A Nation: The Singapore Success Story,  10 Oktober,

http://siteresources.worldbank.org/EXTSDNET/Resources/Presentation3.pdf

[25] ibid

[26] Housing Authority, Public Housing Governance In Singapore: Current Issues and Challenges, 2004,

http://www.housingauthority.gov.hk/hdw/ihc/pdf/phgslc.pdf

[27] Global Urban Development Magazine, Squatters No More: Singapore Social Housing, November 2007,

http://www.globalurban.org/GUDMag07Vol3Iss1/Yuen.htm

[28] Sustainable cities, A part of Danish Architecture Centre, Hpyer-Strategic Singapore, 17 Julai 2012,

http://sustainablecities.dk/en/blog/2012/07/hyper-strategic-singapore

[29] ibid