Purata 2 Kes Seminggu Sepanjang 7 Bulan Pertama: Kes Tembak-Bunuh Bukan Sekadar Isu Keselamatan

Mutakhir ini, kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang menjadi-jadi lagi menggemparkan telah membunyikan loceng penggera ketentaraman negara ini. Selama ini, kesejahteraan dan keselamatan senantiasa dijadikan isu teras. Kes rompak, samun, culik, ragut dan sebagainya bukan sesuatu yang luar biasa di paparan media massa saban hari. Namun, kes tembak-bunuh yang kian berleluasa ini bukan sekadarnya masalah keselamatan. Malahan, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat bahawa kes-kes sedemikian akibat daripada kecacatan proses penguatkuasaan undang-undang dan proses kehakiman selama beberapa dekad dalam negara ini. Selain itu, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pihak kerajaan bakal menangani kes jenayah berkenaan dengan kerangka undang-undang yang sedia ada, pihak-pihak tertentu termasuklah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sesungguhnya tidak harus lagi secara dangkalnya mempersalahkan pemansuhan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau mengapi-apikan agar mengembalikan ordinan atau akta drakonian tersebut. Sebaliknya, KPRU menyaran pihak berkuasa agar mengkaji semula dan memperbaikkan kelemahan proses penguatkuasaan undang-undang yang merangkumi proses siasatan, pengumpulan bukti, pendakwaan dan juga perbicaraan kehakiman.

KPRU telah mengumpul kejadian tembak-bunuh terkini (sila lihat Jadual KPRU di bawah) dan mendapati bahawa sejumlah 31 kes serangan atau pembunuhan melibatkan senjata api telah berlaku dalam tempoh empat bulan yang singkat dari April hingga Julai tahun 2013 ini, di mana seramai 43 orang telah dipermangsakan, antaranya 22 nyawa telah diragut manakala 21 orang mengalami kecederaan. Dalam bulan Julai sahaja telah pun memperlihatkan sebanyak 14 kes tembak-bunuh. Selain itu, kajian Penang Institute pula menunjukkan bahawa dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2013 sahaja telah memperlihatkan bilangan kes tembak-bunuh yang jauh lebih banyak daripada tahun 2012 dengan mencatat sebanyak 38 kes, di mana 2 kejadian tembak-bunuh berlaku dalam tempoh seminggu secara purata.[1] Dengan mengambil kira kedua-dua kajian KPRU dan Penang Institute, adalah jelas bahawa kes tembak-bunuh berlaku dengan begitu konsisitennya sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini tanpa berhenti, secara purata dua kes seminggu. Kekerapan yang setinggi ini sejurus mencetuskan kebimbangan dan ketakutan di kalangan masyarakat.

Pembunuh ada sasaran, pembunuhan terancang dan bermotifkan isu peribadi

Walau bagaimanapun, harus diambil perhatian bahawa kes-kes tembak-bunuh yang berlaku dalam negara bukan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, di mana pembunuh mungkin menetapkan sasaran, tetapi menembak sewenang-wenangnya sehingga memangsakan kumpulan yang tidak berdosa. Sebaliknya, kes pembunuhan menggunakan senjata api yang terjadi akhir-akhir ini melibatkan individu berprofil tinggi. Di antaranya, pegawai tinggi kerajaan, pengasas bank, aktivis kumpulan sivil, peniaga, dan pengetua sekolah serta guru, dengan malangnya, dijadikan sasaran pemangsa.

Pada 29 Julai 2013, Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isternya mengalami cedera parah di tembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta di ibu negara. Kejadian tersebut berlaku dua hari selepas seorang aktivis antijenayah, iaitu Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan di Jempol, Negeri Sembilan. Seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim. Beliau ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April. Sesungguhnya, kejadian tembak-bunuh yang mempermangsakan individu berprofil tinggi pernah sekali-sekala menggemparkan masyarakat sebelum ini juga. Pada 12 Januari 2008, berita melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tenggaroh Dato’ S. Krishnasamy ditembak mati di bangunan MIC Johor di Johor Baharu. Pada 4 November 2000 pula, Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas, Kedah, Dr. Joe Fernandez ditembak mati oleh dua lelaki dipercayai pembunuh upahan ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Bukit Mertajam.

Hal ini menunjukkan bahawa modus operandi kes jenayah sedemikian sememangnya dirancang dengan rapi, dan bermotifkan isu peribadi. Lebih-lebih lagi, boleh dikatakan bahawa hampir kesemua kes yang melibatkan penggunaan senjata api ialah angkara pembunuh upahan, dan tidak dapat diketepikan juga tentang isu penyeludupan senjata api yang membolehkan senjata api senang didapati di pasaran gelap.

Bekas tahanan EO dalang kes tembak-bunuh?

Menurut liputan Utusan bertarikh 17 Julai, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid menyatakan bahawa 90 peratus kejadian jenayah berat, terutamanya kes bunuh adalah dilakukan oleh bekas tahanan penjara Simpang Renggam yang dibebaskan daripada tahanan EO.[2] Kenyataan beliau tersebut kemudian disokong oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor bahawa pemansuhan EO merupakan punca peningkatan jenayah yang semakin  bermaharajalelas ini. Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar Syed Jaafar turut bersetuju bahawa jenayah berat yang berlaku sekarang dilakukan oleh mereka yang dibebaskan kerana penghapusan EO. Berita terkini bertarikh 2 Ogos sekali lagi menekankan perkataan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bahawa peningkatan kadar jenayah di negara ini berpunca daripada desakan beberapa pihak yang mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan, dan penghapusan undang-undang tersebut kini menyebabkan keselamatan rakyat dalam bahaya.[3]

Apakah EO dan ISA begitu berkuasa seperti yang didegar-degarkan dalam mengawal cengkaman penjenayah? Sekali pandang, undang-undang seperti ISA dan EO membenarkan pihak polis menahan suspek tanpa dibicara, dan peruntukan sedemikian justerunya dikatakan berkesan dalam menjamin keselamatan rakyat. Pada hakikatnya, KPRU bukan sahaja mempertikaikan peruntukan dalam ISA dan EO tersebut yang melanggari hak asasi manusia, malahan ia telah menghalang proses siasatan dan perbicaraan yang benar-benar cekap dan efektif secara umum, sekali gus menjadi rintangan kepada perkembangan keberkesanan dan kecekapan dalam keseluruhan sistem dan proses penguatkuasaan undang-undang dan kehakiman.

Sedangkan kebanyakan pihak kini menuding jari kepada pihak yang mendesak supaya ISA dan EO dimansuhkan sehingga tahanan di bawah akta atau ordinan tersebut dibebaskan, serta  mengganggu ketentaraman dan keselamatan masyarakat, apakah tidak memikirkan usaha bagi memperbaiki kelemahan proses penguatkuasaan secara keseluruhan, bermula daripada kerja penyiasatan, mengumpul bukti dan seterusnya membawa suspek-suspek tersebut ke hadapan hakim dan dijatuhkan hukuman di bawah undang-undang yang tertentu? Haruslah diingati bahawa kebanyakan tahanan EO dan ISA dibekas tanpa bukti kukuh, apatah lagi dijalani perbicaraan kehakiman, dan inilah pokok permasalahan yang membolehkan mereka dibebaskan ekoran pemansuhan undang-undang tersebut. Proses penguatkuasaan seharusnya merangkumi proses mencari bukti dan mendakwa tanpa dipengaruhi elemen rasuah dan penyelewengan kuasa.

Pemansuhan ordinan atau akta drakonian yang telah dibukti tidak lagi relevan dalam arus transformasi ini tidak patut dipersalahkan sebagai faktor mengakibatkan berlakunya kes-kes sedemikian seperti yang didakwa. Apatah lagi  bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pernah menyatakan bahawa pembebasan tahanan EO adalah selaras dengan kesungguhan Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan Program Transformasi Politik fasa kedua melalui pembatalan tiga Proklamasi Darurat![4] Dakwaan Zahid yang tidak berasas tersebut boleh ditafsir sebagai alasan pihak kerajaan yang sengaja mengambil kesempatan ini demi mengembalikan akta-akta drakonian bagi menyekang kebabasan dan hak asasi rakyat Malaysia, bukannya sekadar bermatlamat memerangi jenayah.

Kes Chee Gaik Yap mencerminkan ketidakcekapan proses penguatkuasaan undang-undang

Pada 14 Januari 2006, seorang eksekutif pemasaran yang berusia 25 tahun dilapor hilang ketika berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun di kawasan perumahan kelab rekreasi pada pulul 7 petang. Chee dipercayai dirogol sebelum dibunuh selepas mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan luka di bahagian kepala dan lehernya di luar pagar kelab rekreasi di Sungai Petani pada pukul 2.35 pagi keesokan harinya. Kes rogol-bunuh yang kejam ini mendapat perhatian yang meluas di kalangan masyarakat pada ketika itu.

Enam lelaki yang berusia 20 hingga 40 tahun yang bekerja di kelab rekreasi kemudiannya ditahan reman sejak 17 Januari 2006 bagi membantu siasatan. Walau bagaimanapun, Majistret Zarifah Zainal Abidin memerintahkan kesemuanya dibebaskan apabila keputusan ujian Asid Dioksiribonukliek (DNA) yang dikeluarkan didapati tidak sama dengan mereka. Juga difahamkan bahawa seorang ahli perniagaan, Shahril Jaafar yang merupakan anak seorang kenamaan bergelar Datuk dari Pengkalan Jaya Bukit Kecil, Ayer Keroh turut ditahan untuk siasatan tetapi dibebaskan dengan jaminan polis semasa menunggu keputusan DNA.

Shahril yang berusia 31 tahun ini, yang merupakan suspek utama kemudian melarikan diri selama enam tahun ke Australia pada ketika siasatan masih dijalankan. Akhirnya, dia dikesan oleh pihak polis dan ditangkap sejurus tiba dari Perth, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kula Lumpur (KLIA) pada 17 Januari 2012. Dia didakwa membunuh Chee Gaik Yap di kawasan kelab tersebut antara pukul 5.30 petang, 14 Januari 2006 dan pukul 3.05 pagi keesokan harinya. Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh dengan niat yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Perkembangan terkini memperlihatkan Shahril Jaafar dilepas dan dibebaskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab daripada tuduhan membunuh Chee selepas Mohd Zaki mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. Pesuruhjaya Kehakiman tersebut dalam penghakimannya berkata kes yang dikemukakan pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh melakukan perbuatan itu kerana ia antaranya hanya bersandarkan kepada fakta bahawa tertuduh tinggal berhampiran tempat kejadian ketika kejadian itu dan gagal membuktikan Shahril yang memandu kereta model NAZA bercermin gelap milik bapa tertuduh seperti yang dilihat oleh saksi di kawasan itu pada hari kejadian. Tambahan pula, laporan patologi menunjukkan kecederaan di kemaluan Chee bukan penyebab kematiannya, sebaliknya disebabkan oleh tikaman di bahagian leher kanan. Laporan kimia juga menunjukkan DNA tertuduh berbeza dengan sampel air mani yang ditemui di kemaluan mangsa dan mahkamah tidak menolak kemungkinan wujudnya penderma ketiga.[5]

Sekiranya ditelitikan, perkembangan kes ini telahpun menunjukkan pelbagai kelemahan dalam proses penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan kehakiman. Lantas, beberapa persoalan harus dilontarkan bagi menyerlahkan permasalahan pihak penguatkuasa agar dapat menarik perhatian serius daripada pihak berkenaan. Harus ditekan di sini juga bahawa KPRU tidak mempersoalkan kesungguhan pihak penguatkuasa dalam menjalankan tugas mereka, tetapi membangkitkan kelemahan yang wujud sepanjang proses penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan kehakiman agar kecekapan proses berkaitan dapat dipertingkatkan demi mempertahankan kesejahteraan masyarakat dan integriti institusi penguatkuasaan dan kehakiman. Pertama sekali, mengapakan pihak polis mengambil tempoh masa yang begitu panjang, iaitu enam tahun bagi mengesan suspek dalam kes tersebut? Mengapakan suspek tersebut dapat dijaminkan sedangkan keputusan DNA belum keluar? Apakah usaha giat yang diadakan bagi mengumpul bukti secepat mungkin sebelum bukti dihapuskan? Apakah Seksyen Kanun Keseksaan 367 bagi jenayah rogol tidak turut sama digunakan di samping Seksyen 302 dalam kes rogol-bunuh ini? Aspek-aspek tersebut seharusnya ditelitikan agar dapat menambahbaik kecekapan dan keberkesanan pihak penguatkuasa dalam menjalankan tugas untuk kebaikan semua pihak dalam jangka masa panjang.

Polis masih “bergigi” dengan kerangka undang-undang sedia ada

Sesungguhnya, kerangka undang-undang yang sedia ada adalah memadai bagi mengawal keselamatan dan ketentaraman negara, atas premis pihak berkuasa berkeupayaan menjalankan tugas masing-masing dengan penuh kecekapan. Seperti yang dicadangkan oleh KPRU, Association for the Promotion of Human Rights (Proham) turut menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan kepada peningkatan taraf penyiasatan polis dan bukan menggubal undang-undang pencegahan yang baru untuk menyelesaikan masalah jenayah yang serius di Malaysia. Proham menyatakan bahawa pihaknya tidak menemui sebarang bukti yang boleh dipercayai dalam peningkatan kes jenayah yang berkaitan dengan pembebasan tahanan EO, dan undang-undang pencegahan yang sedia ada seperti Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 (Pindaan 1983) telah cukup untuk menangkap penjenayah berat.

Menurut Proham, akta tersebut memberi peruntukan yang lebih berkesan bagi pencegahan jenayah di Semenanjung Malaysia dan memberi peruntukan dalam pengawalan penjenayahan, ahli-ahli kongsi gelap dan orang-orang yang tidak diingini. PCA memperuntukkan 28 hari tahanan reman untuk siasatan, dengan pilihan  untuk lanjutan sebanyak 28 hari dalam Seksyen 4 dan 5.[6]

Pada masa yang sama, Proham juga menegaskan bahawa keperluan untuk mengkaji semula struktur pasukan polis, hal ini disebabkan kurang daripada 15 peratus tenaga polis diarahkan dalam memerangi jenayah.[7] Sesungguhnya, aspek ini telah banyak disentuh oleh Ahli Parlimen PAKATAN. Pengagihan tenaga polis yang tidak seimbang merupakan faktor kegagalan pihak polis dalam menyelesaikan kemelut peningkatan gejala jenayah yang semakin serius dalam negara ini.

Selain itu, Abdul Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara pada 90-an, tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa polis telah hilang kuasa kerana pihak polis masih dilengkapi dengan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah (CPC) untuk menangani kes penjenayahan. Tetapi beliau berasa Jabatan Peguam Negara seharusnya merangka satu undang-undang baru yang akan mengimbangi antara menangani penjenayah dan melindungi hak asasi manusia.[8] Bab 12 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) memperuntukkan tindakan pencegahan pihak polis. Sebagai contoh, Seksyen 105 memperuntukkan seorang pegawai polis yang mengetahui sesiapa yang merancang untuk melakukan suatu kesalahan boleh menangkap orang tersebut tanpa perintah daripada Majistret.[9]

Tambahan pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala juga berkata, terdapat juga peruntukan baru dalam CPC yang membolehkan pemintasan komunikasi untuk meningkatkan keupayaan pegawai-pegawai penguatkuasa untuk mengumpul bukti terhadap pesalah jenayah yang terancang dan ganas. Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan CPC juga membenarkan penggunaan alat pengawasan elektronik (EMD) untuk memantau di mana beradanya pesalah yang dibebas dengan ikat jamin untuk memastikan bahawa mereka tidak mengulangi dalam jenayah. Negara-negara lain seperti Britain dan Amerika Syarikat telah membuat penggunaan EMD untuk sekian lama dan telah melihat kadar merosot daripada keulangan jenayah.[10]

Akhir sekali, memandangkan kes tembak-bunuh ini secara langsung berkaitan dengan penggunaan senjata api, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971), dikenali juga sebagai Akta 37 harus sekali lagi dikuatkuasakan. Akta Senjata 1960 yang dipinda pada 1971 untuk penalti lebih berat menunjukkan kerajaan Malaysia sememangnya mempunyai polisi yang sangat ketat berkenaan dengan pemiklikan senjata atau lesen senjata. Peruntukan akta ini yang membawa penalti maksima iaitu hukuman mati dan penjara seumur hidup sekiranya seseorang disabit kesalahan menunjukkan betapa seriusnya kerajaan Malaysia untuk membendung rakyat Malaysia diancam dengan senjata api boleh dilihat. Sementara KPRU berpendapat hukuman mati tidak diperlukan kerana penjara seumur hidup sudah memadai, apa yang harus dibuat ialah memastikan pengawalan pengeluaran permit atau lesen memilik senjata api dan pemantauan aktiviti-aktiviti setiap pemilik lesen senjata api di negara ini agar tiada penyalahgunaan yang membahayakan keamanan masyarakat.

Jadual KPRU: Kes tembak-bunuh di Malaysia (April – Julai, 2013)

Nombor

Tarikh & Masa

Tempat

Bilangan Mangsa

Maklumat

1 31/7/13 10.00am Parit Buntar Jumlah seorang dan mati Seorang lelaki, N. Jeevandran, 26, yang dikehendaki polis kerana mempunyai empat rekod jenayah lampau mati ditembak di persimpangan Jalan Permai Utama berhampiran Pejabat Pendidikan Daerah mangsa dari Taman Seri Semarak di sini ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang kemudian melarikan diri.[11],[12]
2 29/7/13 8.30pm Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam Jumlah seorang dan tercedera G Santhanasamy, 30, berasal dari Kulim, Kedah, cedera di betis ditembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Mengkuang.[13],[14]
3 29/7/132.00pm Lorong Ceylon, Kuala Lumpur Jumlah dua orang,  seorang mati dan seorang tercedera Pengasas Arab-Malaysian Development Bank, Hussain Ahmad Najadi, 75, ditembak mati di kawasan letak kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur hari ini sementara isterinya cedera terkena tembakan. Beliau berjalan menuju ke keretanya bersama isteri apabila seorang yang bersenjata menuju ke arahnya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah belakang menyebabkannya terbunuh di tempat kejadian .[15],[16]
4 29/7/1310.15pm Lebuh 5, Kampung Simee, Ipoh Jumlah tiga orang, seorang mati dan dua orang tercedera Jasrafveenderjeet Singh, 25, mati di akibat terkena tembakan di leher, manakala dua lagi mangsa yang berusia 55 dan 28 tahun cedera dan mendapat rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Difahamkan mangsa-mangsa sedang minum di restoran dekat Kampung Simee bersama kawan dan dua lelaki bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.[17],[18]
5 27/7/134.30pm Taman Cempaka, Jempol Jumlah seorang dan tercedera Pengerusi badan pemantau jenayah, Mywatch Sri Sanjeevan Ramakrishan dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat ditembak dekat Bahau, Negeri Sembilan.Mangsa dipercayai ditembak dibahagian rusuk dilakukan oleh dua lelaki kaum India ketika sedang memandu kereta jenis BMW berwarna kelabu. Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Jempol dan akan dipindahkan ke Hospital Besar Kuala Pilah.[19],[20]
6 26/7/13 3.30pm Felda Jenderak, Kuala Krau, Temerloh Jumlah seorang dan tercedera Seorang pemandu lori Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh cedera di lengan selepas ditembak ketika dalam perjalanan ke Jerantut, Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk dirawat.[21]
7 24/7/13 2.30pm Taman Rekreasi Gunung Lambak, Kluang Jumlah seorang dan tercedera Seorang lelaki berusia 46 tahun cedera parah setelah ditembak yang terkena di bahagian badannya dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta Taman Rekreasi Gunung Lambak.Kejadian itu berlaku apabila mangsa yang baru selesai berjoging didatangi suspek ketika dia sedang menaiki keretanya.
Bagaimanapun cubaan membunuhnya gagal apabila mangsa berjaya memecut keretanya kira-kira tiga kilometer sebelum mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang. [22]
8 19/7/13 2.30am Jalan Gula, Simpang Empat, Semanggol Jumlah seorang dan mati Seorang lelaki ditemui mati dipercayai ditembak dalam kejadian bunuh di Jalan Gula, Simpat Empat Semanggol. Nombor plat kenderaan dinaiki mangsa dilaporkan hilang di Puchong, Kuala Lumpur pada bulan Julai tahun lalu.[23],[24]
9 18/7/13 12.20pm Keladi, Kulim Jumlah seorang dan mati Seorang guru mati terkena sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan dua lelaki yang menaiki motosikal menghampiri kenderaannya ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Keladi.[25],[26]
10 15/7/13 8.30pm Taman Sejahtera, Kampar Jumlah  dua orang tercedera Dua beranak parah ditembak ketika sedang berehat selepas berbuka puasa dalam satu kejadian samun bersenjata di Taman Sejahtera, mangsa berusia 51 tahun bersama anak lelakinya, 13 tahun, cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua perompak yang memecah masuk kediaman mereka.
Mangsa mengalami cedera diperut sementara anaknya mengalami kecedraan di paha sebelah kanan apabila peluru yang mengenai bapanya tembus sebelum mengenainya yang ketika itu berada di belakang mangsa.[27],[28]
11 12/7/13 10.45pm Bukit Jambul, Pulau Pinang Jumlah seorang dan tercedera Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menjadi mangsa selepas ditembak seorang lelaki ketika dia menemani bapanya berjumpa rakan di bawah pangsapuri berkenaan malam kelmarin. Akibat kejadian itu, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki selain kepalanya cedera akibat terkena serpihan peluru.[29]
12 8/7/131.40pm Tawang, Bachok Jumlah seorang dan mati Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan, Hashim Mat Zin, 43, mati selepas terkena tiga das tembakan di simpang tiga Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Baharu, berhampiran sekolah itu.[30],[31]
13 4/7/13 10.30pm Jalan Relau, Pulau Pinang Jumlah seorang dan mati Dua suspek yang memakai topi keledar ketika melakukan jenayah itu dipercayai melepaskan empat das  tembakan terhadap mangsa, K Kuganeswaran, 30, dari jarak dekat.[32],[33]
14 4/7/13 12.15pm Kubang Panjang, Pasir Mas Jumlah seorang dan tercedera Seorang guru di sebuah sekolah rendah di Tumpat cedera ditembak di bahagian leher. Guru yang berasal dari Kampung Tualang, Pasir Mas itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan keadaannya dilapor stabil.[34],[35]
15 14/6/13 2.45am Perhentian bus Kuala Kurau Jumlah seorang dan tercedera Seorang peniaga, Lim Kong Hai, 52 cedera parah di bahagian perut setelah ditembak salah seorang anggota kumpulan itu dalam kejadian samun berhampiran Stesen Bas Kuala Kurau.[36]
16 6/6/13 9.00pm Jalan Salleh, Muar Jumlah seorang dan mati Tan Chai Heng, 51, dengan kesan tembakan di muka ditemui terbaring di taman itu, kira-kira 30 meter dari rumahnya. Berdasarkan kepada kecederaan pada bawah mata kanannya, kita percaya mangsa telah ditembak dengan senjata pistol dari jarak dekat sebelum mayatnya dijumpai oleh jirannya.[37],[38]
17 4/6/13 8.45am Taman Kota Jaya, Taiping Jumlah  dua orang, seorang mati dan seorang tercedera  Seorang pemilik bengkel kereta Govindaraju @ Murthy, 36 mati sementara rakannya  A. Manivannan,cedera selepas ditembak di sebuah restoran di Taman Kota Jaya. Suspek dipercayai telah melepaskan tiga das tembakan dan mereka datang menggunakan motosikal serta bertopi keledar. [39],[40]
18 12/5/13 10.00pm Bukit Tambun Jumlah empat orang, dua orang mati dan dua orang tercedera Dua lelaki S. Kannan, 37 dan G. Suresh, 28 maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, dipercayai berkaitan perniagaan. keempat- keempat mereka datang dari Melaka untuk menghadiri upacara perkahwinan rakan mereka di sini. [41],[42]
19 11/5/13 9.50pm Jalan Datuk Bandar Tunggal, Seremban Jumlah empat orang, dua orang mati dan dua orang tercedera Dua lelaki mati, P Chalidass, 29 dan G Surentharan, 31, manakala dua rakan mereka parah ditembak dari jarak dekat ketika kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat pusat bandar.[43],[44]
20 11/5/13 8.46pm Bandar Tun Razak, Cheras Jumlah dua orang dan tercedera Polis sukarelawan, N. Saravanan dan kawannya Tamil Selvam, kedua-dua berumur 29 tahun ditembak tercedera selepas satu pertengkaran.[45],[46]
21 11/5/13 8.43pm Taman Kucai, Lunas Jumlah seorang dan mati Seorang pembantu kedai barang-barang lusuh, Thangaraja, 31 ditemui mati di dalam kereta yang dipandunya dengan 10 kesan tembakan di persimpangan lampu isyarat Taman Kucai di Lunas.[47],[48]
22 10/5/13 12.30am Taman Setia Jaya, Alor Setar Jumlah seorang dan mati Seorang penarik kereta, M. Nagenthiran, 30 maut akibat terkena tiga das tembakan berhampiran rumahnya di rumah pangsa Taman Setia Jaya. Satu tembakan dikesan di bahagian kepada dan dua lagi di bahagian belakang Nagenthiran.[49],[50]
23 9/5/13 7.30pm Jalan Bekok, Tangkak Jumlah seorang dan mati Seorang jurutera, Muthu Pillai, 41, dijumpai mati dengan tiga kesan tembakan di sebuah ladang sawit.[51]
24 7/5/13 11.05pm Jalan Sungai Daun, Nibong Tebal Jumlah seorang dan dimasuk hospital Tan Hock Chin 47 tahun, seorang yang aktif dalam Ronda Keselamatan Sukarela kawasan taman – taman perumahan sedang minum bersama 2 orang rakannya di kawasan kaki lima restoran tersebut. Tiba – tiba muncul seorang lelaki tidak dikenali menghampiri mangsa lalu menembak kearah kepala mangsa. [52],[53]
25 30/4/13 9.30pm Simpang, Taiping Jumlah seorang tetapi tidak apa-apa. Seorang peniaga barang lusuh yang berusia 26 tahun hampir maut terkena tembakan daripada individu tidak dikenali di hadapan rumahnya. Tembakan yang dilepaskan tersasar dan dalam keadaan kelam-kabut kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri.[54],[55]
26 26/4/13 11.30am Bulatan Taman Billion, Cheras Jumlah dua orang, seorang mati dan seorang cedera Mangsa R. Karikaalan, 29, mati ketika dalam perjalanan ke hospital setelah terkena dua dari 10 das tembakan yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. Manakala ibu Karikaalan yang berusia 60 tahun cedera di lengan kanan.[56],[57]
27 26/4/13 8.15am Putrajaya Jumlah seorang dan mati Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, maut ditembak ketika dalam perjalanan pejabatnya di Putrajaya. Mangsa ditembak tiga das dari jarak oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.[58],[59]
28 25/4/13 9.30am Luar pejabat JPJ, Jalan Seremban-Tampin Jumlah seorang dan mati Seorang runner bagi JPJ, N. Ragunathan yang berumur 39 tahun ditembak mati dalam keretanya oleh salah sorang daripada dua orang yang bermotosikal.[60]
29 16/4/13 9.00am Simpang, Taiping Jumlah seorang dan mati Mangsa, K Muthazagen, 47, maut apabila peluru yang ditembak dari jarak dekat menembusi kepalanya.Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang makan bersendirian di sebuah kedai di kawasan itu tanpa menyedari kehadiran suspek.[61]
30 14/4/13

6.55pm

Seremban Jumlah seorang dan mati Tan Kok Soon, 56, ditembak dari jarak dekat ketika makan malam bersama keluarganya di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland.[62],[63]
31 12/4/13 2.00pm Seremban Jumlah seorang dan mati Mangsa, James John, 45, ditembak mati dalam keretanya di sekitar lampu isyarat Taman Sri Labu oleh dua orang penembak yang bermotosikal.[64],[65]

* Kes tersenarai sekadar anggaran konservatif minimum berdasarkan liputan berita.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s