Respons kepada Belanjawan 2009: Tadbir Urus Yang Baik

Pendahuluan

Konsep “tadbir urus” (governance) nampaknya suatu yang baru tetapi perbincangan mengenai aspek tadbir urus sebenarnya sudah lama mengambil tempat. 400 tahun sebelum masihi, Chanakya (c. 350-275 BC) yang sering mendapat julukan sebagai Indian Machiavelli, telah menulis karya yang berjudul Arthashastra yang dapat dianggap sebagai pendahulu dari Machiavelli’s The Prince. Karya tersebut ada menyentuh aspek tadbir urus dalam konteks seni pemerintahan raja.

Hari ini, konsep tadbir urus jarang sekali dirujuk sebagai seni pemerintahan raja tetapi lebih banyak dibincangkan dalam konteks seni tadbir urus negara moden oleh sesebuah kerajaan dan unjurannya pula meliputi pelbagai bidang termasuk tadbir urus korporat.

Tadbir urus berkait rapat dengan tradisi serta institusi pentadbiran sesebuah negara. Secara am, ia melibatkan proses pemilihan kerajaan, pertukaran kerajaan, kapasiti kerajaan menggubal serta melaksanakan dasar secara berkesan, dan penghormatan serta kepercayaan warganegara terhadap sesebuah institusi.

Secara khusus, konsep tadbir urus dapat dihayati secara mendalam melalui tiga dimensi berikut:

  1. Ruang bersuara, penyertaan dan kebertanggungjawaban
  2. Soal korupsi dan pembaziran
  3. Keberkesanan dan kualiti pelaksanaan dasar kerajaan

Ruang bersuara, penyertaan dan kebertanggungjawaban:

Soal pokok bagi dimensi ini ialah sejauh mana penyertaan warganegara dalam proses pemilihan kerajaan termasuk pemilihan pada peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. Selain institusi berhubung sistem pemilihan kerajaan, institusi asas bagi dimensi ini juga berkait rapat dengan jaminan bahawa warganegara bebas untuk menyertai proses pemilihan kerajaan, mempunyai akses kepada proses tadbir urus  kerajaan, dan bebas untuk berkumpul serta bersuara.

Jika ditinjau kembali, pelbagai tuntutan telah dibangkitkan berhubung dimensi ini. Antaranya termasuk “demokrasi jalanan” khasnya demonstrasi BERSIH pada tahun lepas yang menyaksikan berpuluh-puluh ribu rakyat prihatin berpakaian kuning menyertai demonstrasi tersebut dan menuntut agar memulihkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil.

Sementara itu, tuntutan demi tuntutan juga dilaungkan oleh masyarakat madani supaya dipulihkan semula pilihan raya kerajaan tempatan bagi mengembalikan kecemerlangan tadbir urus kerajaan tempatan yang pernah dicapai sekitar era kemerdekaan.

Federalisme vs centralisme

Apabila kita bincangkan kemampuan tadbir urus  kerajaan pada peringkat berlainan, soal pembahagian kuasa di antara kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan merupakan persoalan penting.

Pentadbiran kerajaan Malaysia berkonsepkan “federalisme” di mana kuasa diagihkan sedemikian rupa di kalangan kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan supaya tadbir urus kerajaan peringkat berlainan dapat berjalan dengan lancar.

Namun, apa yang kita saksikan hari ini ialah pemusatan kuasa yang terlampau besar di tangan kerajaan persekutuan sedangkan kuasa kerajaan negeri semakin terhakis dan sesetengah kuasa kerajaan tempatan pula sudah lama “dikuburkan” setelah pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan.

Dengan kata lain, pentadbiran kerajaan Malaysia yang kononnya berkonsepkan “federalisme” sebenarnya lebih cenderung ke arah “centralisme” di mana pemusatan kuasa persekutuan semakin hari semakin kuat sehingga menyusahkan penjalanan tadbir urus kerajaan negeri dan tempatan.

Apabila kita tinjau soal ini dalam konteks laporan belanjawan yang dibentangkan setiap tahun di Parlimen Malaysia, aspek pengagihan peruntukan kewangan menjadi persoalan penting dalam menilai kemampuan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan menjalankan tugas tadbir urus.

Contoh tipikal yang sering dibangkitkan setelah berlakunya “tsunami politik” ialah tuntutan Sabah terhadap peningkatan peruntukan kewangan kepada negeri Sabah dalam bentuk “royalti minyak” yang selama ini cukup kecil berbanding dengan pendapatan besar yang diberikan kepada kerajaan persekutuan. Royalti minyak kepada Sabah cuma 5% dan kini Sabah menuntut peningkatan sehingga 20%.

Sesunguhnya, jumlah peruntukan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri cukup kecil jika dibandingkan dengan pendapatan besar yang diterima oleh kerajaan persekutuan. Contohnya, dengan peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM150 bilion pada tahun 2007, jumlah peruntukan yang diagihkan kepada kerajaan negeri kurang daripada RM4 bilion (<3%). Dalam pada itu, tiada satu kerajaan negeri pun yang mendapat peruntukan kerajaan persekutuan melebihi 1%!

Justeru, semakan semula peruntukan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri patut disemak semula dan ditetapkan peruntukan baru menurut kadar pengagihan yang dapat memaparkan hubungan kuasa yang lebih seimbang dengan jaminan Parlimen melalui “statutory guarantee”.

Hal ini juga bermaksud, Laporan Belanjawan 2009 patut diolah semula dengan sedemikian cara supaya peruntukan kewangan lebih mematuhi konsep “federalisme” dan bukannya “centralisme”.

Institusi media

Institusi asas yang berkait rapat dengan hak rakyat bersuara dan berkumpul juga tidak menyakinkan. Media merupakan institusi asas yang dapat membekalkan ruang bersuara kepada rakyat dalam politik moden. Tetapi dewasa ini, kepercayaan rakyat kepada media tradisional cukup rendah. Semakin ramai warga Malaysia yang tidak percaya kepada berita yang dipaparkan dalam akhbar harian tempatan malahan ramai warga Malaysia yang merasa jijik dengan laporan akhbar arus perdana yang sering dimuatkan dengan berita yang tidak tepat.

Lantaran itu, politik kontemporari menyaksikan satu fenomena baru di mana semakin ramai warga Malaysia mendapatkan berita melalui laman web berita dan laman blog. Malahan kepercayaan mereka terhadap laman blog juga lebih tinggi berbanding dengan kepercayaan mereka terhadap akhbar arus perdana.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa berucap pada Persidangan Melabur di Malaysia 2008 (Invest Malaysia 2008 Conference), buat pertama kali mengakui “kesalahan terbesar” beliau dalam pilihan raya umum yang lepas ialah mengabaikan “perang siber” yang dilancarkan oleh pihak pembangkang.

Persidangan tersebut diadakan pada 25 Mac, lebih kurang dua minggu selepas Barisan Nasional (BN) mengalami tamparan hebat “tsunami politik”. Pada ketika berucap, Perdana Menteri tiba-tiba terkeluar daripada teks ucapan beliau dan membuat pengakuan tersebut di hadapan ratusan professional berlatarbelakangkan bidang pelaburan, kewangan dan ekonomi.

Sementara pengakuan Perdana Menteri ini tidak dapat menjelaskan sepenuhnya kesalahan utama BN, namun perkembangan pesat dunia siber sememangnya memberi impak yang besar bukan sahaja kepada dunia politik, tetapi juga kepada industri media tradisional.

Parliamentary Select Committee on Media Law Reform

Tanggal 1 Jun 2008, para wartawan, blogger serta kumpulan rakyat prihatin telah menyertai satu perarakan spontan menyokong kebebasan media. Perarakan yang bermula dari Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) di Jalan Tangsi ke Dataran Merdeka ini diadakan sejurus selepas tamatnya dialog antara pengamal media dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (yang telah meletak jawatan baru-baru ini) di NPC.

Zaid Ibrahim telah mencadangkan semasa dialog supaya pengamal media mengemukakan mekanisme kepada kerajaan bagi membolehkan masalah kekangan kebebasan media diatasi. Menurut cadangan Zaid Ibrahim, mekanisme tersebut merujuk kepada “bidang kuasa” (Terms of Reference) bagi menubuhkan “Parliamentary Select Committee on Media Law Reform”.

Sebagai respons, pihak penganjur iaitu Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), “Benar for Free and Fair Media” (Benar) dan “National Bloggers Alliance” (All-Blogs) berkata, pihak pengajur akan mendapatkan kerjasama daripada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), NPC dan Majlis Peguam Malaysia bagi mengemukakan ”bidang kuasa” tersebut.

Selepas itu, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia (HRC) Majlis Peguam Malaysia memberi respons positif bahawa mereka akan menghulurkan bantuan yang diperlukan dalam hal penubuhan “Parliamentary Select Committee on Media Law Reform”.

Meskipun Zaid Ibrahim telah meletak jawatan, namun cadangan penubuhan “Parliamentary Select Committee on Media Law Reform” adalah penting bagi mengembalikan kebebasan media yang pernah dicapai sekitar era kemerdekaan.

Di samping itu, kerajaan patut mengemukakan pelan bagi menangani isu kekangan kebebasan media. Pelan ini patut mengandungi tindakan dan jangka masa kerajaan secara menyeluruh dalam konteks pendemokrasian media.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

Laporan media menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri kini dalam proses mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Laporan media juga menyatakan bahawa pindaan mungkin dibuat supaya peraturan yang mewajibkan permohonan setiap tahun bagi lesen penerbitan dipinda menjadi peraturan yang mewajibkan permohonan sekali gus bagi lesen penerbitan.

Semakan semula terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sepatutnya mengambil kira pandangan bahawa permohonan lesen penerbitan hanya untuk tujuan “tadbir urus yang baik” dan bukannya “kawalan represif”. Hal ini bermaksud lesen penerbitan sepatutnya dipohon sekali sahaja dan tujuannya juga satu sahaja – tujuan “administrative”. Hal ini juga bermaksud, permohonan lesen penerbitan pasti diluluskan asalkan peraturan “administrative” dipatuhi.

Selain itu, akta sedia ada memberi kuasa mutlak kepada Menteri Dalam Negeri dalam menarikbalik atau menghentikan lesen penerbitan sesebuah bahan penerbitan. Pihak penerbit pula tidak boleh mencabar keputusan Menteri di mahkamah. Bukankah ini satu sifat rejim represif? Sesungguhnya, semangat tadbir urus yang baik harus bermula dengan membenarkan sebarang keputusan Menteri yang berkaitan boleh dicabar di mahkamah.

Semakan semula terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 merupakan satu tindakan penting tetapi tindakan ini sahaja adalah tidak mencukupi. Selain Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, banyak lagi akta yang mengekang kebebasan media perlu disemak semula, antaranya termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Hasutan 1948. Sesungguhnya sesetengah akta yang zalim patut dimansuhkan sama sekali! Akta Keselamatan Dalam Negeri merupakan contoh akta yang zalim lagi menzalimkan.

Pendemokrasian media adalah asas penting dalam memastikan hak rakyat untuk akses kepada maklumat dilindungi. Parlimen patut mengizinkan kemasukan wartawan laman web berita tanpa merujuk kepada Pas Bernama asalkan pendaftaran semasa memasuki Parlimen dipatuhi. Siaran langsung sepanjang persidangan Dewan Rakyat juga patut digalakkan. Di samping itu, pembentangan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (sebagai Private Member’s Bill) yang diusulkan oleh ahli Parlimen Subang patut diberi keutamaan dan didahulukan untuk perbahasan di Dewan Rakyat.

Majlis Media Malaysia

Beberapa tahun kebelakangan ini, pihak kerajaan pernah beberapa kali mencadangkan penubuhan Majlis Media Malaysia tetapi tidak mendapat sambutan hangat daripada pihak pengamal media.

Tanggal 6 September 2007, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa merasmikan Forum Perjuangan Wartawan Sepanjang 50 Tahun Kemerdekaan Negara, menyarankan supaya NUJ menubuhkan Majlis Media Malaysia yang berfungsi sebagai mekanisme kawalan etika pengamal media dan penetapan standard kewartawanan di negara ini.

Ketika menyuarakan cadangan itu, Nazri berkata majlis yang hanya dianggotai para pengamal media itu akan bertindak seperti Majlis Peguam Negara atau Majlis Perubatan Malaysia, yang bertanggungjawab terhadap pengamal profesion terbabit.

Persoalannya ialah, mengapakah cadangan yang baik ini tidak mendapat sambutan hangat daripada pihak pengamal media?

Dari perspektif pihak pengamal media, dalam konteks kekangan kebebasan media di Malaysia yang berlapis-lapisan ini, penubuhan Maljis Media Malaysia bagaikan menokok-tambah beban ke atas bahu wartawan yang cukup berat kerana sejumlah akta sedia ada bersifat “represif”.

Jika dunia kewartawanan tidak dikekang oleh akta sedemikian, penubuhan Majlis Media Malaysia memang berpotensi memainkan peranan seperti Majlis Peguam Negara atau Majlis Perubatan Malaysia.

Justeru, persoalan dasarnya ialah hubungan antara negara dan media harus dikaji semula. Peranan negara dari segi “tadbir urus yang baik” dan “kuasa represif” jika tidak dibezakan malahan dicampur-aduhkan, maka keadaan dunia kewartawanan adalah “tidak kondusif” untuk penubuhan Majlis Media Malaysia.

Mengapakah berhujah panjang lebar mengenai institusi media? Hal ini kerana peranan media cukup penting dalam menjamin peruntukan Laporan Belanjawan 2009 digunakan dengan sebaik-baiknya tanpa penyelewengan.

Soal Korupsi dan pembaziran:

Soal korupsi khasnya isu rasuah sudah pun mendapat perhatian secukupnya di kalangan masyarakat umum. Tidak kira apakah penggunaan kosa kata, biarpun penyelewengan, kebocoran, pembaziran atau rasuah, rakyat umum sedia maklum bahawa, jika sekiranya soal korupsi dapat ditangani, maka jumlah pendapatan negara yang dapat dijimatkan bukannya ratusan ribu tetapi mencecah bilion ringgit!

Apa yang menyindirkan ialah, pemimpin politik yang beria-ia tentang penghapusan rasuah seringkali didakwa terbabit dengan kumpulan yang melakukan rasuah. Sesungguhnya, kuasa mutlak sering menjurus kepada korupsi mutlak dan hubungan sedemikianlah yang menjahanamkan ekonomi negara dengan soal korupsi khasnya gejala rasuah yang berleluasa.

Keberkesanan dan kualiti pelaksanaan dasar kerajaan:

Hujah bahawa perkhidmatan awam menjadi tunjang tadbir urus negara yang baik hanya menjadi signifikan jika meritokrasi dan ketelusan diinstitusikan sebagai prinsip utama dalam proses tadbir urus negara termasuk tadbir urus dalaman sektor perkhidmatan awam.

Lazimnya, apabila menyentuh belanjawan, pemberian bonus menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan oleh kakaitangan awam. Pemberian bonus tanpa pertimbangan kepada prestasi kerja kakitangan awam bukan sahaja tidak mematuhi budaya kerja dunia moden, malahan cenderung ke arah mengorbankan prinsip tadbir urus yang baik.

Namun begitu, prestasi kerja kakitangan awam yang rendah dalam sektor perkhidmatan awam yang kononnya mengutamakan keberkesanan dan kecekapan sukar untuk dikenalpasti. Tanpa meritokrasi dan ketelusan, peningkatan kadar keberkesanan dan kecekapan pentadbiran kerajaan memang tidak setimpal dengan peningkatan bilangan kakitangan awam.

Hal ini bermaksud, peningkatan prestasi sektor perkhidmatan awam dalam konteks tadbir urus kerajaan yang baik hampir menjadi mustahil, dan ketidakmampuan “jutaan” kakitangan awam untuk respons kepada keperluan masyarakat semasa dan akan datang terutamanya semasa negara dilanda krisis atau bencana menjadi cabaran besar kepada  tadbir urus kerajaan yang baik.

Sesunguhnya, keberkesanan kerajaan dalam mentadbir urus negara tidaklah bergantung semata-mata kepada tadbir urus dalaman sektor perkhidmatan awam sahaja. Dasar kerajaan dan “political will” pimpinan kerajaan juga penting dalam memastikan penjalanan tadbir urus yang baik. Selain memerlukan prinsip meritokrasi dan ketelusan yang mendokong penjalanan tadbir urus yang baik, kita harus menolak dasar yang menggalakkan diskriminasi kerana dasar sedemikian pasti bercanggah dengan prinsip-prinsip yang mendokong penjalanan tadbir urus negara yang baik.

Negara hukum

Dalam konteks Malaysia, keberkesanan dan kualiti pelaksanaan sesuatu dasar dan hukum juga berkait rapat dengan prinsip kedaulatan undang-undang, keadilan dan kesaksamaan. Dengan kata lain, negara hukum menjadi tunjang kepada tadbir urus  negara yang baik bukan sahaja dalam erti kata penggubalan hukum tetapi juga dalam erti kata penguatkuasaan hukum. Begitu juga, prinsip keadilan dan kesaksamaan menjadi tunjang kepada tadbir urus negara yang baik bukan sahaja dalam erti kata penggubalan dasar tetapi juda dalam erti kata pelaksanaan dasar.

Sejumlah akta sedia ada sering dikritik sebagai akta yang ketinggalan zaman kerana mengandungi unsur-unsur tertentu. Selain mengandungi unsur kezaliman, sesetengah akta juga dikritik kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan negara hukum. Contohnya, semasa berhujah tentang perlunya semakan semula terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, sudah dibangkitkan bahawa akta tersebut memberi kuasa mutlak kepada Menteri Dalam Negeri sehingga keputusan Menteri tidak boleh dicabar di mahkamah. Adakah ini mematuhi prinsip “rule of law”? Ataupun, ia sebenarnya satu penjelmaan “rule by law”!

Setelah berhujah panjang lebar mengenai aspek-aspek berkaitan tadbir urus yang baik, apa yang ingin dibangkitkan ialah, Laporan Belanjawan 2009 tidak akan bermakna jika sekiranya persoalan-persoalan seperti faktor pengagihan peruntukan dan proses perbelanjaan tidak mematuhi konsep tadbir urus yang baik.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s