Respons Kepada Belanjawan 2010, Mesej dan Permasalahannya: Dimensi Politik

TIADA KEHENDAK POLITIK UNTUK MELAKUKAN PEMBAHARUAN STRUKTUR

Kerajaan berazam menganjakkan Malaysia ke satu tahap dan bentuk model ekonomi baru barasaskan inovasi, kreativiti dan bernilai tambah tinggi[1]. Seruan ini bukan perkara baru mamandangkan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir telah menyebut tentang Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (knowledge economy) yang berlandaskan inovasi, kreativiti dan sebagainya sepuluh tahun lalu tatkala beliau bertekad membangunkan Multimedia Super Corridor yang kini masih sebuah “koridor kosong”!

Iltizam untuk melonjakkan ekonomi Malaysia sememangnya cadangan yang baik dan kerajaan pada hakikatnya bukanlah tidak pernah mencuba. Tetapi persoalannya, apakah kesilapan yang telah berlaku dan bagaimanakah untuk mengelakkan kesilapan tersebut berulang lagi seterusnya menjayakannya?

Kesilapan ketara ialah kerajaan tidak memahami bahawa kreativiti hanya mampu dihasilkan daripada perwujudan suasana yang sihat, bebas dan berdaya saing. Inovasi pula merupakan hasil atmosfera diskusi secara terbuka, serta pentadbiran yang efektif, bertanggungjawab dan telus. Tanpa syarat-syarat tertentu, tidak kira betapa banyak usaha yang dibuat, ataupun berbilion-bilion ringgit disalurkan bagi pembangunan infrastruktur fizikal, ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti tetap tidak akan wujud. Untuk memenuhi syarat-syarat tersebut, pembaharuan pada peringkat struktur perlu dilakukan segera. Persoalannya kini, adakah kerajaan bersedia melakukan pembaharuan tersebut? Adakah kerajaan melihat belanjawan ini sebagai Belanjawan Pilihanraya ataupun Belanjawan untuk Menyelamatkan Negara?

Soalan yang tidak dijawab dalam belanjawan adakah seperti berikut:

  • Isu negara sedang berada dalam “perangkap pendapatan sederhana” (middle-income trap) dan apakah tindakan kerajaan supaya Malaysia tidak menjadi seperti sesetengah negeri-negeri di Amerika Selatan yang tidak lagi mengalami pertumbuhan sihat.
  • Isu kerajaan tidak memberi perhatian dalam mewujudkan pekerjaan yang munasabah (decent jobs) serta pembangunan modal insan, dan sebaliknya memberikan keutamaan kepada pembangunan infrastruktur fizikal yang tidak membawa kepada transformasi ekonomi.
  • Isu Pendapatan negara kita terlalu bergantung kepada hasil minyak tetapi kerajaan masih mengeksploitasikan keuntungan PETRONAS dalam pembangunan projek mega dan bagaimanakah untuk menanganinya.
  • Ketirisan dan kebocoran penghantaran sistem awam yang menyebabkan kerugian berbilion-bilion (Morgan Stanley menganggar lebih USD100 bilion kerugian dalam korupsi sejak 1980-an) dan adakah kerajaan komited untuk menggantikan rundingan terus kepada tender terbuka.
  • Kuasa Jabatan Perdana Menteri yang terlalu memusat (terdiri daripada 52 agensi) dan merangkumi kebanyakan “kepentingan politikal ekonomi” yang utama sehingga institusi utama negara seperti Parlimen, SPR serta SPRM tidak lagi bebas menjalankan tugasan masing-masing dan agensi-agensi seperti UPE serta BTN terjerumus dalam pemikiran sosio-ekonomi yang sangat terkebelakang. Adakah Perdana Menteri sedia menjalankan pembaharuan struktur ke atas institusi-institusi yang terletak di bawah bidang kuasa beliau?

BELANJAWAN PILIHANRAYA ATAUPUN BELANJAWAN SELAMATKAN NEGARA?

Jika kerajaan tidak menjawab persoalan asas dan fundamental di atas, dan sebaliknya hanya tertumpu kepada pemberian pelbagai insentif/rebate kepada rakyat, ini menunjukkan kerajaan hanya berminat menggembirakan rakyat buat sementara waktu (pain killer), tetapi tidak beriltizam untuk menyelesaikan isu diperingkat dasar yang memerlukan keazaman politik yang tinggi untuk menanganinya. Pemberian “gula-gula” ini sememangnya menyeronokkan buat seketika, tetapi adakah ianya dapat menjadi satu respons yang wajar dan tepat apabila kehidupan kebanyakan rakyat kita berada dalam keadaan terhimpit khususnya akibat tekanan ekonomi yang membebankan?

Atas nama menyelamatkan rakyat, Najib menjustifikasikan defisit belanjawan negara yang tinggi. Tetapi hakikatnya, perbuatan dan kandungan belanjawan bukanlah untuk menyelamatkan rakyat kerana bukan sahaja insentif tersebut tidak dapat membantu golongan majoriti jika diteliti (akan dihuraikan di bawah), malah langkah-langkah tersebut tidak akan dapat menganjakkan Malaysia kearah model ekonomi baru serta tidak dapat menyelesaikan ketidakupayaan diperingkat struktur sekarang.

POLITIK NAUNGAN & BUDAYA RENT-SEEKING

“Politik naungan” (patronage politic) dan budaya rent-seeking yang mencorakkan pemerintahan Rejim BN selama ini terus-menerus menjadi asas utama Belanjawan 2010. Sifat sedemikian dapat dilihat menerusi pelbagai aspek, antaranya merangkumi:

1. Dasar Liberalisasi Najib Menyokong Dasar Monopoli Yang Merupakan Batu Penghalang Daya Saing Negara

Status monopoli sesetengah GLC berterusan meskipun Kerajaan pentadbiran Najib melaung-laungkan dasar liberalisasi. Umpamanya dalam kes Bernas, tindakan kroni Rejim BN mengambil alih pemilikan Bernas melalui perolehan saham daripada syarikat Hong Kong hanya memperkukuh ciri-ciri “politik naungan” dan budaya rent-seeking, sedangkan apa yang patut dilakukan oleh Kerajaan pentadbiran Najib ialah memecahkan monopoli Bernas oleh syarikat Hong Kong dengan membenarkan syarikat-syarikat tempatan bersaing secara sihat bagi memperolehi saham Bernas. Dasar “anti-monopoli” langsung tidak disentuh oleh Najib semasa pembentangan Belanjawan 2010.

2. Merakyatkan Ekonomi atau Memperkukuh Politik Naungan?

Mana-mana kerajaan yang menjadikan agenda “merakyatkan ekonomi” sebagai dasar akan menggariskan undang-undang yang dapat menegah kegiatan monopoli ekonomi. Hal ini kerana status monopoli mana-mana syarikat akan menjejaskan kepentingan rakyat dari segi pilihan barangan/perkhidmatan, harga, kualiti dsb. (Huraian lanjut sila baca “Dasar Amalan Perdagangan Adil” dalam bahagian DAYA SAING PKS TIDAK DINILAI DAN DIBERI KEUTAMAAN)

Prinsip keterbukaan dari segi tawaran tender terbuka wajar menjadi amalan mana-mana pemerintah yang mengutamakan people-oriented economy dan bukannya mengutamakan patronage economy.

3. Isu AP Berdekad Masih Belum Dapat Diselesai

Kerajaan akan mengenakan bayaran sebanyak RM10 ribu bagi setiap unit AP yang dikeluarkan kepada pemegang AP Terbuka bagi agihan peruntukan AP tahun 2010. Andaikan sebanyak 70,000 AP diberikan setiap tahun, ini akan dapat memberikan RM700 juta sumbangan kepada dana kerajaan.

Tetapi isu ini masih belum selesai. Pendekatan ini memang lebih baik kerana pendapatan tersebut dapat disalurkan kepada dana negara dan bukan ‘golongan tertentu’, tetapi ia belum lagi menyelesaikan masalah AP secara keseluruhan. Permasalahannya:

  • Pembeli AP lazimnya merupakan golongan kaya yang ingin memiliki kereta mewah. Mungkinkah mereka berkira membayar RM10,000 lebih untuk mengimport kereta tersebut?
  • Dasar AP masih tidak konsisten dengan Peraturan World Trade Organisation (WTO).
  • Dasar AP masih bersifat diskriminatif kepada peniaga bumiputra yang mempunyai hubungan erat dengan tokoh politik, di mana kebanyakan mereka sudah kaya-raya dan tidak memerlukan pertolongan.
  • Satu audit yang dijalankan oleh MITI pada tahun 2008 menunjukkan kebanyakan pemegang AP telah disalahgunakan.  Kebanyakan mereka terus menjualkan AP tersebut, ada pula yang tidak mempunyai tempat pameran kereta, dan ada yang tidak dapat mengemukakan penyata kewangan mereka.
  • PM berkata sebahagian daripada jumlah kutipan akan disalurkan untuk dana pembangunan Bumiputra dalam sektor automotif. Tetapi, peratusan penyaluran dan prosedurnya tidak jelas. Lagipun, pengurusan Dana Pembangunan Bumiputra juga tidak telus dan tidak nampak hasil.
  • Kenapakah tidak menggunakan cara tender terbuka untuk pemberian AP? Ini bukan sahaja dapat mencegah rasuah dan penyalahgunaan kuasa, malah dapat menambah lagi pendapatan negara. Mengikut anggaran dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2009, tender terbuka dapat memberikan RM1.75 bilion pendapatan kepada kerajaan, iaitu RM1.05 bilion ataupun 1.5 kali ganda lebih banyak daripada kaedah sekarang.

[1] Ucapan Belanjawan 2010, m.s 3

Advertisements

One thought on “Respons Kepada Belanjawan 2010, Mesej dan Permasalahannya: Dimensi Politik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s