Respons Kepada Belanjawan 2010, Mesej dan Permasalahannya: Dimensi Sosial

KE ARAH “MASYARAKAT BERISIKO” YANG TIDAK STABIL?

Perangkaan yang dikemukakan oleh Najib dalam pembentangan Belanjawan 2010 menunjukkan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah pembentukan “masyarakat berisiko” (risk society) yang bakal menghadapi ketidakstabilan sosial yang membimbangkan.

Perangkaan yang dikemukakan tersebut menunjukkan peningkatan bilangan kad kredit daripada lebih 2 juta pada tahun 1997 kepada 11 juta sehingga Ogos 2009.

Menurut Laporan Ekonomi 2009/2010, jumlah tenaga buruh (labour force) di Malaysia bagi tahun 2009 adalah sebanyak 12 juta. Ini bermaksud, secara puratanya hampir 92% golongan yang bekerja memiliki kad kredit jika diandaikan setiap orang yang bekerja memiliki satu kad kredit.

Apabila kita membandingkan perangkaan di atas dengan perangkaan kerajaan bagi tahun 2007 yang menunjukkan bahawa 56.8% daripada 5.8 juta isi rumah Malaysia mempunyai pendapatan bulanan tidak lebih dari RM3000 serta 32% daripada 3 juta isi rumah Melayu mempunyai pendapatan bulanan antara RM1001 hingga RM2000 sahaja. Ini menunjukkan bahawa hala tuju Malaysia ke arah pembentukan risk society adalah pada tahap yang cukup membimbangkan.

1) Dasar Desentralisasi Wajar Menjadi Tunjang Membasmi Kemiskinan Bandar.

Menurut Belanjawan 2010, 63% daripada keseluruhan penduduk adalah tinggal di kawasan bandar. Semasa pembentangan Belanjawan 2010, Najib mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM48 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar. Selain itu, peranan Kementerian Wilayah Persekutuan akan diperkukuh dan diperluaskan untuk turut bertanggungjawab membasmi kemiskinan bandar di seluruh negara, termasuk golongan yang berpendapatan di bawah RM3000 sebulan.

Peranan membasmi kemiskinan bandar memerlukan sasaran kumpulan dan fokus strategi setempat mengikut keperluan komuniti bandar tertentu. Lantaran itu, dasar desentralisasi adalah amat wajar dijadikan tunjang utama kepada program pembasmian kemiskinan bandar. Kerajaan Persekutuan sepatutnya menyalurkan peruntukan kepada kerajaan negeri dan memberikan hak kerajaan negeri memainkan “peranan Kementerian Wilayah Persekutuan” dalam membasmi kemiskinan bandar di negeri masing-masing dan bukannya mengharapkan Kementerian Wilayah Persekutuan memainkan peranan membasmi kemiskinan bandar “seluruh negara”.

Konsep risk society wajar dihayati dalam konteks proses pemodenan yang telah melibatkan kegagalan respons terhadap dilemma transformasi sesuatu masyarakat dan entiti ekonomi. Dalam perbincangan ini, keperluan membelanja isi rumah tertentu tidak lagi setimpal dengan keupayaan mencari rezeki akibat kegagalan pemerintah membawa transformasi ekonomi dan meningkatkan pariti kuasa membeli rakyat jelata.

Salah satu kesan negatif yang signifikan ialah amalan “pra-pembayaran” melalui penggunaan kad kredit. Hala tuju sedemikian akan mengakibatkan berlakunya ketidakstabilan masyarakat yang tinggi. Biarpun begitu, langkah Kerajaan BN mengenakan cukai perkhidmatan ke atas setiap kad kredit tidak dapat menyelesaikan masalah kad kredit dan trend pembentukan risk society.

Sesungguhnya, kegagalan dari segi transformasi entiti ekonomi, tabdir urus negara dan ketidakadilan dalam pelaksanaan dasar-dasar tertentu secara mikro merupakan antara faktor kegagalan respons yang menyumbang kepada pembentukan risk society.

2) Bayaran Yuran Tahunan Kad Kredit Yang Membebankan Rakyat

Menurut Belanjawan 2010, Kerajaan BN menetapkan cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma. Kerajaan BN juga mencadangkan cukai perkhidmatan sebanyak RM25 setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit tambahan.

Malaysia mungkin merupakan satu-satu negara yang menetapkan cukai perkhidmatan bagi kad kredit yang mana sekarang ini diberikan secara percuma[1]. Mengapakah perlu ada menetapkan caj sedangkan barangan sekarang adalah percuma?

Adalah dianggarkan kerajaan akan mendapat pendapatan sebanyak RM564 juta daripada hasil kutipan cukai perkhidmatan kad kredit daripada rakyat[2]. Bukankah ia bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk merangsang permintaan tempatan dan mengurangkan beban rakyat? Sekali lagi, pendapatan RM564 juta boleh diperolehi dengan  mudah sekali dengan mengadakan tender terbuka AP dan bukannya dengan cara  merampas hasil rakyat yang sedikit (penalise the rich and not the poor).

Penurunan kadar cukai individu maksimum daripada 28% kepada 27% hanya dapat dimanfaatkan oleh mereka yang berpendapatan lebih daripada RM100,000 setahun, dan kenaikan pelepasan diri daripada RM8 ribu kepada RM9 ribu hanya akan memberikan penjimatan sekadar RM30 – RM120 setahun kepada mereka yang membayar cukai sahaja[3]. Implikasi cukai perkhidmatan atas kad kredit adalah jauh lebih luas daripada insentif yang diberi dan menjejaskan pendapatan golongan yang tidak membayar cukai, iaitu golongan yang berpendapatan lebih rendah. Lagipun, dengan kemudahan kad kredit dan insentif lain yang ditawarkan oleh bank yang pasti akan menjadi lebih meraik disebabkan oleh cukai perkhidmatan, kebanyakan mereka akan terus bergantung kepada kad kredit[4].

Lagipun, disebabkan kebanyakan kad kredit mempunyai had kredit, pemegang kad biasanya memohon lebih daripada satu kad untuk memudahkan kerja mereka. Jika sebuah isu rumah mempunyai 4 hingga 5 kad, mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM200–RM250 setiap tahun. President ACCCIM Tan Sri William Cheng juga berpendapat sebegitu[5].

Jika kerajaan berhasrat memberikan kesedaran dan pendidikan dalam bidang pengurusan kewangan, kenapakah tidak mengadakannya melalui program kesedaran dan pendidikan yang dapat memberi manfaat buat jangka masa panjang?

KEBAJIKAN PEKERJA LANGSUNG TIDAK DISENTUH

Penurunan kadar cukai individu maksimum daripada 28% kepada 27% hanya akan memanfaatkan individu yang berpendapatan lebih daripada RM100 ribu setahun.

Cadangan kerajaan untuk menaikkan pelepasan diri daripada RM8 ribu kepada RM9 ribu juga hanya memanfaatkan golongan yang berpendapatan lebih daripada RM30 ribu setahun. Bilangan yang mendapat manfaat daripada pengumuman tersebut hanya merupakan bilangan kecil. Mengikut statistik yang diperoleh daripada Pertanyaan Parlimen pada tahun 2009, 57% isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000. Merekalah golongan yang besar, lemah dan mangsa kepada krisis ekonomi kebelakangan ini. Kebanyakan daripada golongan ini juga merupakan golongan pekerja.

Bukan sahaja bantuan dan insentif tidak diberi, isu-isu pokok yang menyebabkan kesusahan dialami oleh golongan pekerja seperti isu pergantungan terhadap pekerja asing, gaji minimum, insentif untuk menggalakkan tenaga pekerja wanita dan lain-lain langsung tidak disentuh. Sekali lagi kerajaan tidak memberi perhatian dalam mewujudkan pekerjaan yang munasabah (decent jobs) bagi rakyat. Tanpa pekerjaan yang munasabah, adakah pekerja dapat mencari semangat dan rasa sanjungan daripada pekerjaan tersebut?

RAKYAT SELALU MEMBAYAR ’CUKAI TERSIRAT’ LEBIHAN

Walaupun belanjawan sering kali mengingatkan rakyat bahawa cukai sedang dikurangkan (padahalnya hanya segilintir orang yang bermanfaat), tetapi rakyat dikenakan bayaran ’cukai tersirat’ yang kian lebih bertambah. Misalnya:

  • Cukai Air – Jika air menjadi kotor, rakyat terpaksa memasang filter
  • Cukai Pencegahan Jenayah – Jika keselamatan rumah tidak terjamin, rakyat dikehendaki mengupah sekuriti untuk membuat rondaan
  • Cukai kereta – Perkhidmatan pengangkutan awam yang teruk mengakibatkan rakyat terpaksa membeli kereta (lazimnya PROTON ataupun PERODUA)
  • Cukai Lebuhraya – Jika tahap jalanraya persekutuan tidak memuaskan, kita terpaksa menggunakan lebuhraya swasta dan membayar tol

Apakah yang telah dilakukan oleh kerajaan sebagai percubaan mengurangkan cukai tersirat tersebut?

MASALAH PENGANGKUTAN AWAM BERLARUTAN TANPA PENYELESAIAN YANG BERKESAN

Untuk menambahbaik pengangkutan awam, kerajaan akan:

  • Mempercepat penubuhan dan operasi SPAD
  • Menambah 8 EMU
  • Menambah 35 unit tren LRT
  • Membina laluan berbumbung
  • Memperluas laluan khas dan menambah bilangan bas
  • Menyediakan laluan khas untuk bas, dan lain-lain

Kerajaan telah memperuntukkan berbilion-bilion sejak 5 tahun lalu untuk mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam, antaranya:

  • Pada 2 Mac 2006, satu jawatankuasa kabinet telah ditubuhkan untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkuatan awam di Malaysia. Sebanyak RM4.4 bilion yang dijimat akibat kenaikan harga minyak sebanyak RM0.30  seliter pada ketika itu akan diperuntukkan bagi tujuan tersebut. Ini merupakan satu kontrak janjian antara rakyat dan kerajaan BN yang dibuat 3 tahun lepas.
  • Pada 29 Ogos 2006, Najib selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa itu berjanji bahawa Sistem LRT di Lembah Kelang akan mendapat RM10 bilion suntikan sepanjang tempoh empat tahun.
  • Pada 26 Jun 2008 semasa menilai RMKe-9, Perdana Menteri Abdullah sekali lagi berjanji akan menubuhkan SPAD dan mendrafkan Pelan Induk Pengangkutan Awam. Beliau juga berjanji akan memperuntukkan RM1.6 bagi projek pengangkutan awam.
  • Pada 22 Okt 2008, semasa Abdullah mengemukakan belanjawan 2009, beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan RM35 bilion bagi tujuan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dari 2009 hingga 2014.
  • Pada 4 Nov 2008, dalam pakej rangsangan pertama yang diumumkan oleh Najib, sebanyak RM500 juta akan diperuntukkan bagi meningkatkan pengangkuatan awam di bandar-bandar besar.
  • Pada 9 April 2009, Najib berjanji akan menubuhkan SPAD di bawah JPM[6].

Jumlah nilai peruntukan yang telah dijanji adalah seperti jadual berikut:

Tahun Daripada Nilai
2006 Kabinet RM4.4 bilion
2006 Jawatankuasa Kabinet RM10 bilion
2008 Penilaian RMKe-9 RM1.6 bllion
2008 Belanjawan 2009 RM35 bilion
2008 Pakej Rangsangan 1 RM0.5 bilion
Total RM51.5 bilion

Jika kita menilai prestasi Najib mengikut salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditentukan oleh beliau sendiri iaitu untuk menambah baik pengangkutan awam, kita akan dapati bahawa:

  • Kadar penggunaan pengangkutan awam masih rendah, iaitu 11% (Seoul 60%, Singapura 56%, Manila 54%, Tokyo 49%, Bangkok 30%). Kerajaan berhasrat meningkatkan kadar penggunaan kepada 40% menjelang 2020, masih 29% ketinggalan sasaran.
  • Tiada peningkatan drastik dalam perkhidmatan pengangkutan awam sejak 2006.
  • Sudah 5 bulan tetapi Pelan Induk Pengangkutan Awam yang sepatutnya dikemukakan pada Jun 2009 masih belum lagi kelihatan[7].
  • SPAD yang seharusnya ditubuhkan sebelum 2010, tetapi sekarang ditunda. Sudah 7 bulan selepas pengumuman tetapi tidak ada apa-apa perkembangan.

Berdasarkan penilaian di atas, berapakah markah yang akan diberi oleh agensi penilaian kepada Perdana Menteri kita?

Selain itu, pernahkah kerajaan sedar kenapakah setiap inisiatif yang dijalankan untuk meningkatkan pengangkutan awam akan gagal? Pernahkah kerajaan sedar bahawa untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam, kerjasama pelbagai pihak adalah amat penting. Mengikut analisa Perancang Bandar Mr. Goh Bok Yen, kerjasama tersebut termasuk:

  • Cara penggunaan pemandu kereta dan pengguna kenderaan peribadi
  • Dasar kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam
  • Tanggungjawab penawar perkhidmatan pengangkutan awam[8]

Bagaimanakah kerajaan dapat memastikan ketiga-tiga pihak terlibat dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap pengangkutan awam supaya semua pihak dapat menuju ke matlamat yang sama?


[1] Busy Weekly, 26 Okt 2009

[2] NST, 24 OKt 2009

[3] Sinchew, 24 Okt 2009

[4] The Star, 24 Okt 2009

[5] Oriental, 24 Okt 2009

[6] The Star, 16 April 2009

[7] Parlimen Soalan No.43, 17 Mar 2009

[8] Oriental Daily, 24 Okt 2009

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s