Penilaian RMKe-9: Bagaimana Sasaran RMKe-10 Hendak Dicapai Sedangkan RMKe-9 Masih Tidak Terlaksana?

PENDAHULUAN

Rancangan Malaysia telah digariskan selama empat dekad dengan berpandukan semangat dan falsafah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apakah perbezaan RMKe-10 dengan Rancangan Malaysia sebelum daripada ini ? Apakah RMKe-10 telah benar-benar berpaksikan semangat dan falsafah Model Ekonomi Baru?

Sesungguhnya, aspek pelaksanaan merupakan salah satu kunci utama kepada kejayaan RMKe-10. Walau sejauh mana Najib cuba untuk mengubah pendekatannya sekalipun, namun dengan memilih untuk terus menggunakan asas sistem dan dasar yang ternyata melemahkan sistem masyarakat (DEB), janji-janji manis dalam RMKe-10 ini sekali lagi akan menjadi tidak lebih sekadar retorik semata-mata.

Penilaian yang dibuat ke atas RMKe-9 mempamerkan dengan begitu signifikan sekali bahawa janji-janji manis yang terkandung dalam RMKe-9 ternyata gagal dilaksanakan biarpun RMKe-10 kini telah dkemukakan. Apakah RMKe-10 bakal menghadapi keadaan yang sama lima tahun dari sekarang?

EKONOMI

RMKe-9: Matlamat pertumbuhan KDNK sebenar adalah pada kadar purata 6.0% setahun dalam Rancangan ini[1].

  • Purata pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2% dalam tempoh RMKe-9. (m.s 36)

RMKe-8: Kerajaan juga berhasrat mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 7.5% setahun sepanjang tempoh rancangan.

  • Hakikatnya, purata pertumbuhan hanyalah pada tahap 4.5% sekaligus menunjukkan bahawa bukan sahaja sasaran 7.5% tidak tercapai, bahkan setiap tahun pertumbuhannya tidak melebihi 7.5%[2].
2001 2002 2002 2003 2004 (e) 2005 (p) Simple Average 2001 – 2005
GDP (RM b) 210.6 211.2 220.4 232.5 249.3 262.3 235.1
Growth  (%) 0.3 4.3 5.5 7.2 5.2 4.5

(Pakatan Rakyat’s Response To New Economic Model: Political Will Needed To Avoid Failures Of The Past, 2010)

RMKe-9: Mengurangkan defisit Kerajaan Persekutuan secara beransur daripada 3.8% pada tahun 2005 kepada 3.4% pada tahun 2010.

  • Mengikut Laporan RMKe-10, defisit pada tahun 2010 adalah sebanyak 5.3%. (m.s 63)

RMKe-9: adalah dijangka bahawa pelaburan swasta berkembang pada kadar purata 11.2% setahun dan dijangka mengatasi jumlah pelaburan sektor awam buat pertama kalinya sejak krisis kewangan Asia.

  • Hakikatnya, pelaburan swasta merudum dan secara puratanya hanya mencapai 2.6% sahaja sepanjang tempoh rancangan. Perbezaannya daripada sasaran yang digariskan adalah amat ketara, iaitu sebanyak 8.6%.
2006 2007 2008 2009 2010 Purata2006 – 2010
Pelaburan Awam 5.8 5.3 0.5 8 11.6 6.24
Pelaburan Swasta 9.2 13.1 1 -17.2 7 2.62

RMKe-9: Pada masa yang sama, sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (total factor productivity) dijangka meningkat daripada 29% kepada 35.8% selaras dengan peralihan kepada ekonomi yang berpaksikan pengetahuan dan mengutamakan kecekapan.

  • Sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) kepada pertumbuhan KDNK telah meningkat kepada 34.7% berbanding 29% dalam tempoh RMKe-8. (m.s 36) Kini sasaran 35.8% pula tidak tercapai.

RMKe-9: Eksport Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka menggalakkan dengan eksport kasar berkembang pada kadar 8.5% setahun.

  • Eksport telah berkembang pada kadar 3.2% setahun. Malahan, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang 59.1% daripada jumlah eksport sektor pembuatan, merosot sebanyak 0.1% setahun. (m.s 39)

RMKe-9: Sektor pertanian disasarkan berkembang sebanyak 5%. Bagi merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan, sebanyak RM11.4 bilion diperuntukkan kepada sektor pertanian; merupakan peningkatan 70% berbanding peruntukan dalam RMKe-8.

  • Sektor pertanian hanya bertumbuh sebanyak 3% setahun dalam tempoh RMKe-9. (m.s 42)

Bagi menjayakan industri pertanian, kerajaan juga melancarkan beberapa projek utama seperti mewujudkan 28 Taman Kekal Pengeluaran Makanan dengan kawasan seluas hampir 2,400 hektar, Agropolis di Serdang dan Terminal Makanan Negara (TEMAN) di Ipoh dan Kota Bharu. Kerajaan juga akan menambah kawasan pembangunan kelompok industri minyak sawit, lembah ternakan, lembah buah-buahan, taman akuakultur dan taman makanan halal.

  • Apakah status projek-projek tersebut sekarang? Adakah projek-projek itu sekali lagi menjadi projek gajah putih?

KEMISKINAN

Dari segi membasmikan kemiskinan, RMKe-8 juga berhasrat menurunkan kadar miskin tegar kepada 0.5% mejelang tahun 2005.

  • Sekali lagi sasaran tersebut tidak tercapai. Miskin tegar masih berada pada kadar 1.2% pada tahun 2005 dan 0.7% pada tahun 2008[3]. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi golongan miskin tegar juga adalah terlampau rendah dan tidak realistik[4].

RMKe-9: Kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8% dan membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

  • RMKe-10: Insiden kemiskinan keseluruhan berkurang daripada 5.7% pada tahun 2004 kepada 3.8% pada tahun 2009 (m.s 414). Sasaran untuk mengurangkan kadar kemiskinan kepada 2.8% adalah tidak tercapai. Malah sasaran membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010 nampaknya adalah tidak lebih sekadar omong kosong.

R&D DAN MODAL INSAN

Pada masa yang sama, kerajaan dalam RMKe-9 juga berjanji akan meningkatkan pencapaian sasaran perbelanjaan R&D negara sebanyak 1.5% daripada KDNK menjelang tahun 2010[5].

  • Nisbah perbelanjaan kasar bagi R&D daripada KDNK pula menurun daripada 0.69% pada tahun 2004 kepada 0.21% pada tahun 2008, berbanding kira-kira 3% bagi Singapura. (m.s 82)

Dalam RMKe-9, tumpuan akan diberi untuk mengeluarkan lebih ramai penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) dengan meletakkan sasaran 50 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang tahun 2010.

  • Dalam realiti, bilangan penyelidik berkurang daripada 21.3 setiap 10,000 tenaga buruh pada tahun 2004 kepada 20.3 pada tahun 2008. (m.s 82)

RMKe-9: Negara mensasarkan 60% daripada jumlah tenaga akademik memiliki ijazah Doktor Falsafah menjelang tahun 2010.

  • Anggota akademik yang mempunyai kelayakan PhD meningkat daripada 26.6% pada tahun 2005 kepada 35.9% pada tahun 2009 (m.s 413). Sasaran tidak tercapai, malah kekurangan sebanyak 24.1%.

RMKe-9: Program Brain Gain, program untuk melibatkan atau menarik ke Malaysia para penyelidik, saintis dan jurutera yang cemerlang, termasuk warganegara Malaysia di luar negara, akan dilancarkan.

  • Apakah pencapaian Program Brain Drain?
  • RMKe-10 menyulas perkara yang sama, iaitu ”Selain melahirkan modal insan berkemahiran,tumpuan juga akan diberi kepada usaha untuk menarik dan mengekalkan modal insan cemerlang. Khusus untuk itu, Talent Corporation akan ditubuhkan dengan mandat utama untuk menarik tenaga pakar yang diperlukan dalam sektor ekonomi utama.”
  • Itu bermakna program Brain Drain tidak dipandang secara serius, malah ini juga menunjukkan ketidakupayaan kerajaan untuk mengatasi masalah yang telah mengganggu pertumbuhan Malaysia selama ini.

INFRASTRUKTUR

RMKe-9: Kerajaan akan membina kira-kira 43,800 unit rumah kos rendah melalui Program Perumahan Rakyat. Usaha ini akan diperlengkap dengan pembinaan kira-kira 29,000 rumah kos rendah dan kos sederhana rendah oleh Syarikat Perumahan Negara.

  • Hanya 31,859 unit (disewa) dan 1,650 unit perumahan awam (dijual)  telah dibina (m.s 422). Sasaran tidak dicapai dan kekurangan sebanyak 38,291 unit.

RMKe-9: Terminal pengangkutan bersepadu di Gombak dan Bandar Tasik Selatan akan dibina sebagai hab transit ke Kuala Lumpur.

  • RMKe-10: Antara projek besar yang akan dilaksanakan di bawah PPP termasuklah Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak. (m.s 58)
  • Akhirnya, terminal pengangkutan bersepadu Gombak akan dibina selepas perancangannya sejak tahun 1998.

RMKe-9: Kerajaan akan turut memperuntukkan RM1.48 bilion bagi pemulihan rangkaian pengagihan bagi mengurangkan kadar air tidak terhasil daripada 38% pada tahun 2005 kepada 30% menjelang tahun 2010.

  • Pengurangan kadar air tidak terhasil daripada 37.7% kepada 37.2% (m.s 428). Walaupun RM1.48 bilion diperuntukkan, sasaran tidak tercapai dengan julat sebanyak 7.2%.

PENSWASTAAN

Di bawah RMKe-10, gelombang baru penswastaan akan dilaksanakan. Projek yang sedang dipertimbangkan termasuk tujuh lebuhraya bertol, lima kampus cawangan Universiti Teknologi MARA, Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak, penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang dan pembangunan semula Kompleks Angkasapuri, Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Media. (m.s 92)

Kerajaan juga berjanji akan “Menerima pakai kaedah nilai untuk wang seperti pengagihan risiko yang optimum antara sektor awam dan swasta, kos jangka hayat, spesifikasi output yang membenarkan pembida membuat inovasi dalam rekabentuk projek, persaingan yang memberi nilai berpatutan dan mekanisme pembayaran berasaskan prestasi.” (m.s 93)

Walaubagaimanapun, adalah didapati bahawa kontrak bernilai RM900 juta untuk membina dan menyelenggara 3 kampus UiTM Kuala Selangor, Tapah dan Seremban sepanjang 23 tahun, telah dimenangi oleh Syarikat dimiliki Menang Corp (M) Bhd yang sekarang di bawah senarai PN1 di BursaMalaysia. Sebuah syarikat lagi, Inovatif Mewah Sdn. Bhd., adalah dikuasai oleh pengarah yang sama dengan Menang Corp. TRIplc pula merupakan sebuah syarikat di bawah PN17 sejak 2008[6].

Selain daripada itu, Monetisation aset awam menerusi penjualan, usaha sama atau pajakan jangka panjang bagi tanah yang berpotensi komersil, seperti tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh dan projek pembangunan tanah 1Malaysia Development Berhad di Sungai Besi (m.s  92) juga tidak melalui sebarang proses tender terbuka. Ini seumpama menggadaikan tanah kepada pelabur asing tanpa memaximasikan pulangan, dan juga tidak menggunakan kuasa secara wajar untuk membuat keputusan.

Ini tidak sejajar dengan jaminan Najib semasa beliau menjawat sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau berkata ”the land belonging to the federal government would be one of the new sources of income for the government. The development of the land would be done in an open and transparent manner, meaning tendering it to the highest bider.[7]” Bukan sahaja begitu, perbuatan sebegini juga tidak mematuhi jaminan dibuat dalam Model Baru Ekonomi dan RMKe10, malah lebih mirip kepada zaman Mahathir yang kerap berlaku korupsi dan penyelewengan kuasa.


[1] Ucapan RMKe-9, m.s 12

[2] PAKATAN RAKYAT’S RESPONSE TO NEW ECONOMIC MODEL: POLITICAL WILL NEEDED TO AVOID FAILURES OF THE PAST, 2010

[3]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_08.htm

[4] http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_e214cf52-ca9db1d0-10750560-43a71b30

[5] http://www.mampu.gov.my/pdf/rm9%202006-2010.pdf

[6] The Edge, 10 Mei 2010

[7] The Edge, 17 Mei 2010

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s