Dedahkan Butiran Rundingan Pembelian Bakun Bagi Mengembalikan Keyakinan Terhadap Tadbir Urus Kerajaan

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat bahawa, jika proses penjualan Empangan Bakun tidak dijalankan secara telus dan terbuka, usaha kerajaan untuk menarik pelaburan asing melalui pelbagai program transformasi hanya akan menjadi omongan kosong yang tidak meyakinkan.

Untuk memulihkan keyakinan para pelabur, kerajaan wajib menjalankan penilaian terkini yang komprehensif terhadap projek Empangan Bakun untuk pengetahuan umum. Ini termasuklah nilai sebenar, ketirisan, jumlah kerugian dan kos sosial sepanjang pelaksanaan projek tersebut. Laporan penilaian sedemikian dapat memberikan ruang penyertaan dan maklumat penuh kepada sektor swasta selain mengembalikan keyakinan umum yang semakin terhakis terhadap keupayaan tadbir urus kerajaan berhubung projek mega.

Dalam konteks projek mega dikendalikan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa ketelusan, kerajaan sewajarnya mengemukakan laporan penilaian sedemikian bagi mengelakkan pihak swasta daripada mengalami kesan himpitan (crowding-out effect). Jika laporan penilaian sedemikian tidak dikemukakan oleh kerajaan, projek Bakun akan kekal sebagai ‘monumen korupsi’ seperti mana yang disebut oleh Transparency International Malaysia (TI-M).

Terbaru, sudah ada bidaan untuk membeli Empangan Bakun daripada Syarikat Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB). Tiga pihak yang membida Empangan Bakun adalah Sarawak Energy Bhd (SEB), 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Qatar Investment Authority (QIA). Ketiga-tiga pembida terbabit menawarkan harga pembelian dalam lingkungan RM6.3 bilion sehingga RM8.8 bilion kepada SHSB.[1] Adalah dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa pembida yang menawarkan harga terendah, iaitu SEB akan memperoleh empangan tersebut.

KPRU mendapati bahawa proses penjualan secara keseluruhannya penuh dengan keraguan. Kos keseluruhan Empangan Bakun yang dilaporkan adalah RM7.3 bilion.[2] Namun SEB hanya menawarkan harga RM6.3 bilion, kurang RM1 bilion daripada kos asal Empangan Bakun. Ini tidak merangkumi faedah pinjaman dan tanggungan kerajaan selama lebih kurang 10 tahun sejak pengambilalihan projek tersebut oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2000.

Apa yang membimbangkan ialah, perundingan penjualan Empangan Bakun dilakukan secara tertutup antara Kerajaan Sarawak dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan telahpun diadakan sejak beberapa bulan lalu. Kemudian, berita penjualannya diumumkan secara mengejut tanpa melalui sebarang proses pembidaan terbuka yang dimaklumkan kepada pelabur-pelabur yang berminat. Amalan sedemikian bercanggah dengan jaminan kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi negara kita selari dengan pelancaran 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) baru-baru ini.

Dalam pada itu, apakah kelebihan kelayakan SEB yang membolehkan Kerajaan Persekutuan menjual Empangan Bakun kepada mereka? Lebih-lebih lagi, Kerajaan Negeri Sarawak telah menangguhkan kelulusan proses penakungan air yang menyebabkan kelewatan operasi Empangan Bakun, sehingga mengakibatkan kerugian kos faedah sebanyak RM10 juta sebulan mulai tahun depan. Persoalannya, adakah SEB menggunakan kelebihan tersebut untuk memenangi bidaan pemilikan Empangan Bakun?

Laporan terkini juga mengesahkan desas-desus selama ini bahawa kabel dasar laut tidak akan dibina. Berdasarkan perancangan asal pembinaan Empangan Bakun, Kerajaan Persekutuan pernah berhasrat untuk menyalurkan tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia menerusi kabel dasar laut. Atas sebab-sebab tertentu dan dasar yang tidak menentu (flip-flop), projek tersebut dihentikan. Kini, Menteri mengumumkan bahawa 2 stesen janakuasa arang batu akan dibina di semenanjung bagi menampung kehilangan tenaga yang pada asalnya disalurkan dari Bakun. Pembinaan stesen janakuasa arang batu merupakan satu langkah mundur (backward) dan telah memberi satu tamparan besar kepada hasrat kerajaan untuk menjayakan dasar tenaga hijau. Hal ini juga telah membuktikan kerajaan tidak mempunyai Dasar Tenaga Nasional yang konsisten dan mapan.


[1] The Edge Financial Daily, September 24, 2010

[2] The Star, Costs at Bakun Dam project set to balloon, August 9, 2010

http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/8/9/business/6822448&sec=business

Advertisements

Buktikan KPI Kerajaan dengan Pembentangan Laporan Penilaian Separuh Penggal Belanjawan Negara 2010

24 September 2010

Buktikan KPI Kerajaan dengan Pembentangan Laporan Penilaian Separuh Penggal Belanjawan Negara 2010

Sempena pelancaran 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang merangkumi 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP) serta 60 peluang perniagaan baru-baru ini, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpandangan bahawa dasar pembangunan ekonomi tidak akan membawa hasil yang diharapkan tanpa disusuli dengan langkah pembaharuan institusi politik. Inisiatif perubahan dan pembaharuan dari sudut amalan ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban harus dilaksanakan secara serentak agar berupaya memberi impak dan transformasi yang akhirnya dapat mengangkat usaha pembangunan negara kepada suatu tahap yang lebih baik. Justeru, KPRU ingin mengemukakan cadangan pembaharuan yang harus dilaksanakan ke atas proses penyediaan Belanjawan Negara sebagai langkah awal dalam merealisasikan prinsip keterangkuman (inclusive) yang dijuarai oleh Model Ekonomi Baru (MEB).

Selama ini, proses penyediaan Belanjawan Negara terlalu bersifat tersembunyi. Strategi Belanjawan Negara ditentukan oleh segelintir kecil para pimpinan atasan dan ruang pembicaraan yang melibatkan proses penyediaan Belanjawan Negara sebelum pembentangannya di Parlimen adalah terhad sekali. Umum sedia maklum, hak warganegara di sisi Perlembagaan khasnya peranan sebagai pembayar cukai telah mencorakkan sifat warganegara sebagai pihak berkepentingan dalam urusan kewangan negara, mahu tidak mahu, kerajaan harus menjadikan proses penyediaan Belanjawan Negara lebih telus, terbuka dan terangkum.

Menurut kajian yang dijalankan oleh International Budget Partnership (IBP) yang berpangkalan di Washignton, negara yang tidak mempunyai proses penyediaan belanjawan telus dan terbuka lazimnya merupakan negara yang berpendapatan rendah. Kebanyakan negara dalam kategori tersebut adalah negara yang banyak bergantung kepada pendapatan hasil minyak ataupun pinjaman luar negara, mempunyai institusi demokrasi yang lemah, dan selalunya diperintah oleh rejim kuku besi.[1]

Memang jelas dilihat bahawa beberapa ciri tersebut mirip dengan situasi Malaysia dewasa ini. Hakikatnya, Malaysia hanya mencapai 35 markah dalam Indeks Keterbukaan Belanjawan 2008 (Open Budget Index), dan kedudukan Malaysia adalah lebih rendah berbanding dengan Zambia (47), Namibia (47), Indonesia (54), Thailand (40) dan Mongolia (36). Oleh sebab itu, Belanjawan Negara 2011 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Oktober ini di Parlimen wajar dinilai proses penyediaannya dari segi keterbukaan selain diberi perhatian sewajarnya kepada ketegasan kerajaan untuk membawa Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Sebagai langkah awal untuk mewujudkan Belanjawan Negara yang memenuhi prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterbukaan, KPRU mencadangkan satu Laporan Penilaian Separuh Penggal Belanjawan Negara 2010 dibentangkan dua minggu sebelum pengumuman Belanjawan Negara 2011. Langkah ini bukan sahaja memenuhi hasrat Perdana Menteri untuk mengutamakan pencapaian dalam gagasan 1Malaysia, malah hal ini juga dapat membuktikan bahawa kerajaan memberikan perhatian khusus terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam setiap aspek, termasuk urus tadbir kewangan negara yang dianggap amat kritikal. Kedudukan Perdana Menteri yang turut memegang portfolio Kementerian Kewangan, potensi percanggahan kepentingan yang akan timbul di antara kedua-dua portfolio tersebut juga dapat diteliti dan diberikan sekat dan imbang (check-and-balance) dengan pembentangan laporan penilaian tersebut.

Pembentangan laporan penilaian belanjawan bukan merupakan perkara baru. Negara Afrika Selatan umpamanya mewajibkan pengumuman kenyataan pra-belanjawan tidak kurang daripada sebulan sebelum pembentangan belanjawan menerusi penguatkuasaan undang-undang. Kenyataan tersebut mesti menyentuh aspek tinjauan ekonomi, rangka fiskal dan dasar utama perbelanjaan. Di Britain dan New Zealand, laporan pra-belanjawan dan strategi belanjawan dikeluarkan beberapa bulan sebelum pembentangan belanjawan.[2] Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pula mengesyorkan laporan pra-belanjawan harus diterbitkan tidak kurang daripada sebulan sebelum pembentangan belanjawan.

Selain daripada laporan penilaian, petunjuk-petunjuk lain yang dapat memenuhi prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterangkuman turut termasuk:

1.       Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Belanjawan di Parlimen;

2.       Mengadakan rundingan terbuka dan sesi kunjungan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak;

3.       Menganjurkan taklimat pra-belanjawan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman parti politik;

4.       Memperuntukkan lebih masa kepada Ahli Parlimen untuk mengkaji belanjawan sebelum perbahasan;

5.       Membenarkan dan memperluaskan akses orang awam kepada butiran belanjawan menerusi Internet.

—-

[1] http://www.openbudgetindex.org/index.cfm?fa=keyFindings

[2] The Budget Process, David G. McGee, 2007, m.s 28