Dedahkan Butiran Rundingan Pembelian Bakun Bagi Mengembalikan Keyakinan Terhadap Tadbir Urus Kerajaan

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat bahawa, jika proses penjualan Empangan Bakun tidak dijalankan secara telus dan terbuka, usaha kerajaan untuk menarik pelaburan asing melalui pelbagai program transformasi hanya akan menjadi omongan kosong yang tidak meyakinkan.

Untuk memulihkan keyakinan para pelabur, kerajaan wajib menjalankan penilaian terkini yang komprehensif terhadap projek Empangan Bakun untuk pengetahuan umum. Ini termasuklah nilai sebenar, ketirisan, jumlah kerugian dan kos sosial sepanjang pelaksanaan projek tersebut. Laporan penilaian sedemikian dapat memberikan ruang penyertaan dan maklumat penuh kepada sektor swasta selain mengembalikan keyakinan umum yang semakin terhakis terhadap keupayaan tadbir urus kerajaan berhubung projek mega.

Dalam konteks projek mega dikendalikan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa ketelusan, kerajaan sewajarnya mengemukakan laporan penilaian sedemikian bagi mengelakkan pihak swasta daripada mengalami kesan himpitan (crowding-out effect). Jika laporan penilaian sedemikian tidak dikemukakan oleh kerajaan, projek Bakun akan kekal sebagai ‘monumen korupsi’ seperti mana yang disebut oleh Transparency International Malaysia (TI-M).

Terbaru, sudah ada bidaan untuk membeli Empangan Bakun daripada Syarikat Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB). Tiga pihak yang membida Empangan Bakun adalah Sarawak Energy Bhd (SEB), 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Qatar Investment Authority (QIA). Ketiga-tiga pembida terbabit menawarkan harga pembelian dalam lingkungan RM6.3 bilion sehingga RM8.8 bilion kepada SHSB.[1] Adalah dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa pembida yang menawarkan harga terendah, iaitu SEB akan memperoleh empangan tersebut.

KPRU mendapati bahawa proses penjualan secara keseluruhannya penuh dengan keraguan. Kos keseluruhan Empangan Bakun yang dilaporkan adalah RM7.3 bilion.[2] Namun SEB hanya menawarkan harga RM6.3 bilion, kurang RM1 bilion daripada kos asal Empangan Bakun. Ini tidak merangkumi faedah pinjaman dan tanggungan kerajaan selama lebih kurang 10 tahun sejak pengambilalihan projek tersebut oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2000.

Apa yang membimbangkan ialah, perundingan penjualan Empangan Bakun dilakukan secara tertutup antara Kerajaan Sarawak dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan telahpun diadakan sejak beberapa bulan lalu. Kemudian, berita penjualannya diumumkan secara mengejut tanpa melalui sebarang proses pembidaan terbuka yang dimaklumkan kepada pelabur-pelabur yang berminat. Amalan sedemikian bercanggah dengan jaminan kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi negara kita selari dengan pelancaran 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) baru-baru ini.

Dalam pada itu, apakah kelebihan kelayakan SEB yang membolehkan Kerajaan Persekutuan menjual Empangan Bakun kepada mereka? Lebih-lebih lagi, Kerajaan Negeri Sarawak telah menangguhkan kelulusan proses penakungan air yang menyebabkan kelewatan operasi Empangan Bakun, sehingga mengakibatkan kerugian kos faedah sebanyak RM10 juta sebulan mulai tahun depan. Persoalannya, adakah SEB menggunakan kelebihan tersebut untuk memenangi bidaan pemilikan Empangan Bakun?

Laporan terkini juga mengesahkan desas-desus selama ini bahawa kabel dasar laut tidak akan dibina. Berdasarkan perancangan asal pembinaan Empangan Bakun, Kerajaan Persekutuan pernah berhasrat untuk menyalurkan tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia menerusi kabel dasar laut. Atas sebab-sebab tertentu dan dasar yang tidak menentu (flip-flop), projek tersebut dihentikan. Kini, Menteri mengumumkan bahawa 2 stesen janakuasa arang batu akan dibina di semenanjung bagi menampung kehilangan tenaga yang pada asalnya disalurkan dari Bakun. Pembinaan stesen janakuasa arang batu merupakan satu langkah mundur (backward) dan telah memberi satu tamparan besar kepada hasrat kerajaan untuk menjayakan dasar tenaga hijau. Hal ini juga telah membuktikan kerajaan tidak mempunyai Dasar Tenaga Nasional yang konsisten dan mapan.


[1] The Edge Financial Daily, September 24, 2010

[2] The Star, Costs at Bakun Dam project set to balloon, August 9, 2010

http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/8/9/business/6822448&sec=business

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s