Perspektif KPRU: Kewajaran Pelaksanaan Gaji Minimum

Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 11 Oktober 2010. Menjelang persidangan Parlimen kali ini, kita sering terbaca paparan-paparan berita yang mengatakan bahawa kerajaan akan mengemukakan dasar berhubung gaji minimum. Apabila ditinjau kembali sejarah, tuntutan gaji minimum oleh golongan pekerja bukanlah sesuatu yang baru, cuma tindakan berlainan diambil oleh pemerintah berdasarkan pertimbangan politik dan keperluan semasa.

Kali terakhir gesaan sebegitu dibuat secara besar-besaran adalah pada 18 Jun 2007. Ketika itu, Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menuntut gaji minimum RM900 dan Elaun Kos Hidup RM300.

Sebelum itu, pada 21 September 2006, Jaringan Rakyat Bertindak (JERIT), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, juga menganjurkan satu piket yang melibatkan lebih 1,500 pekerja kilang dari seluruh Malaysia. Mereka hadir ke Parlimen untuk menghantar lebih 50,000 kad tuntutan yang menuntut Perdana Menteri supaya menggubal Akta Gaji Minimum serta undang-undang yang menjamin hak pekerja. Kedua-dua desakan langsung tidak dihiraukan oleh kerajaan, malah ramai penuntut gaji minimum tersebut diserbu dan direman oleh polis.

Anehnya, pendirian kerajaan berubah secara drastik pasca 8 Mac 2008. Daripada pengabaian terhadap tuntutan gaji minimum,, kerajaan kini bertukar menjadi ”rakan seperjuangan” para pekerja dan tidak bersabar-sabar memperkenalkan dasar gaji minimum. Pemuda UMNO/BN juga sibuk merancang forum awam bersama MTUC bagi ”memperjuangkan” pelaksanaan gaji minimum, seakan-akan terlupa pihak mana terlibat dengan penyekatan pertumbuhan gaji dan penambahbaikan kebajikan pekerja selama empat dekad![1]

Perkembangan baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa perubahan sikap pemerintah tidak berlaku secara tiba-tiba. Perubahan ini merupakan produk PRU-12 dan hasil perjuangan pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pihak pembangkang dan lain-lain. Tanpa peniupan angin perubahan yang kencang sehingga mengubah landskap politik Malaysia, segala perkembangan sebegini mustahil berlaku.

Pasca 8 Mac, Kita bukan sahaja menyaksikan pembentangan Manisfesto Pakatan Rakyat yang dicorakkan oleh wacana gaji minimum, tetapi juga pelaksanaan dasar berkaitan oleh Kerajaan Selangor. Kini giliran Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan dasar tersebut.

Bagi sesetengah pihak yang masih mempunyai keraguan terhadap pelaksanaan gaji minimum, mungkin analisis kepada persoalan berikut dapat menyakinkan anda: Adakah pelaksanaan gaji minimum membawa faedah kepada pihak pekerja, perniagaan dan pertumbuhan ekonomi negara? Mengapakah gaji minimum harus dilaksanakan di Malaysia?

Sebab utama pelaksanaan gaji minimum adalah pendapatan pekerja di Malaysia masih rendah dan sudah lama berada pada tahap hampir beku (stagnation). Mengikut Laporan Model Ekonomi Baru, sebanyak 40% isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.[2] Selain itu, kira-kira 442,000 orang atau 34% daripada 1.3 juta pekerja tempatan memperoleh pendapatan bulanan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM720 sebulan.[3] Tambahan lagi, Malaysia telah mengalami stagnasi produktiviti di mana mengikut kajian Bank Dunia, pertumbuhan gaji sebenar di Malaysia hanya mencatatkan pertumbuhan 2.6% dari tahun 1994 hingga 2007. [4]

Malaysia juga mengalami cabaran dari segi jurang pendapatan yang semakin luas. Pendapatan isi rumah 40% terendah hanya mencapai 1/7 daripada 20% isi rumah tertinggi, dan lebih kurang 4 juta warga Malaysia hidup di bawah purata tahap KNK iaitu AS$7,600 setiap tahun atau RM2,200 setiap bulan.[5] Oleh yang demikian, pelaksanaan gaji minimum adalah kritikal untuk mengurangkan jurang pendapatan golongan berlainan dalam strata masyarakat tanpa mengira kaum, di samping mengimbangi gaji sebenar (real wage) yang tidak mencatatkan peningkatan signifikan dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Dengan kata lain, penetapan gaji minimum bukan sahaja dapat dilihat sebagai salah satu langkah memantapkan jaringan perlindungan sosial untuk golongan miskin (majoriti golongan pekerja), malah juga dapat membantu meningkatkan produktiviti melalui pengenalan faktor tolakan (push factor), iaitu dengan menetapkan gaji minimum dan memaksa majikan mencari jalan penyelesaian untuk meningkatkan produktiviti mereka. Sesungguhnya, pelaksanaan gaji minimum adalah selari dengan hasrat rakyat untuk mencapai negara berpendapatan tinggi.

Adakah gaji minimum akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara? Pada tahun 2006, International Labour Organisation (ILO) mengeluarkan satu kertas kerja mengenai dasar gaji minimum.[6] Kertas kerja tersebut menyebut bahawa kebanyakan kajian tidak menunjukkan impak negatif terhadap peluang pekerjaan selepas pengenalan gaji minimum (walaupun sebahagian kecil menunjukkan begitu), malah terdapat kajian yang menunjukkan kesan positif. [7]

Menyentuh dakwaan bahawa gaji minimum akan memberi impak negatif kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Fiscal Policy Institute di Amerika Syarikat telah menjalankan satu kajian pada tahun 2006 untuk membandingkan kesan gaji minimum terhadap pertumbuhan PKS dan juga tahap gaji antara negeri-negeri di Amerika Syarikat.[8] Hasil kajian sepanjang tempoh tahun 1998 hingga 2003 menunjukkan prestasi negeri dengan pelaksanaan gaji minimum yang lebih tinggi adalah lebih baik: [9]

  • Pertumbuhan bilangan perniagaan kecil (kurang daripada 50 pekerja) adalah lebih tinggi (5.4% berbanding dengan 4.2% bagi negeri dengan gaji minimum lebih rendah);
  • Pertumbuhan peluang pekerjaan dalam sektor perniagaan kecil adalah lebih tinggi (6.7% berbanding dengan 5.3% bagi negeri dengan gaji minimum lebih rendah);
  • Pertumbuhan jumlah gaji tahunan juga lebih tinggi (24.5% berbanding dengan 21.2% bagi negeri dengan gaji minimum lebih rendah).

Terbukti daripada kajian tersebut bahawa selepas pengenalan gaji minimum, kebanyakan majikan tidak memberhentikan pekerja, sebaliknya melambatkan kadar penambahan sumber tenaga kerja, mengurangkan masa kerja, meningkatkan harga, dan juga mencari penyelesaian lain supaya pekerja mereka menjadi lebih produktif. Tren sebegini juga dikenalpasti oleh Low Pay Commission di British pada tahun 2005 selepas pengenalan gaji minimum sejak tahun 1999.[10]

Sebenarnya, pengenalan gaji minimum selain dapat membantu golongan pekerja yang miskin, golongan pekerja wanita juga banyak mendapat manfaat daripadanya. Statistik menunjukkan 2/3 daripada penerima gaji minimum di British merupakan golongan wanita.

Memang benar bahawa kebanyakan negara maju telah memperkenalkan dasar gaji minimum. Bersandarkan statistik perbandingan pada peringkat antarabangsa, daripada 197 buah negara, hanya 28 buah negara yang tidak melaksanakan gaji minimum. Walau bagaimanapun, gaji minimum tidak harus dihadkan sebagai satu-satu kriteria untuk meningkatkan taraf kehidupan para pekerja. Sebagai contoh, walaupun kebanyakan kerajaan Scandinavia seperti Norway, Denmark dan Finland tidak menetapkan gaji minimum, tetapi majoriti pekerja mereka dilindungi oleh perjanjian ataupun rundingan kolektif antara majikan dengan pekerja dalam pelbagai sektor.[11] [12] Rundingan kolektif tersebut adalah begitu komprehensif di Norway sehingga gaji minimumnya adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada British pada tahun 2008. [13]

Oleh yang demikian, selain daripada memberi tumpuan kepada pelaksanaan gaji minimum, dasar lain juga harus dipertimbangkan dalam memperkukuh hak dan kebajikan pekerja supaya taraf kehidupan pekerja dan mutu kerja dapat dipertingkatkan secara keseluruhannya. Sebagai titik tolak baru pasca 8 Mac, cadangan berikut wajar diberikan pertimbangan oleh pemerintah sebagai ”pakej gaji minimum”:

  • Hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa;
  • Penubuhan Dana Penamatan Kerja;
  • Pengenalan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta;
  • Pengenalan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bagi kedua-dua sektor awam dan swasta.

[2] Model Ekonomi Baru, 2010, m.s 35

[5] Laporan Model Ekonomi Baru, 2010, m.s 41

[7] “The majority of studies conclude that the minimum wage has – at most – a small negative

effect on employment (there might even be a positive effect).”, ILO, 2006.

[8] States with Minimum Wages above the Federal Level have had Faster Small Business and Retail Job Growth, Fiscal Policy Institute, 2006.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s