RESPONS KEPADA BELANJAWAN 2011: PEMUSATAN KUASA KERAJAAN BN DAN KESANNYA

PEMUSATAN KUASA EKSEKUTIF TERUTAMANYA JABATAN PERDANA MENTERI

Terlalu banyak sumber dan kuasa yang dimiliki oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) khususnya lebih daripada 50 buah agensi di bawah kendaliannya. Dikatakan setiap belanjawan tahunan, JPM akan menikmati sebahagian besar daripada peruntukan kewangan tersebut. Ini memang mencurigakan rakyat berhubung keberkesanan dan kecekapan Kerajaan Persekutuan dalam mentadbir hal ehwal negara ini.

Peruntukan kepada JPM berkembang dengan begitu drastik sekali. Sejak 2007, pertumbuhan peruntukan kepada dua kementerian penting, iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan hanya mencapai satu pertiga daripada pertumbuhan peruntukan JPM.

Perbelanjaan Kerajaan Mengikut Agensi (2007-2011)

(RM juta) 2007 2008 2009 2010 2011
JPM Mengurus 2,886 3,418 3,845 3,956 5,076
Pembangunan 3,991 3,490 6,342 8,238 10,779
Jumlah 6,877 6,908 10,187 12,194 15,855
Kementerian Kesihatan Mengurus 9,772 11,569 12,173 11,179 13,239
  Pembangunan 1,471 1,467 2,540 3,584 1,984
  Jumlah 11,243 13,036 14,713 14,763 15,223
Kementerian Pelajaran Mengurus 22,634 27,268 28,823 25,521 29,360
  Pembangunan 2,847 4,681 5,137 4,997 6,403
  Jumlah 25,481 31,949 33,960 30,518 35,763
Malaysia (Keseluruhan) Mengurus 123,084 153,499 157,067 152,158 162,805
Pembangunan 40,564 42,847 49,515 54,042 49,182
Jumlah 163,648 196,346 206,582 206,200 211,987
 
% 2007-2011 2008 2009 2010 2011
JPM Mengurus 76% 18% 12% 3% 28%
Pembangunan 170% -13% 82% 30% 31%
Jumlah 131% 0% 47% 20% 30%
Kementerian Kesihatan Mengurus 35% 18% 5% -8% 18%
  Pembangunan 35% 0% 73% 41% -45%
  Jumlah 35% 16% 13% 0% 3%
Kementerian Pelajaran Mengurus 30% 20% 6% -11% 15%
  Pembangunan 125% 64% 10% -3% 28%
  Jumlah 40% 25% 6% -10% 17%
Malaysia (Keseluruhan) Mengurus 32% 25% 2% -3% 7%
Pembangunan 21% 6% 16% 9% -9%
Jumlah 30% 20% 5% 0% 3%

 

Analisa berdasarkan jadual di atas:

  • Semasa perbelanjaan JPM melonjat sebanyak 130% sejak tahun 2007, peruntukan kepada Kementerian Pelajaran hanya meningkat sebanyak 40%, dan Kementerian Kesihatan 35% sahaja bagi tempoh yang sama.
  • Bagi tahun 2010, peruntukan Kementerian Pelajaran mengalami penguncupan sebanyak 10%, manakala peruntukan Kementerian Kesihatan kekal tidak bertambah. Sebaliknya, peruntukan JPM meningkat sebanyak 20%.
  • Bagi tahun 2011, anggaran perbelanjaan pembangunan bagi Kementerian Kesihatan akan dipotong sebanyak 45% ataupun sebanyak RM1.6 bilion. Pada masa yang sama, peruntukan pembangunan bagi JPM mengalami perkembangan sebanyak 82%, 30% dan 31% bagi tahun 2009, 2010 dan 2011 masing-masing.

Adakah ini menunjukkan berbanding dengan peningkatan taraf dan mutu pendidikan dan kesihatan di Malaysia, kerajaan lebih gemar dengan perancangan projek mega bersifat “memusat” (centralize) dan lazimnya ditentukan oleh seorang dari atasan sahaja?

Peruntukan yang tidak seimbang dan terlalu memusat kepada JPM ini telah menimbulkan dua isu utama, iaitu

  • Salah urus projek yang sudah dijanjikan oleh Kerajaan BN buat sekian lama;
  • Perbelanjaan menjadi tidak rasional atas kekurangan kuasa semak dan  imbang.

SALAH URUS PROJEK YANG SUDAH DIJANJIKAN BUAT SEKIAN LAMA

PROJEK PERUMAHAN RAKYAT

Berdasarkan Belanjawan 2004, profil penduduk negara, terutama mereka dalam golongan umur 20 hingga 24 tahun, permintaan perumahan kos rendah dan sederhana dianggar meningkat sebanyak 500 ribu unit untuk tempoh 5 tahun akan datang. Untuk memastikan golongan ini mendapat peluang memiliki rumah, Kerajaan akan mengambil alih pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana, terutamanya melalui SPNB.[1]

Bagi tahun 2004, kerajaan menyediakan sejumlah RM558.8 juta untuk pelbagai projek perumahan awam kos rendah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM484 juta adalah untuk membiayai pembinaan sebanyak 62,672 unit rumah kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat untuk disewa kepada setinggan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bandar utama.

Berdasarkan Belanjawan 2008, sejumlah RM381 juta disediakan bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah. Daripada jumlah tersebut, RM191 juta ringgit diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan RM190 juta bagi PPR Bersepadu. Pada masa ini, 12 ribu unit PPR Disewa dan 25 ribu unit PPR Bersepadu sedang dalam peringkat pelaksanaan.[2]

Dalam Belanjawan 2011, sejumlah RM568 juta disediakan bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79 ribu unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8 ribu unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah.[3]

Kedua-dua Belanjawan terdahulu memperlihatkan tanggungjawab Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) iaitu syarikat milik Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada tahun 1997, mempunyai skop tanggungjawab yang agak besar. Ini termasuklah,

  • Pemulihan projek perumahan terbengkalai yang memakan belanja RM3.4 bilion yang melibatkan 36 ribu unit dalam Belanjawan 2004.[4]
  • Mengambil alih dan mengurus projek perumahan di bawah Tabung Pusingan Perumahan Kos Rendah (TPPKR) yang kini berada di bawah TPPT Sdn Bhd juga dinyatakan dalam Belanjawan 2004.
  • Dalam Belanjawan 2008, sebanyak 6,000 unit di bawah Program Pemulihan Rumah Terbengkalai; 36,000 unit di bawah Program Perumahan Mampu Milik; dan 4,000 unit di bawah Program Rumah Mesra Rakyat.[5]

Tanggungjawab SPNB untuk menyediakan program perumahan yang terbaik untuk rakyat, walau bagaimanapun bukan semua projek tersebut memenuhi kriterianya akibat daripada isu skandalnya pada tahun lalu. Persoalannya, adakah tahap penglibatan yang besar dalam menangani projek perumahan mampu milik rakyat telah menyebabkan SPNB terjerumus dalam skandal perumahan yang teruk?

Laporan menjelaskan bahawa SPNB tidak dapat membayar baki pembayaran penuh kepada 34 kontraktor kelas A Bumiputera yang telah menjalankan 34 projek perumahan di seluruh negara.[6] Jumlah tersebut menyamai 35,000 unit kediaman yang bernilai RM100,000 sehingga RM150,000.

Hal ini berpunca daripada amalan SPNB yang bergantung harap kepada tanah-tanah yang dimilikinya dan unit perumahan yang tidak terjual sekaligus menjejaskan pusingan perniagaannya. Justeru, pihak kontraktor terbabit menuntut pembayaran sebanyak RM300 juta daripada SPNB.

Bukan itu sahaja, tetapi turut melibatkan kompleks perumahan bernilai RM1.5 bilion yang telah siap melewati jadual sepatutnya. Kompleks perumahan tersebut mengalami kecacatan struktur yang boleh menjejaskan sesiapa saja yang mendudukinya.[7]

Walaupun Kementerian Kewangan menolak sebarang usul penyiasatan yang harus dilakukan keatas SPNB, namun akhirnya sebuah pasukan tugas khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kejadian tersebut.

Projek perumahan rakyat mampu milik yang tidak siap mengikut waktu dan spesifikasi yang ditetapkan telah menyebabkan kerugian yang besar terhadap pembeli-pembelinya.

Kajian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapati kira-kira 95,000 keluarga golongan berpendapatan sederhana dan rendah masih belum memiliki rumah yang sempurna meskipun kedua-dua Belanjawan lalu memperuntukkan sejumlah wang yang besar dalam menampung keperluan perumahan.[8] Ini sekaligus memberikan kesan negatif kepada para pembeli, iaitu rakyat.

Persoalannya adalah sejauh manakah keberkesanan kerajaan dalam mengatasi projek perumahan terbengkalai ketika Belanjawan 2004 dibentangkan,  sebanyak 204 projek terbengkalai yang melibatkan 66 ribu unit bernilai RM5.6 bilion?[9]

Sekiranya kes tersebut tidak diselesaikan dengan baik, mengapakah SPNB terus diberi kepercayaan untuk melaksanakan projek-projek perumahan?[10]

Apakah berlaku ketidakcekapan dalam pengurusan kewangan ketika menangani projek-projek perumahan yang diamanahkan oleh kerajaan kepada SPNB? Mengapa kerugian tersebut tidak dijalankan secara terbuka oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM)?

Tidak bermakna bidaan harga yang terendah dianggap berupaya menyiapkan projek tersebut dengan berkualiti dan jayanya! Rendahnya harga bidaan tidak boleh dijadikan sebagai petunjuk utama dalam memilih kontraktor-kontraktor.

PROJEK PENGANGKUTAN AWAM

Dalam Belanjawan 2008 misalnya, sebanyak RM12 bilion akan dibelanjakan untuk meningkatkan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dalam mengurangkan kesesakan jalan raya dan demi menyediakan sistem pengangkutan awam yang selesa. Manakala dalam Belanjawan 2004, pengangkutan bandar di Kuala Lumpur dan sekitar dipermodenkan dengan pembinaan sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan keretapi komuter elektrik.[11]

Dalam Belanjawan 2011, transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL (Lembah Klang) akan dilaksanakan mulai tahun hadapan. Projek ini dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion ringgit dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020 akan menambah kadar kepenggunaan pengangkutan awam sekurang-kurangnya 40 peratus.

Projek MRT dijangka menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan selesa serta pengguna dapat menuju ke destinasi dengan pantas. Sistem MRT ini juga akan memperhebatkan jaringan hubungan di Lembah Klang dan diintegrasikan dengan mod pengangkutan yang lain seperti bas dan teksi.[12]

Kesesakan lalu lintas memang merugikan ekonomi negara. Kajian terbaru di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa rakyatnya membazirkan 38 jam setahun secara purata dalam kesesakan lalu lintas yang merugikan hampir US$78 bilion.[13]

Pada tahun 2007, statistik kadar pemilikan kenderaaan persendirian di Malaysia mencatatkan 67%, lebih tinggi berbanding dengan Filipina (10%), Hong Kong (16%), Singapura (21%) dan Taiwan (66%).[14]

Berdasarkan jumlah peruntukan kewangan yang sentiasa disalurkan untuk membina lebuhraya, rel-rel keretapi, pemanjangan rel LRT dan terbaru, MRT, adakah ini kelemahan utama dalam meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam negara khususnya di Lembah Klang?

Sebagai contoh, KTM Komuter yang memulakan perkhidmatannya pada bulan Ogos tahun 1995 kini beroperasi dengan menggunakan 29 tren sahaja[15] berbanding pelan asal iaitu 62 tren![16]

Bagaimana hal ini boleh berlaku sedangkan sejak tahun 1995 beberapa stesen KTM telah beroperasi seperti KL Sentral, Mid Valley, Kepong Sentral, Serendah, Rasa, dan Kuala Kubu Bharu?[17] Manakala, sejak tahun yang sama, bilangan penumpang KTM telah meningkat 3 kali ganda.[18]

Jangan lupa bahawa dalam Belanjawan 2009, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah berjanji membelanjakan RM35 bilion untuk meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan dalam tempoh 2009-2014.[19]

Belum selesai soal KTM dan projek pemanjangan rel LRT, pilihan MRT yang bernilai RM36 bilion pula dipertaruhkan pada tahun 2011. Pada asalnya, MRT telah dicadangkan pada tahun 1990 an, namun tidak digalakkan oleh pakar-pakar geologi yang menyifatkan MRT sebagai tidak sesuai dengan rupa bentuk muka bumi Lembah Klang. Oleh sebab itu, LRT dipilih untuk menggantikan projek MRT.[20]

Persoalannya, adakah projek yang akan dilaksanakan oleh pakatan MMC-Gamuda Berhad boleh menyiapkan MRT tanpa sebarang kelewatan dan menanggung kos lebihan? Seperti kesemua Projek Penggerak Ekonomi (EPP) yang lain, kerajaan masih lagi tidak mempedulikan proses keterbukaan dan  ketelusan dalam pemberian tender projek!

Rakyat harus berasa curiga terhadap laporan teknikal MRT yang bakal dikemukakan oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Laporan tersebut disiapkan oleh konsultan yang dilantik oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).[21] Siapakah konsultan tersebut? Adakah konsultan itu mempunyai hubungan dengan MMC-Gamuda Berhad?

Oleh kerana projek MRT merupakan projek berkos tinggi dalam sejarah negara, pengajaran lalu yang melibatkan projek Empangan Bakun, Pelabuhan Zon Bebas Klang (PKFZ), Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); kesemua kos projek mega berkenaan membesar dari kos asal yang menuntut kerajaan memberikan ‘insentif’ berupa ‘bail out’.

Umpamanya, operator asal LRT dan STAR dan Putra LRT menghadapi krisis kewangan syarikat yang serius mengakibatkan kerajaan melalui Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) pada tahun 2002 bertindak mengambil alih fungsi operator tersebut disusuli dengan KL Monorail pada tahun 2007.[22] Kesemuanya dimiliknegarakan oleh kerajaan.

Pada tahun 2006, para penumpang LRT terperangkap selama 30 minit akibat daripada kegagalan sistem komputernya.[23] Tidak cukup dengan itu, seramai 6 penumpang mengalami kecederaan serius apabila dua LRT bertembung di stesen Bukit Jalil pada tahun 2008.[24]

Apa yang dibimbangi berdasarkan sejarah pengangkutan awam beberapa tahun lalu, SPNB akhirnya akan mengambil alih projek MRT tersebut dan ini akan membebankan kewangan kerajaan dalam tempoh masa yang sangat panjang.

Jualan kereta yang mencecah lebih 350,000 unit setiap tahun[25] walaupun dua sistem LRT telah dibina dan sedang dipanjangkan. Justeru itu, apakah projek MRT akan melakukan perubahan?

LATIHAN PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

Pembangunan sumber manusia merupakan perkara yang kritikal dalam usaha negara menjadi sebuab negara maju menjelang tahun 2020. Pembangunan industri berasaskan teknologi dan pengetahuan memerlukan lebih ramai tenaga kerja terlatih.

Bagi tujuan ini, kerajaan dilihat memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti dan kuantiti tenaga kerja mahir dalam Belanjawan tahunan.

Antara contoh peruntukan dalam latihan pembangunan sumber manusia adalah;

  • Dalam Belanjawan 2004, sebanyak RM319 juta disediakan untuk Kementerian Pembangunan Sumber Manusia bagi tujuan tersebut. Selaras dengan keperluan untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran untuk memenuhi keperluan pasaran, kerajaan telah mengumumkan Tabung Pembangunan Kemahiran dalam Pakej Strategi Baru dan 500 juta ringgit diperuntukkan bagi membantu pelatih institusi kemahiran mendapatkan pinjaman seperti Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara, Institut Kemahiran Belia Negara dan institusi swasta yang terpilih.[26]
  • Dalam Belanjawan 2008, sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada pelbagai agensi latihan kerajaan untuk meningkatkan bilangan dan kualiti pekerja terlatih selaras dengan keperluan pasaran. Manakala, skop pembangunan Tabung Pembangunan Sumber Manusia akan diperluaskan.[27]
  • Jumlah peruntukan dalam pembangunan sumber manusia terus meningkat dalam Belanjawan 2009 iaitu RM2.4 bilion.[28] Dalam Belanjawan 2011, program latihan 1Malaysia telah diperuntukan sebanyak RM500 juta dan beberapa lagi program yang bertujuan membangunkan sumber manusia.[29]

Laporan Model Ekonomi Baru (NEM) mendedahkan sebanyak 80% tenaga kerja negara adalah berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  yang dikategorikan sebagai berkemahiran rendah berbanding dengan negara Korea Selatan (65%) dan Singapura (51%).[30]

Kelemahan menguruskan pelajar yang tercicir dalam sistem pendidikan juga perlu ditangani walaupun kedua-dua belanjawan tersebut ada memberikan penekanan terhadap pembangunan menyeluruh pendidikan vokasional dan teknikal seperti menaikkan taraf politeknik dan kolej komuniti. Adakah perancangan kerajaan untuk membelanjakan RM150 juta dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk melatih seramai 20,000 pelajar yang tercicir akan berjaya setelah sejumlah wang yang besar dalam beberapa belanjawan lalu tidak menampakkan kesan yang nyata?[31]

Selain daripada itu, kerajaan juga perlu memikirkan pendekatan lain yang juga disarankan dalam laporan Model Ekonomi Baru (NEM) iaitu mempermudahkan kemasukan bakat asing ke negara. Hal ini bermakna urusan visa, membeli kediaman dan hal-hal berkaitan gaji yang kompetitif harus menjadi keutamaan kerajaan terutamanya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Di samping itu, pengajian tinggi negara amat dikenali sebagai kuantitinya, bukan kualiti. Kadar kemasukan ke universiti tempatan pada saban tahun kian meningkat menyebabkan begitu besar sekali pelaburan kerajaan ke atas mereka! Hasilnya adalah hanya 16% atau 30,832 pelajar-pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang kembali berkhidmat dengan kerajaan bermula dari tahun 2003 hingga 2007.[32]

Sekiranya dikaji Belanjawan 2011, peruntukan untuk menambah bilangan pemegang PhD adalah lebih kecil berbanding dengan peruntukan yang disalurkan kepada Program Latihan 1Malaysia.

PERBELANJAAN MENJADI TIDAK RASIONAL ATAS KEKURANGAN KUASA SEMAK DAN IMBANG

Pemusatan kuasa yang keterlaluan bukan sahaja mencemarkan konsep Federalisme, malah hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan operasi dan pembangunan Kementerian serta agensi-agensi kerajaan tertentu. Oleh kerana kuasa Perdana Menteri berkembang seumpama tiada batasan, kekurangan semak dan imbang telah menjadikan perbelanjaan JPM bukan sahaja mengikut citarasa pemimpin, malah pelaksanaan projek-projek juga kurang rasional dan tidak seiras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

BIRO TATANEGARA

Dalam Belanjawan 2011, Biro Tatanegara yang dikritik sebagai agensi menginstitusikan sentimen perkauman sempit masih diberikan ruang dan peranan yang agak penting. Bagi tahun 2011, jabatan tersebut diberikan peruntukan sebanyak RM67 juta, tidak jauh daripada RM79 juta perbelanjaan pada tahun 2010.

Perbandingan peruntukan Biro Tatanegara dengan agensi lain di bawah JPM adalah seperti berikut:

Peratusan Peruntukan Agensi-agensi JPM Berbanding dengan Biro Tatanegara

Butiran Program/Aktiviti Anggaran 2011  

(RM)

Perbandingan (%)
010500 Biro Tatanegara 66,879,200 100%
020000 Unit Perancang Ekonomi 38,599,000 58%
100000 Biro Pengaduan Am 14,950,000 22%
210000 SUHAKAM 9,600,000 14%
220000 Institut Integriti Malaysia (IIM) 11,200,000 17%
270000 Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) 114,300,900 171%
290000 Suruhanjaya Perlantikan Hakim (SPK) 2,164,000 3%
331900 UNIK (Maksud Pengurusan) 26,000,000 39%
17500 Tambahan dan Pengubahsuian Sri Perdana 

(Jumlah RM65 juta)

19,500,000 29%
90000 Talent Corporation 30,000,000 45%
92000 UNIK (Maksud Pembangunan) 45,000,000 67%

Analisa berdasarkan jadual di atas menunjukkan berikut:

  • Peruntukan yang diberikan kepada Unit Perancing Ekonomi (EPU), institusi perancangan terpenting di negara ini hanya sekadar 58% peruntukan kepada Biro Tatanegara
  • Peruntukan yang diberikan kepada Biro Pengaduan Am hanya sekadar 22% peruntukan kepada Biro Tatanegara, sedangkan makin banyak aduan dibuat oleh rakyat mengenai isu kecekapan penghantaran kerajaan;
  • Peruntukan yang diberikan kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) hanya sekadar 17% peruntukan kepada Biro Tatanegara, sedangkan mantan Perdana Mengeri Tun Abdullah Badawi begitu ghairah melancarkan Pelan Integriti Nasional pada tahun 2004 dan memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk menjayakan pelan tersebut.[33]
  • Peruntukan yang diberikan kepada SUHAKAM hanya sekadar 14% peruntukan kepada Biro Tatanegara.
  • Peruntukan yang diberikan kepada Suruhanjaya Perlantikan Hakim (SPK) hanya sekadar 3% peruntukan kepada Biro Tatanegara.

Najib begitu bersungguh-sungguh mengumumkan penubuhan Talent Corp dan UNIK dalam ucapan Belanjawan 2011, malah hakikatnya:

  • Talent Corporation akan ditubuhan pada awal tahun 2011 untuk menggubal National Talent Blueprint dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia. Dengan visi besar sebegini, peruntukan yang disalurkan kepada Talent Corp hanya sekadar 45% peruntukan kepada Biro Tatanegara sahaja.
  • Kerajaan akan menubuhkan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai pusat sehenti untuk merangka dasar dan strategi bagi menyediakan ekosistem kondusif. UNIK juga akan mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan. Selain itu, beberapa program dan aktiviti akan dirangka untuk meningkatkan inovasi, penciptaan produk baru dan pengkomersilan.
  • Walaupun jumlah peruntukan kepada UNIK adalah sebanyak RM71 juta, tetapi peruntukan bekalan (pengurusan) kepada UNIK adalah sebanyak RM26 juta sahaja. Peruntukan tersebut hanya sekadar 39% daripada jumlah peruntukan kepada Biro Tatanegara.

Perbandingan dengan Parlimen:

  • Walaupun Parlimen dianggap sebagai institusi perundangan yang penting, tetapi peruntukan yang diberikan kepada Biro Tatanegara adalah lebih tinggi, jika tidak setanding dengan peruntukan kepada Parlimen. Bagi tahun 2010, parlimen hanya diperuntukkan RM66 juta dan bagi tahun 2011, RM78 juta. Apakah rasional kerajaan di belakang cara peruntukan tersebut?

PROJEK PERMATA ROSMAH MANSUR

Sesungguhnya, usaha Permata mutu untuk meningkatkan mutu pendidikan awal kanak-kanak di negara, namun berita ini amat menggusarkan rakyat.

Usaha murni untuk menaiktaraf mutu pendidikan awal ini tidak harus dipolitikkan sesuka hati. Permata selaku sebuah badan yang diiktiraf oleh kerajaan untuk memperuntukkan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak dan telahpun diberikan peruntukan sebanyak RM20 Juta untuk usaha mereka.[34]

Justeru, apakah Permata ini merupakan keikhlasan Rosmah Mansur ataupun memperalatkan Permata demi kepentingan politik kepartian semata-mata?

Sebanyak 14 buah Pusat Program Anak Permata Negara (PAPN) di seluruh negara yang menelan perbelanjaan pembangunannya sebanyak RM10 juta.

Apa yang menghairankan,  Permata yang diketuai oleh Rosmah Mansur telah mengemukakan kertas kerja bagi menaiktaraf Tadika dengan menggunakan silibus Permata. Perdana Menteri Najib Razak menyokong usul tersebut dan menyarankan agar Kementerian berkenaan menyelaraskan mengikut piawaian sepertimana yang ditetapkan oleh Permata.[35] Kurikulum Permata disediakan oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Dalam Belanjawan 2011, kerajaan juga memperuntukkan 111 juta ringgit untuk program PERMATA, antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.[36] Tindakan memberikan peruntukan yang besar kepada program Permata telah menimbulkan kritikan yang mendakwa sekolah-sekolah agama rakyat peringkat rendah hanya memperoleh peruntukan kecil RM95 juta[37] dan masyarakat Orang Asli sebanyak RM100 juta![38]

Najib Razak pernah mengatakan bahawa hasrat kerajaan mewujudkan Permata Pintar untuk memberi tumpuan kepada pelajar pintar, misalnya mengadakan tadika pintar dan sekolah pintar. Namun begitu, Kerajaan Persekutuan telahpun memperkenalkan 300 buah Sekolah Kluster atau Kelompok Sekolah Cemerlang sejak tahun 2007, justeru itu, apakah perbezaan yang wujud di antara Sekolah Kluster dengan program Permata?[39]

Adakah program Permata mampu memperbaiki sistem pendidikan negara? Adakah anak-anak kampong dan desa berpeluang untuk menyertai program tersebut? Mengapakah program Permata menumpukan pelajar-pelajar pintar sekaligus bersifat eksklusif dan elitis?


[1] Ucapan Belanjawan 2004, m.s 84

[2] Ucapan Belanjawan 2008, m.s 17

[3] Ucapan Belanjawan 2011, m.s 48

[4] Ucapan Belanjawan 2005, m.s 85

[5] Ucapan Belanjawan 2008, m.s 17

[7] The Malay Mail, Arms purchase review on the cards, October 13, 2009

http://www.mmail.com.my/content/15614-arms-purchase-review-cards

[8] Berita Harian, 78,000 lagi kediaman kos rendah akan dibina, 30 Julai 2010

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/78_000lagikediamankosrendahakandibina/Article

[9] Ucapan Belanjawan 2004, m.s 85

[11] Ucapan Belanjawan 2004, m.s 3

[12] Ucapan Belanjawan 2011, m.s 13

[13] The Edge Malaysia, Politics should not get in the way, June 14, 2010

[14] Earth Times, Thailand car ownership reaches 31 percent

http://www.earthtimes.org/articles/news/58676.html

[18] The Star, KTM upgrades to be competitive, October 6, 2007

http://www.2t.com.my/news/ktmbrail.pdf

[19] Ucapan Belanjawan 2009

[20] The Edge Malaysia, MRT: An Option in transit, June 14, 2010

[21] The Star, SPAD close to finishing study on MRT, October 2, 2010

http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/10/2/business/7145604&sec=business

[22] The Edge Malaysia, MRT: An Option in transit, June 14, 2010

[23] The Star, Handling of trapped LRT passengers unacceptable, July 25, 2006

http://blog.thestar.com.my/permalink.asp?id=5099

[24] The Star, Six injured in LRT accident, September 25, 2008

http://thestar.com.my/news/story.asp?sec=nation&file=/2008/9/25/nation/2116102

[25] The Star, Motor vehicle sales for July increase by 3%, August 14, 2010

http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/8/14/business/6856103&sec=business

[26] Ucapan Belanjawan 2004, m.s 47

[27] Ucapan Belanjawan 2008, m.s 15

[28] Ucapan Belanjawan 2009

[30] New Economic Model (NEM), page 51

[35] Dasar Pendidikan Awal digubal

http://www.permata.jpm.my/buletin/28.html

[36] Ucapan Belanjawan 2011, m.s 36

[37] The Malaysianinsider, Belanjawan utamakan Permata Pintar anaktirikan SAR, dakwa Pemuda Pas

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bajet-utamakan-permata-pintar-anak-tirikan-sar-dakwa-pemuda-pas/

[38] Hadi kritik Permata Rosmah

http://www.malaysiakini.com/news/145633

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s