PERBANDINGAN PRESTASI TADBIR URUS KERAJAAN NEGERI BARISAN NASIONAL DAN PAKATAN RAKYAT

Selepas dekat 3 tahun berlakunya perubahan politik pada 8 Mac 2008, satu pengesahan kepada prestasi tadbir urus negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telah disediakan oleh Kajian Politik untuk Perubahan  (KPRU).

Lima negeri dalam dua kategori berasingan, iaitu Johor, Pahang dengan Selangor; dan juga Melaka dengan Pulau Pinang, telah dipilih untuk membuat perbandingan dari tiga sudut: pengurusan kewangan, pentadbiran negeri dan pendemokrasian masing-masing.

PENGURUSAN KEWANGAN

Johor/Pahang dengan Selangor

Secara keseluruhannya, proses membaiki status kewangan negeri telah bermula di Kerajaan Negeri Selangor, namun langkah pemantapan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Johor dan Pahang belum lagi mempamerkan perubahan positif. Tahap kemantapan pengurusan kewangan dapat dilihat daripada Laporan Ketua Audit Negara yang mengesyorkan supaya Selangor meneruskan perbelanjaan berhemat dan terus berusaha mengutip baki pinjaman boleh dituntut di samping usaha berterusan terhadap kutipan tunggakan bayaran pinjaman boleh dituntut, manakala Johor dan Pahang disyorkan perlu mempertingkat dan memperkukuhkan lagi prestasi kewangan (Johor), dan perlu mengamalkan perbelanjaan berhemat (Pahang).

Dari segi Nisbah Semasa, Kerajaan Negeri Selangor memperoleh nisbah lebih daripada 1, manakala Kerajaan Negeri Johor dan Pahang memperoleh nisbah kurang daripada 1.[1] Fakta ini menunjukkan bahawa kecairan tunai Kerajaan Negeri Johor dan Pahang adalah rendah untuk menampung jumlah tanggungan semasa.

Dari segi defisit, ketiga-tiga negeri mencatat defisit, iaitu Johor RM70.35 juta, Pahang RM42.27 juta dan Selangor RM65.96 juta.[2] Namun begitu, defisit Negeri Pahang dan Johor adalah lebih parah jika berbanding dengan Selangor apabila diambil kira faktor kutipan hasil.

Keadaan di Negeri Pahang menunjukkan bahawa prestasi kewangan Kerajaan Negeri semakin menurun dengan ketara sejak tahun 2007 kerana hasil kutipan tidak dapat menampung perbelanjaan tahunan.[3] Kerajaan Pahang telah membentangkan belanjawan defisit untuk tahun ke-12 berturut-turut sehingga tahun 2010.[4] Bagi Negeri Johor, tahap defisit tahun 2009 adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakangan.[5]

Selain itu, gabungan hasil kedua-dua buah negeri adalah sebanyak RM1,243 juta berbanding dengan hasil Negeri Selangor sebanyak RM1,764 juta, tetapi gabungan defisit adalah sebanyak RM120.95 juta, iaitu lebih kurang satu kali ganda lebih tinggi daripada defisit Selangor yang berjumlah RM65.96 juta.

Analisis Perbandingan Antara Hasil dengan Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat Bagi Tempoh 2005 hingga 2009

2005
(RM juta)
2006
(RM juta)
2007
(RM juta)
2008
(RM juta)
2009
(RM juta)
Johor
Hasil 617.18 693.22 779.60 812.36 750.42
Perbelanjaan Mengurus 656.67 686.09 775.08 882.71 829.10
Lebihan/(Defisit) (39.49) 7.13 4.52 (70.35) (78.68)
Pahang
Hasil 485.70 435.69 441.04 481.84 492.14
Perbelanjaan Mengurus 412.98 363.52 422.91 508.96 534.41
Lebihan/(Defisit) 72.72 72.17 18.13 (27.12) (42.27)
Johor + Pahang
Hasil 1,102.88 1,128.91 1,220.64 1,294.20 1,242.56
Perbelanjaan Mengurus 1,069.65 1,049.61 1,197.99 1,391.67 1,363.51
Lebihan/(Defisit) 33.23 79.30 22.65 (97.47) (120.95)
Selangor
Hasil 967.76 1,160.20 1,285.10 1,516.34 1,763.86
Perbelanjaan Mengurus 1,034.50 1,087.69 1,153.22 1,467.24 1,829.82
Lebihan/(Defisit) (66.74) 72.51 131.88 49.10 (65.96)

Melaka dengan Pulau Pinang

Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat baru sahaja mengambil alih negeri Pulau Pinang, namun jika dibandingkan dengan Kerajaan Barisan Nasional di negeri Melaka, wujud perbezaan yang cukup meyakinkan mengikut gaya dan pendekatan seperti mana yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Umpamanya, KPRU mendapati bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya adalah baik dengan melakukan beberapa pengubahsuaian dalam aktiviti perolehan, bentuk perbelanjaan yang benar-benar berhemat tanpa menjejaskan kebajikan rakyat Pulau Pinang. Hasilnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengakhiri tahun kewangan 2009 dengan lebihan sejumlah RM77.34 juta menjadikan  lebihan dana terkumpul berjumlah RM538.95 juta. Berbanding dengan pesaingnya, prestasi kewangan yang dicatatkan oleh Kerajaan Negeri Melaka bertambah baik daripada defisit RM4.56 juta pada tahun 2008 kepada lebihan dana RM0.30 juta.

Selain itu, analisis Nisbah Semasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2009 mendapati Nisbah Semasa Kerajaan Negeri adalah 5.25:1 melebihi satu, manakala Nisbah Semasa Melaka adalah kurang daripada 1. Fakta ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkemampuan untuk menampung jumlah tanggungan semasa manakala Melaka gagal menampung tanggungan tersebut.

Dari segi pelaburan kerajaan negeri, kebijakan pelaburan Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus menjadi teladan bukan sahaja kepada Kerajaan Negeri Melaka, malah semua Kerajaan Negeri dalam Persekutuan di mana jumlah dividen dan keuntungan mencatatkan angka tertinggi sejak tahun 2005. Sila rujuk jadual yang dipetik daripada Laporan Ketua Audit Negara 2009 (m.s 28).

Pelaburan Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Bil Butiran 2008 2009
(RM Juta) (RM Juta)
1 Dividen Diterima 1.43 0.95
2 Keuntungan Diterima 2.37 4.14
Jumlah Dividen dan Keuntungan 3.8 5.09
3 Bayaran Yuran Pengurusan 0.15 0.09

Kerajaan Negeri Melaka pula mencatatkan pencapaian yang sebaliknya. Semakin besar pelaburan yang dibuat olehnya, belum tentu lagi pulangan faedahnya lumayan. Fakta ini terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 (m.s 32)

Pelaburan Kerajaan Negeri Melaka

Tahun Pelaburan (RM Juta) Faedah Dan Perolehan Diterima (RM Juta) Faedah Diterima (%)
2005 186.05 1.68 0.9
2006 182.78 4.8 2.6
2007 189.66 10.93 5.6
2008 192.27 16.6 8.6
2009 210.93 10 4.7

PENTADBIRAN NEGERI

Johor/Pahang dengan Selangor

Secara keseluruhannya, adalah didapati bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat bersikap lebih responsif dan cekap dalam urusan pentadbiran negeri. Kerajaan Pakatan Rakyat bukan sahaja tidak segan mendedahkan isu-isu kontroversi supaya orang awam termaklum dengan perkembangan, malah ianya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah. Misalannya, dalam isu jamuan makan yang menelan RM300 ribu anjuran Yayasan Selangor baru-baru ini, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor diarah mengambil cuti selama sebulan berkuat-kuasa serta merta.[6] Corak pentadbiran sebegini tidak kelihatan dalam negeri pemerintahan Barisan Nasional.

Kajian Kes: Isu Curi Pasir

Dari segi pentadbiran negeri, sebenarnya Negeri Pahang dan Johor juga dibelenggui isu curi pasir, malah mungkin lebih serius daripada apa yang berlaku di Selangor. Akan tetapi isu curi pasir di kedua-dua negeri tersebut jarang diberi perhatian akibat liputan media yang tercondong.

Misalnya, pada tahun 2009, Kerajaan Negeri Selangor mengalami kerugian RM1.82 juta daripada royalti tidak berkutip, tetapi kerugian yang dialami oeh Kerajaan Negeri Pahang adalah sebanyak RM3.23 juta, iaitu lebih kurang satu kali ganda lebih daripada kerugian yang dialami oleh Kerajaan Selangor.[7]

Di Johor pula, adalah didapati juga kegiatan perlombongan pasir yang mula beroperasi sejak tahun 2003 tetapi tidak menyediakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), aliran air sungai berubah, berlakunya tanah runtuh, pencerobohan, pihak penguatkuasa tidak memantau secara berkala, dan banyak lagi.

Tambahan lagi, kegiatan perlombongan pasir di Pahang dan Johor telah menyukarkan nelayan yang menggunakan Kuala Sungai Miang tersebut sebagai laluan keluar masuk bot mereka untuk ke laut menangkap ikan. Menurut mereka, kuala sungai telah menjadi semakin cetek dan dipenuhi pasir yang menghalang pergerakan bot.

Dari segi mengatasi isu kekurangan koordinasi antara jabatan dan pencurian pasir, tindakan Kerajaan Negeri Selangor juga jauh lebih responsif jika berbanding dengan Kerajaan Negeri Pahang. Satu Jawatankuasa Khas diketuai Ketua Setiausaha Negeri, dan melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang sering mengadakan pemantauan bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah ditubuhkan serta merta. Sebaliknya, sehingga hari ini Kerajaan Negeri Pahang belum lagi mengambil apa-apa langkah untuk mengatasi masalah tersebut.

Melaka dengan Pulau Pinang

Struktur pentadbiran yang cekap dan beramanah juga banyak membantu mengangkat status sosioekonomi negeri Pulau Pinang. Agenda Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menekankan kepada prinsip akauntabiliti, ketelusan dan kebertanggungjawaban (CAT) telah terbukti meyakinkan rakyat dan para pelaburnya walaupun memiliki sumber-sumber negeri yang begitu terhad sekali. Apatah lagi bantuan Kerajaan Persekutuan yang dihulurkan adalah tidak ikhlas dan bertujuan memporak-perandakan politik Pakatan Rakyat. Buktinya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempersoalkan kewajaran Kerajaan Persekutuan yang memperuntukan RM200 juta kepada Khazanah Nasional untuk membangunkan dan memulihara lokasi warisan negeri sedangkan peruntukan RM30 juta yang turut dinikmati oleh Kerajaan Negeri Melaka diuruskan sendiri tanpa pihak ketiga.  Adakah tindakan tersebut dianggap hukuman Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional kepada rakyat Pulau Pinang? Walaupun begitu, hal ini langsung tidak menghalang Kerajaan Negeri untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Berlainan pula dengan Kerajaan Negeri Melaka yang mempunyai daya kebergantungan yang tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan untuk menjana pendapatan negerinya. Misalannya, Kerajaan Negeri Melaka memperoleh hasil jualan aset pengurusan air kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM39.73 juta. Mungkinkah tanpa pengambilan aset pengurusan air tersebut, Kerajaan Negeri Melaka akan terus terperangkap dalam hutang serta defisit yang tidak tertanggung? Beberapa kelemahan yang ketara perlu diatasi oleh Kerajaan Negeri Melaka seperti kegagalan monorel menyeberangi Sungai Melaka dan projek Eye on Malaysia yang tergendala sekian lama sekiranya negeri Melaka masih berhasrat menjadi pesaing terdekat kepada negeri Pulau Pinang dalam sektor pelancongan.[8]

PENDEMOKRASIAN

Johor/Pahang dengan Selangor

Dari segi pendemokrasian, adalah jelas bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat, terutamanya Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang masih berada di barisan depan dalam proses pendemokrasian berbanding dengan Negeri-negeri Barisan Nasional. Kerajaan Negeri Selangor telah menerajui dasar dan langkah-langkah berikut yang langsung tidak dihirau oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Johor:

  • Menggubal Akta Kebebasan Maklumat;
  • Memberikan satu pertiga kuota kerusi Ahli Majlis PBT kepada badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO);
  • Enakmen Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor yang memberikan kuasa lebih besar kepada Speaker;
  • Menghidupkan semula SELCAT;
  • Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas (Select Committee) dalam sidang DUN Selangor;
  • Mengumumkan aset Exco Selangor;
  • Menggunakan kuasa MB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk mendedahkan pelbagai penyelewengan yang tertutup sebelum itu, antaranya Yayasan Basmi Kemiskinan, Rancangan Revolusi Hijau di Bukit Cherakah, Projek Perhutanan Semula dan lain-lain.

Di samping itu, antara kelebihan lain Kerajaan Negeri Pulau Pinang jika berbanding dengan Melaka adalah idea demokrasi itu dipraktikan secara terbuka. Walaupun terlalu awal untuk diperkatakan, sekurang-kurangnya sudah ada keazaman politik yang jelas untuk melakukan perubahan pada pihak Pakatan Rakyat. Berikut adalah usaha-usaha Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam agenda pendemokrasian negeri:

  • Membentangkan Enakmen Hubungan Kaum pada tahun hadapan;
  • Pilihanraya Ahli Majlis Tempatan untuk perwakilan masyarakat sivil;
  • Membentangkan Enakmen Kebebasan Maklumat pada tahun 2010.

Kesimpulannya, fakta-fakta di atas menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang diperintah secara lebih berhemat, telus dan cekap berbanding dengan Kerajaan Negeri Johor, Pahang dan Melaka. Laporan Ketua Audit Negara juga memberikan pengiktirafan kepada pengurusan kewangan Negeri Selangor dan Pulau Pinang yang lebih professional. Dari segi pendemokrasian, negeri-negeri tersebut juga mendahului dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dapat menjamin hak rakyat.

Perkembangan-perkembangan tersebut dapat dilihat sebagai pengambil-alihan kerajaan baru yang bergiat merealisasikan janjian kepada rakyat dan masih segar untuk melalukan reformasi tanpa ikatan beban tradisi. Dalam konteks negeri, perkembangan positif pasca 8 Mac 2008 juga dapat dinilai dari sudut kebangkitan sistem dua parti, di mana kewujudan sekatan dan imbangan (check and balance) kuasa menjadikan pihak pemerintah lebih berhat-hati dan segan melakukan kesilapan. Secara keseluruhannya, perbandingan dari segi prestasi kewangan, pentadbiran dan pendemokrasian ini wajar menjadi satu asas rujukan kepada rakyat yang sudah berubah dan belum berubah agar mereka menjadi lebih bijaksana dan termaklum dalam membuat keputusan dalam pilihanraya akan datang.

Rujukan am:

  • Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Johor Tahun 2009
  • Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Johor Tahun 2009
  • Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pahang Tahun 2009
  • Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Pahang Tahun 2009
  • Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Selangor Tahun 2009
  • Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2009
  • Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Melaka Tahun 2009
  • Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2009
  • Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pulau Pinang Tahun 2009
  • Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2009

[1] Analisis Nisbah Semasa adalah untuk mengukur kedudukan kecairan tunai Kerajaan Negeri dalam membiayai jumlah Tanggungan Semasa. Sekiranya nisbah yang dihasilkan melebihi daripada 1, maka ini menunjukkan tanda yang positif dari segi kedudukan kecairan tunai.

[2] Defisit dalam maksud ini mengambil kira perbandingan antara hasil dengan perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri bagi tempoh perakaunan semasa dan tahun sebelumnya untuk mengukur lebihan atau defisit bagi Akaun Hasil Disatukan.

[3] Laporan Ketua Audit Negera, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pahang Tahun 2009, m.s 17

[5] Laporan Ketua Audit Negera, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Johor Tahun 2009, m.s 19

[7] Laporan Ketua Audit Negara, Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2009, m.s 50

 

Advertisements

BENTANG DAN BAHASKAN LAPORAN TAHUNAN DALAM JAWATANKUASA PILIHAN PARLIMEN

Terlebih dahulu, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) ingin merakamkan ‘syabas’ kepada Kerajaan Barisan Nasional yang dapat meluluskan 7 Rang Undang-undang (RUU) dalam tempoh 9 jam pada 15 Dis 2010 ini! Kisah ini menunjukkan betapa ‘cekap’ persidangan dewan di Malaysia sehingga sejumlah 222 Ahli Parlimen hanya diberi ruang 1 jam lebih untuk membahaskan setiap RUU tersebut yang merangkumi peringkat dasar dan jawatankuasa.[1]

Namun begitu, KPRU difahamkan bahawa ‘kecekapan’ tersebut telah diterjemahkan dalam bentuk yang kurang tepat yakni semata-mata untuk mempercepatkan proses meluluskan hal-ehwal kerajaan tanpa menghiraukan kemampuan Ahli-ahli Parlimen untuk mencerna isi kandungan akta-akta tersebut yang akan membawa kesan mendalam kepada rakyat jelata serata negara ini.

Walau bagaimanapun, jika kecekapan persidangan parlimen dianggap begitu penting bagi pihak yang berkuasa, maka KPRU ingin mengingatkan bahawa terdapat banyak ruang dan aspek lain yang boleh dimantapkan dalam urusan hal ehwal parlimen bagi meningkatkan kecekapan dewan, memanfaatkan daya para Ahli Parlimen, dan memastikan hasil perdebatan dan penganalisian yang berlanjut berminggu-minggu adalah berkualiti.

Pada tahun 2009, sebanyak 215 laporan tahunan, penyata dan risalah dalam pelbagai bentuk telah dibentangkan di Dewan Rakyat. Bilangan tersebut kemudian bertambah menjadi 251 bagi tahun 2010. Laporan-laporan tersebut terdiri daripada Laporan Tahunan Agensi Kerajaan, Laporan Tahunan Badan Berkanun Kerajaan, Laporan Ketua Audit Negara dan Maklum Balas, Laporan Ketua Audit Negeri, dan banyak lagi.

Kesemua laporan tahunan yang mengandungi maklumat dan statistik penting seperti prestasi agensi, status kewangan, kegiatan/program yang dijalankan dan hala tuju badan berkanun tersebut tidak pernah diperhalusi oleh dewan ini sejak kemerdekaan. Lima dekad telah berlalu, pelbagai maklumat kritikal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat terlepas begitu sahaja, seakan-akan 251/215 agensi dan badan berkanun kerajaan tersebut tidak pernah wujud.

Hakikat sekarang adalah sukar untuk membahaskan laporan tahunan dalam dewan. Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dibentangkan di dewan sejak tahun 2001. Pihak suruhanjaya telah mencuba nasib selama 10 tahun untuk mendapat kebenaran supaya membahaskan Laporan Tahunan SUHAKAM dalam dewan tetapi masih gagal sehingga hari ini. Alasan yang diberi, lazimnya, adalah perkara tersebut ‘tidak spesifik dan tidak perlu disegerakan’.[2]

Mengikut Laporan Inter-Parliamentary Union (IPU), pembentangan dan perdebatan laporan tahunan adalah perkara yang penting sekali dalam persidangan dewan. Di British, laporan jabatan akan dinilai oleh Jawatankuasa Pilihan (Select Committee), dan jawatankuasa tersebut berkuasa memanggil menteri dan pegawai berkenaan untuk memberi keterangan dan penjelasan.[3] Di Kanada, laporan tahunan syarikat milik kerajaan dan badan berkanun akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan secara automatik.[4]

Maka penelitian dan penilaian laporan tahunan merupakan satu aspek penting dalam urusan parlimen demi menjaga kepentingan rakyat. Berdasarkan pengalaman negara lain, kaedah terbaik untuk meneliti laporan-laporan tahunan tersebut adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan. Memang kurang wajar jika laporan-laporan tahunan dibentang dan dibahaskan oleh kesemua 222 Ahli Parlimen dalam dewan. Andaikan satu laporan tahunan dapat diselesaian setiap hari, dewan yang kini hanya bersidang lebih kurang 70 hari terpaksa bersidang hampir setiap hari kerja supaya dapat menyelesaikan semua laporan tahunan. Maka, penubuhan Jawatankuasa Pilihan yang jelasnya lebih cekap dengan adanya pembahagian tugas menjadi opsyen terbaik buat masa sekarang.

Praktis Parlimen Malaysia kini hanya mempunyai 5 jawatankuasa seperti berikut[5]:

  • Jawatankuasa Pemilih
  • Jawatankuasa Kira-kira Wang
  • Jawatankuasa Peratusan Mesyuarat
  • Jawatankuasa Dewan
  • Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Selain daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) yang diberikan peranan terbatas dan  Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang terkenal dengan menggantung ahli parlimen, jawatankuasa lain tidak memainkan fungsi membantu dewan tetapi sekadar jawatankuasa kosmetik kepada sistem parlimen berdemokrasi Malaysia sahaja. Malahan, Allahyarham Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Ir. Edmund Chong Ket Wah masih dirujuk sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan.[6] Ini menunjukkan betapa ‘pentingnya’ peranan jawatankuasa di dalam mata pihak yang berkuasa!

Dalam kenyataan lepas, KPRU pernah mencadangkan 5 Bidang Politik Utama Negara (NKPA) dalam kenyataan lepas sebagai langkah perintis mengangkat kembali keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara. Antaranya, NKPA ketiga yang bertajuk Pembaharuan dalam Institusi Parlimen menggariskan beberapa cadangan dan inisiatif, iaitu:

  • menubuhkan jawatankuasa pilihan dalam bidang-bidang tertentu;
  • melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) dari kalangan pembangkang;
  • menginstitusikan peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen tanpa mengira partisan;
  • memberikan ruang kepada pembentangan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen Biasa (private members’ bill).

Seandainya Najib begitu berangan-angan melaksanakan ’Model Politik Baru’ ke atas partinya sehingga sanggup menangguhkan pemilihan parti UMNO selama 18 bulan, sudah pasti tuntutan pembaharuan dimensi politik dipandang berat oleh kerajaan. Jika pelaksanaan NKPA dianggap terlalu luas bagi Najib, KPRU di sini mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan untuk meneliti laporan tahunan.

Cadangan ini bukan sahaja dapat menjadikan persidangan parlimen kita lebih produktif, malah juga dapat meneliti 216 laporan-laporan tahunan tersebut yang sebelum ini diabaikan. Apakah Najib dan kerajaan hari ini betul-betul mempunyai keazaman politik untuk memperkenalkan ’Model Politik Batu’? Apakah pembaharuan dimensi politik bukan semata-mata untuk memperkuatkan jentera parti UMNO tetapi juga harus merangkumi institusi-institusi negara?


[1] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 13 Dis 2010

http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-13122010.pdf

[2]Suhakam pushes for Parliament to debate report

http://www.malaysiakini.com/news/144087

[3]“Departmental select committees normally examine departmental reports, and may call ministers and officials to give evidence on spending plans. Ministers also come to the House to make statements on major items of Government policy, and can be questioned on these statements.”

http://www.ipu.org/parline/reports/CtrlParlementaire/2335_F.htm

[4]“With respect to public companies (crown corporations), a consolidated report on the businesses and activities of all parent crown corporations (including other corporate interests of Canada), as well as a report indicating when annual reports and corporate plan and budget summaries were to be (and when they were actually) laid before each house (for the period ending on 31 July), are tabled annually. These reports are automatically referred to the appropriate standing committees.”

http://www.ipu.org/parline-e/reports/CtrlParlementaire/2056_F.htm

RESPONS KEPADA NEM BAHAGIAN II: NEM2 SEKADAR BAHAN KOSMETIK TANPA ILTIZAM PELAKSANAAN

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merakamkan penghargaan kepada badan bebas penasihat Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) yang berjaya membentangkan Bahagian Kedua Model Ekonomi Baru (NEM2) walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan dalaman daripada Kerajaan UMNO/Barisan Nasional. Namun begitu, adakah Najib dan UMNO/Barisan Nasional mempunyai keazaman politik untuk melaksanakan cadangan-candangan bernas tersebut masih menjadi tanda tanya. Persoalannya, apakah Najib dan barisannya sedia menerima teguran MPEN dan menjalankan agenda pembaharuan, ataupun terus diheret oleh pertubuhan seperti PERKASA yang anti-reformasi, di samping turut menunduk kepada kroni dan hulubalang politik UMNO/BN?

Keraguan ini bukan sekadar persepsi rakyat jelata, tetapi juga tertanam dalam sanubari pelabur-pelabur swasta dan asing. Kenyataan NEM2 bahawa “Given the high level of current private sector skepticism” (m.s i) (ataupun keraguan pihak swasta yang berada pada tahap tinggi) memang bukan satu persepsi, tetapi juga satu realiti. NEM2 melaporkan bahawa Malaysia sekarang mempunyai 445 Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) (m.s 18). Maka tujuan Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah untuk memastikan peranan pembangunan ekonomi dipikul semula oleh pihak swasta. Malahan, pelaksanaan pelbagai Projek Permulaan (EPP) melihatkan kebanyakan projek mega dianugeahkan tanpa elemen ketelusan dan pembidaan terbuka seperti berikut:

  • Projek MRT (RM 43 bilion) – diberikan kepada Gamuda dan MMC Corp tanpa tender terbuka;
  • 3,330 ekar Tanah Sungai Buloh – diberikan kepada KWSP tanpa tender terbuka;
  • Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) (RM26 bilion) – diberikan kepada 1MDB dan Mubadala tanpa tender terbuka.

Di samping itu, penggabungan syarikat-syarikat hartanah gergasi kebelakangan ini, misalnya antara UEM Land dengan Sunrise, dan MRCB dengan IJM bukan sahaja tidak membawa ruang yang lebih besar kepada pihak swasta untuk menerajui pembangunan, malah ruang mereka semakin terhimpit dan kesan crowd-out akan bertambah serius. Fenomena bahawa pihak swasta menjadi semakin terhimpit dan kerajaan menjadi semakin besar tidak lain tidak bukan berpunca daripada budaya rent-seeking dan politik naungan yang diamalkan oleh kerajaan UMNO/BN sekarang.

Selain itu, sekali lagi NEM2 berbicara tentang betapa pentingnya untuk mengadakan satu proses pembidaan terbuka (m.s 22) dan dasar perolehan yang telus (m.s 62). Malahan, jika tren tindak laku kerajaan kebelakangan ini diteliti, jelasnya bahawa unsur ketelusan dan dasar pembidaan terbuka masih dibelakangkan. Akta Rahsia Rasmi telah diwujudkan oleh kerajaan UMNO/BN selama 38 tahun. Di sebaliknya, Negeri Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat telah meluluskan Akta Kebebasan Maklumat dikuti oleh Negeri Pulau Pinang. Perbezaan jelas ini menunjukkan UMNO/BN masih tidak menunjukkan sebarang minat untuk memperbaiki akta kolot sebegini supaya ketelusan dapat diketengahkan.

Oleh yang demikian, meskipun kebanyakan cadangan-cadangan  NEM2 dianggap bernas dan sahih, tetapi KPRU berpendapat bahawa jika ’pelaksana’ tidak mempunyai iltizam untuk menjalankan reformasi berbentuk struktur dan pembaharuan institusi, NEM2 akan diperalatkan oleh pihak pemerintah menjadikannya bahan kosmetik, dan sikap penafian dan pengabaian akan terus berlaku. Akibatnya NEM2 akan mengalami nasib yang sama dengan NEM1 – tanpa diketengahkan dan dilaksanakan sebagai “dasar utama negara”!