BENTANG DAN BAHASKAN LAPORAN TAHUNAN DALAM JAWATANKUASA PILIHAN PARLIMEN

Terlebih dahulu, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) ingin merakamkan ‘syabas’ kepada Kerajaan Barisan Nasional yang dapat meluluskan 7 Rang Undang-undang (RUU) dalam tempoh 9 jam pada 15 Dis 2010 ini! Kisah ini menunjukkan betapa ‘cekap’ persidangan dewan di Malaysia sehingga sejumlah 222 Ahli Parlimen hanya diberi ruang 1 jam lebih untuk membahaskan setiap RUU tersebut yang merangkumi peringkat dasar dan jawatankuasa.[1]

Namun begitu, KPRU difahamkan bahawa ‘kecekapan’ tersebut telah diterjemahkan dalam bentuk yang kurang tepat yakni semata-mata untuk mempercepatkan proses meluluskan hal-ehwal kerajaan tanpa menghiraukan kemampuan Ahli-ahli Parlimen untuk mencerna isi kandungan akta-akta tersebut yang akan membawa kesan mendalam kepada rakyat jelata serata negara ini.

Walau bagaimanapun, jika kecekapan persidangan parlimen dianggap begitu penting bagi pihak yang berkuasa, maka KPRU ingin mengingatkan bahawa terdapat banyak ruang dan aspek lain yang boleh dimantapkan dalam urusan hal ehwal parlimen bagi meningkatkan kecekapan dewan, memanfaatkan daya para Ahli Parlimen, dan memastikan hasil perdebatan dan penganalisian yang berlanjut berminggu-minggu adalah berkualiti.

Pada tahun 2009, sebanyak 215 laporan tahunan, penyata dan risalah dalam pelbagai bentuk telah dibentangkan di Dewan Rakyat. Bilangan tersebut kemudian bertambah menjadi 251 bagi tahun 2010. Laporan-laporan tersebut terdiri daripada Laporan Tahunan Agensi Kerajaan, Laporan Tahunan Badan Berkanun Kerajaan, Laporan Ketua Audit Negara dan Maklum Balas, Laporan Ketua Audit Negeri, dan banyak lagi.

Kesemua laporan tahunan yang mengandungi maklumat dan statistik penting seperti prestasi agensi, status kewangan, kegiatan/program yang dijalankan dan hala tuju badan berkanun tersebut tidak pernah diperhalusi oleh dewan ini sejak kemerdekaan. Lima dekad telah berlalu, pelbagai maklumat kritikal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat terlepas begitu sahaja, seakan-akan 251/215 agensi dan badan berkanun kerajaan tersebut tidak pernah wujud.

Hakikat sekarang adalah sukar untuk membahaskan laporan tahunan dalam dewan. Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dibentangkan di dewan sejak tahun 2001. Pihak suruhanjaya telah mencuba nasib selama 10 tahun untuk mendapat kebenaran supaya membahaskan Laporan Tahunan SUHAKAM dalam dewan tetapi masih gagal sehingga hari ini. Alasan yang diberi, lazimnya, adalah perkara tersebut ‘tidak spesifik dan tidak perlu disegerakan’.[2]

Mengikut Laporan Inter-Parliamentary Union (IPU), pembentangan dan perdebatan laporan tahunan adalah perkara yang penting sekali dalam persidangan dewan. Di British, laporan jabatan akan dinilai oleh Jawatankuasa Pilihan (Select Committee), dan jawatankuasa tersebut berkuasa memanggil menteri dan pegawai berkenaan untuk memberi keterangan dan penjelasan.[3] Di Kanada, laporan tahunan syarikat milik kerajaan dan badan berkanun akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan secara automatik.[4]

Maka penelitian dan penilaian laporan tahunan merupakan satu aspek penting dalam urusan parlimen demi menjaga kepentingan rakyat. Berdasarkan pengalaman negara lain, kaedah terbaik untuk meneliti laporan-laporan tahunan tersebut adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan. Memang kurang wajar jika laporan-laporan tahunan dibentang dan dibahaskan oleh kesemua 222 Ahli Parlimen dalam dewan. Andaikan satu laporan tahunan dapat diselesaian setiap hari, dewan yang kini hanya bersidang lebih kurang 70 hari terpaksa bersidang hampir setiap hari kerja supaya dapat menyelesaikan semua laporan tahunan. Maka, penubuhan Jawatankuasa Pilihan yang jelasnya lebih cekap dengan adanya pembahagian tugas menjadi opsyen terbaik buat masa sekarang.

Praktis Parlimen Malaysia kini hanya mempunyai 5 jawatankuasa seperti berikut[5]:

  • Jawatankuasa Pemilih
  • Jawatankuasa Kira-kira Wang
  • Jawatankuasa Peratusan Mesyuarat
  • Jawatankuasa Dewan
  • Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Selain daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) yang diberikan peranan terbatas dan  Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang terkenal dengan menggantung ahli parlimen, jawatankuasa lain tidak memainkan fungsi membantu dewan tetapi sekadar jawatankuasa kosmetik kepada sistem parlimen berdemokrasi Malaysia sahaja. Malahan, Allahyarham Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Ir. Edmund Chong Ket Wah masih dirujuk sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan.[6] Ini menunjukkan betapa ‘pentingnya’ peranan jawatankuasa di dalam mata pihak yang berkuasa!

Dalam kenyataan lepas, KPRU pernah mencadangkan 5 Bidang Politik Utama Negara (NKPA) dalam kenyataan lepas sebagai langkah perintis mengangkat kembali keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara. Antaranya, NKPA ketiga yang bertajuk Pembaharuan dalam Institusi Parlimen menggariskan beberapa cadangan dan inisiatif, iaitu:

  • menubuhkan jawatankuasa pilihan dalam bidang-bidang tertentu;
  • melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) dari kalangan pembangkang;
  • menginstitusikan peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen tanpa mengira partisan;
  • memberikan ruang kepada pembentangan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen Biasa (private members’ bill).

Seandainya Najib begitu berangan-angan melaksanakan ’Model Politik Baru’ ke atas partinya sehingga sanggup menangguhkan pemilihan parti UMNO selama 18 bulan, sudah pasti tuntutan pembaharuan dimensi politik dipandang berat oleh kerajaan. Jika pelaksanaan NKPA dianggap terlalu luas bagi Najib, KPRU di sini mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan untuk meneliti laporan tahunan.

Cadangan ini bukan sahaja dapat menjadikan persidangan parlimen kita lebih produktif, malah juga dapat meneliti 216 laporan-laporan tahunan tersebut yang sebelum ini diabaikan. Apakah Najib dan kerajaan hari ini betul-betul mempunyai keazaman politik untuk memperkenalkan ’Model Politik Batu’? Apakah pembaharuan dimensi politik bukan semata-mata untuk memperkuatkan jentera parti UMNO tetapi juga harus merangkumi institusi-institusi negara?


[1] Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 13 Dis 2010

http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-13122010.pdf

[2]Suhakam pushes for Parliament to debate report

http://www.malaysiakini.com/news/144087

[3]“Departmental select committees normally examine departmental reports, and may call ministers and officials to give evidence on spending plans. Ministers also come to the House to make statements on major items of Government policy, and can be questioned on these statements.”

http://www.ipu.org/parline/reports/CtrlParlementaire/2335_F.htm

[4]“With respect to public companies (crown corporations), a consolidated report on the businesses and activities of all parent crown corporations (including other corporate interests of Canada), as well as a report indicating when annual reports and corporate plan and budget summaries were to be (and when they were actually) laid before each house (for the period ending on 31 July), are tabled annually. These reports are automatically referred to the appropriate standing committees.”

http://www.ipu.org/parline-e/reports/CtrlParlementaire/2056_F.htm

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s