Isu FBC Media: PENYELEWENGAN WANG RAYAT UNTUK PROPAGANDA POLITIK ATAU PERUNTUKAN UNTUK KEPENTINGAN NEGARA?

Baru-baru ini, dunia kewartawanan bersifat penyiasatan dipelopori SarawakReport[1] menyaksikan pendedahan skandal penyelewengan wang rakyat (baca: pembayar cukai) sebanyak RM57.68 juta[2] dalam projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ yang juga merupakan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited, yakni sebuah firma media dan hiburan di Eropah. Terdapat kemusykilan berkaitan wang rakyat dipergunakan oleh pemimpin kerajaan untuk kepentingan politik tetapi bertopengkan nama ‘negara’.

Walaupun defisit fiskal negara kekal tinggi sejak pasca krisis kewangan 1997/98 sehingga hari ini, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering berbicara mengenai keazaman kerajaan untuk mengurangkan deficsit fiskal, tetapi pendedahan demi pendedahan kes-kes tertentu masih menunjukkan bahawa kerajaan hari ini terlibat dengan pembaziran atau dakwaan penyelewengan wang rakyat untuk projek-projek yang tidak diketahui butirannya. Semuanya kononnya atas nama kepentingan negara atau pembangunan negara.

Dalam pendedahan baru-baru ini, kerajaan didakwa ‘mendahulukan rakyat’ dengan membelanjakan wang rakyat dalam kempen publisiti politik kotor. Kerajaan menyatakan projek berkaitan berfungsi untuk mengendalikan kempen media di peringkat antarabangsa dan menjalankan beberapa aktiviti promosi Malaysia. Namun demikian, SarawakReport telah mendedahkan bahawa apa yang dikendalikan oleh projek tersebut bercorak aktiviti politik kotor yang melibatkan serangan peribadi dan publisiti palsu melalui program televisyen dan blog.

Kajian yang dijalankan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati, terdapat sekurang-kurangnya tiga peruntukan Belanjawan Negara yang melibatkan projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ atau FBC Media. ketiga-tiga peruntukan tersebut didapati termaktub dalam Maksud B.6 yang merujuk kepada perbelanjaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Apa yang menarik perhatian adalah, ketiga-tiga peruntukan tersebut bukan termaktub dalam belanjawan tahunan negara atau Akta Perbekalan tetapi termaktub dalam belanjawan tambahan atau Akta Perbekalan Tambahan.

Dengan kata lain, ketiga-tiga peruntukan tersebut termaktub dalam Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009, Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010 dan Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010. Maksud-maksud berkaitan berbunyi seperti berikut:

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2008) 2009

Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM29,337,650 adalah untuk kos perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited bagi melaksanakan projek Global Strategic Communications tahun 2008.

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2009) 2010

Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM28,350,000 untuk membiayai kos perjanjian pelaksanaan projek Global Strategic Communications Campaign antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited bagi tahun 2009.

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2010) 2010

Maksud B.06 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM42,000,000 adalah dikehendaki untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.

Merujuk kepada kertas perintah berkenaan dengan Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009 dan Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010, RM57.68 juta telah dibayar oleh JPM antara tahun 2008 hingga 2009 kepada FBC Media untuk menjalankan projek ‘Global Strategic Communications Campaign’. RM29,337,650 telah dibayar pada tahun 2008 dan RM28,350,000 telah dibayar pada tahun 2009.

Merujuk kepada Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010, timbul kemusykilan berhubung kaitan antara FBC Media dengan peruntukan sebanyak RM42,000,000 untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.

Ketiga-tiga kertas perintah Akta Perbekalan Tambahan di atas jelas menunjukkan jumlah perbelanjaan yang telah dipergunakan oleh pemimpin kerajaan. Projek yang melibatkan dana sebesar ini sememangnya memerlukan semakan atas prinsip akauntabiliti atau kebertanggungjawaban yang lebih terbuka. Sehingga kini, kita tidak jelas akan perbelanjaan sebenar dan aktiviti yang dijalankan di bawah projek tersebut. Selanjutnya, sebuah firma komunikasi awam dan hal ehwal strategi di Amerika Syarikat, APCO Worldwide telah didedahkan berkhidmat kepada FBC Media dengan bayaran $70,000 dalam tempoh dua tahun yang lalu untuk menjalankan kempen melobi di Amerika Syarikat bagi Kerajaan Malaysia.

Dengan yuran sebesar USD70,000 itu, antara perkhidmatan yang diberikan kononnya untuk mendukung dan mengangkat kempen Kerajaan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang pro-perniagaan, pro-pelaburan, pro-reform dan juga beberapa syor untuk menangani aktiviti pencegahan keganasan. Apakah serangan peribadi terhadap pemimpin politik negara ini juga dianggap sebagai ‘menangani aktiviti pencegahan keganasan’?

Tambahan lagi, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga didedahkan membayar FBC Media sebanyak RM15 juta setahun untuk menjalankan kempen media secara haram memandangkan beliau sedang mengalami krisis publisiti berhubung tuduhan rasuah. SarawakReport mempunyai maklumat eksklusif yang dipersetujui antara FBC Media dan Taib Mahmud. Dalam surat kepada Ketua Menteri pada bulan Januari, Pengerusi FBC Media, Alan Friedman, berikrar untuk berusaha menangkis ‘persepsi negatif dan kepalsuan’ yang telah merebak tidak adil mengenai perkara-perkara alam sekitar seperti empangan Bakun, perlombongan, pembalakan dan perladangan kelapa sawit dan juga akan menentang tuduhan-tuduhan rasuah mengenai Taib Mahmud. FBC Media kemudian akan ‘melantun kembali’ maklumat tersebut ke dalam akhbar Sarawak, pengiktirafan antarabangsa ini sekaligus membawa hasil yang positif untuk rakyat Sarawak.[3] Lantaran itu, pelbagai persoalan timbul terutamanya isu bagaimana wang rakyat telah diselewengkan untuk membaiki reputasi diri pemimpin politik atas nama ‘negara’.

Menurut laporan The Malaysian Insider pada 12 Ogos 2011 , Kerajaan Malaysia telah menamatkan kontrak dengan FBC Media selepas pendedahan skandal ini. The Malaysian Insider difahamkan bahawa JPM menamatkan kontrak dengan FBC Media kerana JPM telah mempunyai orang yang cukup untuk mengendalikan publisiti di dalam dan luar Negara.[4] Namun demikian, KPRU tidak menganggap ini sebagai kata penutup kepada skandal tersebut. Kerajaan harus memberikan penjelasan kepada rakyat.

Masih banyak persoalan yang menanti jawapan JPM khususnya Perdana Menteri (PM) Najib. Antaranya, bilakah projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media mula dilaksanakan? Berapa lama sebenarnya tempoh kontrak perkhidmatan FBC Media? Berapakah jumlah bayaran sebenar oleh JPM kepada FBC Media?

Untuk menjelaskan pelbagai kemusykilan dan persoalan yang timbul, JPM harus mengumumkan segala butiran kontrak antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media, termasuk juga aktiviti yang telah dijalankan oleh APCO dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang pro-perniagaan, pro-pelaburan, dan pro-reform? Setelah menggunakan perkhidmatan FBC Media, sejauh mana persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia telah diperbaiki? Contohnya, apakah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia ekoran kes kematian Altantuya?

FBC Media juga didapati berhubung dengan sepasukan blogger yang dipimpin oleh Josh Trevino, kononnya menjalankan kempen publisiti untuk Kerajaan Malaysia tetapi melakukan fitnah dan serangan peribadi terhadap musuh politik rejim pemerintah di Malaysia (baca: UMNO-Barisan Nasional (BN)). Laman web bernama New Ledger di bawah penyeliaan Josh Trevino, terdapat anggotanya, Rachel Motte, Christopher Badeaux, Leon Wolf dan Brad Jackson yang ditugaskan menulis artikel fitnah dalam blog. Mereka adalah golongan yang tidak berprofil di Amerika Syarikat dan bukan kepakaran yang diiktiraf di Malaysia. New Ledger cuba untuk memusnahkan imej Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Amerika Syarikat. Tambahan pula, dengan mengeksploitasi prejudis dan kejahilan di Amerika Syarikat, agenda yang jelas dan sengaja telah mewujudkan ketakutan dan kebencian terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

SarawakReport telah mendapat laporan daripada orang-orang yang dekat dengan BN bahawa Josh Trevino telah ditauliahkan untuk menjalankan operasi blog yang dinyatakan dalam kontrak Media FBC dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan Malaysia. Ini terus disokong dengan bukti daripada gambar secara online. Josh telah menunjukkan kepada dunia bagaimana beliau dan Alan Friedman dan rakan sekerja FBC, Emily Lightfoot telah berkumpul bersama-sama di Putrajaya pada bulan Jun 2008. Juga terdapat banyak bukti bahawa Josh Trevino berhubungan rapat dengan Presiden FBC Media, John Defterios.

Berhubung dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia membayar penulis-penulis blog ini melalui FBC Media yang berhubungan dengan Josh Trevino. Josh Trevino tidak lama dahulu telah menawarkan semua perbelanjaan dibayar bagi penulis blog rakan-rakannya ke Malaysia sebagai pulangan terhadap penulisan dalam blog mereka.[5]

Skandal ini juga mempunyai kaitan dengan beberapa rangkaian penyiaran yang paling berprestij di dunia, termasuk CNBC, CNN, dan BBC World yang disokong oleh kerajaan British. Stesen-stesen tersebut telah menjalankan program-program yang ditauliahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada FBC Media. Selepas pendedahan oleh SarawakReport bagi kempen ‘haram’ (illegal) antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media, CNBC dan BBC World telah membatalkan program FBC Media dan mengadakan penyiasatan tentang insiden ini. Menurut undang-undang penyiaran, syarikat penyiaran seperti CNBC dan BBC harus bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa perlesenan penyiaran tentang kandungan program mereka. Justeru, bagaimana mereka boleh membenarkan program yang bersifat ‘haram’ antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media ditayangkan sekian lama ini? CNBC juga dipersoalkan untuk memberi kenyataan kepada awam bahawa siapa yang mentauliahkan program ‘World Business’ daripada FBC Media? [6]

CNN adalah satu lagi syarikat yang mempunyai banyak rangkaian hubungan dengan FBC Media. CNN telah menyatakan bahawa tidak ada kandungan yang songsang etika dalam pengaturcaraan mereka. Tiada kontrak antara CNN dengan FBC Media untuk menjalankan apa-apa kandungan editorial yang berkaitan dengan Malaysia. John Defterios adalah pengurus yang mengendalikan kebanyakan program perniagaan CNN. Peranan John Defterios amat dicurigakan, beliau juga merupakan Presiden FBC Media yang menyelia pengaturcaraan. Beliau dikatakan telah memutuskan hubungan dengan FBC Media dan bekerja sepenuh masa di CNN. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang yakin menunjukkan John Defterios memutuskan hubungan dengan FBC. Sebaliknya, beliau terus diiklankan di laman web mereka sebagai Presiden Kumpulan dan menyelia semua operasi dan beliau terus didaftarkan sebagai pengarah dan pemegang saham kedua-dua FBC Media dan syarikat induk FBC di UK. Tambahan pula, isterinya, Manuela Mirkos, kekal sebagai ahli sepenuh masa dalam syarikat itu.[7] Terdapat dakwaan bahawa John Defterios merupakan orang yang dibayar oleh tokoh politik Malaysia dalam menjalankan program publisti ‘haram’ dalam CNN.

Kata tutupnya, KPRU berharap, JPM khususnya PM Najib tidak lagi senyap atau cuba mengetepikan isu ini. Beliau wajar memberi respons berhubung persoalan bagaimana wang rakyat dibelanjakan dalam perkara di atas. Bukankah respons PM adalah begitu penting dalam isu ini ekoran liputan luas oleh media antarabangsa berkenaan isu ini?[8]


[8] Antara liputan media antarabangsa:

 

Advertisements

Pakatan Malaysia Airlines dan AirAsia: BERBAU MONOPOLISTIK ATAU MENYELAMATKAN EKONOMI NEGARA?

Umum sedia maklum bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Malaysia Airlines ini merupakan tunggak kepada amalan monopoli di mana sebelum kehadiran AirAsia dalam industri penerbangan di Malaysia, Malaysia Airlines mempunyai hak kepada kesemua pasaran penerbangan di Malaysia. Di samping itu, GLC yang merupakan kuasa utama dalam menjana ekonomi negara ini dijangkiti dengan campur tangan politik yang berleluasa. Akibat campur tangan politik yang tidak terkawal ini, Malaysia Airlines mengalami lebih banyak kerugian daripada merasai keuntungan. Ini berlaku akibat campurtangan politik yang membawa kepada pengurusan yang tidak cekap mahupun sistematik. Sebuah aset negara telah dipermainkan untuk menguntungkan pihak – pihak tertentu sahaja dan tidak dirasai oleh rakyat negara ini.

Oleh itu, pada 9 Ogos 2011[1], dunia industri penerbangan telah dikejutkan dengan penukaran saham di antara dua syarikat penerbangan Malaysia iaitu Malaysia Airlines dan AirAsia Bhd. Penukaran saham menjaminkan Tony Fernandes akan memegang 20% saham dalam Malaysia Airlines dan Khazanah, pemegang saham terbesar dalam Malaysia Airlines akan memegang saham sebanyak 10% dalam Tune Air, pemegang saham terbesar dalam AirAsia Bhd.

Orang awam telah diberikan jaminan kononnya pakatan dua syarikat penerbangan ini tidak akan membawa kepada amalan monopoli akan tetapi Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) tidak diyakini dengan jaminan ini atas beberapa kekhuatiran-kekhuatiran yang akan dijelaskan di bawah.

Kesan pakatan dua syarikat penerbangan ini membawa kepada kekurangan persaingan yang sihat dalam industri penerbangan dalam Malaysia.  Persaingan sihat telah diketengahkan sebagai wacana baharu dalam kerangka pembangunan ekonomi melalui penggubalan Akta Persaingan 2010 yang diluluskan pada bulan Mei 2010 dan berkuatkusa pada 1 Januari 2012.

Wacana di sebalik penggubalan Akta Persaingan 2010 adalah bahawa negara perlu memainkan peranan untuk menyediakan suasana persekitaran ekonomi yang menggalakkan persaingan yang sihat untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya menggalakkan amalan monopoli yang membantutkan semangat persaingan kompetitif yang sihat.

Menurut Rancangan Malaysia yang ke-10, persaingan yang sihat diperlukan untuk mewujudkan suasana ekonomi yang lebih cekap dan dinamik. Akta Persaingan 2010 ini menggalakkan persekitaran kompetitif yang sihat dan memberikan pelabur-pelabur asing dan tempatan lebih keyakinan untuk melabur di Malaysia. Peniaga yang melabur ke dalam negara Malaysia tanpa halangan (baca: dalam kes ini, monopoli) ini akan membolehkan negara menikmati pertumbuhan ekonomi.

Pengguna juga mendapat barangan dengan harga yang lebih rendah dengan pilihan yang banyak. Persekitaran kompetitif ini menggalakkan pembangunan produk yang baru dengan kualiti yang tinggi. Tanpa persaingan yang sihat, peniaga tidak akan menitikberatkan hak memilih para pengguna. Sebaliknya, dalam kes ini, kuasa monopoli berkemungkinan besar membawa kepada kenaikan harga, penurunan kualiti produk, pengurangan laluan penerbangan dan penurunan perkhidmatan penerbangan dua syarikat penerbangan ini dalam jangka masa panjang. Apa yang bakal disaksikan dalam jangka masa pendek tidak dapat menjamin perubahan dan hala tuju yang mungkin menguntungkan pihak tertentu tetapi merugikan rakyat dalam jangka masa panjang.

Ekoran penggubalan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan amalan monopoli boleh membuat aduan kepada Tribunal Rayuan Persaingan. Di samping Tribunal Rayuan Persaingan, kerajaan juga memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Persaingan. Tribunal Rayuan Persaingan[2] ini boleh digunapakai oleh mana – mana pihak yang hendak mengutarakan aduan mengenai mana – mana perniagaan yang tidak bertindak dalam kepentingan para pengguna.

Menurut Fasal 5 Akta Suruhanjaya Persaingan 2010[3], termaktub di bawah seksyen keanggotaan Suruhanjaya, “Suruhanjaya hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut yang hendaklah dilantik oleh Perdana Menteri atas syor Menteri.”[4] Menteri dan Timbalan Menteri bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ialah Dato’ Sabri bin Yaakob, Dato’ Tan Lian Hoe dan Dato’ Rohani binti Abdul Karim.

Suruhanjaya[5] ini dipengerusikan oleh bekas hakim Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob dan anggota-anggota suruhanjaya yang dilantik ialah Ketua Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan anggota Majlis Perundingan Ekonomi Kebangsaan, Datuk Dr Michael Yeoh, bekas Dekan Fakulti Undang-undang UM dan kini Naib Presiden Hal Ehwal Akademik Nilai International College, Datuk Dr Sothi Rachagan, serta Dekan Graduate School of Business Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datin Dr Hasnah Haron.

Anggota suruhanjaya lain pula terdiri daripada bekas Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, bekas peguam Abd Malek Ahmad dan wakil kerajaan iaitu wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), wakil Jabatan Peguam Negara dan wakil Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Suruhanjaya ini haruslah menjawab kepada tuntutan rakyat untuk mengendalikan isu monopoli dan mengeluarkan laporan untuk samada sesuatu aktiviti pakatan merupakan langkah yang membawa kebaikan kepada rakyat atau ia hanyalah perjanjian perniagan yang berbau monopolistik yang akan menguntungkan pihak – pihak tertentu sahaja.

Melihat kepada perkembangan isu MAS/AirAsia setakat ini, KPRU ingin melontarkan beberapa persoalan seperti berikut:

  1. Adakah Menteri dan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersetuju dengan perjanjian pertukaran saham MAS-AirAsia? Dan apakah pendirian Menteri dan Timbalan Menteri terhadap kebimbangan berlakunya monopoli yang tidak sejajar dengan wacana baharu pembangunan ekonomi berteraskan semangat persaingan sihat?
  1. KPRU mengalu-alukan anggota-anggota Suruhanjaya Persaingan memberi pandangan profesional mereka terhadap prestasi AirAsia dan Malaysia Airlines sebelum dan selepas pakatan ini untuk memberi penjelasan yang lebih komprehensif kepada orang awam mengenai kesan pakatan ini kepada indusri penerbangan di Malaysia dan kesan pakatan ini kepada para pengguna dan juga para pekerja kedua-dua syarikat penerbangan ini.

Isu monopoli ini membawa kepada bagaimana Tony Fernandes membeli dan membayar hutang AirAsia[6] untuk menjadikannya satu syarikat penerbangan yang disegani dunia, maka persoalaanya ialah, adakah dengan membeli 20% saham dalam Malaysia Airlines, Tony Fernandes akan membayar hutang yang dialami oleh Malaysia Airlines, atau memonopoli industri penerbangan dengan menjadi pemilik sebenar Malaysia Airlines dan bukannya Khazanah? Dan adakah kesudahan ini akan membawa kepada monopoli satu entiti ‘syarikat penerbangan beraja’ di Malaysia?

Pakatan bersifat monopolistik akan memberi kesan kepada kecekapan operasi Malaysia Airlines dari empat sudut.

Sudut pertama ialah Nisbah Revex atau nisbah jumlah pendapatan operasi sebagai peratusan daripada jumlah mengurus Malaysia Airlines. Apabila AirAsia memasuki gambaran ini, dan laluan–laluan dibahagikan dengan tetap, adakah Nisbah Revex Malaysia Airlines akan terjejas? Adakah ia akan berkurangan dengan AirAsia mengambil alih beberapa laluan penerbangan yang akan menguntungkan AirAsia akibat beberapa laluan udara yang bertindih di antara FireFly dan AirAsia?

 

Sumber: Malaysia Airlines (2001-2009)[7]

Seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 1 di atas, status kewangan bagi tempoh tahun 2001 hingga 2009 yang lepas menunjukkan Malaysia Airlines mengalami kerugian atau tren keuntungan menurun setiap tahun. KPRU berpendapat, dakwaan bahawa pakatan di antara Malaysia Airlines dan AirAsia dapat membantu status kewangan Malaysia Airlines masih tidak terjawab dan tidak terjamin. Jadual 2 di bawah menunjukkan tren hutang jangka masa panjang Malaysia Airlines yang semakin meningkat.


http://active.boeing.com/commercial/orders/summaries.cfm[8]

Adakah ia berbaloi untuk meletakkan status kewangan Malaysia Airlines pada syarikat penerbangan yang lain iaitu Tony Fernandes, pemilik kepada syarikat pesaing terdekat Malaysia Airlines? Adakah pakatan ini akan berjaya membantu Malaysia Airlines atau adakah ia akan membantu kapitalis tertentu dengan memberinya kuasa bermonopoli dalam industri penerbangan di pasaran penerbangan kecil seperti di Malaysia ini?

Keduanya ialah, dari sudut produktiviti. AirAsia telah berjaya mendapat hasil keuntungan sebanyak RM1.06 bilion untuk tahun 2010[9] manakala Malaysia Airlines hanya berjaya meraih keuntungan sebanyak RM233 juta sehingga bulan September 2010[10]. Dengan AirAsia mempunyai prestasi produktiviti yang lebih kukuh daripada Malaysia Airlines, adakah pakatan ini lebih menguntungkan prestasi AirAsia? Berikutan perkembangan bahawa Tony Fernandes akan memegang jawatan dalam lembaga pengarah Malaysia Airlines, adakah ini memberi ruang kepada beliau untuk membuat keputusan mudah yang akan menguntungkan lagi prestasi AirAsia? Di mana semangat dan wacana baharu persaingan yang wajar tertanam dalam kerangka pembangunan ekonomi negara berikutan penggubalan Akta Persaingan 2010?

Sudut ketiga ialah faktor pembawaan penumpang di mana AirAsia telah memesan 200 [11] kapal terbang A230 Airbus untuk mengembangkan armada kapal terbangnya manakala Malaysia Airlines dalam proses untuk menggantikan kapal terbang Boeing 747 dan 777 yang berusia lebih dari 20 tahun. Dalam kata erti yang lain, AirAsia mempunyai faktor pembawaan penumpang yang lebih tinggi daripada Malaysia Airlines dan lebih 200 kapal terbang A230 Airbus ini akan menguntungkan syarikat penerbangan AirAsia daripada Malaysia Airlines dalam pakatan dua syarikat penerbangan ini.

Sudut yang terakhir ialah hasil penumpang di mana Malaysia Airlines mempunyai bilangan yang lebih sedikit daripada AirAsia iaitu untuk tahun 2010, AirAsia mempunyai 15.23 juta penumpang; 7.2 juta penumpang antarabangsa dan 8.03 juta merupakan penumpang tempatan. Manakala Malaysia Airlines membawa 7.32 juta penumpang antarabangsa dan 6.5 juta penumpang tempatan[12].

Perkembangan terbaru di mana Menteri Pengankutan Datuk Seri Kong Cho Ha[13] telah mengesahkan bahawa akan berlaku kenaikan dalam cukai lapangan terbang serta mesyuarat[14] di antara Malaysia Airlines dan FireFly juga cenderung ke arah memperkukuh suasana monopolistik dalam industri penerbangan. Ketidakpastian mengenai mesyuarat ini juga membawa kepada pengurangan keyakinan rakyat dalam pakatan ini. Perkembangan ini tidak menggalakkan wacana konsumerisme tetapi menggalakkan suasana korporat yang akan menjejaskan hak – hak pengguna. Hak – hak pengguna diketepikan untuk meraih keuntungan yang hanya akan dirasai oleh pihak – pihak tertentu dan bukannya rakyat negara ini.

Apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menukarkan perkataan konsumer kepada konsumerisme[15], ia adalah untuk menggalakkan dan melindungi hak – hak pengguna dari suasana korporat akan tetapi pakatan di antara AirAsia dan Malaysia Airlines merupakan perlakuan bercanggah dengan pendirian kementerian.

Pakatan ini yang dibuat tanpa mengambil kira kehendak para pengguna mahupun para pekerja kedua–dua syarikat penerbangan ini telah mengundang bantahan dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). DPMM mengutarakan bantahan mereka atas sebab pakatan ini seperti menjual aset rakyat kepada pihak lain dan menjatuhkan maruah syarikat penerbangan nasional serta ia menunjukkan seolah–olah ia gagal diurus dengan baik.[16]

Pakatan kedua–dua syarikat penerbangan ini menunjukkan bagaimana kerajaan dengan niat menjual aset rakyat yang mereka gagal untuk menguruskan dengan baik kepad pihak ketiga. KPRU ingin menegaskan sekali lagi, ia seolah–olah kerajaan melepas batuk di tangga dan sudah tidak mahu mengambil tanggungjawab untuk menguruskan Malaysia Airlines dengan lebih cekap dan sistematik. Ia merupakan tanggungjawab kerajaan dan juga negara untuk menjaga kepentingan rakyat untuk menyediakan suasana persaingan sihat bagi menjana ekonomi yang akan membangunkan negara dan bukan untuk mewujudkan suasana monopolistik yang menguntung pihak–pihak tertentu sahaja.

Kata tutupnya, pakatan ini tidak dilakukan dengan niat hendak menjaga kepentingan rakyat. Sebaliknya, ia sekali lagi berbau politk naungan ekoran tertanamnya budaya rent-seeking yang menyokong pewujudan suasana monopolistik dan dilakukan untuk menguntungkan pihak tertentu sahaja. Ia tidak mengambil kira kepentingan para pekerja, para pengguna mahupun rakyat negara. Ia dilakukan dalam penuh kerahsiaan dan kesudahannya ialah pemenang merupakan pihak tertentu termasuk kapitalis tertentu dan bukan rakyat.


[4] Fasal 5(1) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010.

[8] Jeff Tan (2008) Privatization in Malaysia: Regulation, rent – seeking and policy failure, London: Routledge.

[13] The Edge Financial Daily, Jumaat, 12 Ogos 2011

[14] ibid

[15] Tan Sri Sulaiman Mahbob, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), The Star, Friday, 12 August 2011

[16] Berita Harian, Jumaat, 12 Ogos 2011