Perspektif KPRU: Program 6P bakal temui kegagalan

Proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) akan dilanjutkan sehingga 10 April tahun ini.  Program 6P telah dijalankan selama tujuh bulan.  Pada Jun 2011, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pengumuman buat pertama kali dan pelaksanaannya bermula pada bulan Ogos tahun yang sama.

Rasional KDN berhubung Program 6P adalah untuk memantapkan pengurusan warga asing di negara ini, membantu mengawal kemasukan baru pekerja asing ke negara ini, membantu pengurusan aktiviti ekonomi negara ini dan membantu mengawal perkembangan jenayah di negara ini.

Walau bagaimanapun, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, meskipun Program 6P telah dilanjutkan beberapa kali, program pemutihan tidak dapat mencapai kejayaan dan tidak berkesan dari segi pengawalan jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI).  Hal ini kerana program pemutihan tersebut bukan kali pertama tetapi sudah kali kelima dilaksanakan dan melibatkan pengampunan PATI.  Kerajaan Persekutuan pernah melakukan tindakan pengampunan PATI pada tahun 1989, 1991, 1996 dan 2004.

Secara am, tindakan kerajaan pada tahun-tahun tersebut bertujuan untuk mengurangkan jumlah PATI.  Tetapi hakikatnya, bilangan PATI meningkat setiap tahun.  KPRU juga berpendapat, bilangan PATI di negara ini tidak banyak berubah jika sekiranya masalah sedia ada seperti masalah penyelewengan, struktur serta bentuk ekonomi berorientasikan pekerja asing, dan butiran serta pelaksanaan dasar berkaitan yang mengelirukan tidak diselesaikan.

Pada ketika Perdana Menteri Najib Razak berbicara tentang program transformasi yang kononnya dapat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, apa yang kita saksikan ialah, jumlah kiriman wang aliran keluar daripada Malaysia ke negara lain semakin meningkat.  Sumbangan pekerja asing dalam aspek ini cukup besar.

Sehingga 19 Ogos 2011, sejumlah 2,088,358 PATI dan pekerja asing sah telah direkodkan.  Daripada jumlah tersebut, 952,859 orang direkodkan melalui pendaftaran pekerja asing sah dan 1,135,499 orang direkodkan melalui pendaftaran PATI (*1).  Rekod tersebut jelas tidak memuaskan walaupun KDN sering mendakwa kononnya Program 6P telah mencapai kejayaan.  Merujuk kepada statistik The Migration and Factbook 2011 yang diterbitkan oleh Bank Dunia (*2), bilangan pekerja asing sah dalam negara ini dianggarkan berjumlah 2.4 juta orang.  Apabila dibandingkan statistik The Migration and Factbook 2011 dengan statistik Program 6P di atas, jurang perbezaan fakta ini bermaksud, masih terdapat kira-kira 1.4 juta pekerja asing sah yang belum didaftarkan di bawah Program 6P.  Ini belum lagi termasuk bilangan PATI yang sukar dianggarkan secara tepat atau lebih tepat kalau disifatkan sebagai “hilang kawalan”.

Berdasarkan panduan Program 6P, PATI boleh membuat pilihan sama ada mahu terus bekerja di Malaysia atau balik ke negara asal setelah melalui proses pendaftaran.  Selepas itu, bagi PATI yang memilih untuk tidak kembali ke negara asal, semasa proses pemutihan, KDN menyaring kelayakan PATI dari segi sektor dan penawaran kekosongan kerja.  Kepada PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan (begitu juga yang memilih untuk balik ke negara asal), mereka akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan.

Dalam kenyataan KDN, sehingga 16 Disember 2011, sejumlah 53,682 PATI yang terlibat dalam proses pengampunan di bawah pelaksanaan Program 6P telah meninggalkan Malaysia.  Jumlah paling tinggi direkodkan ialah Indonesia dengan 35,142 orang; diikuti India (4,039); Myanmar (2,467); Kemboja (1,901); Nepal (2,766); Bangladesh (2,108); Vietnam (1,289); Filipina (1,167); Pakistan (1,123); Sri Lanka (786); dan China (493) (*3). KPRU mendapati angka 53,682 tidak sama dengan jumlah besar (iaitu 53,284) apabila angka setiap negara dijumlahkan.

Apa yang lebih penting ialah, jumlah besar tersebut hanya mencakupi 4.69 peratus daripada keseluruhan jumlah PATI yang berdaftar.  Setelah diambil kira bilangan PATI yang meninggalkan Malaysia melalui proses pengampunan, jumlah PATI dianggarkan menurun kepada 940,495 orang.

Semenjak proses pemutihan di bawah Program 6P bermula pada 10 Oktober 2011, sejumlah 67,665 PATI iaitu 5.96 peratus daripada keseluruhan PATI yang berdaftar telah diputihkan.  Berdasarkan statistik tersebut, pecahan mengikut negara merekodkan Indonesia dengan jumlah paling tinggi iaitu 42,544; diikuti Bangladesh (13,838); Myanmar (6,527); Nepal (2,107); India (903); Vietnam (612); Kemboja (447); Pakistan (362); Filipina (126); Sri Lanka (112); dan Thailand (87).

Selepas pemutihan, didapati jumlah pekerja asing sah mengikut negara merekodkan Indonesia dengan jumlah yang paling tinggi iaitu 404,006; diikuti Nepal (201,523); Bangladesh (133,798); Myanmar (106,948); India (49,086); Filipina (43,913); Vietnam (37,719); Pakistan (11,024); Kemboja (5,679); China (4,391); Thailand, (4,266) dan Sri Lanka (2,595).

Selepas pengampunan dan pemutihan PATI, KPRU mendapati jumlah pekerja asing sah meningkat kepada 1,000,557.  Namun, selepas proses pengampunan dan pemutihan, masih terdapat sejumlah 872,830 PATI yang membuat pendaftaran di bawah Program 6P yang belum diketahui status mereka.

Merujuk kepada kenyataan media Menteri Dalam Negeri bertarikh 13 April 2011, bilangan pekerja asing mungkin dihadkan kepada 1.5 juta orang.(*4)

Walau bagaimanapun, Program 6P tidak mencapai kejayaan, justeru matlamat menghadkan bilangan pekerja asing kepada 1.5 juta lebih merupakan khayalan.  KPRU khuatir, Program 6P tidak dapat mengurangkan bilangan pekerja asing dalam erti kata yang sebenarnya dan bilangan PATI terus kekal dalam keadaan “hilang kawalan”, sementara pungutan dana melalui Program 6P tidak dimanfaatkan untuk pembangunan negara tetapi digunakan untuk tujuan politik.

 

Pengampunan – Bukan Kali Pertama

Pengampunan PATI pernah berlaku pada tahun 1989, 1991, 1996 dan 2004.  Apabila ditinjau kembali sejarah, tindakan pengampunan PATI lazimnya berlaku semasa ekonomi berada dalam keadaan tidak menentu.  Apabila ekonomi menjadi lemah, kerajaan terpaksa memberhentikan projek pembangunan, seterusnya pengawalan kemasukan pekerja asing baru (*5) dan pengurangan bilangan PATI.

Kerajaan Persekutuan telah meminda Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) pada tahun 2002 dan memberatkan hukuman terhadap majikan yang mengupah PATI.  Pesalah berdepan dengan denda sebanyak RM10 ribu, 5 tahun penjara, 6 kali sebatan (*6) dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan PATI.  Pada 1 Mac 2005, kira-kira 3 ribu orang anggota polis serta 5.6 ribu anggota RELA mula mengambil tindakan terhadap pekerja asing yang masih berada dalam negara selepas pengampunan sekitar tahun itu.  RELA boleh mendapat emolumen RM100 bagi setiap penangkapan PATI. (*7)

Walaupun kerajaan sering menyatakan kemahuan untuk mengurangkan pergantungan kepada tenaga pekerja asing, tetapi fakta menunjukkan hakikat yang sebaliknya.  Apabila dibandingkan 7.3 juta pekerja asing sah pada tahun 1996 dengan 20 juta pekerja asing sah pada tahun 2008, bilangan perkerja asing sebenarnya tidak menurun, tetapi meningkat secara besar-besaran. (Sila Lihat Jadual di bawah)

 

Jadual: Jumlah Pekerja Asing Sah Mengikut Negara, 1999-2008

Tahun 1999 2000 2001 2002 2003
Negara Jumlah % Jumlah % Jumlah % Jumlah % Jumlah %
Indonesia 269,194 65.7 603,453 74.8 634,744 74.7 788,221 73.8 988,165 73.9
Bangladesh 110,788 27 158,149 19.6 114,308 13.5 82,642 7.7 94,541 7.1
Thailand 2,130 0.5 2,335 0.3 2,508 0.3 20,599 1.9 10,158 0.8
Filipina 7,299 1.8 14,651 1.8 11,944 1.4 21,234 2 17,400 1.3
Pakistan 2,605 0.6 3,101 0.4 2,392 0.3 2,000 0.2 2,141 0.2
Lain-lain 17,644 4.3 25,407 3.1 83,933 9.9 152,833 14.3 224,575 16.8
Jumlah 409,660 100 807,096 100 849,829 100 1,067,529 100 1,336,980 100

 

Tahun 2004 2005 2006 2007   2008
Negara Jumlah % Jumlah % Jumlah % Jumlah % Jumlah %
Indonesia 1,024,363 69.7 1,211,584 66.7 1,174,013 62.8 1,148,050 56.1 1,085,658 52.6
Bangladesh 54,929 3.7 55,364 3 62,669 3.4 217,238 10.6 316,401 15.3
Thailand 5,463 0.4 5,751 0.3 14 0.7 18,456 0.9 21,065 1
Filipina 16,663 1.1 21,735 1.2 24,088 1.3 23,283 1.1 26,713 1.3
Pakistan 1,156 0.1 13,297 0.7 11,551 0.6 16,511 0.8 21,278 1
Lain-lain 367,516 25 507,507 28 583,077 31.2 621,267 30.4 591,481 28.7
Jumlah 1,470,090 100 1,815,238 100 1,869,209 100 2,044,805 100 2,062,596 100

Sumber: Kementerian Dalam Negeri, disusun oleh Cheong. (*8)

 

Pekerja Asing Sah Memberi Keuntungan

Pekerja asing sah bukan sahaja menyumbangkan sumber tenaga untuk membangunkan negara, bahkan aspek pembekalan, pengurusan dan pengawasan pekerja asing telah menjadikannya satu industri yang boleh membawa keuntungan kepada pelbagai sektor termasuk ejen dan kroni, malahan kepentingannya diberi perhatian khusus oleh pihak penguatkuasa.

Lantaran itu, kita sering kedengaran dakwaan berhubung penyelewengan kuasa dan seumpamanya.  Contohnya, Tenaganita, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja mendakwa tujuan KDN memungut dana melalui program pemutihan berkait rapat dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU Ke-13).(*9)

Apabila ditinjau kembali kes pengampunan PATI sekitar tahun 2004, sebanyak 309,248 PATI (*10) menukar status mereka kepada pekerja asing sah, tetapi atas syarat bahawa mereka harus balik ke negara asal dahulu, kemudian datang semula ke Malaysia.  Dalam proses tersebut, pekerja-pekerja berkenaan diwajibkan membayar levi dan membuat pemeriksaan fizikal dalam pusat kesihatan yang ditetapkan – FOMEMA (The Foreign Workers Medical Examination Monitoring Agency).  Dasar ini membekalkan hasil pendapatan kepada hosipital dan kerajaan.(*11) Ini kerana FOMEMA merupakan sebuah syarikat swasta yang dipegang oleh Khazanah Nasional Bhd, syarikat pemegangan pelaburan milik kerajaan yang diberi kuasa sebagai pelabur strategik kerajaan dalam industri dan pasaran baru.

Pada tahun 1993-2004, FOMEMA menjalankan 27 juta pemeriksaan terhadap pekerja asing.  Pada tahun 2002, FOMEMA mendapat kos bayaran daripada pekerja asing sebanyak RM17 juta.  Sementara itu, kerajaan juga mewajibkan majikan membeli insuran untuk pekerja asing dalam 10 syarikat insuran yang dilantik oleh kerajaan.  Sumbangan tahunan sebanyak RM72.00 hingga RM86.00. (*12)

Kerajaan mengenakan caj levi pada majikan ke atas setiap pekerja asing yang diambil untuk bekerja, dan membenarkan majikan memotong gaji bulanan pekerja asing untuk menbayar levi.  Walaupun Kementerian Sumber Manusia pernah memberi kenyataan bahawa majikan harus menanggung bayaran levi pekerja asing tetapi masih terdapat banyak majikan yang memotong gaji pekerja asing untuk bayaran levi.

Daripada hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011 berjumlah 183,375 juta, anggaran hasil daripada pekerja asing seperti permit dan levi berjumlah 2,223 juta, iaitu 1 peratus pada tahun 2011.  Walaupun, peratusan ini dianggap kecil dalam keseluruhan hasil Kerajaan Persekutuan, tetapi angka berkaitan tidak termasuk manfaat ekonomi yang lain.

Merujuk kepada statistik The Migration and Factbook 2011, kiriman wang aliran keluar daripada pekerja asing yang bekerja di Malaysia semakin meningkat, daripada USD3,462 juta pada tahun 2003 kepada USD6,800 juta pada tahun 2009.  Pengarah Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia, Baslian Krisnayoza dalam kenyataannya menyatakan bahawa, sekitar Januari hingga November tahun 2011, kiriman aliran keluar dari Malaysia ke Indonesia adalah sebanyak USD2,100 juta. (*13) Malaysia merupakan negara pengirim wang ke luar negara terbanyak di Asia Pasifik.

Sementara itu, kiriman wang aliran masuk ke Malaysia daripada warga Malaysia yang bekerja di luar negara adalah sebanyak USD1,110 juta pada tahun 2009, dan meningkat kepada USD1,576 pada tahun 2010.  Angka ini hanya mencakupi 16 peratus daripada kiriman wang aliran keluar pada tahun 2011.  Ini juga menunjukkan ketidakseimbangan antara aliran keluar dan masuk mata wang, menyebabkan kerugian kewangan negara ini.

Sebagai rumusan, Malaysia masih bergantung kepada tenaga pekerja asing untuk pembangunan negara dalam jangka masa pendek.  Soal sama ada Malaysia dapat membebaskan diri daripada pergantungan kepada pekerja asing dalam jangka masa panjang masih tidak jelas apabila diteliti dasar dan program kerajaan sehingga hari ini.  KPRU tidak mempunyai keyakinan terhadap program transformasi dalam isu pekerja asing.

 

Rujukan 

1. http://portal.ikdn.gov.my/2011/08/siaran-media-timbalan-ketua-setiausaha-kanan-kemeneterian-dalam-negeri/

2. http://siteresources.worldbank.org/INTPROSPECTS/Resources/334934-1199807908806/Malaysia.pdf

3. http://portal.ikdn.gov.my/page/20/

4. http://www.bharian.com.my/articles/Bilanganpekerjaasingmungkindihadkepada1_5jutaorang/Article/

5. http://www.eadn.org/Migrant%20Labour%20in%20Malaysia%20Impact%20and%20Implications%20of%20the.pdf

6. http://www.imi.gov.my/index.php/bm/penguatkuasaan/370-maksud-pendatang-asing-tanpa-izin-pati-menurut-seksyen-55e7-akta-imigresen-195963-akta-155

7. http://migration.ucdavis.edu/mn/more.php?id=3103_0_3_0

8.Wey-Jin Cheong (2010) Malaysia Migrant Worker Policy and the Dual Logic of Nation-State: Developmentalism and Nationalism, Nasional Taiwan University Master Thesis.

9. http://www.malaysiakini.com/news/173074

10. Wey-Jin Cheong (2010) Malaysia Migrant Worker Policy and the Dual Logic of Nation-State: Developmentalism and Nationalism, Nasional Taiwan University Master Thesis.

11. http://migration.ucdavis.edu/mn/more.php?id=3103_0_3_0

12.http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pekerjaasingwajibadainsuranskesihatanmulaitahundepan/Article/index_html

13 http://beritaharian.org/as2-1-bilion-dikirim-pulang-pekerja-indonesia-dari-malaysia-4.html

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s