Ancaman Pelaksanaan Hukum Hudud Hanya Permainan Penakutan

Antara berita utama akhbar Utusan pada 24 April bertajuk “Hudud hanya gimik Pas”[1] Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan tersebut menyifatkan tindakan Pas menbangkitkan semula isu pelaksanaan hukum hudud sebagai gimik pilihan raya semata-mata. Pada hari yang sama, Utusan menerbitkan lima laporan berita mengenai soal pelaksanaan Hudud  manakala akhbar Sinar Harian pada 25 April 2013 pula menyiarkan dua laporan berita mengenai keputusan Parti Islam Semalaysia (PAS) untuk melaksanakan hukum hudud dalam negara.

Api hukum hudud ini semakin merebak akibat laporan berita oleh akhbar The Star pada 23 April 2013 yang melaporkan bahawa Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Harun Din mengesahkan niat Pas untuk melaksanakan hukum hudud pasca Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) ini jika ianya dimenangi oleh PAKATAN.[2]

Beberapa hari sebelum laporan di The Star, akhbar Berita Harian telah menerbitkan laporan keputusan parti politik Democratic Action Party (DAP) yang menegaskan mereka akan menolak pelaksanaan hukum hudud dan konsep negara Islam walaupun mereka mungkin terpaksa meminjam simbol PAS bagi membolehkan mereka bertanding dalam PRU13 ini.[3]

Utusan mencungkil soal pelaksanaan hukum hudud selepas hampir seminggu selepas DAP mengambil keputusan untuk menggunakan simbol PAS dan KEADILAN untuk bertanding dalam PRU13 ini. Ianya bertujuan untuk mewujudkan perasaan sangsi antara parti-parti politik pakatan pembangkang, DAP, PAS, dan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pasca surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenai ketaksahan jawatankuasa pusat eksekutif  (CEC) DAP.

Keputusan DAP untuk menggunakan simbol PAS terdahulu dan KEADILAN sebagai sandaran adalah simbolik terhadap hala tuju kedua-dua parti tersebut. Ianya adalah menunjukkan bahawa kedua-dua parti tersebut telah mencapai suatu konsesus, suatu kompromi. Lantas, usaha media pro-Barisan Nasional (BN), terutamanya pro-UMNO dilihat sebagai cubaan sabotaj hubungan baru antara PAS dan DAP ini.

Peneraju skrip hukum hudud ini adalah akhbar Utusan di mana pada tahun lepas, dalam laporan berita bertajuk “Polemik hukum hudud Pas”, [4] mendakwa PAS memutarbelitkan hukum hudud sehingga ianya bukan sahaja melanggari apa yang telah ditetapkan oleh Islam, ianya mengelirukan orang awam dan menggunakan soal pelaksanaan hukum hudud sebagai senjata politik. Walaupun Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib telah membalas laporan berita Utusan untuk memberi penjelasan mengenai pendirian PAS mengenai soal pelaksanaan hudud, PAS masih dijadikan sasaran oleh Utusan. Apabila PAS cuba menjelaskan bahawa hukum hudud yang hendak dilaksanakan adalah hukum hudud berasaskan syariat Islam, ianya telah dilabelkan sebagai hukum hudud PAS. Ini merupakan suatu bentuk fitnah ke atas parti politik. Ianya memfitnah PAS sebagai parti politik yang mempolitikkan soal agama secara sewenang-wenangnya. Ianya juga dilakukan untuk mewujudkan jurang antara PAS dan rakyat Malaysia yang berbilang etnik.

Persoalan yang diwujudkan adalah sama ada pasca PRU13 ini, hukum hudud akan dilaksanakan oleh PAS? Bukan sahaja hukum hudud tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ianya juga tidak termaktub dalam Manifesto PAKATAN. Ini merupakan konsesus PAKATAN. Lantas, sebarang keputusan untuk melaksanakan hukum hudud bergantung kepada persetujuan ketiga-tiga parti – DAP, PAS dan KEADILAN. Memandangkan KEADILAN dan DAP masih tidak mahu melaksanakan hukum hudud, peluang untuk PAS melaksanakan hukum hudud adalah tipis.

Pihak media pro-UMNO dan BN pada tahun 2013 mengulangi taktik lama untuk mewujudkan perasaan sangsi antara ketiga-tiga parti tersebut. Malah, dalam suatu penulisan dari Nik Abdul Aziz Nik Hassan,[5] beliau mengambil peluang untuk menjelaskan maksud dan tujuan hudud. Antara huraian oleh beliau adalah terdapat pelbagai pemahaman hukum hudud. Antaranya adalah hukum hudud yang mengikut aliran klasik dan aliran moden yang berasaskan zaman dan persekitaran mereka. Sambung beliau, faktor-faktor seperti hak asasi manusia, perihal keadilan politik, ekonomi, sosial dan soal-soal kemanusiaan sejagat perlu diambil kira. Begitu juga persoalan mengenai realiti masyarakat di Malaysia dan sama ada kelayakan sistem kehakiman terutamanya mahkamah syariah mencapai status yang diperlukan untuk melaksanakan hukum hudud ini.

Sementara media alternatif telah mengambil keputusan untuk tidak mempedulikan soal pelaksaan hukum hudud, media pro-UMNO mengambil keputusan sebaliknya. Sementara pihak media pro-UMNO menggunakan soal pelaksanaan hukum hudud sebagai senjata mengakibatkan jurang diantara ketiga-tiga parti politik tersebut, begitu juga persoalan kepada kerajaan BN negeri Terengganu yang masih tidak merombak undang-undang hudud yang diluluskan oleh kerajaan Pas (1999-2005).[6]

Bagi ketiga-tiga parti politik ini, soal pelaksanaan hukum hudud ini bukanlah suatu perkara yang diutamakan oleh PAKATAN. Tujuan dan objektif utama PAKATAN adalah untuk memenangi Putrajaya dan melaksanakan manifesto PAKATAN. Lantas, tindakan yang diambil oleh media pro-BN dan parti BN sendiri bersifat mala fide dan di sebalik menggalakkan perbincangan, ianya merupakan tindakan yang memfitnah parti PAS dan mencemari imej PAKATAN sebagai sebuah gabungan parti politk tanpa suatu hala tuju yang sama.

Di mana media pro-BN melaporkan PAS akan memaksa pelaksanaan hukum hudud, mereka juga sepatutnya melaporkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang menyatakan PAS tidak akan memaksa DAP untuk menerima pelaksanaan hukum hudud.[7]

BN menggunakan pelaksanaan hukum sebagai senjata menakutkan masyarakat majmuk Malaysia. Secara asasnya, warga Malaysia yang kian bijak menggunakan teknologi akan mendapati perbezaan laporan oleh media pro-BN dan laporan media alternatif. Sementara media pro-BN mengambil keputusan untuk menakutkan orang awam, rakyat Malaysia sudah tidak mudah terperdaya dengan taktik lama ini. Rakyat Malaysia mempercayai PAS tidak akan memaksa pelaksanaan hukum hudud ke atas DAP mahupun rakyat negara ini. PAS menyedari untuk melaksanakan hukum hudud ini, mereka hendaklah memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia mengenai hukum hudud. PAS telah memberi persetujuan mereka untuk melaksanakan manifesto PAKATAN dan itulah hala tuju mereka.

Sementara PAS tidak berebut untuk melaksanakan hukum hudud dalam negara ini, pihak yang tidak bertanggungjawab telah memutuskan untuk memfitnah PAS dengan menggantung kain rentang yang menggunakan gambar Presiden dan Mursyidul Am Pas dan kata-kata yang berbunyi seperti berikut, “Hudud satu-satunya cara melawan jenayah” dalam bahasa Cina.[8] Tindakan ini adalah untuk menakutkan para pengundi Cina terhadap PAS walaupun objektif utama PAS pada PRU3 ini adalah untuk melaksanakan manifesto PAKATAN dan bukannya hukum hudud.

Begitu juga pada tahun 2012 apabila akhbar Sin Chew Daily yang mengeluarkan laporan berita bahawa PAS akan melaksanakan hukum hudud selepas memenangi PRU13. Laporan ini telah disangkal oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang menegaskan beliau tidak pernah menyebut perkataan ‘hudud’ dalam temu duga dengan akhbar tersebut. [9]

Soal memutar-belit pelaksanaan hukum hudud juga tidak terlepas Pengerusi Malaysian Chinese Assocation (MCA) bagi negeri Kedah, Datuk Chong Itt Chew di mana media akhbar Sinar Harian dalam laporan akhbar pada 21 Ogos 2012[10] telah melaporkan Kedah MCA menyokong pelaksanaan hukum hudud. Menurut Datuk chong Itt Chew, beliau tidak pernah menyebut perkataan ‘hudud’ pada wartawan Sinar Harian.

Lantas, memutar-belit soal pelaksanaan hukum hudud ini bukanlah kali pertama yang berlaku dalam media akhbar pro-BN dan BN. Rakyat Malaysia sudah bijak berfikir dan membuat pendapat sendiri mengenai isu ini. Dalam perjalanan ke PRU13 ini, BN telah mengambil langkah untuk melakukan apa sahaja untu meraih undi, walaupun itu bermaksud memfitnah PAKATAN. Usaha terdesak BN ini melihatkan secara tidak langsung, BN terasa tergugat dengan keutuhan hubungan parti-parti politik dalam PAKATAN. Mereka berusaha untuk menakutkan rakyat Malaysia walhal rakyat Malaysia sudah tidak lagi mudah terperdaya atau mudah untuk ditakutkan dengan taktik penakutan seperti ini. Mengungkit soal pelaksanaan hukum hudud pada masa kini, bukanlah gimik politik PAS seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebaliknya, ianya merupakan gimik kotor BN yang akan memakan diri BN pada hari mengundi 5 Mei 2013.


[2] The Star, GE13: Haron Din Confident DAP Can Accept Hudud, 23 April 2013,

http://elections.thestar.com.my/story.aspx?file=/2013/4/23/nation/20130423220553#.UXjPuKJkM44

[3] BHarian, Tetap tolak hudud walau guna bulan, 21 April 2013,

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tetaptolakhududwalaugunabulan/Article

[5][5] MI, Negara Islam, hudud, negara sekular ― Nik Abdul Aziz Nik Hassan, 2 Januari 2013,

http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/negara-islam-hudud-negara-sekular-nik-abdul-aziz-nik-hassan

[6] Keadilan Daily, Umno main isu hudud untuk pecah belahkan Pakatan, 26 September 2011,

http://www.keadilandaily.com/umno-main-isu-hudud-untuk-pecah-belahkan-pakatan/index.html

[8] Harakah, Kain rentang PAS mahu laksana hudud dalam bahasa Cina, 8 April 2013,

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/18078–kain-rentang-pas-mahu-laksana-hudud-dalam-bahasa-cina

[9] MI, Mat Sabu Denies Telling Sin Chew PAS Will Enforce Hudud Once In Power, 28 Ogos 2012,

http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/mat-sabu-denies-telling-sin-chew-pas-will-enforce-hudud-once-in-power

[10] Sinar, MCA Kedah setuju hudud, 21 Ogos 2012,

http://www.sinarharian.com.my/politik/mca-kedah-setuju-hudud-1.77921

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s