Seruan Dunia Politik Dan Ketagihan Tun M

Sudah 9 tahun bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ‘bersara’ dari arena politik. Beliau ‘bersara’ selepas 22 tahun memgang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, menjadikan beliau antara pemimpin negara yang paling lama memegang jawatan sebagai seorang Perdana Menteri.

Beliau merupakan bekas Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk membawa dunia perlumbaan kereta F1 ke Malaysia, pembinaan Menara Berkembar Petronas, pembinaan Putrajaya dan Cyberjaya serta suatu senarai panjang projek mega. Sebagai seorang negarawan yang masih berpengaruh dan disegani oleh sesetengah pihak, beliau mempunyai peluang untuk menjalani persaraannya dalam ketenangan dan tidak lagi terlibat dalam dunia kotor politik. Namun begitu, dalam perjalanan Malaysia ke Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, beliau telah mengambil keputusan untuk membuat sebaliknya.

Dari suatu sudut, kita melihat Mahathir seperti seorang negarawan yang disegani, mengingatkan rakyat tentang kepentingan mengingati sejarah Malaysia akan tetapi, pembaca blognya dan kenyataan-kenyataan beliau di media mungkin berfikiran sebaliknya. Mengingati sejarah merupakan suatu yang bagus akan tetapi, mengingati suatu sejarah dari hanya suatu sudut kecil dan bukannya pandangan panorama bukan suatu yang patut dilakukan.

Kebelakangan ini, Mahathir dilihat mengungkit sentimen perkauman. Beliau memberi amaran kepada kaum Melayu bahawa kemenangan Lim Kit Siang di Gelang Patah akan membawa mudarat kepada kaum Melayu dan pada masa yang sama, beliau dilihat mengkritik dan mengutuk kaum Melayu sebagai kaum yang malas dan pelupa.

Beliau menyokong tayangan filem kontrovesi Tanda Putera kepada rakyat Malaysia. Menurut beliau, “jika suatu kaum mengawal sesetengah kepentingan dan kaum satu lagi tidak, akan muncul kemarahan dan ini tidak elok untuk negara”.[1]

Begitu juga, kritikan beliau terhadap pihak pembangkang yang menurut beliau, mempolitikkan isu-isu bersifat perkauman dan agama[2]. Namun, sebelum beliau mengkritik pembangkang kerana bersifat perkauman dan mempolitikan isu-isu agama, beliau sendiri memberi sokongan secara tidak langsung kepada panggilan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ibrahim Ali untuk membakar kitab-kitab Injil yang mempunyai kalimah Allah dalam kitab-kitab tersebut. Malah menurut Mahathir, ianya merupakan suatu prosedur normal untuk membakar buku-buku yang terlarang.[3]

Sokongan Mahathir kepada Ibrahim Ali tidak terhenti di situ. Beliau juga memberi sokongan kepada Ibrahim Ali untuk bertanding di PRU 13 ini. Menurut Mahathir, tujuan Ibrahim Ali menubuhkan Perkasa adalah bukan untuk mempromosikan diri, akan tetapi untuk berkempen bagi pihak Barisan Nasional (BN). Lantas, Ibrahim Ali merupakan seseorang yang layak menerima jawatan.[4]

Hubungan Mahathir dan Perkasa umpama suatu simbiosis. Mahathir memberikan sokongan kepada Perkasa dan Perkasa memberi peluang kepada Mahathir berucap di mesyuarat agung mereka.[5]

Beliau memberi amaran bahawa tragedi 13 Mei 1969 akan diulangi jika rakyat Malaysia melupainya dan jika isu tragedi tersebut tidak dikendalikan dengan betul. [6] Namun beliau sendiri yang mengipas percikan api perkauman dengan menyatakan pemimpin parti Democratic Action Party (DAP) Lim Kit Siang sebagai seorang yang merasai puas hati jika kaum Cina membenci kaum Melayu.[7] Sepertimana dalam laporan berita yang sama, beliau mendakwa bahawa parti politik DAP sentiasa berusaha mewujudkan rasa kebencian diantara kaum Melayu dan kaum Cina. Beliau menegaskan bahawa keamanan dan pembangunan yang maju tidak akan kesampaian di Malaysia jika kita bergaduh antara satu sama lain. Akan tetapi, pada yang sama, beliau sendiri memberi penggalakkan kepada diskriminasi dan prasangka buruk antara dua kaum tersebut.

Ini adalah bertentangan dengan apa yang ditegaskan oleh Mahathir dua tahun yang lepas apabila beliau menasihatkan parti politik Malaysian Chinese Association (MCA) untuk menjauhkan diri daripada kumpulan ekstremis sekiranya MCA mahukan UMNO berbuat demikian dengan Perkasa yang telah disifatkan sebagai rasis oleh MCA. [8] Ini adalah kerana beliau sendiri yang menyokong parti ekstremis seperti Perkasa.

Dalam usaha mengapi-apikan sentimen perkauman, Mahathir menegaskan bahawa sejak DAP meneruskan agenda ‘Malaysian Malaysia yang berpunca daripada parti politik People’s Action Party (PAP), DAP turut memperjuangkan konsep meritokrasi yang mengurangkan peluang Melayu dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Menurut beliau, meritokrasi bukan mengenai perkongsian tetapi ianya adalah mengenai pemenang membolot semua.[9]

Mahathir menggambarkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai parti politik yang mempergunakan dan mempermainkan kaum Melayu sementara parti DAP pula digambarkan sebagai sebuah parti yang hanya mahu menewaskan kaum Melayu seolah-olah kaum Melayu adalah musuh mereka.

Namun, apabila seseorang membaca penulisan blog milik beliau serta melihat kenyataan-kenyataan media atau pendapat beliau dalam media, para pembaca memperoleh gambaran bahawa beliau bukanlah pendokong perpaduan antara kaum di Malaysia. Persoalannya, apakah yang hendak dicapai oleh Mahathir?

Beliau mahukan pembangunan dalam negara. Beliau mahukan Malaysia menjadi sebuah negara membangun yang maju kerana itulah tujuan beliau melaksanakan projek-projek mega seperti Menara Berkembar Petronas dan Putrajaya serta Cyberjaya. Beliau mahukan nama Malaysia dikenali oleh masyarakat dunia. Namun, pada masa yang sama, beliau mengapi-apikan sentimen perkauman, melaga-lagakan kaum Cina dan kaum Melayu. Beliau menggambarkan kaum Cina sebagai kaum yang membenci kaum Melayu dan beliau menegaskan kaum Melayu seharusnya melindungi diri mereka dari kaum Cina. Perlindungan ini pula didapati dalam bentuk kaum Melayu menyokong BN, Umno serta Perkasa kerana hanya tiga parti tersebut yang mempunyai kebolehan untuk melindungi kaum Melayu. Beliau juga menggambarkan kaum Melayu sebagai kaum yang tidak mengenang budi dan malas.

Pengapian perkauman ini pada satu sudut telah meletakkan nama Malaysia di pentas dunia, bersebelahan dengan projek-projek mega Mahathir dan pencapaian lain-lain Malaysia, namun, ianya tidak menggambarkan seperti sebuah negara maju yang begitu didambakan oleh Mahathir. Sebaliknya ianya menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpaksikan rasisme dan poltik perkauman. Identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang bersederhana tercemar dengan hubungankait rakyat Malaysia dan perkauman. Adakah ini legasi yang hendak ditinggalkan oleh beliau? Sebuah negara yang berpecah dan tidak bersatu padu? Kerana itulah destinasi Malaysia jika politik perkauman yang kerap diutarakan oleh beliau diberikan peluang atas pentas.

Beliau mahukan kaum Melayu bersatu-padu dan maju, akan tetapi, beliau sendiri menunjukkan kecenderungan untuk mengutuk, mengkritik dan memalukan usaha-usaha kaum Melayu. Beliau yang mahukan perpaduan tetapi beliau memberi sokongan terhadap parti politik yang sering kali dikaitkan dengan tindak tanduk bersifat perkauman.

Secara amnya, niat sebenar Mahathir adalah untuk kekal releven di mata warga Malaysia dan dunia politik. Beliau tidak mahu dilupakan oleh rakyat Malaysia atau rakan-rakan politik beliau. Beliau telah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Ianya bukan perkara mudah untuk meninggalkan kuasa dan pengaruh di tangan orang lain. Kuasa dan pengaruh adalah suatu perkara yang ketagih. Mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju orang yang menaruh harapan kepada kita adalah sesuatu yang ketagih. Begitu juga mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju negara dan kebebasan untuk membela kepentingan politik sendiri adalah suatu perkara yang ketagih. Melepaskan sesuatu yang telah lama dalam badan dan jiwa bukanlah suatu perkara yang mudah.

Ketagihan Mahathir kepada kuasa dan pengaruh membawa beliau ke jalan ini. Beliau merindui zaman beliau di pejabat yang dinamakan sebagai pejabat Perdana Menteri. Beliau bukan seorang warga emas yang nyanyuk. Beliau seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri yang masih mempunyai pengaruh terutamanya dalam parti politik Umno dan BN. Bak kata George Orwell, “setiap haiwan adalah sama rata, tetapi sesetengah haiwan adalah lebih sama rata dari yang lain” atau petikan asalnya “ all animals are equal, but some animals are more equal than others”. Pepatah ini mencerminkan pendapat Mahathir mengenai dirinya. Beliau berpendapat beliau lebih berhak dari orang lain kerana ‘jasanya’ kepada negara ini.

Beliau menyedari bahawa satu-satunya cara untuk beliau menarik perhatian rakan-rakan politiknya adalah untuk mengungkit politik perkauman dan meletakan kesalahan tersebut ke atas parti politik pembangkang. Oleh kerana manusia adalah haiwan berpolitik atau political animals, ianya tidak mengejutkan bagi seorang ahli politik yang telah begitu lama menghabiskan masa hidupnya dalam dunia politik untuk sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali memasuki dunia politik selepas persaraannya.

Apakah niat Mahathir mencungkil duri perkauman dari kuburnya jika bukan kerana ketagihannya kepada dunia politik? Duri perkauman yang seharusnya tidak dicungkil kembali menyengat rakyat Malaysia yang mahukan perubahan arus Malaysia yang berteraskan pentadbiran telus, jujur dan bersifat meritokrasi. Sifat meritokrasi inilah yang begitu ditakuti oleh Mahathir kerana beliau mempercayai kaum Melayu tidak mempunyai keinginan dan kebolehan untuk memajukan diri. Beliau mempercayai hanya beliau yang boleh mengemudi nasib kaum Melayu.

Namun itu semua tidak benar. Kaum Melayu ingin dan mampu mengemudi diri masa hadapan mereka. Kaum Melayu juga mampu bangkit dengan usaha mereka sendiri tanpa campurtangan politik atau kerana kata-kata seorang ahli politik. Begitu juga kaum Cina. Kaum Cina tidak membenci kaum Melayu dan begitu juga keadaan sebaliknya.

Mahathir mungkin seorang bekas ketua negara, ahli politik dan seorang negarawan, akan tetapi itu tidak bermaksud beliau mempunyai hak yang melebihi dari orang lain. Beliau bukan penentu masa hadapan negara. Rakyat Malaysia adalah penentu masa hadapan mereka sendiri. Jika beliau menyedari perkara ini, mungkin beliau tidak akan mengambil jalan ini. Ini adalah kerana akhirnya, pendapat rakyat Malaysia secara kolektif adalah penting dan bukannya pendapat seorang ahli politik.


[1] MI, Tanda Putera Would Be Good For The Nation, Says Dr M, 14 Mac 2013,

http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/tanda-putera-would-be-good-for-the-nation-says-dr-m

[2] Che Det, A Citizen’s Right, 8 Mac 2013,

http://chedet.cc/?p=933

[3] FMT, Dr M Defends Perkasa Chief’s ‘Burn Bible’ Call, 6 Februari 2013,

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/02/06/dr-m-defends-perkasa-chiefs-burn-bible-call/

[5] The Star, Mahathir Opens Perkasa’s AGM (Update), 27 Mac 2010,

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/3/27/nation/20100327121342&sec=nation

[7] Berita Harian, Kit Siang Suka Jika Negara Tak Stabil: Dr M, 8 April 2013,

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KitSiangsukajikanegaratakstabil_DrM/Article

[8] Jasa, MCA Kena Jauhi Kumpulan Ekstremis Cina: Mahathir, 30 April 2010,

http://www.jasa.gov.my/index.php/bm/media/arkib/251-mca-kena-jauhi-kumpulan-ekstremis-cina-dr-mahathir.html

[9] Utusan, Kerjasama Melayu-Cina berakhir jika Kit Siang menang? 13 April 2013,

http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130413/px_07/Kerjasama-Melayu-Cina-berakhir-jika-Kit-Siang-menang

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s