KPRU: MITI Wajar Bentang Laporan Parlimen TPP Pada 23 September

Rundingan ke-18 Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement, TPPA) telah berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dari 15 Julai hingga 25 Julai lepas. Rundingan ke-19 yang seterusnya pula akan dibuka tirai di Brunei dari 22 Ogos hingga 30 Ogos 2013.

Pelbagai pihak telah menzahirkan kebimbangan terhadap rundingan Perjanjian TPP yang dilakukan dalam suasana ‘penuh rahsia’ tanpa pembentangan dan perbahasan di Parlimen, termasuklah wakil rakyat sama ada daripada pihak pemerintah, mahupun daripada pihak oposisi, dan organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO). Memandangkan perundingan Perjanjian TPP diadakan di bawah pintu tertutup dan butiran terperinci kekal sulit sehingga hari ini, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat bahawa sebuah laporan Parlimen yang lengkap dengan perkembangan dan isu rundingan TPP harus dibentang dalam sesi mesyuarat kedua, penggal pertama Parlimen Ketiga Belas yang bakal diadakan pada 23 September akan datang. Laporan Parlimen seumpama telah dikemukakan di Kongres Amerika Syarikat baru-baru ini.

Pada 17 Jun 2013, sepasukan penyelidik Amerika Syarikat telah menyediakan sebuah laporan bertajuk “Rundingan TPP dan Isu untuk Kongress” (The Trans-Pacific Partnership Negotiations and Issues for Congress) yang merangkumi pelbagai isu teras dalam rundingan Perjanjian TPP, termasuklah juga latar belakang Perjanjian TPP, perjanjian perdagangan bebas yang sedia ada atau hubungan perdagangan di antara Amerika Syarikat dengan negara-negara yang berkaitan, serta sebagainya untuk pengetahuan Kongress Amerika Syarikat. KPRU berpendapat bahawa, apabila berdepan dengan dasar kontroversi, pihak kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam isu TPPA haruslah lebih bertanggungjawab kepada Parlimen dan seluruh rakyat Malaysia yang berhak mengetahui tentang status dan pendirian negara kita berkenaan perundingan berkaitan. Laporan sedemikian adalah mustahak sebagai analisis kos-dan-manfaat (cost-and-benefit) atau kajian perbandingan faedah (comparative advantage study) bagi mengetengahkan dan menjamin kepentingan negara dan rakyat.

 

Kecacatan dalam penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS)

Sesungguhnya, perundingan Perjanjian TPP telah menimbulkan pertelingkahan di kalangan masyarakat, terutamanya dikritik dan ditolak oleh kumpulan aktivis dan wakil rakyat, akibat kerahsiaan rundingan dan perjanjian tersebut dikatakan merangkumi skop yang terlalu luas, serta beberapa klausa kontroversi yang terkandung dalam draf yang terbocor. Antara perkara-perkara yang menimbulkan pertikaian termasuklah isu kedaulatan nasional, harta intelek, hak pekerja, dan perlindungan alam sekitar.

International League of Peoples’ Struggle mengutuk secara kerasnya kerajaan AS dan kapitalis monopoli yang mengambil kesempatan giat merealisasikan Perjanjian TPP sebagai skim mengenakan kuasa mereka terhadap perdagangan dan pelaburan. Biarpun diwujudkan ‘Bab Alam Sekitar’ dan ‘Bab Pekerja’, kecenderungan tertentu dan kecacatan ‘Bab Pelaburan’ dikatakan bakal memburukkan dan menyulitkan lagi situasi eksploitasi golongan pekerja dan alam sekitar, sebagai jalan penyelesaian bagi meningkatkan keuntungan dan menangani krisis ekonomi dan sosial yang serius.

Sedangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum itu mempertahankan perjanjian TPP bahawa ia bakal menjadi sebuah kawasan perdagangan bebas dengan pasaran hampir 2.7 bilion pengguna dan membantu menyediakan persekitaran perniagaan lebih berdaya saing, dengan menggalakkan sistem ekonomi yang lebih adil dan telus serta mempunyai satu bab khusus untuk mengintegrasikan perusahaan kecil dan sederhana dalam rangkaian pembekalan global, pelbagai kritikan hebat terhadap perjanjian tersebut menyebabkan pihak kerajaan turut terpaksa mengambil sikap terbuka terhadap maklum balas dan komen-komen negatif tentang rundingan yang masih berlangsung dan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Di antara perkara-perkara yang hangat dipertikaikan, KPRU khususnya menumpukan perhatian terhadap ‘Bab Pelaburan’ dan kepatuhan terhadap peraturan-peraturan sedia ada, iaitu Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (“investor-state” dispute settlement, ISDS), di mana klausa-klausa berkenaan menganugerahkan kuasa dan hak undang-undang yang lebih besar kepada perniagaan asing atau syarikat antarabangsa (MNCs). Dengan kata lain, pelabur luar negara berhak mencabar kerajaan di sisi undang-undang sekiranya sistem perundangan atau pelaksanaan dasar dalam negara “menjejaskan” pelaburan dan kepentingan mereka. Mereka juga berhak menuntut pampasan kewangan tanpa had melalui tribunal timbang-tara antarabangsa. Memandangkan korporat-korporat besar kini sedang terlibat secara langsung dalam perundingan Perjanjian TPP yang diadakan secara tertutup, memang ada sebabnya yang menimbulkan keraguan bahawa akhirnya kuasa yang keterlaluan akan diserah kepada korporat-korporat atas nama “perdagangan” dan membuka jalan untuk mereka mengejar dan mencapai kepentingan korporat, pada masa sama meminggirkan kepentingan dan hak majoriti dan negara.[1]

Persoalannya, apakah rasional kerajaan menyertai suatu perjanjian yang memberi kuasa yang keterlaluan kepada syarikat-syarikat asing bagi mencabar undang-undang dan peraturan-peraturan negara kita di luar mahkamah domestik?[2]

Seperti yang sedia dimaklumkan, demi mencapai sasaran pelaburan luar asing, kerajaan BN telah pun membuka pintu dan menerima kemasukan industri yang berisiko tinggi, tanpa mengambil kira keutamaan keselamatan dan kesihatan rakyat. Antara yang amat mendukacitakan termasuklah pelaburan dan kemasukan kilang nadir bumi LYNAS di Gebeng, Kuantan, kilang perlombongan emas yang menggunakan cyanide di Bukit Koman, Kuo Kuang di Pengerang, dan sebagainya. Biarpun rakyat secara tegasnya membantah projek-projek tersebut dengan mengadakan protes dan himpunan, pihak kerajaan masih hanya berpeluk tubuh. Maka, penglibatan Malaysia dalam rundingan Perjanjian TPP seakan-akannya sekali lagi menyerahkan diri ke tangan pihak luar untuk menentukan nasibnya. Apakah kepentingan rakyat akan diutamakan dan terbela sekiranya Perjanjian TPP ditandatangani dan dimuktamadkan nanti?

Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) telah pun diberi Lesen Sementara Operasi (TOL) dan bermula operasinya biarpun ditolak dengan perarakan besar-besaran dan suara yang begitu lantang di kalangan masyarakat. Kerajaan BN kelihatan tidak langsung mendapat pengajaran daripada kilang pemprosesan nadir bumi Asian Rare Earth di Bukit Merah, Ipoh, malahan sanggup mengulangi lagi ancaman yang bakal memangsakan rakyat jelata. Ancaman yang diakibatkan kilang di Bukit Merah sejak tahun 80-an pada kurun lalu yang masih belum terhenti. Penyakit dan kecacatan yang dialami oleh penduduk setempat seakan-akan mimpi ngeri yang tidak berakhiran. Penduduk di sebuah perkampungan di Bukit Koman Raub pula masih sedang berjuang sejak empat tahun lalu demi nyawa keluarga mereka dari ancaman bahan kimia Cyanide yang amat bertoksik, iaitu yang pernah diberi gelaran ‘agen pembunuh’ ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua. Kini, nagara kita menyertai rundingan Perjanjian TPP yang menganugerahkan hak keistimewaan kepada pihak pelabur dan syarikat besar, implikasinya sudah tentu tidak boleh sekali pun dipandang ringan.

Reaksi luar negara terhadap ISDS

Australia, khususnya, telah menolak klausa yang memberikan hak istimewa kepada pelabur asing bagi mendakwa kerajaan negara. Juga perlu disentuhkan bahawa klausa tersebut turut dikeluarkan dari Perjanjian Perdagangan Bebas AS-Australia, dan juga tidak tergandung dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia.[3]

Keengganan Australia menerima klausa tersebut adalah disebabkan kerajaan Australia pernah dicabar oleh syarikat tembakau gergasi Phillip Morris dengan menggunakan peruntukan dalam perjanjian pelaburan dua hala antara Australia dengan Hong Kong ekoran kerajaan Australia memperkenalkan undang-undang berkenaan pembungkusan biasa.[4]

Kebimbangan juga mucul di kalangan golongan pencinta alam di New Zealand, mereka risau sekiranya Perjanjian TPP ditandatangani, syarikat minyak antarabangsa seperti Shell dan Anadarko mungkin tidak perlu lagi memenuhi piawaian alam sekitar seperti Undang-undang Laut yang ditetapkan di bawah Konvensyen PBB (UN Convention of the Law of the Seas, UNCLOS) dan sekiranya “hak” mereka terhalang kerana kerajaan tertentu melarang aktiviti-aktiviti yang memudaratkan ekosistem laut seperti penggerudian laut dalam, mereka berkemungkinan mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan negara tersebut.[5]

Kes-kes mahkamah sedemikian benar-benar berlaku. Pada bulan 8 November 2012, syarikat gas Amerika Syarikat, Lone Pine Resources Inc., telah memfailkan notis bahawa berhasrat menyaman kerajaan Kanada di bawah peruntukan kontroversi dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (North-American Free Trade Agreement, NAFTA) kerana melarangkan penggunaan “fracking”, iaitu process menggerudi dan menyuntik cecair ke dalam tanah pada tekanan yang tinggi bagi memecahkan batu syal untuk melepaskan gas asli yang terkandung di dalam. Lone Pine Resources Inc. menuntut lebih daripada $250 juta sebagai pampasan.[6]

Selain itu, KPRU turut mengumpulkan beberapa kes mahkamah sebagai rujukan, di mana syarikat transnasional atau multinasional telah menyaman pihak kerajaan dengan menggunakan peruntukan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (North American Free Trade Agreement, NAFTA) dalam isu berkaitan dengan alam sekitar.

Jadual 1: Kes dan Tuntutan di bawah NAFTA

Syarikat Tempat Tuntutan spampasan ($AS) Status kes Isu-isu
Ethyl14 April 1997* UNCITRAL $250 milion Kes diselesaikan; Ethyl menang dan mendapat $13 milion Syarikat kimia Amerika Syarikat mencabar kerajaan Kanada ekoran mengharamkan penggunaan petrol tambahan MMT atas pertimbangan pemeliharaan alam sekitar.Pada Julai 1998, Kanada kalah dalam perbicaraan dan diperintah menarik balik pengharaman tersebut dan membayar $13 milion sebagai pampasan ganti rugi dan yuran guaman kepada Enthyl.
S.D. Myers22 Julai 1998*30 Oktober 1998** UNICITRAL $20 milion S.D. Myers menang dan mendapat $5 milion Syarikat rawatan sisal Amerika Syarikat mencabar pengharaman Kanada sementera terhadap eksport PCB bagi mematuhi perjanjian alam sekitar pelbagai hala mengenai perdagangan sisa toksik.
(Exxon) Mobil Investments and Murphy Oil2 Ogos 2007*1 November 2007** ICSID $60 milion Mobil menang Syarikat minyak Amerika Syarikat mencabar garis panduan tentang penyelidikan dan perbelanjaan pembangunan yang diadakan oleh Lembaga Petroleum Luar Pesisir Kanada-Newfoundland yang mewajibkan firma pengeluaran minyak membayar yuran sebagai sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di wilayah termiskin di Kanada. Hal ini demikian kerana pembangunan telaga minyak pesisir luar di wilayah tersebut dilihat jauh lebih besar daripada jangkaan selepas suntikan dana awam dan swasta yang signifikan dan perkembangan tersebut menyebabkan kerajaan mengadakan pelbagai langkah berkenaan. Penuntut NAFTA menyatakan bahawa garis panduan tersebut telah melanggari peruntukan NAFTA.Pihak pelabur menang dalam kes tersebut namun amaun denda tidak diumumkan bagi pengetahuan masyarakat.
Waste Management30 Jun 1998*29 September 1998**Dikemukakan semula: 28 September 2000 ICSID $60 milion Diberhentikan Syarikat pelupusan sisa gergasi Amerika Syarikat mencabar pembatalan konsesi pelupusan sisa oleh City of Acapulo. Kes ini turut dikatkan dengan fungsi mahkamah Mexico dan tindakan bank-bank kerajaan Mexico.

*Menunjukkan tarikh Notis Niat difailkan

** Menunjukkan tarikh Notis Timbangtara difailkan

Menurut maklumat yang terkumpul oleh Public Citizen[7], sejumlah 80 kes tuntutan telah difailkan di bawah perjanjian NAFTA atau perjanjian perdagangan antarabangsa yang serupa, 17 kes diberhentikan dalam proses perbicaraan dan 13 kes pula dimenangi oleh pihak pelabur asing dengan sejumlah $379.7 milion terpaksa dibayar sebagai pampasan kepada pelabur tersebut.

 

Latar belakang Perjanjian TPP

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ialah cadangan perjanjian perdagangan bebas yang melibatkan 11 negara, iaitu Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Malaysia, Singapura, Brunei, dan Vietnam. Pada 15 Mac 2013, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah mengumumkan minatnya untuk menyertai perundingan TPP. Korea Selatan pula diundang oleh AS untuk mempertimbangkan penyertaannya dalam perundingan tersebut. Walau bagaimanapun, Korea Selatan telah menolak undangan tersebut buat ketika ini dan masih membuat pertimbangan di samping memantau perkembangan, memandang ia telahpun mencapai perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan Amerika Syarikat.

Perjanjian yang kelihatan multilateral ini lebih merupakan set-set perjanjian ‘bilateral’ antara Amerika dengan negara anggota TPPA berdasarkan ‘template Amerika’. Maka, wujudnya keraguan bahawa cadangan Perjanjian TPP ini ialah tunggak usaha Washington bagi memacu pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat.

Perundingan Perjanjian TPP yang dilancarkan sejak tahun 2010 di bawah pentadbiran bekas presiden AS George W. Bush, merupakan perkembangan dari Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasific (TPSEP atau P4) pada tahun 2005 yang ditandatangani di antara Brunei, Chile, New Zealand dan Singapore, yang bertujuan meliberalisasikan ekonomi rantau Asia Pasifik.

Perjanjian TPSEP atau P4 berkuatkuasa pada tahun 2006. Dengan pelaksanaan perjanjian tersebut, kebanyakan tarif yang dikena pada barangan perdagangan telah ditarik balik serta-merta, yang lain pula akan dihentikan secara beransur-ansur. Misalnya, P4 telah menghapuskan duti setinggi 92 peratus  yang dikenakan pada barangan eksport dari New Zealand ke Brunei dan 90 peratus barangan eksport dari New Zealand ke Chile.

Jadual 2: Keahlian dalam Perjanjian TPP

Negara Status Tarikh permulaan perundingan
Brunei Penandatanganan asal Jun 2005
Chile Penandatanganan asal Jun 2005
New Zealand Penandatanganan asal Jun 2005
Singapore Penandatanganan asal Jun 2005
Amerika Syarikat Dalam perundingan Februari 2008
Australia Dalam perundingan Novermber 2008
Peru Dalam perundingan Novermber 2008
Vietnam Dalam perundingan Novermber 2008
Malaysia Dalam perundingan Oktober 2010
Mexico Dalam perundingan Oktober 2012
Kananda Dalam perundingan Oktober 2012
Jepun Dalam perundingan Mac 2013

Negara-negara yang terlibat dalam perundingan TPP tidak mendedahkan mana-mana teks atau isi kandungan perundingan untuk pengetahuan awam. Satu-satunya  informasi yang didapati oleh masyarakat awam ialah isi kandungan dalam draf perjanjian yang terbocor. Kerahsiaan perundingan perjanjian TPP hangat dipertikaikan memandangkan perjanjian tersebut meliputi skop yang luas dan bakal mendatangkan implikasi signifikan terhadap beberapa aspek, termasuklah ekonomi dan harta intelek (intellectual property) di seluruh dunia, dan dikhuatir berkemungkinan besar menulis semula peraturan antarabangsa atas penguatkuasaan dalam aspek tersebut.

Draf teks yang terbocor menunjukkan salah satu bab dalam perjanjian tersebut adalah mengenai harta intelek yang merangkumi hak cipta, cap dagangan, paten dan mungkin juga petunjuk geografi, melangkaui dari sektor farmaseutikal ke infomasi digital. Ia dilihat akan mendatangkan kesan negatif terhadap kebebasan bersuara dan hak kepada privasi atau kesulitan, serta menjadi suatu halangan kepada inovasi kreatif. Contohnya, draf terbocor pada Februari 2011 mengenai hak harta intelek telah mendedahkan bahawa perunding AS giat menggerakkan penggunapakaian pengawalan hak cipta yang jauh lebih ketat berbanding dengan permintaan perjanjian antarabangsa yang lain, seperti Perjanjian Perdagangan Anti-Pemalsuan (Anti-Counterfeiting Trade Agreement, ACTA) yang penuh dengan kontroversi.

Di samping itu, dokumen terbocor juga mendedahkan bahawa perunding sedang mengadakan peruntukan yang menetapkan peraturan bagi mengehadkan penguatkuasaan badan perundangan negara dan keputusan Kongress mengenai bidang-bidang tertentu. Selain daripada bidang hak harta intelek seperti paten dan hak cipta, sektor lain yang akan terjejas termasuklah pelaburan dan penggunaan tanah, peraturan sektor perkhidmatan, keselamatan produk dan makanan, persaingan korporat, tenaga buruh, piawaian atau standard alam persekitaran dan perkhidmatan kewangan. Semua negara yang menandatangani perjanjian tersebut dikehendaki mematuhi dan mengakuri peruntukan dalam perjanjian tersebut, biarpun bercanggah dengan dasar-dasar dan undang-undang domestik.

Advertisements

One thought on “KPRU: MITI Wajar Bentang Laporan Parlimen TPP Pada 23 September

  1. Pingback: 政改研究所: 贸工部应在9月23日提呈“跨太平洋伙伴协定”国会报告 | 政改研究所

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s