Berikutan pembentangan satu lagi belanjawan tambahan oleh kerajaan pusat di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, pola pengurusan kewangan negara oleh Najib semenjak beliau menerajui Kementerian Kewangan memaparkan sikap yang tidak berhemat dalam tadbir urus kewangan negara.
Sepanjang pentadbiran Najib, pola pengurusan kewangan negara menyaksikan pembentangan dua belanjawan tambahan secara konsisten berikutan setiap pembentangan belanjawan asal negara. Pembentangan belanjawan tambahan bukanlah sesuatu yang ganjil dalam sistem pengurusan kewangan negara. Namun begitu, dalam konteks kewangan negara berada dalam defisit fiskal sepanjang pentadbiran Najib, pembentangan dua belanjawan tambahan secara konsisten bagi setiap belanjawan asal menonjolkan suatu sikap tadbir urus kewangan negara yang tidak berhemat.
Merujuk kepada Jadual KPRU di bawah, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah membentangkan Belanjawan Negara 2009 pada 29 Ogos 2008. Seterusnya Najib memegang tampuk pentadbiran negara dan membentangkan Belanjawan Negara 2010, 2011, 2012 dan 2013. Dalam pada itu, Najib juga membentangkan belanjawan tambahan bagi menampung perbelanjaan negara bagi tahun 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.
Jadual KPRU: Belanjawan Asal dan Perbekalan Tambahan 2009 – 2013 (RM Juta)
Tahun | Belanjawan Asal | Perbekalan Tambahan | Jumlah | ||
Pertama | Kedua | Jumlah | |||
2009 | 207,899 | 10,000 | 11,360 | 21,360 | 229,259 |
2010 | 191,499 | 12,077 | 15,218 | 27,295 | 218,794 |
2011 | 213,987 | 13,187 | 10,290 | 23,477 | 237,464 |
2012 | 232,833 | 15,295 | 12,707 | 28,002 | 260,835 |
2013 | 251,667 | 15,014 | – | 15,014 | 266,681 |
Hak cipta © KPRU 2013
Sumber: Akta Perbekalan dan Akta Perbekalan Tambahan bagi tahun 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.
KPRU berpendapat, dalam keadaan di mana kewangan negara berada dalam status lebihan (surplus), pembentangan belanjawan tambahan dapat dilihat sebagai sebahagian daripada alat pengurusan kewangan negara yang mempunyai fungsinya yang berkait rapat dengan belanjawan tahunan. Namun, dalam konteks kewangan negara berada dalam status defisit selama enam belas tahun berturut-turut, pembentangan dua belanjawan tambahan secara konsisten dapat dilihat sebagai sebahagian daripada pola pengurusan kewangan negara yang membawa risiko tidak menentu berhubung masa depan kewangan negara.
Umum kini sedia maklum, pada 31 Julai 2013, agensi penilaian global, Fitch Ratings telah menilai unjuran kredit Malaysia dan menyemak semula prospek Malaysia daripada status “stabil” ke “negatif” berikutan kelemahan kewangan awam selepas Pilihan Raya Umum ke-13 dan juga kekurangan kemajuan dalam reformasi kerajaan dalam usaha menangani defisit fiskal. Fitch dengan nyatanya menunjukkan bahawa hutang kerajaan telah mencecah 53.3% dalam Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) penghujung 2012 daripada 51.6% pada hujung 2011 dan 39.8% pada hujung 2008.
Dalam sebuah laporan bertarikh 17 September 2013, Bank of America Merrill Lynch berpendapat, hutang kerajaan Malaysia berkemungkinan besar mencecah silingnya iaitu 55% daripada KDNK. Laporan tersebut menyatakan bahawa, hutang kerajaan Malaysia telah meningkat kepada 53.8% pada penggal pertama 2013, seterusnya meningkat kepada 54.6% daripada KDNK pada penggal kedua 2013.
Malahan, apabila diambil kira tanggungan luar jangka (contingent liabilities), iaitu sebanyak RM147.3 bilion pada penggal kedua 2013, hutang kerajaan meningkat kepada 70.2%!
Berikutan pembentangan belanjawan tambahan kedua bagi tahun 2012 semasa sesi parlimen Jun 2013 dan pembentangan belanjawan tambahan pertama bagi tahun 2013 pada sesi ini, KPRU berpendapat, hampir pasti Najib akan membentangkan belanjawan tambahan kedua bagi tahun 2013 pada sesi parlimen tahun depan. Kini pembentangan dua belanjawan tambahan menjadi “peristiwa tahunan” selepas pembentangan belanjawan tahunan negara pada setiap hujung tahun. Hal ini bermaksud, angka defisit yang dibekalkan semasa pembentangan belanjawan tahunan lebih bersifat sementara sedangkan pengiraan nilai dan kadar defisit selepas pembentangan belanjawan tambahan lebih bermakna dalam memahami kerangka pengurusan kewangan negara.
Dalam konteks tersebut, berdasarkan anggaran asal Kementerian Kewangan semasa membentangkan Belanjawan Negara 2013, pengiraan KPRU di bawah mendapati bahawa defisit fiskal tahun 2013 akan mencecah 5.5% daripada KDNK setelah mengambil kira belanjawan tambahan pertama bagi tahun 2013, iaitu 1.5% lebih tinggi daripada unjuran asal sebanyak 4.0%
Statistik Kerajaan: Kedudukan Kewangan Kerajaan Persekutuan 2013 (RM Juta)[1]
Anggaran Asal | 2013 (Unjuran) |
Hasil | 208,650 |
Perbelanjaan Mengurus | 201,917 |
Perbelanjaan Pembangunan Bersih | 46,726 |
Defisit/Lebihan Semasa | -39,993 |
% daripada KNK | -4.1 |
% daripada KDNK | -4.0 |
KNK (harga semasa) | 980,889 |
KDNK (harga semasa) | 1,001,794 |
Statistik KPRU: Unjuran Defisit Fiskal Pasca Perbekalan Tambahan 2013 (2013) (RM juta)
Perbelanjaan Mengurus | 201,917 | |
Perbelanjaan Pembangunan Bersih | 46,726 | |
Perbekalan Tambahan Pertama 2013 | Perbelanjaan Tanggungan | 888 |
Perbelanjaan Bekalan | 14,126 | |
Jumlah Perbelanjaan | 263,657 | |
Defisit/Lebihan Keseluruhan | -55,007 | |
% daripada KNK | -5.6% | |
% daripada KDNK | -5.5% |
Hak cipta © KPRU 2013
One thought on “KPRU: Pola Pengurusan Kewangan Najib Membawa Risiko Tidak Menentu Kepada Negara”