KPRU: Status Ketua Pembangkang wajar disetarafkan dengan Menteri Kabinet

Pendahuluan

Pada 9 Oktober 2013, Negeri Pakatan Rakyat (PAKATAN) Selangor sekali lagi menandakan peristiwa penting dalam usaha mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dalam negara ini dengan memberi elaun istimewa berjumlah RM8,620 kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setiap bulan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980, sebagai pengiktirafan dan penghormatan terhadap peranan Ketua Pembangkang. Sesungguhnya, langkah ini merupakan perubahan yang ‘pecah rekod’ bagi memartabatkan dan menjunjung prinsip demokrasi dengan mempertahankan hak suara oposisi.

Justeru, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rendah dirinya meneladani kesungguhan Kerajaan Selangor untuk mengamalkan pengiktirafan Ketua Pembangkang. Sesungguhnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi Westminster seperti negara-negara Komanwel yang lain, pengiktirafan terhadap kedudukan Ketua Pembangkang di Malaysia seharusnya dipertingkatkan dari segi saraan dan elaun pelbagai bentuk. Khususnya, pengiktirafan kedudukan Ketua Pembangkang adalah mustahak bagi merapatkan jurang saraan dan elaun antara Ketua Pembangkang dengan Menteri-menteri Kabinet atau Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Padahalnya, Ketua Pembangkang sekurang-kurangnya berhak menikmati pengiktirafan yang setaraf dengan Menteri Kabinet atau Yang di-Pertua, sekiranya bukan Perdana Menteri, tanpa dipinggirkan dalam sistem demokrasi berparlimen ini.

Di samping itu, KPRU berpendapat bahawa Pejabat Ketua Pembangkang patut diberi peruntukan untuk menggaji kakitangan bagi menjalankan pelbagai tugas merangkumi pegawai penyelidik, pegawai media, pembantu eksekutif dan sebagainya seperti di negara-negara lain. Peruntukan ini adalah penting bagi membolehkan Pejabat Ketua Pembangkang memperolehi tenaga kerja yang mencukupi dalam menjalankan kewajipannya sebagai seorang pemimpin pembangkang dan juga wakil rakyat dengan lancar.

Pengiktirafan Ketua Pembangkang di Malaysia

Mengikut seksyen 3(1) Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237][1], seseorang Ahli Parlimen yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang berhak mendapat elaun bulanan RM3846.59, di samping elaun bulanan yang diperuntukkan untuk setiap Ahli Dewan Rakyat yang berjumlah RM6508.59, iaitu sejumlah RM10355.18. Bagi Yang di-Pertua Dewan Rakyat pula, saraan beliau ialah RM14907.20 selain daripada elaun bulanan yang kena dibayar kepada ahli Dawan Rakyat, iaitu RM6508.59, tidak kira sama ada Yang di-Pertua itu seorang Ahli Dewan Rakyat atau tidak. Secara keseluruhannya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhak mendapat sejumlah RM21415.79. Saraan dan elaun bulanan bagi Menteri adalah sama dengan yang dibayar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, iaitu RM14907.20, ditambah pula dengan elaun RM6508.59, sekiranya beliau merupakan Ahli Dewan Rakyat.

Secara perbandingan dengan negara-negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, ataupun sistem Demokrasi Westminster yang mana ia diikuti oleh sistem berpalimen Malaysia, saraan dan elaun yang dinikmati oleh Ketua Pembangkang di Malaysia adalah tidak setaraf dengan kedudukan atau pengiktirafan yang seharusnya diberikan kepada Ketua Pembangkang, yang dilihat sebagai “Perdana Menteri dalam penantian”.

Di Britain, seperti yang dikemaskini pada 1 April 2010, Ketua Pembangkang dibayar £73,617 selain daripada saraan yang dibayar kepada setiap Ahli Parlimen sebanyak £65,738, sejumlah £139,355, iaitu £11,613 setiap bulan. Sementara itu, Menteri Kabinet dan Yang di-Pertua dibayar £79,754, ditambah dengan saraan untuk setiap Ahli Parlimen yang berjumlah £65,738, mencatat saraan sejumlah £145,492.[2] Ketua Pembangkang juga ditawarkan sebuah kereta serta seorang pemandu bagi urusan rasmi, kos dan spesifikasi kenderaan tersebut adalah setaraf dengan kenderaan yang digunakan oleh kebanyakan Menteri Kabinet. [3]

Sesungguhnya saraan Menteri Kabinet/Yang di-Pertua adalah lebih tinggi daripada Ketua Pembangkang di Britain, namun perbezaan di antaranya adalah jauh lebih kurang, iaitu hanya 4.22%. Di Malaysia pula, perbezaan saraan antara Ketua Pembangkang dengan Menteri Kabinet/Yang di-Pertua adalah mencecah 51.65%!

Di samping itu, Australia, New Zealand dan Kanada merupakan antara negara-negara yang memberi pengiktirafan yang sama kepada Ketua Pembangkang, di mana gajinya hampir setaraf Menteri Kabinet.

Di Australia, dengan merujuk kepada data yang dikemaskini pada 1 Julai 2011, gaji tahunan bagi Ketua Pembangkang ialah $116,150 manakala elaun tahunan ialah $140,910, jumlah $257,060. Elaun tahunan yang ditawarkan adalah setaraf dengan Menteri Kabinet dan Yang di-Pertua. [4] Lebih-lebih lagi, saraan kelayakan bagi Ketua Pembangkang adalah lebih tinggi daripada yang diberikan kepada Menteri Kabinet dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Baru-baru ini, saraan Ahli Parlimen di Australia telahpun ditingkatkan 2.4%. Ia merupakan penambahan gaji kali ketiga dalam tempoh 16 bulan. Saraan bagi Ketua Pembangkang kini telah mencatat AUS$360,000. [5]

Di Kanada pula, Ketua Pembangkang juga diperuntukkan saraan setaraf dengan Menteri Kabinet dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Ketua Pembangkang mendapat sebanyak $76,700 sebagai gaji tambahan untuk jawatannya selain daripada gaji asal untuk setiap Ahli Parlimen sebanyak $160,200 setiap tahun. Secara keseluruhannya, Ketua Pembangkang di Parlimen Kanada dibayar sejumlah $239,900 bagi setiap tahun. [6]  Selain itu, Ketua Pembangkang turut berpeluang menikmati elaun seperti elaun kenderaan sebanyak $2,000, seperti yang diperuntukkan untuk Perdana Menteri, Menteri Kabinet, dan Yang di-Pertua. Beliau juga akan ditawarkan kediaman rasmi di Ottawa yang digelar sebagai Stornoway dan berada di tempat ke-14 dalam Order of Precedence.

Begitu juga di New Zealand, saraan yang dibayar kepada Ketua Pembangkang di New Zealand adalah setaraf dengan Yang di-Pertua Speaker dan Menteri Kabinet. Saraan terkini mencapai $257,800[7] selepas dinaikkan dari $249,100 seperti yang disebut dalam Jadual 1: Gaji yang perlu dibayar, di bawah Seksyen 16 Akta Senarai Awam 1979[8] (Schedule 1 Salaries payable under section 16 of Civil List Act 1979).

Jadual terpapar di bawah menunjukkan saraan/elaun bulanan yang dinikmati oleh Ketua Pembangkang, Menteri Kabinet dan Yang di-Pertua dalam Dewan Rakyat di beberapa negara.

Jadual KPRU: Saraan/Elaun Bulanan untuk Ketua Pembangkang, Menteri Kabinet dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat

Negara

Saraan/Elaun Bulanan (RM) untuk jawatan masing-masing

Ketua Pembangkang

Menteri Kabinet

Yang di-Pertua

Malaysia 10,355 21,416 21,416
Britain* 56,459 58,943 58,943
Australia** 62,860 58,682 59,516
Kanada 61,385 61,385 61,385
New Zealand 54,454 54,454 54,454
Singapura[9] 40,309*** 331,655 – 495,944 115,154

Hak cipta © KPRU 2013

*Kemaskini 1 April 2010

**Kemaskini 1 Julai 2011; gaji Ketua Pembangkang baru-baru ini ditingkatkan sehingga RM88,214 (AUS$360,000) sebagai ekoran penambahan gaji sebanyak 2.4% untuk semua Ahli Parlimen.

***Singapura tidak mengiktiraf Ketua Pembangkang secara rasmi, maka Ketua Pembangkang dibayar gaji sama dengan Ahli Parlimen biasa.

Nyatanya, Ketua Pembangkang di negara kita diberi layanan yang tidak setimpal. Biarpun Singapura tidak mengiktiraf Ketua Pembangkang, gaji yang dinikmati oleh Ahli Parlimen biasanya masih jauh lebih tinggi daripada gaji Ketua Pembangkang di Malaysia. Peruntukan sedemikian mengehadkan sumber dan ruang yang dapat diakses oleh Ketua Pembangkang bagi melaksanakan tanggungjawab beliau dalam sistem demokrasi berparlimen. Oleh itu, amat dinanti-nantikan sama ada Datuk Seri Najib, selaku Perdana Menteri yang turut menyandang jawatan Menteri Kewangan akan membawa berita baik untuk mengangkat kedudukan Ketua Pembangkang dalam pembentangan Belanjawan 2014 pada 25 Oktober 2013.

Peruntukan Pejabat Ketua Pembangkang dan Pegawai Penyelidik

Selain itu, dengan dukacita dimaklumkan bahawa kemudahan dan infrasktruktur di Pejabat Ketua Pembangkang adalah tidak lengkap. Peruntukan yang terhad menyebabkan Pejabat Ketua Pembangkang tidak berupaya menggaji bilangan pegawai penyelidik dan sebagainya yang mencukupi atau menambahbaik kemudahan di pejabat. Di bangunan Parlimen, hanya 3 bilik pejabat masing-masing berada di tingkat 13 dan tingkat 14 diadakan untuk kegunaan seramai 89 Ahli Parlimen PAKATAN. Apabila mesyuarat atau perjumpaan diadakan, Ahli-ahli Parlimen PAKATAN terpaksa terhimpit dalam bilik mesyuarat di Pejabat Ketua Pembangkang yang hanya dapat menampung 30 orang. Jelasnya, kemudahan dan ruang untuk kegunaan wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya adalah amat terhad.

Pada pendapat KPRU, imbuhan elaun wajar disalurkan kepada Pejabat Ketua Pembangkang untuk kegunaan menggaji bilangan pegawai penyelidi dan sebagainya yang secukupnya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan secara keseluruhannya, dan seterusnya memanfaatkan rakyat jelata dan menyumbang kepada pembangunan negara. Di negara-negara komanwel yang lain, pengiktirafan terhadap Ketua Pembangkang yang setaraf dengan Menteri Kabinet juga diadakan dengan memperuntukkan wang kepada Pejabat Ketua Pembangkang untuk membiayai kos perbelanjaan pengurusan, termasuklah bagi menampung gaji pegawai kanan, penyelidik dan sebagainya,.

Di UK, Pejabat Ketua Pembangkang diperuntukkan sejumlah wang bagi membiayai perbelanjaan pengurusan. Berikutan ialah peruntukan bagi Pejabat Ketua Pembangkang antara 1999 hingga 2012:

Tahun Jumlah (£ setiap tahun kewangan)
1999/2000 500,000.00
2000/01 513,000.00
2001/02 524,799.00
2002/03 531,621.39
2003/04 548,101.65
2004/05 563,448.50
2005/06 583,169.00
2006/07 595,999.00
2007/08 622,223.00
2008/09 647,112.00
2009/10 652,936.00
2010/11 668,606.00
2011/12 700,699.00

Sumber: House of Commons, Department of HR and Change[10]

Pejabat Ketua Pembangkang di Australia pula mempunyai sejumlah 39 kakitangan, termasuklah seorang ketua kakitangan Ketua Pembangkang, seorang penasihat kanan Ketua Pembangkang (baca: Ketua Pegawai Penyelidik), 10 orang penasihat kanan (baca: pegawai penyelidik), seorang penasihat media kanan, 2 orang penasihat media, 5 orang penasihat (baca: setiausaha kerja), 11 orang penolong penasihat, 2 orang penasihat eksekutif, dan 6 orang setiausaha/penolong kanan.

Jadual berikut menunjukkan bilangan kakitangan untuk pembangkang di Parlimen Australia (kemaskini pada 30 Jun 2011).

staffing

Sumber: Members of Parliament (Staff) Act 1984 Annual Report 2010-11[11]

 

Prestasi Negeri PAKATAN dalam mereformasikan DUN mewujudkan demokrasi

Di negeri-negeri PAKATAN, selain daripada inisitiatif yang diambil oleh Kerajaan Selangor dalam usaha mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang dengan memberi elaun pemandu, elaun setiausaha kerja dan sebagainya, Kerajaan Pulau Pinang turut tidak menafikan hak ADUN oposisinya dengan memperuntukkan RM40,000 setahun kepada mereka bagi membiayai projek infrastruktur.[12] Langkah-langkah sedemikian memastikan bahawa setiap wakil rakyat, tanpa mengira sama ada berasal dari parti pemerintah atau parti oposisi, masing-masing mendapat sumber kewangan untuk memberi perkhidmatan yang bermutu kepada rakyat jelata.

Tambahan pula, beberapa inisiatif bagi mereformasikan Dewan Negeri Selangor sebagai langkah mengukuhkan sistem demokrasi di peringkat DUN juga diambil. DUN Negeri Selangor telah mencipta sejarah apabila buat kali pertama di Malaysia meluluskan usul melantik wakil daripada Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC). Namun demikian, Ketua Pembangkang Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias telah menolak tawaran tersebut, malahan mengelakkan daripada menjalankan tugas kepada rakyat untuk dua penggal berturut-turut apabila ditawarkan sekali lagi pada tahun ini.  Penting sekali, sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negeri Selangor pada tahun 2008, Kerajaan Selangor telah mewujudkan sistem pengawasan yang lebih ketat dan telus dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) yang berkuasa untuk memanggil pendengaran awam dan pembuktian berhubung pelbagai isu, tidak kira sama melibatkan wakil rakyat dari parti oposisi mahupun parti pemerintah. Melalui SELCAT, pemantauan dan penyeliaan pentadbiran dapat dijalankan dengan lebih berkesan bagi memastikan perkhidmatan yang lebih bermutu diberi kepada rakyat. Inisiatif pembaharuan sedemikian untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran negeri telah mendapat pujian daripada pakar-pakar perlembagaan dan badan pemantauan atau pengawasan.[13]

KPRU telah menyenaraikan dengan ringkasnya pencapaian negeri-negeri PAKATAN dalam ikhtiar mereformasikan Dewan Undangan Negeri bagi mewujudkan demokrasi yang sebenarnya, bagi rujukan Dewan Rakyat.

Negeri PAKATAN Pencapaian
Selangor –          10/10/2013: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan keistimewaan tambahan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS) berjumlah RM8,620 sebulan.-

26/03/2013: Menubuh Badan Kebebasan Maklumat di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat yang diluluskan pada April 2011.-

01/04/2011: Meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011.-          03/2009: Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) .

–          Sejak 2008: Melantik Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi PAC.

Pulau Pinang –          22/09/2013: Memperuntuk RM40,000 setahun kepada ADUN pembangkang bagi projek infrastruktur.-

11/2011: Meluluskan enakmen baru yang bergelar Enakmen Kebebasan Maklumat.-

13/11/2008: Membentang usul bagi meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Saraan Ahli Dewan Undang Negeri (Saraan) 1980 bagi membolehkan Ketua Pembangkang di DUN berhak menikmati elaun bulanan RM1,000.[14]

Hanya dalam tempoh dua penggal menerajui tampuk pemerintahan negeri, Kerajaan negeri PAKATAN Selangor dan Pulau Pinang telah bersungguh-sungguh mengambil inisiatif menggerakkan pendemokrasian DUN dan menunjukkan teladan kepada kerajaan negeri yang lain. Ironinya, Kerajaan Persekutuan, biarpun selepas memerintah lebih daripada separuh abab, masih gagal mencatat mana-mana pencapaian. Manakah terletaknya air muka Kerajaan BN sekiranya masih kebelakangan dan ketinggalan dalam menjunjung prinsip demokrasi sedangkan beria-ia dengan laungan “transformasi” dan “endless possibilities“?


Advertisements

One thought on “KPRU: Status Ketua Pembangkang wajar disetarafkan dengan Menteri Kabinet

  1. Pingback: KPRU: Uplift status of the Opposition Leader, at least on par with Cabinet Ministers | Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s