Pindaan Pengubahan Wang Haram Patut Ketatkan Pemantauan terhadap “Orang Berpengaruh Politik”

Melangkah ke tahun 2014 yang baharu, rakyat Malaysia telah menyaksikan siri operasi anti-rasuah dan pengubahan wang haram yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dalam kemelut mencari rezeki bagi membiayai peningkatan kos kehidupan ekoran “janji dibelakangi”, usaha SPRM seakan-akan memberi sedikit harapan dalam kekecewaan bah sececah cahaya dalam kegelapan, di mana sesetengah pihak dibiar menjana kekayaan daripada perbuatan haram sedangkan rakyat jelata terpaksa bertungku lumus demi kehidupan yang lebih selesa.

Pada 26 Disember 2012, SPRM mengesahkan bahawa seorang pegawai kanan polis bergelar “datuk” telah dipanggil untuk memberi kenyataan berkaitan kes pengubahan wang haram bernilai RM6 juta. Mengejutkan sekali, pegawai kanan itu hanya salah seorang daripada kira-kira 60 anggota polis yang sedang disiasat akibat disyaki mengutip rasuah daripada pengendali perniagaan haram di ibu kota.[1]  Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan kes ini masih dalam siasatan. Pada 7 Januari 2014, dua orang diplomat bertugas di Kedutaan Malaysia di Washington, Amerika Syarikat turut disiasat oleh SPRM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 kerana disyaki membuat tuntutan perjalanan dan logistik yang palsu berjumlah AS AS$126,000 (RM378,000) bagi perbelanjaan mereka di Sidang Kemuncak APEC di Hawaii pada tahun 2011. [2]

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyambut baik daya upaya SPRM dalam operasinya untuk menangani gelaja rasuah, terutamanya melalui taktik kotor seperti pengubahan wang. Walau bagaimanapun, KPRU mengambil perhatian bahawa kesungguhan SPRM tidak berbuah sepenuhnya kerana bidang kuasa yang terhad, di mana SPRM hanya berkuasa untuk menyiasat tetapi tidak merangkumi pendakwaan.

Tumpuan pindaan RUU Pencegahan Pengubahan Wang Haram

Dalam hal ini, perhatian harus dialihkan terhadap undang-undang yang sedia ada dalam menangani kegiatan pengubahan wang haram. Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, atau dikenali sebagi Akta 613, dikuatkuasakan sejak 15 Januari 2002 sebagai usaha untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan pengubahan wang haram, langkah-langkah bagi mencegah pengubahan wang haram dan kesalahan membiayai keganasan, serta mengadakan peruntukan bagi pelucuthakan harta pengganas dan harta yang berkait dengan kesalahan pengubahan wang haram atau membiayai keganasan.[3]

Pada 4 Disember 2013, Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013 telah dibawa ke Dewan Rakyat untuk bacaan kali yang pertama dan ia bakal dibahaskan dalam mesyuarat pertama, penggal kedua Parlimen ketiga-belas pada bulan Mac yang akan datang. Sebelum ini, Bank Negara sememangnya telah menyatakan hasrat pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa Kelima 2013, bertema ‘Risiko, Tadbir Urus & Kawal Selia Kendiri Di Dalam dan Luar Negara’ untuk meminda akta tersebut sebagai usaha memperkukuh lagi sistem kewangan.[4]

Menurut Penolong Gabenor BNM, Encik Abu Hassan Alshari Yahaya dalam ucapannya dalam persidangan tersebut, BNM telah mengemukakan dasar-dasar bagi menyemak semula Akta 613 pada September 2013. Komponen penting dalam dasar Akta 613 yang dikaji semula adalah pengenalan suatu kewajipan bagi institusi pelapor untuk menerima pakai pendekatan yang berasaskan risiko dalam hal mengenal pasti, menilai, dan memahami risiko yang dihadapi oleh institusi pelapor dalam kes pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Penilaian dan kefahaman mengenai risiko berkenaan membolehkan institusi-institusi pelapor masing-masing menyesuaikan diri dalam hal mengawal risiko, di samping mengadakan dasar dan prosedur bagi mengurangkan risiko yang bakal dihadapi. Selain itu, Penolong Gabenor menyatakan bahawa dasar baru yang dikemukakan turut memberi tumpuan kepada penapisan pelanggan yang dikenali sebagai “usaha wajar pelanggan” (Customer Due Diligence, CDD) untuk mencerminkan tahap risiko yang berlainan. Dasar baru tersebut juga bertujuan menangani isu-isu pelaksanaan yang dihadapi oleh institusi pelapor dan pihak penyelia, serta merangkumi piawaian Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).[5]

Sesungguhnya, RUU baharu yang dibawa ke Parlimen tersebut telah memperlihatkan penggantian seksyen 14 iaitu “Laporan oleh institusi pelapor” dan seksyen 16 iaitu “Usaha wajar pelanggan”, yang masing-masing menyatakan obligasi atau kewajipan institusi pelapor membuat laporan tentang transaksi yang mencurigakan dan tidak dibenarkan untuk membuka atau mengendalikan mana-mana akaun yang mencurigakan. Secara keseluruhannya, ia juga memperlihatkan penguatkuasaan yang lebih ketat dan hukuman yang lebih berat yang bakal dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti haram, khususnya pengubahan wang haram dan aktiviti keganasan, antaranya termasuklah memanjangkan tempoh pemenjaraan dan menambah dendaan.

 

“Orang Berpengaruh Politik” harus diberi perhatian ketat

Namun demikian, pengamatan KPRU mendapati Akta 613 terlepas perhatiannya terhadap sesetengah golongan yang diambil kira sebagai “sasaran berisiko tinggi”, khususnya “orang berpengaruh politik” (politically exposed person, PEP)  iaitu orang yang mempunyai pengaruh atau pendedahan dalam politik seperti seorang perdana menteri dan ahli keluarganya, seorang ketua menteri dan ahli keluarganya, seorang menteri dan ahli keluarganya, dan seumpamanya.  Khususnya dalam konteks Malaysia, barangkali kes pengubahan wang haram bukan sahaja dikaitkan dengan penjenayah tetapi juga tokoh atau bigwig.

Menurut manual pemeriksaan anti-pengubahan wang haram dalam Akta Kerahsiaan Bank (Bank Secrecy Act, BSA) yang dikuatkuasa di Amerika Syarikat, institusi kewangan seperti bank perlu mengambil segala langkah munasabah bagi memastikan pihaknya tidak membantu menyembunyikan atau memindahkan “keuntungan” tokoh-tokoh politik negara asing, atau ahli keluarga mereka, atau sekutu mereka yang dijana daripada rasuah, sama ada tidak disedari atau secara sengaja.[6] Denda berat dikenakan terhadap institusi kewangan yang menjalankan urusniaga dengan PEP tanpa mengikut prosedur usaha wajar pelanggan yang mencukupi. Seperti contoh, Riggs Bank berpangkalan di Washington D.C., Amerika Syarikat telah didenda AS$25 juta pada tahun 2004 akibat kegagalan melaporkan urusniaga yang meragukan di akaunnya di Washington yang dipegang oleh kerajaan Equatorial Guinea dan diplomat Arab Saudi. Di samping itu, Riggs Bank juga pernah disiasat kerana terdapatnya pendedahan yang memperlihatkan usaha bagi menyembunyikan aset bekas diktator Chile, Augusto Pinochet daripada diambil tindakan oleh pendakwa raya apabila Pinochet diberkas di London selepas didakwa di Sepanyol atas tuduhan jenayah kemanusiaan pada tahun 1998. Akaun-akaun Pinochet di Riggs Bank terpaksa ditutup pada tahun 2002 akibat tekanan dari Pejabat Pengawal Mata Wang (Office of the Comptroller of the Currency, OCC). [7]

Padahalnya, garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Akta 613 (perenggan 5.10) turut memperuntukkan usaha wajar pelanggan yang lebih ketat terhadap pelanggan yang berisiko lebih tinggi. Pada tahap minimum, institusi kewangan sebagai salah satu institusi pelapor haruslah mendapatkan maklumat yang lebih terperinci melalui maklumat umum, khususnya tentang tujuan urusniaga dan sumber dana, serta mendapatkan kelulusan daripada pengurus kanan sebelum menjalin hubungan dengan pelanngan. Selain daripada PEP, pelanggan yang dikatakan berisiko lebih tinggi turut termasuklah individu kaya, pelanggan bukan pemastautin, pelanggan dari lokasi yang tinggi kadar jenayahnya, dan pelanggan dari negara yang mana tidak mengenakan undang-undang berkenaan dengan pencegahan pengubahan wang haram yang cukup ketat.[8]

Walau bagaimanapun, Malaysia masih tidak menyaksikan penguatkuasaan yang ketat dalam aspek ini. Maka, institusi-institusi pelapor, sama ada institusi kewangan daripada sektor konvensional, Islam dan luar pesisir, mahupun perniagaan dan profesion bukan kewangan seperti peguam, akauntan, setiausaha syarikat dan juga kasino berlesen tunggal di Malaysia, kadang-kala dijadikan sebagai suatu “lubang” bagi menyembunyikan kekayaan haram, terutamanya kekayaan bigwig seperti PEP. Lebih-lebih lagi, harus senantiasa diingatkan bahawa menteri-menteri berkenaan masih diberi kuasa besar dalam penguatkuasaan undang-undang tersebut, manakan Akta 613 ini dapat dikuatkuasakan tanpa berat sebelah dengan mengambil tindakan terhadap PEP yang terlibat, sekiranya ada?

Lantaran itu, memandangkan pindaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Akta 613) telah memperuntukkan kewajipan pelaporan oleh institusi pelapor dan usaha wajar pelanggan, garis panduan berkenaan yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia tentang penilaian pelanggan berisiko, terutamanya, harus dimanfaatkan dengan penguatkuasaan undang-undang. Pemantauan dan penyenggaraan terhadap pelanggan berisiko tinggi seperti yang tersenarai dalam garis panduan Bank Negara Malaysia seharusnya dijalankan dengan kerjasama agensi kerajaan, khususnya SPRM dalam isu pengubahan wang haram dan diberikan keutamaan dalam penyiasatan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s