KPRU: Mempopularkan pendidikan vokasional sebagai jalan menangani pengangguran belia

Pada awal bulan Februari, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menuding jari kepada 3.4 peratus penganggur dalam Negara dan menuduh bahawa kemalasan dan ketidaksanggupan bekerja yang diamalkan oleh mereka merupakan faktor angka pengangguran meningkat. Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, kenyataan beliau tidak berasas, tidak adil terhadap penganggur dan harus dipertikaikan kerana penganggur-penganggur ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Menurut liputan pada 21 Februari 2014 selepas Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan beliau yang tidak berasas itu, kadar pengangguran pada Disember 2013 mencatatkan penurunan kepada 2.9 peratus berbanding 3.4 peratus pada November, di mana bilangan penganggur menurun 59,600 orang. Pada masa yang sama, kadar penyertaan tenaga buruh turut menurun 1.3 peratus kepada 13,973,800 orang pada Disember daripada 14,164,800 orang pada November. [1]

Menurut lojik Admad Maslan, adakah penurunan kadar pengangguran bermakna rakyat Malaysia telah menjadi lebih rajin, ataupun penurunan kadar penyertaan tenaga buruh masih menandakan kemalasan rakyat Malaysia?

Di Malaysia, kadar pengangguran di bawah 4 peratus dianggap sebagai kadar pekerjaan penuh. Namun demikian, KPRU berpendapat bahawa angka pengangguran rasmi itu tidak mencerminkan situasi pengangguran secara keseluruhan, khususnya pengangguran belia yang kian diberi perhatian serius di arena antarabangsa. Justeru, tumpuan harus diberi agar golongan belia dinamik yang lekas maju dapat menikmati peluang untuk menyerlah potensi masing-masing, bukannya dibiarkan berkemelut mencari-cari peluang pekerjaan.

Semalam, ahli ekonomi Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Fatimah Kari dalam kenyataannya menyatakan bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak dapat membantu mengurangkan jurang kemiskinanan dalam Malaysia. Beliau turut memberi penekanan tentang peri pentingnya program social yang komprehensif sebagai insentif bagi menolong golongan miskin keluar daripada kemelut kemiskinan, antaranya merangkumi akses kepada kesihatan, pendidikan dan pekerjaan. KPRU berpendapat, kerajaan harus dengan segera menumpukan perhatian bagi menangani masalah jurang kemiskinan dalam kalangan belia, khususnya akibat pengangguran, melalui program social yang holistik, termasuk memberi penekanan dalam sistem pendidikan vokasional dan teknik.

Kumpulan belia mencatat kadar pengangguran tertinggi

Menurut Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Malaysia 2012, kadar pengangguran tertinggi pada tahun 2012 dicatatkan pada kumpulan umur 20-24 tahun, iaitu sebanyak 8.8 peratus, di mana kadar pengangguran lelaki adalah 8.1 peratus dan perempuan 9.9 peratus. Kadar ini adalah lebih tinggi daripada kadar pengangguran di kalangan golongan yang berumur 25 tahun dan ke atas. Daripada kadar pengangguran belia 8.8 peratus tersebut, kaum India muda mencatatkan kadar pengangguran yang tertinggi, iaitu 14.1 peratus, manakala kaum Melayu dan Cina masing-masing merekodkan 9.9 peratus dan 7.1 peratus.

Carta: Kadar Pengangguran Belia 2002 – 2012

pengangguran belia

Sumber:  Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Malaysia 2012

Carta: Nisbah Kadar Pengangguran Belia (Umur: 15 – 24) kepada Kadar Pengangguran Penduduk Dewasa (Umur: 25 – 64)

nisbah pengangguran

Sumber:  Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Malaysia 2012

Sesungguhnya, isu pengangguran belia bukan eksklusif kepada Malaysia sahaja. Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization, ILO) bertajuk Youth Employment ASEAN yang dikemukakan pada 21 Mac 2012 oleh Matthieu Cognac, dengan nyatanya menunjukkan bahawa hampir separuh belia dari Asia dan Pasifik, iaitu kira-kira 45 peratus adalah menganggur, dan peratusan ini mencakupi dua pertiga daripada jumlah tenaga buruh global. Kumpulan belia adalah 3 hingga 5 kali lebih cenderung menjadi penganggur berbanding dengan orang dewasa. Seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut, krisis ekonomi dikatakan telah membawa kohort belia menganggur yang terbesar. Kira-kira 74.7 juta belia telah mengalami pengangguran di seluruh dunia pada tahun 2011 sejak bermulanya kriris ekonomi dan kadar pengangguran kumpulan belia mencatat 12.7 peratus, iaitu meningkat daripada 11.7 peratus pada 2007. Dunia ini dikatakan bakal menghadapi jurang 600 juta pekerjaan produktif pada dekad akan datang.[2]

youth unemployment

Sumber: Youth Employment ASEAN

Persoalannya, adakah kerajaan persekutuan sudah bersiap sedia membantu golongan belia melepaskan diri daripada kemelut pengangguran. Ataupun, masalah ini bukan sesuatu yang merunsingkan tetapi mereka yang menganggur harus dipersalahkan, seperti yang diperkatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan kita?

Peluang pekerjaan terhad, persaingan sengit

Pada 5 Januari 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan di laman Facebooknya bahawa kerajaan berhasrat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang selari dengan status Negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Beliau menyatakan kerajaan mensasarkan untuk mewujudkan lebih tiga juta peluang pekerjaan baharu pada tahun berkenaan. Menurut beliau lagi, sebanyak 313,742 peluang pekerjaan telah diwujudkan pada 2011, manakala kira-kira 800,000 lagi pada tahun 2012.[3]

Pada hakikatnya, seperti yang dikemukakan dalam Laporan Global Employment Trends 2013 oleh  ILO, pertumbuhan pekerjaan di Malaysia telah mengalami kemerosotan yang amat serious sejak Suku Ketiga tahun 2011 dan dijangka hanya akan menyaksikan pertumbuhan rendah sekitar 1 hingga 2 peratus sepanjang tahun 2014.[4]

global employment trends

Sumber: Global Employment Trends 2013

Pengamatan ILO tersebut seakan-akan melontarkan persoalan terhadap sasaran kerajaan untuk mewujudkan lebih tiga juta peluang pekerjaan baharu pada tahun 2020. Kini, kita pun berada pada ambang wawasan 2020 yang hanya berjarak 6 tahun lagi dari sini, adakah wawasan tersebut berkesampaian?

Dengan pertumbuhan peluang pekerjaan yang lembap, tambahan pula dengan kemasukan pekerja asing yang berpusu-pusu, sudah pastinya golongan belia tidak mempunyai pilihan selebihnya tetapi terpaksa bersaing antara satu sama lain. Salah satu cara bagi menonjolkan dan menyerlahkan potensi masing-masing adalah dengan melengkapi diri dengan pengetahuan pratikal, dan kelebihan ini tidak dapat dicapai oleh semua belia dalam suasana sistem pendidikan yang terlalu mengagung-agungkan akademik.

Pendidikan vokasional jalan keluar penganggur

Salah satu fakta berhubung pengangguran yang harus diberi penekanan di sini ialah: 60 peratus daripada jumlah penganggur di Malaysia terdiri daripada mereka yang berpendidikan menengah, manakala peratusan penganggur yang berpendidikan tertiari pula merekodkan 27.3 peratus.

Pada tahun 2012, terdapat 7.3 juta (7,321,900) tenaga buruh berpendidikan menengah di pasaran buruh, iaitu 55.8 peratus manakala 3.2 juta (3,197,600) tenaga buruh berpendidikan tertiari. Dengan meneliti trend sejak tahun 2002 sehingga 2012, biarpun telah menjejak tahun millennium, bilangan tenaga buruh yang berpendidikan menengah sentiasa mendahului tenaga buruh yang berpendidikan tertiari. Fakta ini bukan sahaja menggariskan realiti bahawa pendidikan penggajian tinggi masih tidak berleluasan berbanding pendidikan menengah dalam Negara ini, malahan membayangkan ketidakmampuan pihak kerajaan dalam mengekalkan dan menarik bakat tempatan, mahupun bakat asing untuk menyumbang kepada tanah air.

Sebagai jalan penyelesaiannya, KPRU berpendapat, pendidikan vokasional dan teknik, khususnya pada peringkat pengajian tinggi harus diumumkan dan dipopularkan bagi melahirkan golongan yang berkemahiran tinggi, bukan sahaja yang cemerlang dalam akademik. Pengamatan KPRU mendapati bahawa Negara ini memerlukan lebih banyak tenaga buruh yang berkemahiran tinggi lagi profesional, bukan hanya bagi memenuhi permintaan pasaran tetapi sebagai pendorong bagi memacukan pembangunan Negara menghala kepada wawasan Negara berpendapatan tinggi.

Dukacitanya, Malaysia ketinggalan dari segi enrolmen pendidikan vokasional di perungkat global, walaupun menyaksikan perubahan pendidikan vokasional semenjak Transformasi Pendidikan Vokasional dilancarkan pada 6 Januari 2012,  di mana 15 sekolah menengah vokasional dinaik taraf kepada Kolej Vokasional. Transformasi Pendidikan Vokasional ini dikatakan bertujuan merekayasa (reengineering) sistem pendidikan vokasional sedia ada, dengan meliputi Pendidikan Asas Vokasional (PAV), Kolej Vokasional (KV) serta Pendidikan Teknikal (PT).[5]

Menurut maklumat dari portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, terdapat sejumlah 78 buah kolej vokasional, 9 buah Sekolah Menengah Teknik, dan 4 buah Institut Latihan Kemahiran Swasta di seluruh Negara. Namun, bilangan institusi-institusi vokasional ini jelasnya tidak dapat menampung permintaan masyarakat, apatah lagi menyumbang untuk mencungkil bakat pelajar-pelajar agar menjadi tenaga mahir, dan sejurusnya menyelesaikan masalah pengangguran belia. Hal ini turut diakui Timbalan Perdana Menteri, Yan Sri Muhyiddin Yassin yang turut merangkap jawatan Menteri Pendidikan, bahawa langkah segera perlu diambil bagi menyediakan lebih banyak tempat untuk menampung permintaan kemasukan pelajar-pelajar ke Kolej Vokasional yang kian meningkat.[6]

Di antara Negara-negara anggota Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), kemasukan atau enrolmen pelajar di menengah tinggi vokasional adalah hampir separuh, iaitu 46.2 peratus berbanding dengan enrolmen di sekolah menengah tinggi umum yang berorientasikan akademik yang mencatatkan 53.8 peratus pada tahun 2006.

Lebih-lebih lagi, sekolah menengah tinggi vokasional adalah khususnya lebih popular di beberapa Negara, termasuklah Czezh Republic, di mana kemasukan pelajar di sekolah menengah tinggi vokasional adalah tertinggi di kalangan Negara OECD dan mencatat 79.3 peratus, ini diikuti oleh Austria (77.9 peratus), Slovak Republic (73.7 peratus), Belgium (69.4 peratus), Netherlands (67.5 peratus), Finland (65.4 peratus), Switzerland (64.2 peratus), Luxembourg (62.7 peratus), Australia (61.6 peratus), Norway (60.0 peratus), dan Germany (59.4 peratus).[7] Di Fipilina, pendidikan vokasional dan teknik diperkenalkan semula dalam “10 Agenda Pendidikan” sebagai komponen signifikan bagi menangani kadar pengangguran belia yang tinggi dalam Negara tersebut.[8]

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang dikatakan bercita-cita tinggi masih gagal meletakkan tumpuannya pada meningkatkan status pendidikan vokasional dan teknik. Pada pendapat KPRU, usaha utama sekali yang harus diambil adalah memasukkan pendidikan vokasional ke dalam sistem pendidikan arus utama, bukan sekadar sebagai sistem pendidikan alternatif. Kepentingan pendidikan vokasional harus diiktirafkan dan dikenali sebagai institusi pengajian mustahak dalam melahirkan tenaga mahir. Dengan ini, persepsi masyarakat terhadap sekolah teknik atau vokasional bahawa ia hanya bagi pelajar yang tidak cemerlang atau sederhana dalam akademik dapat diperbetulkan.


[2] https://www.google.com/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=1&cad=rja&ved=0CCUQFjAA&url=http peratus3A peratus2F peratus2Fwww.ilo.org peratus2Fgimi peratus2Fgess peratus2FRessourceDownload.action peratus3Fressource.ressourceId peratus3D29409&ei=POnhUs6tO8qCrgf3ooGQDg&usg=AFQjCNHXRyAzYIWre0GAWq2WWi5BS_ZP4A&sig2=r8k2J0dLDpBE2maPeX59YQ&bvm=bv.59568121,bs.1,d.aGc

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s