Kejayaan KPK Indonesia – Jadikannya Iktibar

Pendahuluan

kalaulah kaji selidik terbaru Transparency International-Malaysia (TI-M) membawa sebarang mesej penting, mesej tersebut bukan sekadar berkenaan dengan persepsi bahawa parti politik (45%) dilihat sebagai paling korup, dikuti institusi polis (42%), kakitangan kerajaan (31%) dan seterusnya. Sebaliknya, mesej tersebut berkait rapat dengan peranan, bidang kuasa dan kerangka operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM) 2009 dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang sesi Dewan Rakyat Jun atau September tahun ini, iaitu dalam mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen ke-13. Antara cadangan kepada pindaan akta tersebut merangkumi peruntukan liabiliti korporat yang bertujuan memastikan entiti korporat bebas daripada rasuah, sebagai langkah membolehkan entiti korporat memikul liabiliti bagi perbuatan rasuah atau pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh pekerjanya.[1] Terdapat juga cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah (SPPPR) dan soal pelantikan ketua pesuruhjayanya agar jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dinaiktaraf setanding dengan jawatan penting seperti Peguam Negara dan Ketua Audit Negara.[2]

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) melihat cadangan pindaan terhadap Akta SPRM 2009 sebagai tekad SPRM bagi menambahbaik dan mempertingkatkan prestasinya secara menyeluruh dan bersedia menyambut baik usaha seumpama, khususnya mengambil kira keadaan di mana SPRM kelihatan tidak berdaya mengambil tindakan dan mengerahkan kuasa serta kapabilitinya dalam menghadapi kes-kes rasuah yang melibatkan pegawai-pegawai badan awam, sama ada kakitangan awam berpangkat rendah, mahupun pegawai kanan yang berprofil tinggi.

Pendedahan Laporan Ketua Audit yang melibatkan kehilangan, kerosakan, dan kebaziran asset di badan awam yang bernilai berjuta-juta ringgit, tambahan pula harga perolehan barangan yang berkali-kali ganda lebih tinggi daripada harga pasaran yang terpaksa dibiayai oleh agensi-agensi kerajaan dengan cukai rakyat sudah cukup menyakit hati dan menjolok mata, namun tiada kelihatan apa-apa tindakan berkesan yang diambil yang berkemampuan menghentikan segala perkara yang tidak munasabah tersebut, mahupun sekurang-kurangnya mengurangkan kebarangkaliannya secara bermakna.

Misalnya, Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) telah memanggil kementerian berkenaan untuk memberi keterangan, Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara diadakan, tambahan pula dengan siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun akhirnya hanya segelintir kecil pegawai atau kakitangan kerajaan yang diambil tindakan atas kesalahan atau kecuaian mereka. Hanya seorang dibuang kerja, 41 dikena surcaj, 2 didenda dan 32 diberi amaran daripada sejumlah 152 pegawai atau kakitangan kerajaan yang dipanggil ke Jawatankuasa Tatatertib susulan perbentangan Laporan Ketua Audit Negara 2012 bagi Siri 1 hingga 3 dalam 121 kes yang terbangkit. [3]

Persoalannya, apakah signifikasi Laporan Ketua Audit yang dibentangkan sebanyak tiga kali setahun sekiranya pihak yang tidak bertanggungjawab dan melakukan kesalahan sama ada dari segi undang-undang, mahupun salahlaku tatatertib, tidak dikena tindakan yang setimpal sebagai pengajaran kepada yang lain? Apakah perbezaan pembentangan tiga siri setahun berbanding satu siri setahun sekiranya masalah penyelewengan yang sekian banyak tidak memperlihatkan penyelesaian yang berkesan?

Pada pendapat KPRU, bidang kuasa dan sistem operasi merupakan belenggu dan rintangan yang mengekangkan dan mengehadkan kewibawaan SPRM dalam menyerlahkan profesionalismenya dalam mencegah dan menangani kes rasuah dalam Negara ini. Sesungguhnya, keberkesanan SPRM dalam menangani gelaja rasuah, khususnya di kalangan penjawat awam dan pegawai badan awam yang berpangkat tinggi, bergantung pada sistem dan model operasinya.

Dalam hal ini, KPRU telah membuat kajian terhadap entiti pencegahan rasuah di Negara jiran, iaitu Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia atau dalam bahasa Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) untuk membuat perbandingan dengan SPRM agar dijadikan sebagai contoh yang boleh dirujuk dan diteladani dalam meningkatkan keberkesanan SPRM.

 

Kunci kejayaan KPK 1: Kuasa penyiasatan dan pendakwaan

KPK Indonesia yang ditubuhkan pada tahun 2003 merupakan sebuah badan pembanterasan rasuah yang begitu menakjubkan dengan pencapaiannya, khususnya di sebuah Negara yang lama dibelenggu endemik rasuah dan tidak kelihatan sebarang kesan dalam usaha anti-rasuah sebelum penubuhan KPK. Sebahagian besar kejayaan KPK dapat dijelaskan dengan kuasa-kuasa penyiasatan yang diperuntukkan kepadanya, tambahan pula dengan pra-ujian yang ketat dalam peringkat pendakwaan dan kecekapan mahkamah anti-rasuah.  Ketiga-tiga faktor tersebut membolehkan KPK mencapai 100 peratus kadar sabitan kesalahan terhadap pegawai badan awam tertinggi dalam kesemua agensi utama kerajaan Indonesia, malahan pencapaiannya jauh lebih cemerlang berbanding dengan “abang”-nya Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang selepas itu diganti oleh SPRM pada tahun 2009.

Sekali pandang, membandingkan prestasi SPRM dengan KPK mungkin dikatakan kurang munasabah memandangkan perbezaan yang ketara dari segi rekabentuk pembangunan dan sistem antara kedua entity pencegahan rasuah tersebut. Sesungguhnya, inilah hasrat KPRU bagi memberi penekanan terhadap suatu rekabentuk sistem yang benar-benar berkesan untuk membolehkan SPRM melepaskan dirinya daripada kekangan dan menunjukkan kekuatannya.

Pertama sekali, seperti SPRM, KPK turut ditubuhkan dengan mencontohi Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (Independent Commission against Corruption, ICAC), yang mana senantiasa dicontohi kerana skop dan kuasanya yang dikatakan lebih menyeluruh dan komprehensif. Akan tetapi, struktur organisasi dan bidang kuasa KPK diperkasakan lagi dengan peruntukan kuasa pendakwaan di samping pencegahan dan penyiasatan. Penting sekali, operasi KPK adalah bebas sepenuhnya daripada kawalan dan seliaan badan eksekutif, dan ia tidak perlu bergantung langsung pada Pejabat Peguam Negara di Indonesia yang telahpun tercemar dengan isu-isu integritinya dalam pengendalian pendakwaan kes rasuah. Kes-kes rasuah yang disiasat akan difailkan sama sekali oleh KPK dan dibawa ke Mahkamah Anti-Rasuah yang dikenali sebagai Pengadilan Tindak Pidana Korupsi atau TIPIKOR di Indonesia untuk menjalankan prosiding pendakwaan terhadap pelaku-pelaku kesalahan kes rasuah.

Di sini, perhatian harus ditumpukan pada kaedah operasi KPK di mana penyiasat dan pendakwa KPK sentiasa bekerjasama secara rapat bagi memastikan siasatan mengumpul bukti yang mencukupi bagi prosiding pendakwaan. Tambahan pula, perbincangan dan perundingan antara penyiasat dan pendakwa dipermudahkan apabila kedua-dua pihak penyiasat dan pendakwa ditempatkan dalam bangunan yang sama. Dalam siasatan KPK, ia berkuasa mengintip melalui talian telefon, memeriksa akaun bank dan rekod cukai, membekukan asset suspek, termasuklah juga dengan mengeluarkan perintah “hold” dan akhirnya mengadakan tangkapan. Kuasa siasatan sebesar ini biarpun dikritik, tetapi telahpun mengesahkan keberkesanannya dalam menjadikan rasuah suatu aktiviti yang berisiko tinggi dengan kepulangan yang rendah. Apabila penyiasat KPK dan pendakwa mencapai persetujuan bahawa mereka telah menguasai bukti yang kukuh dan boleh membawa kes berkenaan ke TIPIKOR, kes berkenaan akan terlebih dahulu menjalani kajian panel secara tiga peringkat yang diadakan oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya KPK. Peranan pesuruhjaya-pesuruhjaya KPK adalah bagi mencabar strategi kes yang dicadangkan untuk menjaminkan kemenangan setiap kes yang difailkan. Kes-kes yang berjaya melalui kajian panel kemudiannya akan diluluskan oleh KPK untuk dibawa ke TIPIKOR. Persediaan sebegini dikatakan telah menyumbang kepada kecekapan mahkamah memandangkan pihak pendakwa dapat meneruskan perbicaraan kes tersebut secara teratur tanpa perlunya meminta penangguhan.

Sebaliknya di Malaysia, bukan sahaja SPRM tidak mempunyai kuasa pendakwaan, malahan dalam sesetengah kes, kertas siasatan yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pula dikembalikan. Misalnya, sembilan kertas siasatan berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikemukakan oleh SPRM di kembalikan dengan syor ia ditutup. Menurut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, hal ini adalah sebab penelitian jabatan tersebut terhadap hasil siasatan SPRM mendapati tidak cukup keterangan bagi membolehkan satu pertuduhan jenayah di bawah mana-mana undang-undang dikenakan terhadap mana-mana pegawai atau individu yang dinamakan dalam kertas siasatan.[4] Jelasnya, tanpa kerjasama antara pihak penyiasat dan pendakwa, SPRM seolah-olah “itik tempang” yang tidak mampu menunjukkan kuasa dan kapasitinya sebagai sebuah entiti pencegah rasuah yang bebas lagi berkeupayaan.

Dalam sekadarnya tempoh 5 tahun yang singkat, pegawai-pegawai di Indonesia yang dikatakan “terlindung” dengan kedudukan dan kepentingan mereka pun tidak berdaya melarikan diri daripada KPK. Antara sabitan sehingga kini termasuklah ahli-ahli parlimen, ketua-ketua dan pegawai-pegawai kanan agensi utama (misalnya Bank Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Persaingan dan sebagainya), gabenor dan datuk Bandar, pegawai-pegawai dari pasukan polis (termasuk bekas Ketua Polis Negara), pegawai Pejabat Peguam Negara, duta dan pegawai tinggi kementerian (termasu seorang Menteri). Tambahan pula, KPK juga pernah mendakwa dan memenjarakan peniaga swasta, termasuk pemilik dan pengarah syarikat yang terlibat dalam transaksi rasuah dengan pegawai badan awam. Ketara sekali, KPK telah memfailkan dakwaan terhadap ayah menantu kepada anak Presiden, iaitu bekas Timbalan Gabenor Bank Negara. Sabitan dan hukuman penjara terhadap Aulia Pohan boleh dikatakan mencatatkan sejarah: pertama, bahawa seseorang dalam keluarga seseorang Presiden didakwa dan dipenjarakan; kedua, bahawa Presiden sendiri tidak menghalang prosiding undang-undang itu. Seperti kes-kes KPK lain yang mengambil tindakan terhadap pegawai berpangkat tinggi, kes Pohan itu dikenali sebagai suatu usaha yang mendukung kedaulatan undang-undang di Indonesia.

Di mana dalam sejarah di Malaysia mana-mana menteri atau bekas menteri dijatuhkan hukuman akibat rasuah? Ketua-ketua Menteri Negeri (atau bekas Ketua Menteri), ataupun anak-anak Menteri (malahan Perdana Menteri) tidak langsung berasa tergugat biarpun dengan pelbagai pendedahan yang kontroversi.

 

Kunci kejayaan KPK 2: Kecekapan Mahkamah Anti-Rasuah

Dalam kertas penyelidikan Emil P. Bolongaita dari Pusat Sumber Anti-Rasuah (Anti-Corruption Resource Centre), telah dinyatakan bahawa sebahagian besar prestasi cemerlang KPK dalam menangani kes rasuah – bukan sahaja kes yang melibatkan pegawai awam yang berpangkat rendah, malahan “ikan-ikan besar” yang berprofil tinggi – adalah disumbang oleh kecekapan mahkamah, khususnya mahkamah anti-rasuah, iaitu TIPIKOR. TIPIKOR diadakan melalui peruntukan dalam undang-undang yang menubuhkan KPK, iaitu Undang-Undang Nombor 30 Tahun 2002 tentang Komisi Pemberantasan Tindak Pidana Korupsi.[5] Penubuhan mahkmah tersebut adalah disebabkan persepsi di kalagan reformis bahawa gejala rasuah yang menghantui institusi kehakiman yang sedia ada berkemungkinan menjejaskan kecekapan dan keberkesanan KPK, memandangkan keputusan mahkamah biasanya berkompromi dengan rasuah. Maka, satu mahkamah anti-rasuah yang bebas patut diadakan untuk mengendalikan pendakwaan terhadap pesalah-pesalah rasuah.

Indonesia bukan satu-satunya Negara yang mempunyai mahkamah yang khususnya bagi mengendali kes rasuah. Di kalangan Negara Asia Tenggara, Filipina juga mempunyai mahkamah anti-rasuah yang dikenali sebagai Sandiganbayan, bagi fungsi memproses prosiding kes-kes yang difailkan oleh entiti pencegahan rasuah di Filipina, Ombudsman. Namun demikian, pencapaian Ombudsman dan Sandiganbayan di Filipina adalah jauh lebih mengecewakan berbanding dengan KPK dan TIPIKOR. Perbezaannya menjadi lebih ketara apabila perhatian ditumpukan pada kuasa penyiasatan yang dimiliki dan kecekapan mahkamah masing-masing. Misalnya, semua perbicaraan rasuah yang dikendalikan oleh KPK akan disiapkan dalam tempoh lapan bulan, di mana turut merangkumi masa rayuan yang diambil bagi merayu kepada Mahkamah Agung berhubung keputusan TIPIKOR. Secara perbandingan, median tempoh masa yang diamabil oleh Ombudsman untuk perbicaraan kes di Sandiganbayan pula 6.6 tahun, belum lagi termasuk proses kajian semula oleh Mahkamah Agung berkenaan dengan rayuan terhadap keputusan Sandiganbayan yang mengambil masa 3.2 tahun, secara median. Jelasnya, perbicaraan kes KPK adalah 15 kali ganda lebih cekap berbanding dengan Ombudsman, dan sekali gus menjelaskan kejayaan KPK dalam membanteras gelaja rasuah di Indonesia.

Satu lagi isi penting yang harus dititikberatkan di sini ialah, tiada satu pun kes KPK yang ditewas di TIPIKOR, mahupun dalam kes rayuan di Mahkamah Agung. Hukuman yang dijatuhkan pula dikuatkuasakan serta merta biarpun keputusan TIPIKOR masih boleh dirayu di Mahkamah Agung. Sebaliknya, perbicaraan di Sandiganbayan yang berlarut-larut pula tidak semestinya mendatangkan kemenangan kepada Ombudsman, malahan kebanyakannya kes rayuan yang dibawa ke Mahkamah Agung juga menyebabkan keputusan Sandiganbayan ditolak.

Pada pandangan KPRU, perbandingan antara TIPIKOR di Indonesia dan Sandiganbayan di Filipina telah membekalkan suatu panduan yang konstruktif kepada SPRM di Malaysia dalam usaha meneroka jalan baharu demi mempertingkatkan prestasi SPRM secara menyeluruh. Dengan ini, dapatlah gigi taring SPRM diasahkan bukan sahaja untuk mengigit ikan-ikan bilis dalam badan awam, tetapi juga ikan yu yang besar-besar belaka.

 

Kunci kejayaan KPK 3: Pemilihan warga kerja yang berkelengkapan dan berkaliber

Mengikut maklumat setakat tahun 2012, KPK mempunyai seramai 752 orang warga kerja, iaitu sekadarnya satu pertiga daripada sumber manusia di SPRM yang kini mencecah 2,700 orang kakitangan, termasuk 600 pegawai siasatan dan perisikan.  Bagaimanakah sebuah entiti yang kelihatan begitu kecil dengan sumber manusia yang amat terhad berkemampuan mencipta sejarah dengan mencetuskan gelombang anti-rasuah di Indonesia?

Petuanya ialah pengambilan warga kerja berkelengkapan melalui prosedur pemilihan yang tegas sekali. Warga kerja KPK, termasuk calon penyiasat dan pendakwa dipilih khususnya di kalangan pemohon dari Polis Nasional Indonesia dan Pejabat Peguam Negara. Pemohon lain, lazimnya dari Kementerian Kewangan dan Lembaga Penyeliaan Kewangan dan Pembangunan (BPKP) yang juga akan diberi pertimbangan. Walaupun pendekatan dalam rekrutmen sebegini menimbulkan pertikaian bahawa ia bertentangan dengan syor penganalisis anti-rasuah, atas sebab kebimbangan bahawa agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dalam cabang eksekutif tersebut terlibat dalam kes rasuah pula. Namun bagaimanapun, demi mengelakkan risiko sebegini, pengambilan calon penyiasat dan pendakwa dalam KPK adalah ketat sekali, di mana pemohon perlu menjalani pemeriksaan latar belakang yang menyeluruh, dan juga ujian-ujian teknikal dan psikologi. Berikutan pengambilan mereka, penyiasat dan pendakwa akan diberi kontrak jangka tetap; sekiranya kontrak tidak diperbarui apabila tamat tempohnya, mereka akan kembali semula ke agensi-agensi asal mereka.

SPRM di sebaliknya, tidak mengadakan pemilihan dan pengambilan warga kerja yang setegas KPK.

 

Kesimpulan

Biar kita bersama-sama menaruhkan harapan agar SPRM di Negara ini, yang kelihatan seolah-olah seekor harimau kertas tidak bergigi, dalam masa yang tidak terlalu lama dari sekarang, dapat menonjolkan gigi taringnya melalui usaha penstrukturan semula seperti yang disyorkan KPRU. Biar rasuah dijadikan suatu gelaja yang berisiko tinggi dengan pulangan yang rendah, dan sejurusnya membasmi lintah-lintah yang sama ada secara tersembunyi mahupun secara terbuka membolot kekayaan tanah air yang begitu dirahmati ini.

 

[1] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/cadangan-pindaan-akta-sprm-untuk-pastikan-entiti-korporat-bebas-rasuah

[2] http://www.theborneopost.com/2014/04/11/sprm-kumpul-input-bagi-cadangan-pindaan-akta-sprm/

[3] http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140408/dn_24/Laporan-Ketua-Audit-Negara-2013-PAC-panggil-5-kementerian

[4] http://www.bharian.com.my/bharian/articles/9kertassiasatanLaporanKetuaAuditNegaradisyortutup/Article/index_htmlDalam

[5] http://www.kpk.go.id/images/pdf/Undang-undang/uu302002.pdf

Advertisements

2 thoughts on “Kejayaan KPK Indonesia – Jadikannya Iktibar

  1. Pingback: The Success of Indonesia’s Anti-Corruption Commission – A Model to Emulate |

  2. Mengenai aspek yang pertama iaitu kuasa penyiasatan dan pendakwaan yang dimiliki oleh KPK, tidak dapat dinafikan bahawa ia memang menjadi satu sebab penting yang menyumbang kepada keberkesanan fungsi KPK. Di negara kita, walaupun SPRM juga diberikan kuasa penyiasatan yang luas, terutamanya jika dibandingkan dengan agensi-agensi lain, namun ia tidak disertakan sekali dengan kuasa pendakwaan. Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pendakwaan secara eksklusif kepada Peguam Negara untuk semua kes jenayah kecuali untuk kes-kes di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri, dan Mahkamah Tentera. Walaupun SPRM mempunyai pegawai-pegawai undang-undang, atau Timbalan-timbalan Pendakwa Raya yang ditugaskan di situ, namun mereka adalah di bawah khidmat Jabatan Peguam Negara dan bukannya di bawah SPRM. Mereka boleh ditukarkan ke agensi-agensi lain atau ke tempat-tempat lain di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, ternyata SPRM tidak mempunyai autonomi dan terpaksa bergantung kepada Jabatan Peguam Negara dalam hal ehwal pendakwaan. Yang memberi kata putus terakhir sama ada mahu melakukan pendakwaan adalah Jabatan Peguam Negara. Ini sebenarnya adalah satu sindrom pemusatan kuasa yang amat lazim di negara kita. Bukan sahaja pegawai-pegawai undang-undang di agensi-agensi kerajaan berada di bawah khidmat Jabatan Peguam Negara, malah pegawai-pegawai di Pejabat Penasihat Undang-undang untuk setiap negeri juga berada di bawah khidmat Jabatan Peguam Negara. Mungkin sudah tibanya masanya monopoli kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara dipecahkan. Dalam hal ini, SPRM adalah satu tempat yang sesuai untuk memulakan langkah ini, memandangkan ia bertaraf Suruhanjaya dan bertanggungjawab menangani satu isu yang penting yang membelenggu negara kita iaitu rasuah.
    Kunci kejayaan yang kedua pula adalah kecekapan Mahkamah Anti-Rasuah. Tidak dapat dinafikan bahawa Mahkamah seumpama ini di Indonesia, yang dipanggil Pengadilan Tindak Pidana Korupsi (TIPIKOR), telah menyumbang kepada pembanterasan jenayah rasuah di negara berkenaan. Di Malaysia, kita tidak mempunyai Mahkamah yang khusus untuk mengendalikan kes-kes rasuah. Kita mempunyai Mahkamah Sesyen Khas SPRM, namun ia cuma sebahagian dari sistem Mahkamah biasa dan diwujudkan berdasarkan arahan pentadbiran dan bukannya peruntukan undang-undang. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan kewujudan Mahkamah Khas ini telah sedikit sebanyak menyumbang kepada kelicinan perjalanan perbicaraan kes-kes rasuah di Malaysia. Berdasarkan data oleh SPRM, kadar sabitan kes yang memihak kepada pendakwaan telah meningkat kepada 85 peratus sejak Mahkamah Khas ini diwujudkan, di samping jumlah kes-kes tertunggak juga telah dikurangkan. Sekiranya Mahkamah Sesyen Khas SPRM ini dapat dinaiktaraf menjadi sebuah Mahkamah yang berautonomi seperti TIPIKOR di Indonesia, ini sudah tentu dapat meningkatkan lagi tahap keberkesanan Mahkamah ini.
    Kunci kejayaan ketiga adalah pemilihan warga kerja yang berkelengkapan dan berkaliber. Tidak seperti KPK, SPRM tidak mempunyai autonomi yang luas dalam pemilihan warga kerja. Seperti yang dinyatakan di atas, kakitangan perundangan dan pendakwaan yang ditugaskan ke SPRM adalah berada di bawah kawalan Jabatan Peguam Negara. Bagaimana pula dengan kakitangan SPRM yang lain? Malaysia adalah sebuah negara dengan kadar pemusatan kuasa yang tinggi. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) ditugaskan untuk menguruskan pengambilan kakitangan untuk sebahagian besar perkhidmatan awam di negara ini, dan ini termasuk SPRM. Walaupun SPA mengambil kira peranan pegawai dari badan-badan awam yang berkaitan dalam proses penapisan dan temuduga, namun lebih ideal sekiranya SPRM mempunyai kuasa untuk memilih kakitangannya sendiri, ataupun diwujudkan suatu badan khas yang mengambil tenaga kerja untuk SPRM. Sesetengah badan awam di negara ini mempunyai badan khas untuk menguruskan pengambilan kakitangan dan mereka tidak perlu bergantung kepada SPA. Contohnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Dalam hal ini, cadangan untuk mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah (SPPPR) adalah satu cadangan yang baik dan perlu dipertimbangkan secara teliti. Sekiranya SPPPR ini betul-betul menjadi realiti, sistem pemilihan yang ketat sepertimana yang diamalkan KPK harus diamalkan oleh suruhanjaya ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s