Meneliti Kematangan Politik melalui Pertukaran MB

Paparan skrin mesej ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengenai isu pertukaran Menteri Besar (MB) Selangor dan senario analisis yang mencadangkan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat (PAKATAN) yang bocor, tersebar luas di laman sosial dan telah menggusar hati orang ramai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dalam paparan tersebut, Dr Zuhdi melakar senario bahawa PAS masih boleh mengekalkan Selangor menerusi kerjasama dengan UMNO.

Dalam pada itu, kenyataan-kenyataan beliau, termasuk pendedahan beliau bahawa “usul PAS keluar dari PR (atau PAKATAN) itu telah disokong kuat oleh tidak kurang 10 orang anggota dalam kumpulan whatsapp itu”, walaupun dikomunikasi melalui media sosial dan bukan melalui kenyataan media, bukan sahaja menghampakan para pengundi yang memberi undi kepada calon-calon PAS di bawah tiket PAKATAN, malahan sekali gus mensia-siakan kepercayaan yang ditaruhkan terhadap PAS, khususnya di kalangan mereka yang bukan warga PAS.

Kenyataan beliau seterusnya yang berunsur perkauman lagi anti-demokrasi bagaikan tikaman pisau tajam yang kejam lagi memedihkan, sejurusnya mencemari imej “PAS untuk semua” yang bersusah payah didirikan agar memenangi hati pengundi, terutamanya mereka di kawasan bandar dan kota.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpandangan, sekiranya isu ini tidak ditangani secara wajar dan serious, bilangan kerusi yang dipertandingkan dan cuba dipertahankan oleh PAS dalam pilihan raya akan jatuh merudum, dan kemaraan PAKATAN menuju ke Putrajaya akan turut terbantut khususnya kerana PAS.

Adakah PAS sedia mempertaruhkan usaha yang dicurahkan bersama PAKATAN, khususnya sejak tsunami politik 2008 sehingga kini, dalam perjalanan yang sesungguhnya sukar dengan curam lagi berliku-liku,tetapi masih terus memara ke destinasi yang sama? Adakah pihak tertentu dalam PAS (tidak kurang daripada 10 orang anggota dalam kumpulan whatsapp yang didakwa oleh Dr Zuhdi bahawa menyokong usul PAS keluar dari PAKATAN) benar-benar sedia mengkhianati kepercayaan serta perjanjian yang PAS meterai dengan PAKATAN dan rakyat yang menyokong dan mengundi PAS, demi kembali ke pangkal lama dalam soal memperjuangkan politik Melayu Islam seperti UMNO? Pertanyaan-pertanyaan harus diberi perhatian serius dan diberi jawapan yang sewajarnya.

 

Dalam sistem berparlimen, ketua eksekutif dilantik bukan dipilih

Dalam kemelut isu pertukaran MB Selangor, kenyataan Dr Zuhdi bukan sahaja memberi ruang kepada UMNO untuk mengambil kesempatan mengucar-ngacirkan pentadbiran dan pimpinan kerajaan PAKATAN, lebih-lebih lagi mengelirukan isu pokok dalam perdebatan pertukaran MB.

Terutama sekali, adalah mustahak untuk memahami perjalanan dan operasi sistem berparlimen yang diamalkan Negara ini. Sesungguhnya, dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia berdasarkan sistem Parlimen Westminster, pada peringkat negeri, seorang MB merupakan lantikan oleh parti atau gabungan parti yang membentuk majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN), justeru wujudnya prinsip MB bersama-sama barisan EXCO beliau harus bertanggungjawab secara kolektif kepada DUN. Justeru itu juga, fungsi asas kewujudan sebuah parti adalah menentukan barisan calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Apabila menang pilihan raya, fungsi parti seterusnya adalah membuat pelantikan penting bagi membentuk kerajaan.

Nyatanya, sistem politik di Malaysia adalah berbeza sekali dengan sistem presidensi seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat, di mana pemimpin tertinggi kerajaannya, iaitu Presiden, adalah dipilih melalui pemilihan langsung.

Sesungguhnya, beginilah sistem politik d Malaysia, yang mana gabungan parti politik diberi ruang untuk memainkan peranannya dalam membuat keputusan siapa yang memegang jawatan sebagai MB dengan keizinan ketua negeri, iaitu Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

Maka, dalam isu pertukaran MB Selangor, tindakan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB sememangnya suatu tindakan menurut lunas demokrasi diambil oleh sesebuah parti politik yang bertanggungjawab dalam hal memilih seseorang calon yang sesuai lagi dipersetujui oleh rakan parti bagi melaksanakan dasar kerajaan yang selaras dengan halatuju dan prinsip gabungan parti yang diberi mandat oleh rakyat melalui undi dalam pilihan raya. Atas prinsip kerjasama PAKATAN seperti yang diperhatikan di negeri-negeri PAKATAN dulu dan kini, KEADILAN adalah berhak mencadangkan usul untuk menggantikan ketua eksekutif negeri Selangoor dengan calon yang lebih bersesuaian, dan pada masa yang sama, pemimpin yang ditolak oleh partinya sendiri tidak boleh terus menyandang jawatannya.

 

Kevin Rudd diganti Julia Gillard

Di Australia, kita pun pernah menyaksikan pertukaran Perdana Menteri pada tahun 2010 apabila perasaan ketidakpuasan terhadap kepimpinan Kevin Rudd semakin membara dalam Parti Buruh Australia (Australian Labor Party). Sedangkan imej Kevin Rudd di persada antarabangsa adalah agak positif dan popular dengan keupayaan beliau menguasai bahasa asing, seperti Bahasa Cina, namun gaya kepimpinan beliau dalam soal domestik banyak dipersoal dan dipertikaikan. Terutama sekali, Kevin Rudd dikatakan tidak berkemampuan untuk berkomunikasi secara berkesan dengan rakan sejawatnya untuk mencapai kata sebulat dalam soal pelaksanaan mana-mana dasar politik, malah tidak bertimbang rasa dan menghargai sumbangan anak-anak buah beliau. Tambahan pula, kekurangan ketegasan beliau untuk membuat keputusan secara efektif turut mengakibatkan kerajaannya terperangkap dalam beberapa isu negatif. Dalam penggal pimpinan Kevin Rudd, kerajaan beliau dibelenggu dengan berbagai-bagai pengenalan atau pelaksanaan dasar yang kontroversi, misalnya pengenalan kewajipan penapisan internet, kelewatan pelaksanaan skim pengurangan pelepasan karbon (carbon emission reduction scheme), pengenalan Cukai Keuntungan Sumber (Resource Super Profit Tax, RSPT)[1], masalah yang timbul berhubung program rumah penebatan (Home Insulation Program)[2] dan sebagainya.

Pada ketika itu, ahli-ahli parlimen ALP mengakui bahawa undi kepada parti tersebut telah jatuh ke paras kurang daripada 30%, iaitu suatu angka yang apabila diaplikasikan pada pilihan raya umum nanti bakal membayangkan kekalahan ALP.

Pada 23 Jun 2010, atas sokongan majoriti, Timbalan Perdana Menteri Julia Gillard meminta Kevin Rudd sama ada meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri, ataupun mengadakan pemilihan pemimpin bagi menentukan kepimpinan ALP. Kevin Rudd pda asalnya menyahut cabaran untuk mengadakan pemilihan pemimpin dan bertanding sebagai calon. Namun, beliau terus menarik diri daripada pemilihan pada keesokan harinya. Lantas, Julia Gillard pun mengambilalih jawatan Perdana Menteri tanpa sebarang bantahan, dan muncul sebagai Perdana Menteri wanita pertama di Australia.

Peralihan kuasa dalam ALP yang turut menyebabkan pertukaran ketua eksekutif dalam kerajaan persekutuan Australia, walaupun sedikit sebanyak menjejaskan imej pimpinan ALP, ia bagaimanapun telah menunjukkan kematangan politik di Australia – kematangan politik yang berasaskan pemahaman operasi dan fungsi sistem berparlimen, dan sistem parti politik. Persoalannya, adakah rakyat dalam Negara ini, khususnya ahli-ahli parti politik dan pucuk pimpinannya turut bersedia mengenali dan menerima peraturan sistem tersebut, dan membesar bertambah matang seiring perkembangan demokrasi dalam Malaysia, yang selama ini diperjuangkan bersama dalam PAKATAN?

 

Yang bukan team player, patut diganti

Di Selangor semasa ini, situasi adalah lebih kurang sama dengan senario di Australia pada tahun 2010 memandangkan ketidakpuasan di kalangan rakyat, mahupun dalam PAKATAN terhadap ketidakmampuan Khalid Ibrahim menangani pelbagai isu yang hangat dipertikaikan secara berpasukan (team player) dan berkesan. Beliau kelihatan kurang berkeyakinan dengan Exco Kerajaan Negeri, sehingga beliau seakan-akan memonopolikan kuasa dalam mengendalikan isu-isu berkaitan tanpa mengambil kira pendapat atau pandangan wakil kerajaannya. Keadaan sebegini ketara kelihatan khususnya dalam isu Lebuh-raya Kidex, di mana beberapa ADUN Selangor termasuk ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin, ADUN Bukit Gasing R. Rajiv, ADUN Kinrara Ng Sze Han dan ADUN Lau Weng Sang telah menyuarakan bantahan mereka dan menyeru MB Khalid agar bertimbang rasa dengan kekecewaan penduduk setempat terhadap pelaksanaan projek pembinaan lebuh raya dengan kerajaan persekutuan yang banyak menimbulkan pertikaian tersebut, namun malangnya tidak diendah-endahkan oleh beliau.

Di samping itu, isu-isu seperti kalimah Allah, rampasan kitab Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dan krisis kekurangan air, kesemuanya telah menjejaskan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap pentadbiran negeri Selangor di bawah pimpinan MB Khalid. Hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (UMCEDEL) yang baru-baru ini merumuskan sokongan kepada PAKATAN di Selangor telah merudum 35% merupakan satu amaran serius.

Tiada lagi masa dilengah-lengah dengan sebuta-butanya menafikan masalah-masalah yang timbul di bawah pentadbiran Khalid Ibrahim, tetapi langkah penyelesaian patut diambil dan dijalankan secepat mungkin. Pada hakikatnya, pengumuman telahpun dilakukan oleh Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Julai 2014 bahawa Presiden KEADILAN yang terkenal dengan nama Kak Wan dipilih secara rasmi untuk menggantikan Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor yang bahuru.

Namun, kini ditambah pula pertelingkahan dalaman dalam PAS mengenai pertukaran MB Selangor, KPRU mengkhuatiri masa yang lebih lama akan diambil bagi mengakhiri segala masalah tersebut. Walau bagaimanapun, perjalanan demokrasi sememangnya memakan masa. Bagi menyelesaikan kontroversi berhubung pertukaran MB dengan mengikut prosedur demokrasi dan secara telus, kesabaran adalah diperlukan.

Sekiranya masalah ini ditangani dengan cara UMNO dalam krisis Terengganu yang tercetus pada 12 Mei lalu, maka ia dapat diselesaikan dalam tempoh dua hari yang singkat, di mana kebanyakan rakyat Terengganu masih kelam dan kabur dengan apa yang sebenarnya telah berlaku dengan kenyataan penasihat perundangan yang mengelirukan lagi mengelabui rakyat.

 

[1] RSPT pada asalnya diumumkan sebagai respons terhadap kajian semakan Sistem Cukai Masa Depan Australia (Future Tax Syatem). Ia dikenakan pada semua industri ekstraktif termasuk aktiviti mengekstrak emas, nikel, perlombongan uranium dan pasir serta kuari pada kadar 40%. Walau bagaimanapun, RSPT akhirnya digantikan dengan Cukai Sewa Sumber Mineral (Minerals Resource Rent Tax, MRRT) – iaitu cukai yang dikena terhdap keuntungan yang dijana melalui mengeksplotasi sumber yang tidak boleh diperbaharui di Australia – berikutan pelantikan Julia Gillard sebagai Perdana Menter pada akhir Jun 2010.

[2] Program Rumah Penebat dilanda kontroversi apaila berlakuny kematian 4 orang pekerja dalam insiden berasingan yang dikaitkan dengan program tersebut. Sebagai respons, program tersebut diberhentikan pada 19 Februari 2010.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s