Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Jalan Keluar Pasca Keputusan Mahkamah Persekutuan

Tanggal 14 Ogos 2014, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa unilateral untuk mengantung peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 supaya pilihan raya bagi memilih ahli Majlis Kerajaan Tempatan dapat dilaksanakan..

Keputusan mahkamah bermakna Pilihan Raya Kerajaan Tempatan hanya dapat dikembalikan jika sekiranya Kerajaan Persekutuan mengubah pendirian dan dasar selama ini yang hanya membenarkan pelantikan ahli Majlis Kerajaan Tempatan.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah menganalisis laporan-laporan Ketua Audit Negara tahun 2013 pada peringkat negeri. Analisis KPRU mendapati wujud kelemahan pada peringkat kerajaan tempatan dan ketiadaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan menyumbang kepada kelemahan berkaitan.

KPRU berpendapat, Kementerian dan pihak berkuasa di bawah Kerajaan Persekutuan harus memandang berat penemuan Ketua Audit Negara berkenaan dengan kelemahan kerajaan tempatan. Sesungguhnya, jalan keluar Pilihan Raya Kerajaan Tempatan pasca keputusan Mahkamah Persekutuan berada pada pihak Kerajaan Persekutuan.

Analisis KPRU menumpu kepada laporan-laporan terkini merangkumi Laporan-Laporan Ketua Audit Negara Bahagian Negeri 2013 (Siri 1) dan Laporan-Laporan Ketua Audit Negara Bahagian Negeri 2013 (Siri 2).

Laporan-Laporan Ketua Audit Negara Bahagian Negeri 2013 (Siri 2) yang dibawa ke Parlimen dalam mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen ketiga belas 2014 lalu telah menyentuh secara terperinci terhadap prestasi Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah di negeri masing-masing.

Sementara itu, dalam Laporan-Laporan Ketua Audit Negara Bahagian Negeri 2013 (Siri 1) yang diumumkan awal tahun ini, pencapaian kerajaan-kerajaan tempatan turut menjadi salah satu tumpuan pengauditan. Sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan untuk merangka dan melaksanakan dasar serta melancarkan pembangunan, kerajaan tempatan pula berperanan memikul kewajipan bagi mentadbir dan mengendalikan urusan yang dikatakan lebih mendekati kehidupan seharian penduduk setempat. Secara umumnya, prestasi kerajaan-kerajaan tempatan yang diauditkan oleh Ketua Audit Negara dikategorikan sebagai memuaskan, dengan berbagai-bagai kelemahan yang masih perlu dipertingkatkan dan ditambahbaikkan. Khususnya, kelemahan dari segi ketepatan masa menyiapkan projek, penyenggaraan dan kadar penggunaan bangunan kerajaan tempatan atau tempat awam yang mengakibatkan pembaziran wang sumbangan pembayar cukai, patutlah diberi perhatian secukupnya.

Jadual: Prestasi Kerajaan Tempatan

Negeri

Jabatan/Agensi

Penemuan Audit

Selangor

(Siri 2)

Majlis Bandaraya Petaling Jaya

Majlis Perbandaran Sepang

Prestasi pengurusan perolehan dari segi pencapaian matlamat adalah baik.

Kedah

(Siri 1)

Majlis Perbandaran Sungai Petani

Majlis Perbandaran Kulim

Pengurusan perolehan secara tender dan sebut harga di MPSPK dan MPKK memuaskan, tetapi pelaksanaan dan pemantauan pengurusan perolehan adalah tidak memuaskan.

Kedah

(Siri 2)

Majlis Bandaraya Alor Setar

Majlis Daerah Yan

Pengurusan pelesenan premis perniagaan di MBAS dan MDY dari segi prestasi kutipan hasil lesen dan peratusan kelulusan permohonan lesen adalah baik.

Johor

(Siri 2)

Majlis Bandar Raya Johor Bahru

Majlis Daerah Simpang Renggam

Tatacara perolehan secara sebut harga serta tender yang dilaksanakan di MBJB dan MDSR adalah memuaskan.

Tetapi pelaksanaan perolehan bangunan; gerai; serta pasar pula tidak digunakan sepenuhnya dan disenggara dengan sempurna.

Majlis Perbandaran Kluang

Majlis Daerah Pontian

Pelaksanaan pengurusan pungutan cukai taksiran adalah memuaskan, tetapi, jumlah tunggakan cukai taksiran didapati semakin meningkat di bawah pengurusan pungutan cukai taksiran di MPK dan MDP.

Perak

(Siri 2)

Majlis Bandaraya Ipoh

Majlis Daerah Kerian

Pengurusan penyenggaraan sistem saliran bandar adalah memuaskan secara keseluruhan, tetapi penyenggaraan dan aspek keselamatan di kolam tadahan adalah kurang memuaskan manakala pembersihan longkang utama adalah tidak memuaskan dan perlu dipertingkatkan.

Majlis Perbandaran Taiping

Pengurusan haiwan dan dokumentasi, kemudahan, keselamatan dan                 pengurusan kewangan di Zoo Taiping adalah kurang memuaskan.

Kelantan

(Siri 1)

Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam

Majlis Daerah Pasir Puteh

Pengauditan yang mendapati pada umumnya pengurusan tempat letak kereta di MPKB-BRI adalah memuaskan dari aspek kutipan hasil, manakala bagi MDPP adalah kurang memuaskan

Kelantan

(Siri 2)

Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam

Majlis Daerah Tanah Merah

Pengauditan mendapati secara umumnya pengurusan perolehan adalah memuaskan, dengan beberapa kelemahan tetap dikesan.

Melaka

(Siri 2)

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya

Majlis Perbandaran Alor Gajah

Pengauditan mendapati secara keseluruhannya pengurusan perolehan di kedua-dua PBT adalah memuaskan, tetapi didapati perolehan tidak dibuat secara tender dan sebut harga, tidak mengikut spesifikasi dan kualiti kerja kurang memuaskan, harga perolehan tidak munasabah dan perolehan dibuat tanpa anggaran bajet, dan kerja dilaksanakan tanpa pesanan tempatan.

Negeri Sembilan

(Siri 1)

Majlis Perbandaran Nilai

Majlis Daerah Rembau

Pengurusan perolehan MPN dan MDR adalah memuaskan di mana 96% perolehan di MPN dan 94% di MDR telah dibuat, dan projek pelaksanaan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pahang

(Siri 2)

Majlis Perbandaran Temerloh

Majlis Daerah Rompin

Pengurusan perolehan di MPT dan MDR adalah memuaskan, tetapi kelemahan seperti tempoh lanjutan masa yang diluluskan terlalu lama, pengesahan siap kerja lewat dibuat, kelewatan penyerahan Borang Inden Kerja oleh kontraktor, projek siap tetapi masih belum digunakan, dan juga projek yang lewat disiapkan telah dikesan.

Terengganu

(Siri 1)

Pejabat Daerah Setiu

Pejabat   Daerah Kemaman

Prestasi pengurusan projek pembinaan jalan kampung dan jambatan adalah memuaskan kerana prestasi pelaksanaan projek dan kecekapan pengurusan adalah baik serta objektif pembinaan jalan tercapai, kecuali beberapa kelemahan sepert jalan yang siap dibina tidak digunakan, dan lain-lain lagi.

Terengganu (Siri 2)

Pejabat Daerah Kuala Terengganu

Pejabat Daerah Dungun

Pejabat Daerah Besut

Pencapaian pengurusan pembangunan dan penyenggaraan balai raya bagi 3 Daerah adalah baik, tetapi terdapat juga kelemahan seperti balai raya lewat disiapkan tanpa permohonan tempoh lanjutan masa, ganti rugi tertentu dan ditetapkan tidak dikenakan, dan sebagainya.

Majlis Perbandaran Dungun

Majlis Daerah Hulu Terengganu

Pengauditan mendapati secara keseluruhannya pengurusan perolehan adalah baik. Sungguhpun begitu didapati kes-kes di mana terdapat kelemahan dalam pengurusan perolehan, perolehan yang dibuat tidak mencapai matlamat dan perolehan tidak mematuhi peraturan/syarat kontrak yang ditetapkan

Perlis

(Siri 2)

Majlis Perbandaran Kangar

Pengauditan mendapati pada amnya, pengurusan perolehan oleh Majlis Perbandaran Kangar adalah memuaskan. Namun, kelemahan seperti kerja tidak berkualiti/tidak mengikut spesifikasi, bangunan/premis tidak digunakan/tidak digunakan secara optimum serta tidak disenggara, dan kerja/bekalan telah dipecah kecil bagi mengelak perolehan secara sebut harga serta harga kurang munasabah.

Pulau Pinang

(Siri 1)

Majlis Perbandaran Pulau Pinang

Pengurusan sisa pepejal adalah memuaskan dari segi pemantauan terhadap kerja-kerja pungutan. Walau bagaimanpun, beberapa kelemahan seperti pencemaran daripada tumpahan air kurasan di atas jalan raya yang tidak dibersihkan, kekurangan lori kompaktor Majlis, kelewatan pengurusan aduan berkenaan dan sebagainya telah dikesan.

Pulau Pinang

(Siri 2)

Majlis Perbandaran Seberang Perai

Tahap pengurusan perolehan Majlis adalah memuaskan dari segi proses pengiklanan, penawaran kerja dan jawatankuasa yang dilantik.

Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan yang perlu dibuat penambahbaikan. Antaranya, dokumen kontrak lewat ditandatangani, bayaran kemajuan dibuat sebelum perjanjian kontrak ditandatangani, projek tidak disiapkan mengikut tempoh, bekalan lewat dibekalkan dan kerja-kerja dibuat tidak mengikut syarat dan kualiti yang ditetapkan.

Sabah

(Siri 1)

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

Majlis Daerah Penampang

Pelaksanaan kerja dan perkhidmatan DBKK dan MDP dari segi kualiti kerja, pematuhan spesifikasi dan tempoh pelaksanaan adalah baik dan tindakan susulan telah diambil selepas teguran Audit.

Sarawak

(Siri 2)

Majlis Perbandaran Padawan

Majlis Perbandaran Sibu

Majlis Daerah Samarahan

Majlis Daerah Serian

Majlis Daerah Maradong dan Julau

Majlis Daerah Saratok

Majlis Daerah Luar Bandar Sibu

Pengurusan perolehan di MP/MD tersebut adalah memuaskan dari segi perancangan, pemantauan, prestasi perbelanjaan dan pengurusan peruntukan.

Walau bagaimanapun, terdapat kes di mana: Perancangan perolehan kurang memuaskan di MP Padawan. Projek siap tidak digunakan di MP Padawan dan MD Samarahan. Peruntukan tidak diguna bagi maksud asal di MD Serian. Pengurusan tong sampah tidak teratur di MD Serian, MD Saratok dan MD Samarahan. Perolehan tidak selaras dengan peraturan kewangan di MP Sibu serta MD Maradong dan Julau.

Sesungguhnya, masalah-masalah tersebut telahpun menyerlahkan kekurangan kemampuan Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah di bawah pimpinan struktur operasi Majlis Kerajaan Tempatan tanpa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Tibanya masa adakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan

Pada pendapat KPRU, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah, mahupun Pihak Berkuasa Tempatan perlu menjalani pembaharuan agar prestasi mereka dapat dipertingkatkan secara ketara. Pembaharuan ini dapat direalisasikan melalui pemulihan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Hanya melalui Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang memberikan peluang kepada rakyat setempat untuk memilih wakil yang berkhidmat di peringkat tempatan, sama ada di kawasan Bandar atau daerah masing-masing, maka pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan tempatan dikehendaki bertanggungjawab secara langsung kepada para pengundi. Penting sekali, ahli-ahli majlis yang kurang berkeupayaan atau lemah dari segi prestasi akan disingkir dalam pilihan raya manakala mereka yang benar-benar berkaliber akan terpilih untuk berkhidmat kepada penduduk setempat.

Sejak berlakunya tsunami politik 2008 yang menyebabkan peralihan kuasa pemerintahan beberapa negeri ke tangan Pakatan Rakyat, kerajaan-kerajaan negeri tersebut pun berusaha memulihkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Di Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat bercadang menggubal rang undang-undang berhubung pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.

Di Pulau Pinang pula, Ketua Menteri Pulau Pinang pada kenyataan media bertarikh 18 Januari 2012 menyatakan bahawa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan Penasihat Undang-undang Negeri untuk mengeluarkan pemberitahuan warta yang mengecualikan pihak-pihak berkuasa tempatan Pulau Pinang daripada Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 sebagai langkah awal sebelum memohon pengisytiharan Mahkamah Persekutuan untuk memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Sebelum itu, pada 11 Ogos 2009, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan resolusi menyeru pihak Kerajaan Persekutuan untuk memulihkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut dimaklumkan pada 24 Ogos 2009 berkenaan resolusi tersebut dan diminta agar perkara itu dibentang dn dibincangkan dalam mesyuarat ke-62 Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan (NCLG). Namun demikian, kementerian berkenaan tidak memasukkan topik itu dalam agenda perbincangan. Pihak SPR pula menolak permintaan untuk mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang, biarpun pemulihan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan sesungguhnya berada dalam bidang kuasa Negeri mengikut Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 yang telah disemak semula pada tahun 1991.

Kini keputusan Mahkamah Persekutuan telah menolak tindakan unilateral kerajaan negeri dan jalan keluar berada pada kementerian dan pihak berkuasa di bawah Kerajaan Persekutuan.

Di Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri Teja dan Simpang Pulai Parti Keadilan Rakyat turut mengadakan pemilihan ketua kampung baru Cina melalui pengundian penduduk kampung di beberapa kawasan, termasuklah Kampung Baru Cina Simpang Pulai, Gunung Rapat, Lawan Kuda, Ampang Baru dan Kopisan  Bahru, sejak tahun 2008. Sukacitanya, ketua-ketua kampung berjaya dipilih melalui undian penduduk kampung dan kemudiannya berkhidmat di kampung baru masing-masing. Pemilihan Ketua Kampung tersebut sememangnya suatu kajian perintis bagi mengenalpasti masalah teknikal dan juga kebolehlaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

 

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bukan perkara baru di Malaysia

Sesungguhnya, British telahpun memperkenalkan Ordinan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1950 yang memperuntukkan kuasa kepada majlis kerajaan tempatan untuk mengadakan pilihan raya. Sebelum Malaya mencapai kemerdekaan di antara tahun 1951 hingga 1965, Negara ini telah mengamalkan sistem demokrasi tempatan di mana ahli-ahli majlis dipilih oleh penghuni tempatan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan telah memansuhkan Majlis Perbandaran Kuala Lumpur yang dipilih pada tahun 1961, dan kemudiannya mengeluarkan Peraturan Kecemasan yang menggantungkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan di seluruh negeri-negeri di Malaysia, atas alasan Konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1965.

Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman, telah berjanji kepada Dewan Rakyat bahawa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan akan dipulihkan selepas tamatnya Konfrontasi. Namun, Pilihan Raya Kerajaan Tempatan tidak dipulihkan seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Perikatan pada masa itu biarpun konfrontasi dengan Indonesia telah berakhir. Pada tahun 1968, Suruhanjaya DiRaja untuk Kerajaan Tempatan yang diketuai oleh Senator Athi Nahappan telah mencadangkan pemulihan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, tetapi cadangan tersebut ditolak oleh Kerajaan Persekutuan. Pada akhir tahun 2011, kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan resolusi untuk membatalkan Perisytiharan-perisytiharan Darurat di Malaysia, tetapi Pilihan Raya Kerajaan Tempatan tetap tidak dipulihkan.[1]

[1] http://blog2-dap.blogspot.com/2012/01/lim-guan-eng_18.html

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s