Surat terbuka kepada calon MB Selangor, Kak Wan

Kepada Datuk Seri Dr. Wan  Azizah Wan Ismail a.k.a. Kak Wan,

Terlebih dahulu, izinkan kami gunakan gelaran Kak Wan untuk berinteraksi sepanjang surat terbuka ini.

Untuk makluman Kak Wan, ini merupakan kali pertama kami mengutus sepucuk surat kepada seorang pemimpin melalui cara terbuka.

Setelah meneliti keputusan kaji selidik Merdeka Center yang menunjukkan Kak Wan menjadi pilihan rakyat untuk menerajui tampuk pimpinan Selangor, kami mula memikirkan keperluan untuk mengutarakan hasrat golongan rakyat tertentu kepada seorang pemimpin yang selama ini memimpin gerakan kesedaran dan tuntutan masyarakat segenap lapisan.

Setelah mengamati perkembangan semasa dalam konteks raja berperlembagaan dan demokrasi berperlembagaan, kami berpandangan konvensi calon MB yang mendapat sokongan majoriti ADUN diperkenan oleh DYMM Sultan dan diangkat menjadi MB bakal menyaksikan kelahiran seorang MB baharu yang perlu berdepan dengan tanggungjawab besar dalam situasi semasa. Maka, kami menulis surat terbuka ini bagi menyampaikan analisis kami berhubung isu tertentu yang melibatkan kedua-dua kerajaan persekutuan dan keraaan negeri.

Seperti yang sedia maklum untuk pengetahuan Kak Wan, projek kontroversi Lebuhraya Bertingkat Kinrara-Damansara (KIDEX) telah menarik perhatian khususnya rakyat Selangor, malah semakin hangat dipertikaikan semenjak perjanjian konsesi yang bertempoh dan berkuatkuasa selama 48 tahun itu ditandatangani pada 15 November 2013 di antara kerajaan persekutuan menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan KIDEX Sdn Bhd. Sesungguhnya, ia hanya salah satu projek daripada enam lagi projek pembinaan lebuh raya bertol di negeri Selangor yang dicadangkan oleh LLM. Lima lebuh raya lain yang dicadangkan termasuklah Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), Lebuhraya Serdang-Kinrara-Putrajaya (SKIP); Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Pantai Barat (LBP). Jajaran-jajaran lebuh raya tersebut saling berhubung kait dalam satu rangkaian bersepadu. Menurut bekas MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam liputan bertarikh 25 Jun lalu, kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju dengan cadangan LLM tersebut sebagai langkah meningkatkan kecekapan jaringan pengangkutan di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas.[1]

Dalam suara bantahan dan ketidakpuasan yang masih belum reda, kami berpendapat bahawa perdebatan isu tersebut sepatutnya dibawa ke peringkat dasar yang lebih menyeluruh bagi memberi ruang kepada penghasilan cadangan dasar yang lebih konstruktif, terutama sekali memandangkan isu mengenai sistem pengangkutan dan perhubungan awam tersebut bukan sekadarnya satu-satunya kes berasingan, tetapi mempunyai peranan yang begitu kritikal dalam perancangan dan pembangunan bandar di samping berkait rapat dengan kemudahan dan keselesaan penduduk setempat. Dalam pada ini, isu-isu penting yang dititikberatkan dan diberi ruang perbincangan merangkumi soal akauntabiliti, transparensi dan perancangan perbandaran tanpa konflik kepentingan.

 

Keperluan perundingan awam

Perundingan awam merupakan salah satu aspek dalam proses demokrasi dan kami ingin menegaskan kewajaran perundingan atau konsultasi diberi keutamaan, khususnya apabila timbulnya kontroversi dalam mana-mana cadangan projek kerajaan, khususnya projek yang melibatkan kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Dalam proses perundingan awam, bukan sahaja pihak berkuasa harus mengambil kira pandangan pakar-pakar dalam bidang berkenaan dan pendapat masyarakat madani, komen dan maklum balas daripada penduduk setempat juga harus diberi perhatian yang sewajarnya. Kerajaan tempatan sepatutnya mengumpul dan meninjau pendapat dan reaksi penduduk yang bertabur di kawasan terbabit terlebih dahulu. Seterusnya, penganjuran perjumpaan dewan raya (‘town hall meeting’) oleh kerajaan tempatan amat diperlukan bagi memperjelas pelan pembinaan dan membentangkan segala dokumen yang berkaitan untuk tatapan awam.

Dalam kes pembinaan KIDEX, seorang wakil penduduk Petaling Jaya bernama Mak Khuin Weng menyatakan ketidakpuasannya bahawa kerajaan negeri tidak pernah berunding dengan penduduk setempat terlebih dahulu sebelum mewartakan sebanyak 3,784 lot tanah bagi tujuan pembinaan lebuh raya, tetapi terus mengeluarkan warta rasmi pada Julai tahun 2013 lalu.[2]  Di samping itu, sebanyak 16 pertubuhan yang mewakili 30,000 penduduk Petaling Jaya di sepanjang laluan lebuh raya berkenaan menampil mencabar dakwaan pihak pemaju yang menyatakan bahawa penduduk di kawasan tersebut tidak membantah projek lebuh raya itu pada 25 Jun lalu. Menurut mereka, ahli mereka langsung tidak pernah bertemu dengan mana-mana wakil KIDEX berhubung perkara itu. Hal ini sekali gus mempersoalkan kesahihan “kaji selidik” terhadap 300 responden yang terdiri daripada penduduk Petaling Jaya yang dijalankan oleh syarikat pemaju, di mana hasil kajian menunjukkan bahawa 70% responden terlibat tidak membantah pembinaan projek lebuh raya bertingkat di tengah-tengah bandar yang padat dengan kejiranan lama itu.[3] Dalam kes DASH, SUKE dan EKVE pula, penduduk setempat mendakwa bahawa lebuh raya-lebuh raya tersebut tidak termasuk dalam pelan pembangunan kerajaan tempatan di Kota Damansara, Petaling Jaya dan Cheras, sama ada bagi semasa ini mahupun masa depan. Maka, projek-projek tersebut sebenarnya tidak boleh dilaksanakan tanpa perundingan dengan penduduk setempat terlebih dahulu untuk meminda pelan dan membuka jalan kepada pembinaan lebuh raya tersebut.[4]

Dalam situasi ketidakhadiran atau kekurangan perundingan awam, penganjuran perjumpaan atau mesyuarat yang kurang efektif lebih-lebih lagi menimbulkan kekecewaan dan ketidakpuasan di kalangan penduduk terlibat. Dalam kes KIDEX, misalnya, perjumpaan bersama pemaju KIDEX Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang diadakan pada 16 Mei lalu hanya dihadiri oleh 500 penduduk daripada seramai 650,000 penduduk yang terkesan, ekoran kelewatan notis pemberitahuan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Malahan, penganjuran perjumpaan tanpa pembentangan dokumen-dokumen berkenaan seperti penilaian kesan trafik (TIA), laporan kesan sosial (SIA) dan persekitaran (EIA) sekali lagi mencetuskan konflik yang lebih kritikal.[5] Bagi sebuah kerajaan negeri yang mencatat sejarah Malaysia sebagai negeri pertama yang meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2010 sebagai usaha mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dengan memberikan hak kepada rakyat untuk mengakses maklumat berkaitan pentadbiran negeri, ketidaksanggupan mahupun ketidakmampuan kerajaan negeri Selangor dan MBPJ selaku pihak berkuasa dalam pembangunan projek KIDEX, membentangkan dokumen-dokumen tersebut untuk tatapan awam seakan-akan memberi tamparan kuat di muka sendiri. Apakah kebatasan kerajaan negeri hasil daripada kekangan kuasa kerajaan persekutuan? Rakyat Selangor perlu dimaklumkan secara jelas peranan kerajaan persekutuan dalam hal sedemikian.

 

Peranan kerajaan persekutuan, keperluan tender terbuka dan penganugerahan kontrak berdasarkan merit

Kak Wan,

Kami berpandangan bahawa isu pokok dalam perdebatan berhubung pembinaan Lebuhraya KIDEX, secara spesifiknya, bukan yang lain tetapi adalah hakikat pelaksanaan konsep federalisme yang terlalu memihak kepada pihak kerajaan persekutuan dan kekurangan ketelusan proses perundingan dengan pihak LLM dan KIDEX Sdn Bhd bagi meluluskan pembinaan lebuh raya tersebut secara dasarnya. Walaupun kami faham bahawa capaian dan skop bidang kuasa kerajaan persekutuan sememangnya meluas dan hampir mutlak, khususnya dalam hal melibatkan infrastruktur dan kemudahan awam serta pembangungan secara umum, di mana kerajaan negeri sekadarnya mempunyai peranan memberi nasihat sahaja, tetapi persetujuan awal itu masih dilihat sebagai tindakan membelakangi prinsip demokrasi yang memberi penekanan kepada ketelusan dan mengambil kira pandangan penduduk setempat yang bakal terjejas dengan pelaksanaan pembinaan projek tersebut. Malah, timbulnya keraguan bahawa kontrak itu danugerahkan kepada KIDEX Sdn Bhd bukan berdasarkan merit atau kelayakan tetapi atas sebab pengaruh politik.

Harus diberi perhatian di sini bahawa KIDEX Sdn Bhd yang ditubuhkan semata-matanya bagi mengurus dan mengendali projek pembinaan Lebuhraya KIDEX itu dimiliki oleh Emrail Sdn Bhd (pegangan saham 70%) dan Zabima Construction and Engineering Sdn Bhd (pegangan saham 30%), yang mana dikatakan berkaitan dengan pihak tertentu. Hal ini demikian kerana Peguam UMNO, Datuk Hafarizam Harun, masing-masing disenaraikan sebagai pengarah syarikat Zabima dan pengerusi Emrail. Sementara itu, isteri bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang dilantik dari 21 Oktober 2008 hingga 9 September 2011, Nik Sazlina Mohd Zain pula dinamakan sebagai pengarah syarikat Emrail. Pemegang saham Emrail termasuklah Loh&Loh (42.86%), Magniplam Sdn Bhd (22.86%), Datuk Mohd Hafarizam Harun (17.14%) dan Noblemax Resources Sdn Bhd (17.14%). Selain itu, bekas Ketua Hakim Tun Zaki Azmi pula memiliki sebanyak 48% pegangan saham Zabima.

Seawal Februari 2012, beberapa ADUN Pakatan Rakyat Perak telahpun meminta agar butiran terperinci perjanjian KIDEX dibentangkan, susulan timbulnya dakwaan bahawa kontrak dianugerahkan kepada kedua-dua syarikat tersebut, atau lebih tepatnya, kepada kedua-dua orang berkepentingan itu kerana mereka “berjasa” dalam krisis politik Perak 2009, di mana UMNO-BN merampas semula kuasa pemerintahan negeri selepas Pakatan Rakyat memenangi negeri tersebut dalam tsunami politik 2008.[6] Namun, sehingga kini pun tidak kedengaran atau kelihatan pembentangan perjanjian konsensi KIDEX, biarpun ADUN Pakatan Rakyat Selangor, termasuk ADUN Yeo Bee Yin (Damansara Utama), Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing), Ng Sze Han (Kinrara) dan Lau Weng San (Kampung Tuanku) telah mengeluarkan kenyataan bergabung untuk menyaran Kerajaan Persekutuan berbuat demikian.

Sedangkan kami memahami bahawa kuasa spesifik kerajaan negeri untuk menghalang penganugerahan konsensi lumayan kepada pihak berkepentingan seperti kroni adalah terbatas, terutama bagi hal-ehwal di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan seperti dalam isu pembinaan lebuh raya berkontroversi tersebut, namun sebagai kerajaan negeri yang diberi mandat oleh rakyat Selangor, kerajaan negeri Selangor sepatutnya cuba sedaya upaya untuk mempertahankan kepentingan rakyat Selangor dengan menolak ‘cadangan’ atau ‘permohonan’ kerajaan persekutuan yang secara unilateral mendakwa mendatangkan manfaat kepada pembangunan negeri tanpa melalui proses konsultasi yang telus.

 

Keperluan pakej pembangunan pengangkutan awam serentak dengan pembinaan lebuh raya

Kak Wan,

Kami tidak menafikan keperluan pembinaan lebuh raya sebagai alternatif meredakan masalah kesesakan lalu lintas, tetapi harus ditegaskan di sini bahawa projek-projek besar tersebut seharusnya diletak atas premis pembangunan sistem pengangkutan awam yang dijalankan serentak. Sekurang-kurangnya, lebih inisiatif patut diambil bagi memaksimumkan penggunaan sistem pengangkutan awam yang sedia ada agar ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha meringankan kesesakan jalan raya. Pembinaan lebuh raya sahaja sesungguhnya bukan jalan penyelesaian kepada masalah kesesakan memandangkan penduduk di Lembah Klang masih terpaksa bersesak biarpun jaringan lebuh raya bertol banyak dibina.

Seperti umum yang sedia dimaklumkan, sedangkan sebanyak 23 lebuh raya telahpun dibina setakat ini, penduduk di kawasan bandar tersebut masih terbelenggu dengan masalah kesesakan yang tidak nampak kesudahannya, khususnya pada waktu puncak. Apabila aliran trafik di suatu tempat kelihatan berkurangan dengan pembinaan lebuh raya baru, namun lebuh raya yang baru-baru dibina itu berkemungkinan bakal menyebabkan peningkatan aliran trakfik di jalan lain pula. Menurut ADUN Bukit Gasing yang sebelum ini mempertikaikan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof bahawa pembinaan KIDEX mampu menyuraikan masalah kesesakan di Petaling Jaya, cadangan pembinaan KIDEX akan menyebabkan Jalan Sultan di tengah-tengah Petaling Jaya mengalami peningkatan aliran trafik sebanyak 58 peratus, walaupun ia dikatakan dapat mengurangkan aliran trafik Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).[7] Aliran trafik di satu lagi jalan utama, iaitu Jalan Barat, yang merupakan akses antara bandar dan Lebuhraya Persekutuan turut akan bertambah sebanyak 35 peratus. Apakah ini seakan-akan suatu lingkaran setan yang tidak berhabis-habisan?

Terbaru ini pada 6 Ogos, kumpulan SNTK (Say No To Kidex) telah mengemukakan kenyataan media bagi menyeru pihak KIDEX dan perunding profesionalnya untuk memastikan segala fakta benar berkenaan aliran trafik di Lebuhraya KIDEX didedahkan kepada masyarakat umum, terutamanya mengenai angka pengurangan trafik yang barangkali didakwa oleh pihak KIDEX biarpun sebelum penilaian kesan trafik (TIA) dikemukakan kepada MBPJ dan Kerajaan Negeri, sebagai maklum balas kepada liputan “Expert’s claim traffic flow within the Kidex corridor will improve” yang dipaparkan di The Star Metro pada 2 Ogos baru-baru ini. Pada hakikatnya, dalam laporan TIA yang disediakan oleh pihak KIDEX kepada Kerajaan Negeri Selangor, yang mana diumumkan dalam sidang media anjuran ADUN DAP Selangor pada 11 Jun 2014 lalu, jelas ditunjukkan bahawa KIDEX dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas hanya 5.48% serta merta apabila projek tersebut disiapkan pada tahun 2018, manakala keberkesanannya dalam menyuraikan kesesakan akan menurun ke paras 3.05% apabila menjelang 2028.[8] Angka-angka tersebut, biarpun dipertikaikan kesahihan dan kebolehpercayaannya memandangkan laporan TIA itu disediakan oleh pihak KIDEX yang berkepentingan, tetap cukup membongkarkan kelemahan pembinaan lebuh raya baru sebagai satu-satunya penyelesaian utama kepada masalah kesesakan lalu lintas dalam jangka panjang.tanpa dberikan keutamaan kepada pembangunan pengangkutan awam secara serious. Dalam hal ini, kerajaan negeri haruslah mengutarakan kelemahan pemikiran penyelesaian yang tidak menyeluruh kepada kerajaan persekutuan, kerana kerajaan persekutuanlah yang perlu dan mampu memainkan peranan besar dalam hal in.

Selain KIDEX, Lebuhraya DASH, SUKE dan EKVE pula belum lagi menyediakan laporan awam berhubung kaedah yang digunakan bagi mengurangkan kesesakan. Bagaimanakah pihak berkuasa dan pemaju dapat menyakinkan orang ramai dengan rasional pembinaan lebuh raya-lebuh raya yang berkos tinggi-tinggi belaka tersebut tanpa pembentangan pelan dan laporan berkaitan? Mengapakah kerajaan negeri membiarkan sahaja pihak dan agensi kerajaan persekutuan yang mendiam diri?

 

Jajaran laluan perlu dilukis atas pertimbangan kemudahan

Salah satu aspek yang sering diabaikan dalam perbincangan dan penelitian masyarakat umum tetapi merupakan faktor tarikan yang mendasari projek pembinaan mana-mana lebuh raya adalah kesan ekonomi susulannya. Sesungguhnya, perancangan jajaran berkait rapat dengan pembangunan aktiviti komersil di sesuatu kawasan. Kedudukan jajaran lazimnya dikatakan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang merancakkan pembangunan kawasan sekitar. Kami tidak mempertikaikan pertimbangan kepentingan ekonomi dalam perancangan jajaran laluan. Namun, ia tidak patut dijadikan alasan untuk mengatasi kepentingan awam dan kemudahan rakyat. Apa yang lebih dikhuathiri adalah jajaran laluan yang digaris oleh pihak berkepentingan lebih mengutamakan peluang kepada kroni-kroni untuk mengaut keuntungan melalui pembangunan kawasan sekitar laluan lebuh raya. Padahal, konflik kepentingan sedemikian, yang sama ada secara langsung atau tidak langsung menggugatkan kepentingan awam harus dielakkan dan dicegah. Tambahan pula, hubungan rumit lagi kompleks dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan adalah amat sukar diperjelaskan dan lazimnya tersembunyi di bawah meja, maka tiada apa-apa tindakan undang-undang dapat diambil bagi menegakkan keadilan dari segi distribusi. Oleh demikian, kami mencadangkan bahawa pihak yang professional lagi bebas dan terkecuali daripada pengaruh politik dan kepentingan komersil wajar dilantik, bukannya diserahkan begitu sahaja kepada syarikat pemaju yang dianugerahkan kontrak pembinaan lebuh raya atau mana-mana syarikat penasihat yang dilantik oleh pihak pemaju.

Sebagai rekod, kelulusan pembinaan lebuhraya dan jajaran laluan adalah di bawah kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, manakala Kerajaan Negeri sekadarnya berhak memberi nasihat. Kembali ke projek-projek pembinaan lebuh raya kontroversi di Selangor, persoalan yang harus dilontarkan dan diberi jawapan jelas oleh pihak berkuasa ialah: pihak manakah yang melakar jajaran laluan lebuh raya tersebut? Dalam kenyataan bekas MB Selangor sebelum ini berhubung pembinaan KIDEX, di mana beliau menegaskan bahawa syarikat konsesi KIDEX perlu memperhalusi jajaran Lebuhraya KIDEX, termasuk laluan keluar masuk dan pelan lain;[9] ia telah secara tidak langsung menunjukkan bahawa syarikat KIDEX-lah yang bertanggungjawab merancang dan melakar jajaran laluan KIDEX. Sememangnya, konflik kepentingan dalam hal ini sepatutnya diberi penjelasan. Apakah kepentingan orang ramai terpaksa diketepikan malah dikorbankan demi merestui pembangunan lingkaran jalan raya yang lebih bersepadu kononnya, yang belum lagi terjamin keberkesanannya dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas?

 

MB, EXCO perlu menjawab kepada DUN

Kak Wan,

Projek pembinaan Lebuhraya KIDEX, sebagai sebahagian daripada pembangunan Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2035 yang mana anggaran kosnya mencatat RM2.42 bilion, sepatutnya dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk didebat sebelum dimuktamadkan. Khasnya, mengambil kira pandangan beberapa ADUN di kawasan terbabit dalam projek pembinaan lebuh raya yang barangkali menyuarakan ketidakpuasan dan bantahan terhadap pelaksanaan pembinaan projek-projek tersebut, MB dan barisan EXCO perlulah bertanggungjawab secara kolektif kepada DUN dengan menjawab persoalan-persoalan yang dilemparkan oleh ADUN. Sesungguhnya, beginilah fungsi sistem berparlimen pada peringkat negeri yang senantiasa memastikan ketelusan perjalanan pentadbiran sesebuah kerajaan dan akauntabiliti pemimpin bertanggungjawab kepada rakyatnya.

Dari segi politik kepartian pula, mana-mana keputusan MB negeri juga harus sentiasa selaras dengan halatuju pentadbiran gabungan parti politik yang melantiknya. Malahan, bagi sesebuah parti politik gabungan yang dilihat sebagai kerajaan alternatif yang berpeluang menggantikan kerajaan pemerintah dalam pilihan raya umum yang lalu, keputusan bagi meluluskan pembinaan lebuh raya-lebuh raya tersebut yang belum lagi mendapatkan persetujuan daripada kesemua ADUN-ADUN Selangor mahupun pimpinan parti tersebut telah mengikis keyakinan dan kepercayaan rakyat Selangor terhadap pimpinan Pakatan Rakyat. Sesungguhnya, usaha yang lebih giat diperlukan bagi memperbaiki imej Pakatan Rakyat dan membuktikan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk merealisasikan sebuah kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat yang sama sekali berbeza dengan kerajaan UMNO-BN yang telahpun menerajui tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan lebih daripada separuh abab.

Justeru, kami berharap agar Kak Wan, apabila diangkat menjadi MB nanti, akan mempertimbangkan semula persetujuan dengan kerajaan persekutuan untuk membina lebuh raya-lebuh raya tersebut sebagai langkah jangkah pendek dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas. Sekurang-kurangnya peranan kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri harus dijelaskan secara menyeluruh kepada rakyat Selangor, dan pandangan rakyat Selangor diutamakan. Penting sekali, kami juga mendoakan agar kerajaan negeri di bawah pimpinan Kak Wan bakal mencurahkan lebih usaha dalam mempertingkatkan sistem dan infrastruktur pengangkutan awam secara keseluruhan bagi kemudahan semua rakyat Selangor.

Sekian.

 

Yang ikhlas,

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

 

[1] http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Selangorkajicadanganpembinaan6lebuhraya-MB/Article/index_html

[2] http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/penduduk-jumpa-suhakam-bantah-kidex-1.287044

[3] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-penduduk-pj-terlibat-kaji-selidik-kidex-kata-persatuan-penduduk

[4] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/siapa-dapat-faedah-pembinaan-6-lebuh-raya-di-selangor

[5] http://bm.selangorku.com/wp-content/uploads/2014/05/SelangorKini-Mei-5.pdf

[6] http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/reveal-kidex-highway-deal-dap-state-reps-tell-putrajaya

[7] http://www.themalaymailonline.com/what-you-think/article/kidex-and-consultants-must-reveal-all-sntk

[8] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/with-kidex-traffic-to-ease-just-3pc-by-2028-impact-study-says

[9] http://bm.selangorku.com/51095/mb-pemaju-perlu-perhalusi-jajaran-laluan-lebuhraya-kidex-adakan-pendengaran-awam/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s