Berhati-hati dengan Minda “Pecah dan Perintah”

Dalam bulan menghayati makna merdeka dan penubuhan Malaysia, warga segenap lapisan dikejutkan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, bahawa Putrajaya tidak berjanji memansuhkan Akta Hasutan tetapi hanya untuk mengkajinya.

Kenyataan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah berjanji memansuhkan Akta Hasutan memeranjatkan kerana pada 11 Julai 2012, dua tahua sebelum ini dan setahun sebelum Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU-13), Perdana Menteri telah menjanjikannya.

Malahan dua bulan selepas PRU-13, iaitu pada 2 Julai 2013, Perdana Menteri memberitahu British Broadcasting Corporation (BBC) bahawa akta tersebut akan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.

Kini setelah siri pendakwaan terbaru di bawah Akta Hasutan 1948 dikenakan terhadap ahli parlimen, ahlli dewan undangan negeri, ahli politik, aktivis, ahli akademik dan wartawan, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas bidang perundangan menyatakan bahawa kenyataan PerdananMenteri sebelum ini tidak bermaksud sebegitu.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, Perdana Menteri sendiri haruslah menjelaskan kepada rakyat kemungkiran janji tersebut dan apakah yang berlaku sebenarnya.

KPRU ingin bertanya, apakah kemungkiran janji tersebut ekoran desakan dan tekanan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad? Apakah desakan Tun Mahathir termasuk mendakwa wartawan dan ahli akademiki, dan juga memenjarakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim?

Ataupun, kemungkiran janji tersebut dan siri pendakwaan berkaitan lebih merupakan sebahagian daripada strategi Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden UMNO dalam melumpuhkan Pakatan Rakyat pada ketika Pakatan Rakyat berada pada keadaan umbang-ambing? Dan melenyapkan suara kritikal masyarakat madani, termasuk wartawan independen pada ketika rakyat terbanyak berada pada keadaan kelesuan terhadap gerakan membawa pembaharuan?

Mengamati sejarah kelahiran undang-undang berkaitan yang membawa kepada penguatkuasaan Akta Hasutan hari ini KPRU berpendapat, kini tiba masanya akta tersebut dimansuhkan. Penguatkuasaan seumpama bermula pada tahun 1915 di Negeri-negeri Selat dan seterusnya pada tahun 1919 di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan ianya merupakan penciptaan dan  peninggalan sejarah penjajahan British.

Khususnya dalam hubungan rejim pemerintah, Akta Hasustan dan media, KPRU ingin menegaskan bahawa tindakan terhadap wartawan Malaysiakini Susan Loone adalah tidak masuk akal apabila ditelusuri kemajuan yang dinikmati oleh tamadun manusia dan semangat zaman yang dikongsi bersama oleh warga Malaysia.

Tindakan terhadap seorang wartawan independen menunjukkan bahawa, pada sebelah ini, rejim pemerintah memastikan media arus perdana yang dikawalnya memainkan peranan memujuk rakyat supaya menerima pemerintahannya tanpa mempertikaikan tindak-tanduknya yang bermasalah.

Pada sebelah yang lain, apabila berdepan dengan media independen yang kawalan terhadapnya sering berdepan dengan cabaran kuat, akta seumpama digunakan untuk memaksa media dan wartawan supaya melakukan penapisan diri.

Begitu juga dalam hal ahli akademik yang rancak menyuarakan pendapat sehingga mampu mempengaruhi pandangan umum.

Apabila dihalusi tindakan menekan dan wacana susulan yang dipamerkan, rejim pemerintah bersama media tertentu yang bersekongkol cuba membezakan tindakan terhadap pihak ahli politik dengan tindakan terhadap pihak bukan ahli politik, supaya reaksi masyarakat madani juga berbeza dan bertindak mengikut pemikiran “pecah dan perintah” (divide dan rule).

Lantaran itu, KPRU berpendapat, kebebasan akademik dan kebebasan media bukanlah hujah utama yang dapat menonjolkan permasalahan yang kita hadapi hari ini apabila hujah sedemikian meminggirkan sekumpulan ahli politik yang juga berdepan dengan tindakan represif rejim pemerintah.

Dalam kita mempertahan hak dan kebebasan bidang masing-masing, jangan kita terperangkap dengan minda “pecah dan perintah” sehingga mengasingkan ahli politik yang juga berdepan dengan tindakan represif daripada golongan bukan ahli politik.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s