Sebelum Nuklear, Bangunkan Teknologi Waste-to-Energy

Dewan Rakyat kembali bersidang pada 7 Oktober 2014. Selain Belanjawan Tahunan yang menjadi fokus seluruh negara, beberapa Rang Undang-Undang (RUU) yang mungkin dibentangkan untuk bacaan kali pertama juga bakal menjadi tumpuan.

Pada awal bulan Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong, yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Rang Undang-undang (RUU) Kawal Selia Tenaga Atom yang kini masih berada di peringkat draf memberi penekanan terhadap aspek keselamatan penggunaan tenaga atom selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dijangka dibentang di Parlimen hujung tahun ini.

Lebih awal lagi pada Julai lalu, beliau juga menyatakan bahawa pemerintah bakal menjalankan kajian kebolehlaksanaan berhubung cadangan membina loji tenaga nuklear dalam tempoh 10 tahun. Kajian komprehensif yang merangkumi aspek penerimaan masyarakat, input daripada pakar dan pertubuhan bukan kerajaan itu akan dibentangkan kepada Kabinet selepas laporan berkenaan siap disediakan.

Kenyataan-kenyataan tersebut begitu jelas menunjukkan niat pemerintah untuk membina loji janakuasa tenaga nuklear dan menjadikan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga alternatif di Negara kecil ini, biarpun menyaksikan krisis yang melanda beberapa loji janakuasa tenaga nuklear, termasuklah insiden letupan di Marcoule di Perancis dan Fukushima Daichii di Jepun pada tahun 2011, yang mana cukup membunyikan penggera terhadap keselamatan kemudahan penjanaan tenaga nuklear.

Sebelum tercetusnya krisis-krisis di loji janakuasa tenaga nuklear seperti yang dinyatakan di atas, pemerintah dilaporkan pada Disember 2010 bahawa ia bercadang untuk membina dua buah loji tenaga nuckear bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat, dengan sebuah loji dibina menjelang tahun 2021 dan loji kedua setahun kemudian. Di samping itu, pemerintah juga menyatakan bahawa lapan lokasi di Semenanjung Malaysia telah dikenalpasti bagi pembinaan loji tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia pada masa itu, iaitu Datuk Dr Daud Mohamad, lapan lokasi itu bagaimanapun masih lagi dalam kajian untuk dipilih sebagai lokasi sesuai yang memenuhi kriteria sebelum diumumkan oleh pemerintah. Antara kriteria bagi kawasan yang bersesuaian termasuklah berhampiran dengan sumber air, mempunyai struktur tanah yang berbatu keras dan kawasan yang tidak mudah banjir. Sekiranya kawasan terpilih itu berkependudukan, maka mereka akan dipindah manakala kawasan yang sudah dibangunkan turut akan dipindah.[1]

Pengamatan badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati, wujud sikap ketidaksanggupan pemerintah untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada pengalaman Negara-negara lain yang jauh lebih maju daripada Malaysia, sama ada dari segi ekonomi mahupun dari segi pencapaian inovasi dan teknologi. Lebih membimbangkan, rakyat Malaysia telahpun banyak kali menyaksikan tragedi akibat kecuaian dan kelalaian dalam projek pembinaan, misalnya runtuhan bumbung Stadium, siling hospital, malahan lebuh raya. Baru-baru ini, kemalangan di tapak projek Mass Rapid Transit (MRT), yang mana runtuhan landasan konkrit MRT telah meragut tiga nyawa pekerja berbangsa Bangladesh.

Adakah negara ini berkemampuan menangani kemalangan yang tidak berbau sedemikian sekiranya berlakunya apa-apa ketidaktentuan di loji reaktor nuklear, yang mana mungkin disebabkan oleh rentakan dinding, mentapan tanah ataupun runtuhan bumbung, seperti mana yang berlaku dalam projek-projek di bawah pengendalian dan pemantauan pemerintah Malaysia?

Kekeliruan fakta punca bekalan tenaga elektrik

Alasan bahawa kebergantungan kepada arang batu, malah arang batu import sebagai sumber dalam penjanaan tenaga elektrik yang semakin meningkat merupakan faktor tenaga nuklear dijadikan pilihan sebagai sumber tenaga yang mampan adalah kurang menyakinkan bagi merasionalisasikan keperluan pembinaan loji janakuasa tenaga nuklear dalam negara ini.

Menurut jawapan bertulis bagi soalan parlimen pada 20 Jun 2012 berhubung pecahan penggunaan bahan api untuk penjanaan elektrik, dimaklumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bahawa 44.7% menggunakan arang batu, 42.5% berasaskan gas, 3.7% berasaskan minyak, 3.4% berasaskan distillate, dan 5.7% berasaskan hidro. Menteri turut memaklumkan bahawa menjelang tahun 2020, adalah dianggarkan bahawa sebanyak 60% bekalan elektrik akan dijana daripada sumber arang batu, 23% gas, 15% hidro dan 2% daripada sumber Tenaga Boleh Baharu.[2]

Walau bagaimanapun, kajian dan penelitian KPRU mendapati jawapan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air adalah agak berbeza dengan laporan analisis Pentadbiran Informasi Tenaga Amerika Syarikat (U.S. Energy Information Administration, EIA) yang dikemaskini pada September 2013[3] mengenai penjanaan elektrik dan kapasiti di Malaysia. Laporan tersebut menunjukkan bahawa sebahagian besar kapasiti penjanaan tenaga adalah bergantung pada gas asli, biarpun ia turut memberi penekanan bahawa kekurangan gas asli di Semenanjung Malaysia dan permintaan tenaga elektrik semakin meningkat kebelakangan tahun ini telah merangsang penggunaan bahan api lain seperti arang batu, diesel dan hidroelektrik, tetapi gas asli masih merupakan penyumbang terbesar dalam penjanaan tenaga elektrik.

Carta berikut menunjukkan kapasiti penjanaan elektrik di Malaysia pada tahun 2012 yang disediakan oleh pihak EIA, di mana jelas kelihatan arang batu dan gas asli menyumbang hampir 90% daripada jumlah kapasiti tenaga yang dijana di Malaysia. Khususnya, gas asli mencakupi kira-kira 51% daripada jumlah bekalan tenaga pada tahun 2012 (menurut data PFC Energy) dan 43% pada tahun 2011 (menurut data TNB).

2

Sumber: U.S. Energy Information Administration[4]

Dalam hal ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air perlu memberi penjelasan dan membekalkan data secara transparensi berhubung penggunaan bahan api untuk tujuan penjanaan elektrik. Hal ini bukan sahaja mustahak bagi mengarahkan halatuju dasar dan strategi tenaga negara agar memastikan bekalan tenaga yang mencukupi, efisien lagi selamat, malahan bagi menjustifikasikan keperluan membina loji janakuasa tenaga nuklear sebagai punca bekalan tenaga elektrik baru. Lebih-lebih lagi, memandangkan Jerman yang merupakan antara pengguna tenaga yang terbesar di dunia (menduduki tempat keenam dalam penggunaan tenaga global dari tahun 2004 hingga 2007), juga bertekad menghentikan kesemua penjanaan dan penggunaan tenaga nuklear menjelang tahun 2022 dan digantikan dengan tenaga yang boleh diperbaharui.

Teknologi Waste-to-Energy, alternatif popular

Pada pendapat KPRU, tidak dapat dinafikan bahawa penjanaan tenaga dengan menggunakan sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti bahan api fosil seharusnya digantikan secara beransuran, tetapi loji janakuasa tenaga nuklear bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Sebaliknya, teknologi dan kaedah yang menggunapakaikan sisa pepejal seperti batang, pelepah dan tandan buah kelapa sawit kosong sebagai sumber penjanaan tenaga, yang mana lebih umum dikenali sebagai waste-to-energy atau energy-from-waste (WtE) patut diberi pertimbangan dan perhatian terlebih dahulu, khususnya memandangkan sisa pepejal yang semakin meningkat akibat kegagalan projek 3R (Recycle, Reuse and Reduce) untuk mendapatkan sahutan hangat dalam kalangan masyarakat.

Menurut kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada April lalu, jumlah sisa pepejal dalam negara ini bertambah pada kadar 3.7% secara purata setiap tahun.[5] Situasi sebegini sekali gus memberi kesempatan kementerian terbabit untuk merasionalisasikan pembinaan insinerator bagi tujuan pelupusan sisa pepejal yang semakin membukit dan dijadikan alasan untuk projek pembinaan di kawasan perumahan.

Untuk makluman semua, teknologi WtE adalah satu bentuk pemulihan tenaga di samping kemudahan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang merawat sisa, di mana tenaga elektrik dan haba, mahupun komoditi bahan api seperti diesel akan dihasilkan. Berbanding dengan menghantar sisa pepejal ke tapak pelupusan atau insinerator untuk dimusnahkan begitu sahaja, teknologi seumpama mampu mengubah dan memanfaatkan bahan buangan itu yang pada asalnya beban kemudian dirawat dan dijadikan aset, dan sekali gus menyumbang kepada pemeliharan dan pemuliharaan alam sekitar serta kesihatan.

KPRU berpendapat bahawa teknologi WtE boleh dipertimbangkan sebagai alternatif dalam penjanaan tenaga dan bukan bagi tujuan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sahaja, agar ia berpeluang memainkan peranan yang lebih penting lagi berpengaruh dalam sektor penjanaan tenaga, seperti yang dibuktikan kelebihannya di luar negara termasuk Denmark, Jerman, Singapura dan sebagainya.

Jadual berikutan menunjukkan bilangan loji WtE di luar negara, khususnya di negara Eropah yang boleh dikatakan sebagai perintis dalam bidang tersebut.

Negara Bilangan Loji WtE
Austria 12
Belgium 16
Czech Republik 3
Denmark 29
Finland 6
Perancis 127
Jerman 79
Hungary 1
Ireland 1
Italy 54
Netherlands 13
Norway 15
Slovakia 2
Portugal 3
Sepanyol 11
Switzerland 30
United Kingdom 31
Amerika Syarikat 86
Jepun (Tokyo sahaja) 21
Singapura 5

Sumber: Waste to Energy State of The Art Report; International Solid Waste Association (ISWA); Energy from Waste, Working Group on Thermal Treatment of Waste

Di Negara Denmark yang hanya mempunyai kira-kira 5.6 juta populasi, terdapatnya 29 buah loji sedemikian untuk berkhidmat kepada 98 majlis perbandaran setakat tahun 2010. Di Majlis Perbandaran Horsholm yang terletak di Copenhagen, masyarakat setempat bergantung kepada loji itu untuk membekalkan 80% tenaga haba dan 20% tenaga elektrik.[8] Di negara jiran Singapura, loji WtE yang terbesar, iaitu Loji Tuas Selatan (Tuas South Plant) mampu mengendali lebih kurang 3,000 tan sisa pepejal dan menjana 150 MWh tenaga elektrik setiap hari, di mana 80% daripada kapasiti penjanaannya dijual manakala 20% yang selainnya digunakan bagi memenuhi permintaan loji itu sendiri. Bersama-sama dengan tiga lagi loji WtE yang lain dalam negara Singapura, sejumlah 2,688 MWH elektrik dijana setiap hari dengan memanfaatkan 7,475 tan sisa pepejal.[9]

Selain itu, negara-negara yang menggunapakai teknologi penjanaan tenaga daripada sisa pepejal juga didapati mempunyai kadar kitar semula yang lebih tinggi secara perbandingan dengan negara lain. Misalnya, menurut pengurus jabatan pengurusan sisa pepejal dan sumber di Jabatan Alam Sekitar Kebangsaan Singapura, daripada 19,862 tan sisa pepejal yang dihasilkan setiap hari secara purata, 60% daripadanya ataupun 11,846 tan adalah dikitar semula, 7,455 tan dihantar ke kemudahan loji WtE dan 541 tan yang selebihnya atau 3% sisa pepejal yang tidak dapat dilupuskan dihantar ke tapak pelupusan.[10]

Dalam kalangan negara maju pula, Switzerland merupakan negara yang mencapai kadar kitar semula yang tertinggi, di mana setinggi 52% sisa pepejal dikitar semula. Ini diikuti oleh Austria 49.7%, Jerman 48%, Netherlands 46% dan Norway yang berada di kedudukan kelima dengan kadar kitar semula 40%.[11]

Meninjau kembali situasi di Malaysia, adalah dukacita dimaklumkan bahawa Malaysia pada ketika ini hanya mencatatkan kadar kitar semula 10.5% sahaja sedangkan sisa pepejal yang dijanakan sehari mencecah 33,000 tan — suatu angka yang berlipat ganda dalam tempoh kurang daripada satu dekad (Malaysia menjana 17,000 tan sisa pepejal sehari secara purata pada tahun 2005).[12] Hal ini mengakibatkan sebanyak 95% hingga 97% daripada sisa pepejal yang dikutip di Semenanjung Malaysia terpaksa dibuang ke tapak pelupusan begitu sahaja, manakala sekadar kira-kira 3% hingga 5% diproses di kilang kitar semula.[13]

Kesimpulan

KPRU ingin bertanya, adakah loji janakuasa nuklear diperlukan sebagai sumber tenaga alternatif dalam negara ini sedangkan berpuluh-puluh ribu tan sisa pepejal yang dijanakan sehari tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebagai aset punca penjanaan tenaga? Adakah pemerintah begitu berkeyakinan dalam menghadapi ketidaktentuan yang mungkin berlaku pada loji janakuasa nuklear dan seterusnya menangani akibat pencemaran yang tidak terukur keparahannya, yang mana juga gagal ditangani oleh negara besar maju seperti Jerman dan Jepun? Persoalan-persoalan seumpama harus diambil pertimbangan serious dan sewajarnya sebelum keputusan dibuat. Rakyat didahulukan, begitulah berbunyinya slogan yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini, dan sesungguhnya ia harus dijadikan pegangan dalam pelaksanaan dasar negara ini.

[1] http://www.malaysiakini.com/news/145224

[2] http://www.kettha.gov.my/portal/index.php?r=kandungan/parlimen_view&menu1_id=5&menu2_id=19&parlimen_id=173#.U_WSzrEYA_Z

[3] http://www.eia.gov/countries/cab.cfm?fips=MY

[4] http://www.eia.gov/countries/cab.cfm?fips=MY

[5] http://swm-environment.com/swmbulletin/index.php?option=com_content&view=article&id=1427:sisa-pepejal-meningkat-37&catid=16:general-news&Itemid=66

[6] http://wte.kpkt.gov.my/

[7] http://wte.kpkt.gov.my/wte_microsite_pg05.html

[8] http://www.mnn.com/earth-matters/energy/stories/europe-uses-household-waste-for-clean-energy

[9] http://www.thejakartapost.com/news/2013/05/22/waste-energy-singapore-s-experience.html

[10] http://www.thejakartapost.com/news/2013/05/22/waste-energy-singapore-s-experience.html

[11] http://www.energydigital.com/greentech/1751/Which-Countries-Are-Best-at-Recycling

[12] http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120919/dn_22/Kadar-kitar-semula-masih-rendah

[13] http://www2.nst.com.my/nation/general/boosting-recycling-rates-1.330549

Advertisements

2 thoughts on “Sebelum Nuklear, Bangunkan Teknologi Waste-to-Energy

  1. Pingback: From Waste to Energy |

  2. The Waste to Energy (WTE) is a noble concept but in reality it is not economical. Singapore needs 5 WTE plants simply because it is the only way out for the island to dispose its waste.

    The problem with extracting energy from waste material is the lack of material of high calorific value. Coal has a high calorific value, meaning it can burn long enough to produce sustainable heat to boil the water used to create the steam for turning the steam turbine. Paper and dry wood burn in split seconds thus the amount of energy is not sustainable.

    WTE needs several hundred tonnes of wood and paper to generate the amount of heat and we do not have that amount of waste. Plastic is recyclable and highly toxic thus not suitable for burning. The domestic waste is simply perishable and better used to produce methane gas.Industrial waste can not simply be burned, it has to undergo several stages of treatment and special disposal.

    In Malaysia, the government has forced TNB to buy the electric energy produced by such WTE plant at a much higher cost per kilowatt/hour (about RM1.70 kW/hr) and sell back to the consumers at less than a quarter of the price (about RM0. 25 kW/hr).*These figures are estimates.

    WTE is a losing business for TNB and the people, but those who have the licence to operate the WTE plants in Malaysia will be smiling to their banks.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s