Pasca Bersih 4, siapa undurkan Najib secara sah?

Pasca Bersih 4, siapa undurkan Najib secara sah?

BERSIH 4 yang selama dua hari dan satu malam itu telahpun tamat secara aman. Ramai orang pasti akan bertanya: selepas beberapa ratus ribu orang turun ke jalanraya, dan buat pertama kali beberapa ribu orang tidur di tepi jalanraya, adakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terlibat dalam kes 1MDB dan AS$700 juta akan berundur?

Secara amnya, konvensi dan prinsip demokrasi berparlimen menyatakan seseorang Perdana Menteri yang berdepan dengan krisis ketidakpercayaan akan berundur. Namun persoalannya ialah, bagaimana beliau akan berundur, dan bila beliau akan berundur. Soalan yang lebih specifik ialah: Siapa yang bakal membawa kepada pengunduran secara sah seorang Perdana Menteri yang berdepan dengan krisis?

Pertamanya, adalah Perdana Menteri sendiri membawa kepada pengunduran diri. Terdapat dua keadaan yang berbeza – Perdana Menteri yang menghormati semangat demokrasi berparlimen, apabila berdepan dengan krisis ketidakpercayaan, akan mengambil inisiatif untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan meletak jawatan.

Seorang Perdana Menteri yang berdepan dengan krisis ketidakpercayaan ekoran dakwaan skandal akan menetapkan syarat peletakan jawatan dan sekiranya syarat-syarat yang berkenaan dipersetujui, maka Perdana Menteri akan berundur pada masa yang sama berjaya mempertahankan diri, memastikan rejim UMNO diteruskan. Sistem pemerintahan bersifat autoritarian akan berterusan.

Sebaliknya, Perdana Menteri yang mengetepikan semangat demokrasi berparlimen, akan beralih daripada sistem pemerintahan bersifat “autoritarian ala-parti” kepada “autoritarian ala-diktator”. Diktator bukan sahaja akan melakukan tangkapan secara besar-besaran, pada masa yang sama juga menggunakan cara yang lembut dan kasar. “Kawat berduri” diktator akan dibentuk untuk mempertahankan kelangsungan kuasa.

Ini telah dilakukan pada zaman Mahathir, dan mampu bertahan selama beberapa penggal pilihan raya. Itu adalah zaman di mana sumbangan petroleum mencecah setinggi 30 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah pendapatan pemerintah pusat, predatory regime sedang terbentuk, dan pemerahan sumber negara mencorakkan landskap hegemoni di Malaysia. Paradigma pembangunan ekonomi mengatasi semuanya, penindasan terhadap oposisi dan mereka yang berani membantah dan memberontak dilihat sebagai kezaliman yang wajar. Masyarakat lazimnya memilih untuk bersekongkol dengan hegemoni yang dibentuk pada ketika itu.
.
Zaman kini berbeza dengan zaman Mahathir
Zaman kini berbeza dengan zaman Mahathir. Jikalau ini dilakukan pada zaman Najib dalam konteks oposisi bersatu, rasanya rejim Najib hanya mampu bertahan sehingga pilihan raya yang akan datang. Landskap hari ini adalah, sumbangan petroleum kepada pendapatan pemerintah pusat sedang menurun menghala ke arah paras 20 hingga 25 peratus, Internet dan media sosial membolehkan pelbagai maklumat disebarkan dengan pantas, harga sumber semulajadi seperti minyak mentah berada pada paras rendah yang baru, nilai Ringgit menyusut, pasaran saham dan pasaran bon penuh dengan ketidaktentuan, predatory regime kini berdepan dengan konflik, perpecahan, dan penyusunan semula secara dialektik dalam konteks sumber yang terhad dan pemerahan yang tidak terhad.

Hari ini, tuntutan demokrasi serta perubahan politik dan pembangunan ekonomi adalah seiring, masyarakat lazimnya enggan memberikan legitimasi kepada rejim pemerintah untuk melakukan penindasan dan kezaliman secara sah.

Keduanya, kerjasama politik membawa kepada pengunduran seorang Perdana Menteri. Setelah Najib merombak semula kabinet pada 28 Julai 2015, ramai yang menganggap serangan kumpulan Mahathir sudah kehilangan momentum. Saya berpendapat masih awal untuk membuat rumusan. Dalam keadaan politik dan ekonomi kini, serangan kumpulan Mahathir tidak akan berhenti begitu sahaja. Malahan, interaksi antara setiap kumpulan politik akan membawa kepada pelbagai kerjasama dan ketidaktentuan dalam suasana politik yang dinamik ini.

Selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, dan Pakatan Rakyat dikuburkan, terdapat perubahan strategi dan taktikal dalam kalangan kedua-dua pihak pemerintah dan pihak oposisi. Anwar di penjara, Najib berdepan dengan krisis ketidakpercayaan, Parti Amanah Negara (AMANAH) masih dalam peringkat awalan penubuhannya, kepimpinanan Melayu berdepan dengan perubahan dinamik dan kedinamikannya masih perlu diperhatikan.

Ketiga, ahli parlimen backbencher membawa kepada pengunduran seorang Perdana Menteri. Perkembangan pasca rombakan kabinet buat julung kali oleh seorang Perdana Menteri yang berdepan dengan dakwaan skandal, bukan saja menyaksikan kewibawaan fungsi institusi awam dirosakkan, malah semangat demokrasi berparlimen juga diketepikan.

Pihak tertentu telah menggunakan hujah kebertanggungjawaban kolektif (collective responsibility), untuk mempertahankan tindakan Perdana Menteri menyusun semula kabinet. Hujah ini sah tetapi hanya menonjolkan salah satu daripada ketiga-tiga konotasi prinsip kebertanggungjawaban kolektif. Dua hujah yang lain itu, bukan saja dielakkan, malah dalam kes 1MDB dan AS$700 juta, prinsip kebertanggungjawaban kolektif dalam konteks demokrasi berparlimen secara keseluruhan diketepikan dan digantikan dengan satu-satunya hujah bahawa seorang Perdana Menteri berkuasa merombak kabinetnya tanpa membincangkan soal legitimasi.

Tiga konotasi prinsip kebertanggungjawaban kolektif
Dalam semangat demokrasi berparlimen, konsep kebertanggungjawaban kolektif dalam keseluruhannya mempunyai tiga konotasi. Konotasi pertama adalah bahawa rakyat memilih ahli parlimen melalui pilihan raya umum. Parti atau gabungan parti yang mempunyai bilangan kerusi majoriti dalam Parlimen menjadi parti pemerintah, Perdana Menteri lahir daripada parti yang mempunyai bilangan kerusi majoriti dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Selepas itu Perdana Menteri melantik anggota-anggota kabinet.

Seringkali, apa yang diabaikan adalah hukum bahawa Perdana Menteri dan kabinetnya lahir daripada majoriti kerusi di Parlimen. Kerana itu, selain merujuk kepada kuasa seorang Perdana Menteri melantik dan merombak kabinet, di mana anggota kabinet harus menjalankan tanggungjawab bersama, melaksanakan keputusan pihak kerajaan, konotasi kedua prinsip kebertanggungjawaban kolektif juga merujuk kepada kuasa kolektif dipunyai semua ahli parlimen backbencher pihak pemerintah dan semua ahli parlimen oposisi serta “ahli parlimen bebas’.

Sepertimana Perdana Menteri dan kabinetnya mewakili kuasa legislatif secara kolektif, semua ahli parlimen backbencher pihak pemerintah dan semua ahli parlimen oposisi serta “ahli parlimen bebas” mewakili kuasa perundangan secara kolektif.

Kerana itu, pemakaian istilah “Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC)” tidak begitu tepat dalam konteks demokrasi berparlimen. Ahli parlimen pihak pemerintah yang tidak berada dalam kabinet merupakan sebahagian daripada kuasa perundangan dan sewajarnya melaksanakan kuasa dan kewajiban mereka sebagai ahli parlimen backbencher parlimen Malaysia, bukan sekadar ahli parlimen penyokong BN.

Konotasi ketiga berkait rapat dengan kuasa rakyat dalam konteks legitimasi sistem pemerintahan. Malaysia mengamalkan sistem berkabinet di mana kedua-dua kuasa legislatif dan perundangan lahir daripada legitimasi yang mendapat pengiktirafan kolektif rakyat. Legitimasi yang diiktiraf rakyat bermula dengan proses pilihan raya umum yang bersih dan adil. Proses perundangan yang bebas merupakan sebahagian daripada proses pembentukan legitimasi tersebut. Legitimasi itu boleh ditarik balik apabila krisis ketidakpercayaan melanda kuasa legislatif.

Apabila beberapa ratus ribu rakyat turun ke jalanraya membuat tuntutan terhadap seorang Perdana Menteri yang didakwa terlibat dengan skandal, hal ini bermaksud Najib dan kabinetnya berdepan dengan krisis ketidakpercayaan. Dalam konteks sedemikian, seorang Perdana Menteri yang menghormati semangat demokrasi berparlimen akan mengemukakan undi kepercayaan terhadap dirinya di Parlimen. Jika undi tersebut berjaya dipertahankan, Perdana Menteri dapat meneruskan pentadbirannya atas kepercayaan yang diberikan oleh semua ahli parlimen yang tidak menganggotai kabinet. Jika tidak, Perdana Menteri dan kabinetnya harus meletak jawatan.

Ataupun, ahli parlimen backbencher BN yang menghormati semangat demokrasi berparlimen akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen. Harus diingatkan di sini bahawa dalam konteks di mana krisis ketidakpercayaan melanda pihak pemerintah, ahli parlimen backbencher harus melaksanakan kewajibannya yang mewakili kuasa kolektif perundangan, bukan kuasa kolektif legislatif.

Semua ahli parlimen BN yang berada dalam kabinet melambangkan kuasa eksekutif, namun semua ahli parlimen backbencher BN yang berada di luar kabinet tidak patut merendahkan diri sebagai “Kelab Penyokong Barisan Nasional”.

Dalam kelima-lima tuntutan Himpunan BERSIH 4, salah satu daripadanya ialah “kukuhkan demokrasi parlimen”. Tindakan ahli parlimen backbencher akan menjawab persoalan sama ada prinsip kebertanggunbjawaban kolektif dalam keseluruhannya diangkat dalam konteks semangat demokrasi berparlimen pada sidang parlimen yang akan datang.

Akhir kata, dalam kita membincangkan proses pengunduran seorang Perdana Menteri secara sah, para ahli parlimen bacbenchers atau yang tidak menganggotai kabinet harus melaksanakan tanggungjawab bersama mereka terhadap Parlimen dan bukannya kabinet, di bawah semangat demokrasi berparlimen.

Hal ini bermaksud, apabila berdepan dengan krisis besar sepertimana yang berlaku hari ini, para ahli parlimen backbenchers BN haruslah mengetepikan buat seketika, kesetiaan diri terhadap Perdana Menteri, kabinet, serta parti mereka, supaya secara kolektif, mereka dapat mengekalkan asas kesahihan sistem demokrasi berparlimen. Ini ertinya legitimasi. Inilah juga common sense yang harus kita memperingatkan Ahli Parlimen kawasan masing-masing dengan tegas.

Dikeluarkan oleh.
Ooi Heng
Pengarah eksekutif
Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)
7 September 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s