Peluang terakhir gerakan pembaharuan sebelum PRU-14

Peluang terakhir gerakan pembaharuan sebelum PRU-14

Kenyataan pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah digantung jawatan Timbalan Presiden UMNO seiring dengan kenyataan terkini Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mereka mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya berundur, pada masa yang sama, menolak institusi politik yang korup dan menuntut pembaharuan.

Semalam, Selangorkini melaporkan pesanan Anwar yang disampaikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada program Halaqah Ilmu, di kediamannya di Bukit Segambut.

Menurut Wan Azizah, Anwar memesan bahawa, langkah terbaik menyelamatkan Malaysia adalah menukar seluruh sistem negara dan bukannya sekadar seorang individu sahaja.

Hari ini, kenyataan pertama Muhyiddin setelah dipecat kelihatan seiring dengan kenyataan Anwar.

Menurut laporan Malaysiakini, kenyataan Muhyiddin berbunyi seperti berikut:

“Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan. Ia bukan sekadar mendesak perdana menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat.”

Semenjak siri pendedahan dilakukan berkenaan kes 1MDB dan seterusnya kes RM2.6 bilion oleh media tempatan dan antarabangsa, cukup ramai rakyat Malaysia yang kecewa dengan situasi negara.

Perkembangan merisaukan telah berlaku di mana satu demi satu media yang melaporkan berita melibatkan pentadbiran tertinggi negara telah diambil tindakan, antaranya termasuk The Edge dan Sarawak Report, sehingga yang terkini The Malaysian Insider.

Namun, harapan rakyat yang mahukan perubahan dan pembaharuan terkilan kerana dalam situasi sebegitu, dan dalam konteks perpecahan pihak oposisi, seolah-olah tuntutan rakyat tidak dapat diterjemahkan sebagai gerakan massa dan tindakan politik yang berkesan.

Pihak-pihak yang mengikut perkembangan politik negara secara dekat tahu akan peri pentingnya peranan Anwar dan betapa pengemblengan tenaga melibatkan semua pihak yang mahukan perubahan dan pembaharuan, termasuk semua parti oposisi, semua pemimpin dan mantan pemimpin parti pemerintah yang mahukan perubahan, semua akar umbi, pihak masyarakat madani dan masyarakat massa, adalah faktor penting untuk menjayakan impian dan tuntutan perubahan.

Berikutan kenyataan pertama Muhyiddin yang jelas seiring dengan kenyataan Anwar, kini tiba masanya semua pihak berkaitan bergerak bersama menuntut perubahan dan pembaharuan.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, ini merupakan peluang terakhir rakyat yang mahukan perubahan menaruh harapan terhadap pimpinan politik kedua-dua belah pihak dan masyarakat madani untuk bergerak bersama melakukan sesuatu yang penting dan bermakna sebelum pilihanraya umum keempatbelas (PRU-14).

Jika kiranya pemimpin parti politik terus angkuh dan bergerak sendiri dengan tindakan politik yang mengecewakan rakyat, KPRU khuatir, sokongan rakyat akan berlerai menjelang PRU-14.

Dikeluarkan oleh,

Ooi Heng
Pengarah eksekutif
Badan pemikir
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)
Atau
Political Studies for Change (KPRU)
27 Feb 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s