Isu pertindihan kerusi: Tiga senario menuju PRU-14

Isu pertindihan kerusi: Tiga senario menuju PRU-14

KPRU
Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) 2016 telah menyaksikan sebanyak 26 pertandingan tiga penjuru, 12 pertandingan empat penjuru dan 5 pertandingan lima penjuru bagi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Jumlah kerusi melibatkan pertandingan tiga penjuru dan ke atas adalah sebanyak 43, bersamaan dengan 52.44 peratus daripada jumlah kerusi DUN Sarawak sebanyak 82.
Pertandingan tiga penjuru dan ke atas semasa PRN Sarawak adalah sesuatu yang lumrah buat orang Sarawak. Kerana itu, biarpun pertandingan tiga penjuru dan ke atas melibatkan calon Barisan Nasional Sarawak (BN Sarawak), calon persendirian, calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) di enam kawasan DUN Sarawak hangat dipertikaikan oleh orang Semenanjung, impak kontroversi tersebut tidak begitu besar buat orang Sarawak.
Walau bagaimanapun, pertindihan kerusi melibatkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mungkin berlaku pada dua pilihan raya kecil di Semenanjung atau pertindihan yang mungkin juga melibatkan KEADILAN dan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), akan menjadi satu isu khususnya dalam kalangan pengundi Semenanjung yang mahukan pertandingan satu lawan satu menjadi realiti.
Bayangkan apa yang akan berlaku apabila tiba PRU-14 nanti, wujud pertandingan tiga penjuru sama ada melibatkan PAS dan Amanah atau KEADILAN dan DAP? Pasti peratusan mengundi akan jatuh merunum sehingga mempengaruhi keputusan semasa hari pengundian.
Apakah penyelesaian kepada masalah pertindihan kerusi antara parti-parti oposisi? Terdapat tiga senario.

Senario pertama. Parti-parti oposisi teruskan dengan cara rundingan sedia ada yang menyaksikan peristiwa seperti pengumuman unilateral mengejutkan parti oposisi yang lain. Dalam konteks ini, prinsip satu-lawan-satu mungkin dihormati untuk sebahagian besar kerusi tetapi sebilangan kerusi tertentu akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru.
Meneliti perkembangan politik semasa pasca PRU-13 sehinggalah PRU Sarawak 2016, kebarangkalian senario pertama berlaku semasa PRU-14 adalah yang tertinggi.

Senario kedua. Sistem pilihan raya sedia ada, yakni sistem pengundian First-Past-The-Post (FPTP) hanya memenangkan satu-satunya calon yang memperolehi undian tertinggi, biarpun dengan kelebihan satu undi berbanding dua calon yang lain dalam pertandingan tiga penjuru.
Kecacatan sistem FPTP ini mendorong parti-parti oposisi supaya bersatu berdepan dengan BN secara satu-lawan-satu agar meningkatkan peluang kemenangan. Dalam konteks ini, peranan Dato’ Seri Anwar Ibrahim begitu signifikan malah menyerlah sekali selepas beliau dimasukkan ke penjara dan seterusnya Pakatan Rakyat berkecai.
Apa yang berlaku kemudian dan sehingga hari ini membangkitkan dua persoalan penting, iaitu sama ada kita ubah sistem FPTP atau kita keluarkan Anwar Ibrahim daripada penjara?
Mengapa? Kerana dua persoalan ini saling berkait, satu daripadanya berkait rapat dengan sistem dan satu lagi berkait rapat dengan aktor.
Dalam sistem yang menyediakan suasana persaingan yang lebih adil, peranan aktor dalam hal ini tidak begitu menonjol kerana sistem memberi ruang yang lebih adil dari segi peratusan kebarangkalian perwakilan kepada semua parti oposisi.
Tetapi dalam sistem yang cacat, peranan aktor seperti Anwar Ibrahim yang mampu menyatukan semua parti oposisi utama dan memastikan pertandingan satu-lawan-satu semasa pilihan raya menjadi penting sekali.
Malangnya Anwar Ibrahim berada di penjara dan kecacatan sistem sedia ada begitu menonjol.
Dalam konteks di mana pihak oposisi tidak mampu mengeluarkan Anwar Ibrahim daripada penjara, maka sistem sedia ada harus diubah.
Jika sistem FPTP dapat diubah dan digantikan dengan sistem pengundian Proportional Representation (PR) di mana kerusi akan diagihkan kepada parti-parti bertanding berdasarkan peratus undian yang diperolehi, seperti yang diamalkan di Indonesia, Rusia, Itali, Belanda dan sebagainya, maka dalam keadaan di mana wujud pertandingan tiga penjuru seperti mana yang berlaku semasa PRU Sarawak 2016, KEADILAN dan DAP akan dapat bersaing antara satu sama lain secara lebih adil.
Di bawah sistem pengundian PR – sekiranya tiada mana-mana parti mampu memenangi lebih daripada 50% kerusi, maka parti yang berlainan perlu berunding supaya menubuhkan kerajaan bersatu atau coalition government.
Sekiranya sistem pengundian alternatif (alternative voting atau AV) diamalkan, seperti di Australia, maka para pengundi bolehlah mengundi calon-calon mereka dengan meletakkan kedudukan (ranking) bagi setiap calon.
Misalnya jika KEADILAN dan DAP menandingi kerusi yang sama, penyokong KEADILAN bolehlah memilih calon DAP sebagai “pilihan kedua” dan penyokong DAP bolehlah memilih calon KEADILAN sebagai “pilihan kedua”.
Dengan sistem ini, sekiranya tiada mana-mana calon mendapat undian melebihi 50%, maka calon yang terendah dalam undian akan disingkirkan, dan undiannya akan diagihkan semula kepada calon-calon yang lain mengikut pilihan alternatif pengundinya. Proses ini mesti diulang selagi belum ada calon mengutip 50% – sistem AV ini sememangnya adalah untuk memastikan bahawa pemenang mampu mewakili suara majoriti kawasannya.
Ataupun sistem yang mencampurkan atau menggabungkan sistem yang berlainan, contohnya campuran antara PR dan FPTP di Jerman dan New Zealand; atau gabungan selari (parallel voting) antara PR dan FPTP seperti di Thailand, Taiwan, dan Korea Selatan, diamalkan supaya setiap parti mampu menggunakan kekuatan masing-masing untuk bersaing supaya meraikan undi dan hanya bekerjasama selepas pilihanraya untuk menubuhkan kerajaan.
Tetapi nampaknya ini tidak akan berlaku selagi BN masih memerintah, kerana sistem FPTP sedia ada jelas menguntungkan mana-mana parti yang mendominasi pemerintahan persekutuan, terutamanya mereka dapat melakukan gerrymandering (melukis sempadan kawasan pilihanraya yang pelik supaya menguntungkan pihak sendiri) dan malapportionment (ketidakseimbangan bilangan pengundi bagi kawasan yang berlainan).
Peningkatan 11 kerusi baharu DUN Sarawak dan keputusan kerusi-kerusi ini yang memihak kepada parti pemerintah merupakan satu lagi bukti bagaimana sistem sedia ada menguntungkan pihak pemerintah.

Senario ketiga. Dalam keadaan di mana sistem FTPT tidak dapat diubah dan Anwar Ibrahim di penjara, bagi mengelakkan senario pertama yang berlaku di Sarawak daripada berulang semasa PRU-14, rombakan semula gabungan parti-parti oposisi harus dilakukan di mana tujuannya jelas untuk memastikan pertandingan satu-lawan-satu secara menyeluruh menjadi realiti semasa PRU-14.
Dalam hal ini, tawaran Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Azmin Ali kepada PAS sejurus selepas mengetahui keputusan PRN Sarawak 2016 tepat pada masanya. Ahli Parlimen PAS Dato’ Mahfuz Omar juga menyatakan pendirian menyeru PAS supaya menyambut pelawaan Azmin Ali dan kembali menyertai dalam satu Pakatan Pembangkang bersama KEADILAN, DAP dan Amanah.
PRN Sarawak ini membuktikan bahawa KEADILAN dan DAP telah gagal bersatu menghadapi kecacatan sistem pengundian FPTP. Begitu juga PAS dan Amanah. Setiap parti politik oposisi mempunyai kepentingan masing-masing dan mereka saling bersaing.
Dalam konteks kecacatan sistem sedia ada, persaingan sesama mereka akan menjurus kepada pertandingan tiga penjuru yang menghampakan rakyat yang berhasrat mengundi oposisi dan membawa perubahan.
Justeru, tanpa meneliti tiga senario ini secara mendalam dan mengambil satu tindakan politik yang rasional, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menjangkakan, PRU-14 bakal menyaksikan kegagalan teruk pihak oposisi dalam menuju ke arah perubahan rejim pemerintah.

 

Dikeluarkan oleh,
Ooi Heng
Pengarah eksekutif badan pemikir
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)
Atau think tank
Political Studies for Change (KPRU)
10 Mei 2016

 

Advertisements

One thought on “Isu pertindihan kerusi: Tiga senario menuju PRU-14

  1. Pingback: Three scenarios to deal with multi-cornered fights for GE |

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s