Tubuh Suruhanjaya Diraja kaji kesan pindaan perlembagaan

Tubuh Suruhanjaya Diraja kaji kesan pindaan perlembagaan
Ooi Heng & Elijah Khor

Sebagai rakyat Malaysia, kita menyambut ulang tahun penubuhan Hari Malaysia yang ke-53 pada 16 September ini. Kemudian, kita akan menyambut ulang tahun Perlembagaan Persekutuan yang ke-60 pada tahun 2017.

Beberapa bulan lagi, kita akan melangkah masuk ke tahun 2017. Sehubungan itu, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mencadangkan agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk mengaji kesan-kesan pindaan-pindaan Perlembagaan Persekutuan semenjak perlembagaan ini diperkenalkan secara rasmi pada 31 Ogos 1957.

Banyak pindaan Perlembagaan Persekutuan telah dilakukan semenjak tahun 1957. Mengikut pakar perlembagaan, Profesor Shad Saleem Faruqi, sehingga tahun 2005 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak 42 kali. Oleh kerana setiap kali Perlembagaan Persekutuan dipinda, ianya melibatkan sebilangan pindaan individu, dijangkakan bahawa jumlah pindaan yang terlibat adalah sekitar 650.[ http://www.thesundaily.my/node/176393%5D

Sebelum tahun 2008, Kerajaan Barisan Nasional banyak melakukan pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Daripada pindaan-pindaan tersebut, terdapat pindaan yang mengundang kontroversi.

Baru-baru ini, apabila Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta MKN 2016) diwartakan pada 7 Jun 2016 dan dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016, berbangkit kontroversi bahawa sehari selepas Majlis Raja-Raja mengembalikan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara kepada Jabatan Peguam Negara kerana mahu beberapa peruntukan diperhalusi, Rang Undang-Undang tersebut dianggap telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 Februari 2016, menurut Fasal (4A) Perkara 66 Pelembagaan Persekutuan.

Sehari selepas Akta MKN 2016 dikuatkuasakan, mantan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman pemula bagi memohon perisytiharaan bahawa Akta MKN 2016 yang berkuat-kuasa pada 1 Ogos 2016, adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Kontroversi ini berbangkit melibatkan, antara lain, pindaan perlembagaan pada ketika Kerajaan Barisan Nasional mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen untuk melakukan pindaan seumpama. Namun, ini bukanlah satu-satunya kontroversi yang melibatkan pindaan perlembagaan semenjak tahun 1957.

Jika pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang, Kerajaan Barisan Nasional kembali ke Parlimen dengan majoriti dua pertiga, kami menjangkakan, banyak lagi pindaan perlembagaan yang akan dibentang ke Dewan Rakyat untuk mendapat kelulusan.

Lantaran itu, kami berpendapat, sehubungan dengan ulang tahun ke-60 Perlembagaan Persekutuan, ada kewajarannya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk mengaji kesan-kesan pindaan-pindaan perlembagaan yang telah dilakukan semenjak tahun 1957.

Kajian Suruhanjaya Diraja dapat melihat sejauh mana semangat kemerdekaan, sejarah penubuhan Malaysia dan prinsip asas Perlembagaan 1957 dihayati dan sejauh mana pindaan-pindaan perlembagaan sehingga hari ini telah memberi kesan kepada diri Perlembagaan dan seterusnya kesannya terhadap tiga cabang utama negara, yakni cabang kehakiman, cabang perundangan dan cabang eksekutif.

Malaysia melaksanakan demokrasi berparlimen ala-Westminster. Namun begitu, model Malaysia berbeza dengan model United Kingdom. Model United Kingdom adalah berasaskan ‘Supremasi Parlimen’ (Parliamentary Supremacy). Sedangkan model Malaysia adalah berasaskan ‘Supremasi Perlembagaan’ (Constitutional Supremacy).

Berbeza dengan United Kingdom yang tidak mempunyai sebuah dokumen perlembagaan, Malaysia mempunyai sebuah dokumen perlembagaan bernama ‘Perlembagaan Persekutuan’ dan ianya merupakan rujukan tertinggi entiti politik bergelar Malaysia.

Seperti yang termaktub dalam Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan, “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.”

Hal ini bermaksud, apabila wujudnya akta parlimen yang melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, cabang kehakiman seharusnya menyemak semula akta tersebut tanpa ketakutan atau ‘without fear and favour’.

Jika sekiranya didapati sesuatu akta parlimen itu memang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, cabang kehakiman haruslah berani membuat penghakiman yang sewajarnya.

Hanya dengan melakukan apa yang berpatutan selari dengan sistem demokrasi berparlimen, barulah ‘Supremasi Perlembagaan’ dapat dipelihara secara terus menerus.

Malangnya, sesetengah pindaan yang dibentang oleh pihak eksekutif dalam bentuk ‘urusan kerajaan’ di Parlimen, khususnya rang undang-undang untuk meminda sesuatu akta atau sesuatu pindaan perlembagaan semenjak tahun 1957, telah mengubah wajah sistem kehakiman sehingga melemahkan keupayaan cabang kehakiman dalam memelihara ‘Supremasi Perlembagaan’ yang sepatutnya menjadi asas kepada model demokrasi berparlimen yang dipraktiskan di Malaysia.

Berdepan dengan kontroversi seperti isu Akta MKN 2016, pokok perbincangan seharusnya menumpu kepada kekuatan sistem kehakiman yang dapat mengangkat ‘Supremasi Perlembagaan’ dan menyemak cabang eksekutif yang terlampau besar kuasanya.

Sebarang penggubalan akta yang menghala ke arah membentuk pentadbiran diktator secara undang-undang adalah bercanggah dengan semangat perlembagaan yang bertapak atas prinsip negara hukum atau rule of law.

Tindakan Anwar Ibrahim menfailkan saman menuntut semakan kehakiman terhadap Akta MKN 2016 adalah tepat pada masanya. Cabang kehakiman seharusnya berpegang teguh kepada semangat mengangkat ‘Supremasi Perlembagaan’ dalam mengendalikan kes semakan tersebut.

Selain Akta MKN 2016, masih terdapat akta-akta kontroversi yang dibentang oleh cabang eksekutif melalui rang undang-undang kerajaan di Parlimen. Malah, pindaan-pindaan perlembagaan yang tertentu juga mengundang kontroversi pada ketika pindaan berkaitan dikemukakan pada masa lampau.

Kami berpendapat, penubuhan Suruhanjaya Diraja adalah langkah penting pertama menghala ke arah mengembalikan sistem kehakiman yang dapat memelihara ‘Supremasi Perlembagaan’.

Dalam kita menyambut Hari Malaysia dan ketibaan ulang tahun Perlembagaan Persekutuan yang ke-60, mustahak sekali penghayatan ‘Supremasi Perlembagaan’ dikembali ke posisi yang seharusnya selari dengan tiga prinsip asas seperti berikut:

Pertama, prinsip negara hukum atau rule of law dipatuhi;
Kedua, Sebarang akta parlimen yang bercanggah dengan ‘Supremasi Perlembagaan’ dan prinsip negara hukum harus disemak semula;
Ketiga, Sebarang akta parlimen yang memungkinkan pembentukan pentadbiran diktator secara undang-undang dimansuhkan.

 

Tamat.

 

Ooi Heng merupakan pengarah eksekutif KPRU
Elijah Khor merupakan penyelidik KPRU
13 September 2016

 

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), bersamaan dengan Political Studies for Change (KPRU) atau 政改研究所(KPRU).

Portal rasmi: https://kprumalaysia.org/

Facebook: https://www.facebook.com/kprumalaysia/

Emel: kprumalaysia@gmail.com

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s