Menjelang RMKe-11: Apakah 1MOCC memenuhi aspirasi rakyat?

Menjelang RMKe-11: Apakah 1MOCC memenuhi aspirasi rakyat?

Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) dilancarkan oleh Perdana Menteri DS Najib pada 12 November 2012, dan kini disenaraikan dalam Laporan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) sebagai salah satu pencapaian Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Menerusi 1MOCC, semua operator kementerian, agensi kerajaan dipusatkan dengan satu nombor telefon sahaja iaitu 03-8000 8000 untuk membolehkan rakyat mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan.

Pada majlis pelancaran 1MOCC, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan 1MOCC mampu melonjakkan perkhidmatan awam ke tahap bitara dan tidak ada tolok bandingnya[1].

Namun, adakah 1 MOCC begitu cekap dan dapat melonjakkan perkhidmatan awam ke tahap bitara seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri? Apakah wajar 1MOCC disenaraikan sebagai pencapaian RMKe-10?

Pemerintah perlu membuktikan kecekapan 1MOCC dan menjelaskan beberapa soalan yang timbul, jika tidak projek tersebut merupakan satu lagi projek pemerintah yang membazirkan duit rakyat.

1MOCC dikatakan sebagai pusat panggilan setempat yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu untuk menjawab pertanyaan, aduan, cadangan dan maklum balas rakyat melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), faks, emel dan media sosial.

Projek ini merupakan satu projek aplikasi perdana di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau inisiatif NBOS dan diterajui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Projek ini dilaksanakan dengan kolaborasi strategik antara Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbadanan Putrajaya dan Telekom Malaysia Berhad. Ia juga melibatkan 17 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan agensi barisan hadapan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen selaku agensi perintis projek.

Fasa pertama pelaksanaan 1MOCC berjaya direalisasi dalam tempoh enam minggu sahaja. Tetapi hari ini, apakah pelaksanaan 1MOCC telah diperluas kepada semua kementerian?

Semua kementerian satu nombor?
Sepatutunya, menerusi pelaksanaan 1MOCC ke semua kementerian, semua operator kementerian, agensi kerajaan akan dipusatkan dengan satu nombor telefon sahaja iaitu 03-8000 8000.

Namun, berdasarkan tinjauan badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), setakat 26 Mei 2015, yakni lima hari selepas pembentangan RMKe-11, masih terdapat lima atau 20.8 peratus daripada semua kementerian kabinet Najib yang tidak mengemaskini talian utama kementerian kepada talian 1MOCC 03 8000 8000 dalam laman sesawang rasmi masing-masing, walaupun selepas lebih daripada dua setengah tahun projek 1MOCC dilancarkan oleh Perdana Menteri.

Jadual KPRU di bawah menyenaraikan kementerian yang telah dan belum mengemaskini talian utama dalam laman web rasmi masing-masing.

Jadual KPRU: Laman sesawang dengan/tanpa no telefon 1MOCC

Kementerian  No telefon 03-8000 8000
JPM ada
Kewangan ada
Pendidikan ada
Pengangkutan ada
Sumber Asli dan Alam Sekitar, ada
Pelancongan dan Kebudayaan ada
Pertahanan tiada
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ada
Perdagangan Antarabangsa dan Industri ada
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ada
Perusahaan Perladangan dan Komoditi ada
Dalam Negeri tiada
Komunikasi dan Multimedia ada
Kesihatan ada
Pertanian dan Industri Asas Tani tiada
Luar Negeri ada
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ada
Kerja Raya ada
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ada
Sumber Manusia ada
Wilayah Persekutuan tiada
Belia dan Sukan tiada
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ada
Sains, Teknologi dan Inovasi ada

Sumber: Laman sesawang rasmi kementerian masing-masing

Memandangkan Perdana Menteri sebagai ketua kabinet, Menteri-menteri bagi lima kementerian yang tersenarai dalam Jadual KPRU perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa talian utama di lima laman sesawang rasmi kementerian yang tersenarai tidak dikemaskini:
Pertama, Kementerian Pertahanan
Kedua, Kementerian Dalam Negeri
Ketiga, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
Keempat, Kementerian Wilayah Persekutuan
Kelima, Kementerian Belia dan Sukan

Adakah ini salah satu contoh kecekapan projek 1MOCC atau kecekapan prestasi MAMPU di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditunjukkan oleh kabinet pimpinan Najib?

24 jam operasi sepanjang tahun?
Perdana Menteri dengan bangganya telah menyatakan perkhidmatan 1MOCC yang beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun itu merupakan satu pencapaian di luar jangkaan dan mungkin tidak terfikir, walaupun 1MOCC beroperasi 24 jam sepanjang tahun, tetapi agensi dan pejabat kementerian adalah beroperasi pada waktu kerja biasa.

Persoalan yang timbul adalah sama ada Pegawai Khidmat Pelanggan (PKP) 1MOCC dapat mencari penyelesaian tanpa bantuan/maklumat daripada agensi kerajaan yang lain sekiranya panggilan tersebut dibuat pada waktu bukan kerja? Pemerintah juga perlu menyatakan peratusan panggilan yang dibuat pada waktu bukan kerja dan sama ada ia mencapai matlamat 1MOCC yang beroperasi 24 jam sepanjang tahun.

Berdasarkan laporan berita, seramai 106 Pegawai Khidmat Pelanggan (PKP) daripada pelbagai kementerian dan agensi telah ditempatkan untuk berkhidmat sebagai ejen 1MOCC iaitu selepas mereka lulus program latihan semula secara ‘fast-track’[ 2].

Walaupun terdapat Pegawai Khidmat Pelanggan (PKP) daripada pelbagai kementerian ditempatkan sebagai ejen di 1MOCC, adakah mereka mempunyai pengetahuan untuk mengendali dan menyelesaikan kes tanpa bantuan agensi kerajaan lain, terutamanya semasa waktu bukan kerja?

Selain itu, memandangkan terdapat berpuluh-puluh agensi di setiap kementerian, adakah Pegawai Khidmat Pelanggan (PKP) di 1MOCC mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai agensi-agensi kerajaan untuk mengendali dan menyelesaikan kes pelanggan?

Jika tidak, adakah tugasan 1MOCC hanya merupakan operator talian utama yang menyambungkan panggilan kepada kementerian tertentu? Jadi apakah perbezaan antara Pegawai Khidmat Pelanggan (PKP) 1MOCC dengan operator di kementerian masing-masing? Bukankah ini satu lagi projek yang berlebihan dan bazir?

1MOCC pilihan terakhir
Selain itu, dengan penamatan talian telefon umum kementerian bagi pelaksanaan projek 1MOCC. Timbullah persoalan sama ada rakyat perlu membayar lebih banyak caj telefon kerana panggilan tersebut bukan dijawab terus oleh kementerian tertentu, tetapi dijawab oleh pegawai khidmat pelanggan (PKP) di 1MOCC. PKP akan respon dan mencari jawapan melalui portal agensi atau menyambungkan panggilan tersebut ke kkementerian tertentu. Adakah ini akan memanjangkan masa penungguan satu panggilan?

Berdasarkan laporan RMKe-11, semua panggilan yang dijawab adalah dalam tempoh kurang daripada 20 saat. Sementara itu, menurut liputan berita, secara purata, ejen 1MOCC memerlukan 169.19 saat untuk menyelesaikan kes setiap pelanggan.[3] Persoalan seterusnya ialah, adakah tempoh masa ini lebih pendek daripada tempoh masa operator kementerian bertindak balas sebelum 1MOCC diperkenalkan? Adakah perajaan menjalankan kajian perbandingan dan membuktikan kecekapan 1MOCC dengan persoalan ini?

Sesungguhnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menjalankan tinjauan berkaitan di laman sesawang rasminya. Soalan tinjauannya berbunyi seperti berikut:

Saluran aduan KPDNKK yang menjadi pilihan UTAMA saya adalah?
Portal e-Aduan KPDNKK
Hotline (1-800-886-800)
Kaunter Aduan/Pejabat KPDNKK
Peti Aduan Pengguna KPDNKK
1MOCC (03-8000 8000)
SMS (15888)

Penemuan tinjauan KPDNKK menunjukkan bahawa 1MOCC bukanlah pilihan utama pengguna yakni rakyat Malaysia. Malahan, penemuan tinjauan KPDNKK menunjukkan bahawa 1MOCC hanyalah pilihan terakhir rakyat Malaysia!

Berikut ialah penemuan tinjauan KPDNKK[4]:
52.00 peratus memilih “Portal e-Aduan KPDNKK”;
14.86 peratus memilih “Hotline (1-800-886-800)”;
6.86 peratus memilih “Kaunter Aduan/Pejabat KPDNKK”
6.10 peratus memilih “Peti Aduan Pengguna KPDNKK”;
2.86 peratus memilih “1MOCC (03-8000 8000)”; dan
17.33 peratus memilih “SMS (15888)”.

KPRU menyarankan supaya semua kementerian menjalankan tinjauan yang sama di lawan sesawang rasmi masing-masing bagi memahami kehendak rakyat Malaysia seperti mana yang dilakukan oleh KPDNKK.

Syabas KPDNKK! KPDNKK telah mengambil tindakan sesuai dengan zaman internet. Penemuan tinjauan menunjukkan 1MOCC tidak memenuhi aspirasi rakyat. Yang menghairankan, projek yang tidak memenuhi aspirasi rakyat disenaraikan sebagai “pencapaian RMKe-10” dalam laporan RMKe-11.

Penjimatan atau pembaziran?
1MOCC dikatakan menjimatkan kos kerana ia menggunakan aplikasi 1GovNet dan infrastruktur Rangkaian Kampus Putrajaya yang tersedia. Penjimatan kos operasi direalisasikan dengan pengurangan talian telefon yang sedia ada serta menyediakan panggilan dalaman yang percuma antara agensi kerajaan. Namun kerajaan perlu menyatakan jumlah kos pengurusan/ kos pembangunan bagi projek 1MOCC sejak ia dilaksanakan dan sama ada kos penjimatan yang dikatakan dapat menampung jumlah kos projek dan kos mengurus 1MOCC. Jika tidak ia sekali lagi menunjukkan projek tersebut merupakan satu projek pembaziran kabinet pimpinan Najib.

Dkeluarkan oleh,
Ooi Heng
Pengarah eksekutif
Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

28 Mei 2015

FB: https://www.facebook.com/kprumalaysia?ref=bookmarks
Lampiran KPRU
Laman sesawang dengan/tanpa no telefon 1MOCC
Jabatan Perdana Menteri

1MOCC JPM
Kementerian Kewangan

1MOCC Kewangan
Kementerian Pendidikan

1MOCC Pendidikan

 

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

1MOCC Sumber asli dan alam sekitar

 

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan

1MOCC Pelancongan
Kementerian Pertahanan (Tiada)

1MOCC Pertahanan
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

1MOCC Kemajuan luar bandar
Kementerian perdagangan Antarabangsa dan Industri

1MOCC MITI
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

1MOCC Kettha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

1MOCC Perusahaan perladangan
Kementerian Dalam Negeri (Tiada)

1MOCC KDN
Kementerian Komunikasi dan Multimedia

1MOCC Komunikasi
Kementerian Kesihatan

1MOCC Kesihatan
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Tiada)

1MOCC Pertanian
Kementerian Luar Negeri

1MOCC Luar negeri
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

1MOCC Pembangunan wanita
Kementerian Kerja Raya

1MOCC Kerja raya
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

1MOCC Perdagangan dalam negeri
Kementerian Sumber Manusia

1MOCC Sumber manusia
Kementerian Wilayah Persekutuan (Tiada)

1MOCC Wilayah persekutuan
Kementerian Belia dan Sukan (Tiada)

Tidak dibekalkan sebarang no telefon.

 

Kementerian Kesejaheraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

1MOCC Kesejahteraan bandar
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

1MOCC Sains teknologi inovasi

 

 

[1] http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121113/dn_04/1MOCC-lonjak-sektor-awam

[2] http://www.hmetro.com.my/articles/169_19saatselesaikes/Article/

[3] http://www.hmetro.com.my/articles/169_19saatselesaikes/Article/

[4] setakat jam 11.30 pagi 28 Mei 2015; http://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkkv3/index.php?option=com_acepolls&view=poll&id=5:saluran-aduan-kpdnkk-yang-menjadi-pilihan-utama-saya-adalah&lang=my

Advertisements

Kekeliruan RMKe-11: Isi rumah M40 bukan kelas menengah

Kekeliruan RMKe-11: Isi rumah M40 bukan kelas menengah

Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) yang diumumkan pada 21 Mei 2015 telah menyentuh aspek pendapatan isi rumah yang mengukuhkan persepsi bahawa Malaysia mempunyai 40 peratus kelas menengah. RMKe-11 juga mensasarkan peningkatan kepada 45 peratus kelas menengah pada tahun 2020.

Pada masa yang sama, RMKe-11 juga menggunakan konsep “isi rumah M40” apabila menyentuh kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan. Penggunaan konsep ini agak mengelirukan di mana kumpulan berpendapatan pertengahan (middle income group) telah disamakan dengan kelas menengah (middle class) secara sedar atau tidak sedar.

Sesungguhnya, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (middle income group) tidak bersamaan dengan kelas menengah (middle class). Menurut Laporan RMKe-11, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan atau “isi rumah M40” merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan di antara 41 peratus hingga 80 peratus daripada taburan pendapatan keseluruhan. Pada tahun 2014, pendapatan “isi rumah M40” adalah dalam julat RM3,855 dan RM8,135 yang mana pendapatan purata adalah RM5,662 dan pendapatan penengah adalah RM5,465.

Konsep “isi rumah M40” mempamerkan pendapatan kumpulan isi rumah yang merupakan sebahagian daripada taburan pendapatan keseluruhan. Dua lagi konsep berkaitan ialah kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau “isi rumah B40” dan kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus teratas atau “isi rumah T20”.

Hal ini bermaksud, konsep “isi rumah M40” merujuk kepada sifat pendapatan pertengahan dan bukannya sifat kumpulan masyarakat yang mempamerkan gaya dan kualiti kehidupan kelas menengah. “Middle income group” dan “middle class” adalah dua konsep berbeza.

Pemahaman ini mustahak sekali kerana permasalahan dalam pemahaman konsep di atas telah membawa kepada mitos bahawa Malaysia mempunyai peratusan kelas menengah yang tinggi seolah-olah Malaysia telah memasuki status negara maju yang berpendapatan tinggi.

Menurut Laporan RMKe-11, pada masa ini, terdapat 2.67 juta “isi rumah M40” di Malaysia. Hal ini tidak bermaksud, kumpulan isi rumah ini tergolong sebagai kelas menengah. Justeru, terdapatnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan tidak bermaksud Malaysia mempunyai 40 peratus isi rumah yang tergolong sebagai kelas menengah.

Sesungguhnya, menurut Laporan United Nations Development Programme (UNDP), yakni “Malaysia Human Development Report 2013: Redesigning an Inclusive Future” yang dilancarkan pada tahun 2014 dan dijadikan rujukan semasa perancangan RMKe-11, kelas menengah di Malaysia berkisar sekitar 19 peratus daripada jumlah populasi Malaysia semenjak tahun 1989. Dua dasawarsa kemudian, saiz kelas menengah di Malaysia berkisar sekitar 22 peratus antara tahun 2009 hingga 2012.

Hal ini bermaksud, saiz kelas menengah bukanlah 40 peratus. Tetapi penggunaan konsep “kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan” secara meluas telah memberi gambaran tidak tepat berkenaan saiz kelas menengah di Malaysia.

Sesungguhnya, seperti yang dinyatakan dalam Laporan RMKe-11, pada masa ini, terdapat 2.67 juta “isi rumah M40” dengan julat pendapatan antara RM3,855 hingga RM8,135. Dalam konteks semasa dan juga konteks lima tahun akan datang, apakah kewajaran menggolongkan kumpulan isi rumah berpendapatan antara RM3,855 hingga RM5,000 sebagai kelas menengah? Daripada “isi rumah M40”, mungkin lebih wajar jika hanya kumpulan isi rumah berpendapatan antara RM5,001 hingga RM8,135 digolong sebagai kelas menengah.

60% isi rumah di bawah kelas menengah
Berikutan penjelasan di atas, jika diandaikan 20 peratus daripada “isi rumah M40” tergolong sebagai kelas menengah, maka 20 peratus isi rumah yang selebihnya berada di bawah kelas menengah. Apabila diambil kira angka “isi rumah B40” serta sebahagian daripada perangkaan “isi rumah M40”, maka terdapat 60 peratus isi rumah yang berada di bawah kelas menengah.

Kumpulan 60 peratus ini terdiri daripada isi rumah miskin, isi rumah mudah terjejas dan isi rumah aspirasi. Laporan RMKe-11 telah mendefinisikan isi rumah mudah terjejas sebagai isi rumah berpendapatan antara paras garis kemiskinan (PGK) dan 2.5 kali PGK. Seterusnya, Laporan RMKe-11 mendefinisikan isi rumah aspirasi sebagai isi rumah berpendapatan antara 2.5 kali paras garis kemiskinan (PGK) dan pendapatan purata nasional.

Berdasarkan penetapan pemerintah pusat mengenai paras garis kemiskinan (PGK) sebanyak RM930 bagi Semenanjung Malaysia pada tahun 2014, maka isi rumah mudah terjejas merujuk kepada isi rumah berpendapatan antara RM930 dan RM2000 sementara isi rumah aspirasi merujuk kepada isi rumah berpendapatan antara RM2000 dan RM5,270.

Angka RM5,270 merupakan pendapatan bulanan purata yang menjadi sasaran RMKe-11 dalam meningkatkan taraf isi rumah B40 ke arah masyarakat kelas menengah. Tetapi sebelum mencapai sasaran, isi rumah aspirasi adalah mereka yang mengaspirasikan status kelas menengah tetapi belum mencapai status tersebut.

Penjelasan ini penting untuk menonjolkan pembangunan Malaysia yang berdepan dengan “stagnation”. Dalam konteks perkembangan ini, persepsi bahawa “isi rumah M40” sama dengan kelas menengah bukan sahaja mengelirukan malah membawa trajektori pembangunan masyarakat ke arah yang menjauhi sasaran RMKe-11.

Dikeluarkan oleh,
Ooi Heng
Pengarah eksekutif
Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)
24 Mei 2015

FB: https://www.facebook.com/kprumalaysia?ref=bookmarks

10th Malaysia Plan, New Economic Policy and New Economic Model

Topic: Rancangan Malaysia Kesepuluh (RM10), Dasar Ekonomi Baru dan Model Ekonomi Baru (10th Malaysia Plan, New Economic Policy and New Economic Model)

Date: 14th June 2010 (Monday)

Time: 1.00 p.m to 3.00 p.m

Venue: Bilik Taklimat, Level 1, Main Block, Parliament, KL.

Speaker: Prof. Jomo K S

Notes for Download: 10th Malaysia Plan, New Economic Policy and New Economic Model

Penilaian RMKe-9: Bagaimana Sasaran RMKe-10 Hendak Dicapai Sedangkan RMKe-9 Masih Tidak Terlaksana?

PENDAHULUAN

Rancangan Malaysia telah digariskan selama empat dekad dengan berpandukan semangat dan falsafah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apakah perbezaan RMKe-10 dengan Rancangan Malaysia sebelum daripada ini ? Apakah RMKe-10 telah benar-benar berpaksikan semangat dan falsafah Model Ekonomi Baru?

Sesungguhnya, aspek pelaksanaan merupakan salah satu kunci utama kepada kejayaan RMKe-10. Walau sejauh mana Najib cuba untuk mengubah pendekatannya sekalipun, namun dengan memilih untuk terus menggunakan asas sistem dan dasar yang ternyata melemahkan sistem masyarakat (DEB), janji-janji manis dalam RMKe-10 ini sekali lagi akan menjadi tidak lebih sekadar retorik semata-mata.

Penilaian yang dibuat ke atas RMKe-9 mempamerkan dengan begitu signifikan sekali bahawa janji-janji manis yang terkandung dalam RMKe-9 ternyata gagal dilaksanakan biarpun RMKe-10 kini telah dkemukakan. Apakah RMKe-10 bakal menghadapi keadaan yang sama lima tahun dari sekarang?

EKONOMI

RMKe-9: Matlamat pertumbuhan KDNK sebenar adalah pada kadar purata 6.0% setahun dalam Rancangan ini[1].

  • Purata pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2% dalam tempoh RMKe-9. (m.s 36)

RMKe-8: Kerajaan juga berhasrat mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 7.5% setahun sepanjang tempoh rancangan.

  • Hakikatnya, purata pertumbuhan hanyalah pada tahap 4.5% sekaligus menunjukkan bahawa bukan sahaja sasaran 7.5% tidak tercapai, bahkan setiap tahun pertumbuhannya tidak melebihi 7.5%[2].
2001 2002 2002 2003 2004 (e) 2005 (p) Simple Average 2001 – 2005
GDP (RM b) 210.6 211.2 220.4 232.5 249.3 262.3 235.1
Growth  (%) 0.3 4.3 5.5 7.2 5.2 4.5

(Pakatan Rakyat’s Response To New Economic Model: Political Will Needed To Avoid Failures Of The Past, 2010)

RMKe-9: Mengurangkan defisit Kerajaan Persekutuan secara beransur daripada 3.8% pada tahun 2005 kepada 3.4% pada tahun 2010.

  • Mengikut Laporan RMKe-10, defisit pada tahun 2010 adalah sebanyak 5.3%. (m.s 63)

RMKe-9: adalah dijangka bahawa pelaburan swasta berkembang pada kadar purata 11.2% setahun dan dijangka mengatasi jumlah pelaburan sektor awam buat pertama kalinya sejak krisis kewangan Asia.

  • Hakikatnya, pelaburan swasta merudum dan secara puratanya hanya mencapai 2.6% sahaja sepanjang tempoh rancangan. Perbezaannya daripada sasaran yang digariskan adalah amat ketara, iaitu sebanyak 8.6%.
2006 2007 2008 2009 2010 Purata2006 – 2010
Pelaburan Awam 5.8 5.3 0.5 8 11.6 6.24
Pelaburan Swasta 9.2 13.1 1 -17.2 7 2.62

RMKe-9: Pada masa yang sama, sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (total factor productivity) dijangka meningkat daripada 29% kepada 35.8% selaras dengan peralihan kepada ekonomi yang berpaksikan pengetahuan dan mengutamakan kecekapan.

  • Sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) kepada pertumbuhan KDNK telah meningkat kepada 34.7% berbanding 29% dalam tempoh RMKe-8. (m.s 36) Kini sasaran 35.8% pula tidak tercapai.

RMKe-9: Eksport Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka menggalakkan dengan eksport kasar berkembang pada kadar 8.5% setahun.

  • Eksport telah berkembang pada kadar 3.2% setahun. Malahan, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang 59.1% daripada jumlah eksport sektor pembuatan, merosot sebanyak 0.1% setahun. (m.s 39)

RMKe-9: Sektor pertanian disasarkan berkembang sebanyak 5%. Bagi merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan, sebanyak RM11.4 bilion diperuntukkan kepada sektor pertanian; merupakan peningkatan 70% berbanding peruntukan dalam RMKe-8.

  • Sektor pertanian hanya bertumbuh sebanyak 3% setahun dalam tempoh RMKe-9. (m.s 42)

Bagi menjayakan industri pertanian, kerajaan juga melancarkan beberapa projek utama seperti mewujudkan 28 Taman Kekal Pengeluaran Makanan dengan kawasan seluas hampir 2,400 hektar, Agropolis di Serdang dan Terminal Makanan Negara (TEMAN) di Ipoh dan Kota Bharu. Kerajaan juga akan menambah kawasan pembangunan kelompok industri minyak sawit, lembah ternakan, lembah buah-buahan, taman akuakultur dan taman makanan halal.

  • Apakah status projek-projek tersebut sekarang? Adakah projek-projek itu sekali lagi menjadi projek gajah putih?

KEMISKINAN

Dari segi membasmikan kemiskinan, RMKe-8 juga berhasrat menurunkan kadar miskin tegar kepada 0.5% mejelang tahun 2005.

  • Sekali lagi sasaran tersebut tidak tercapai. Miskin tegar masih berada pada kadar 1.2% pada tahun 2005 dan 0.7% pada tahun 2008[3]. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi golongan miskin tegar juga adalah terlampau rendah dan tidak realistik[4].

RMKe-9: Kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8% dan membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

  • RMKe-10: Insiden kemiskinan keseluruhan berkurang daripada 5.7% pada tahun 2004 kepada 3.8% pada tahun 2009 (m.s 414). Sasaran untuk mengurangkan kadar kemiskinan kepada 2.8% adalah tidak tercapai. Malah sasaran membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010 nampaknya adalah tidak lebih sekadar omong kosong.

R&D DAN MODAL INSAN

Pada masa yang sama, kerajaan dalam RMKe-9 juga berjanji akan meningkatkan pencapaian sasaran perbelanjaan R&D negara sebanyak 1.5% daripada KDNK menjelang tahun 2010[5].

  • Nisbah perbelanjaan kasar bagi R&D daripada KDNK pula menurun daripada 0.69% pada tahun 2004 kepada 0.21% pada tahun 2008, berbanding kira-kira 3% bagi Singapura. (m.s 82)

Dalam RMKe-9, tumpuan akan diberi untuk mengeluarkan lebih ramai penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) dengan meletakkan sasaran 50 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang tahun 2010.

  • Dalam realiti, bilangan penyelidik berkurang daripada 21.3 setiap 10,000 tenaga buruh pada tahun 2004 kepada 20.3 pada tahun 2008. (m.s 82)

RMKe-9: Negara mensasarkan 60% daripada jumlah tenaga akademik memiliki ijazah Doktor Falsafah menjelang tahun 2010.

  • Anggota akademik yang mempunyai kelayakan PhD meningkat daripada 26.6% pada tahun 2005 kepada 35.9% pada tahun 2009 (m.s 413). Sasaran tidak tercapai, malah kekurangan sebanyak 24.1%.

RMKe-9: Program Brain Gain, program untuk melibatkan atau menarik ke Malaysia para penyelidik, saintis dan jurutera yang cemerlang, termasuk warganegara Malaysia di luar negara, akan dilancarkan.

  • Apakah pencapaian Program Brain Drain?
  • RMKe-10 menyulas perkara yang sama, iaitu ”Selain melahirkan modal insan berkemahiran,tumpuan juga akan diberi kepada usaha untuk menarik dan mengekalkan modal insan cemerlang. Khusus untuk itu, Talent Corporation akan ditubuhkan dengan mandat utama untuk menarik tenaga pakar yang diperlukan dalam sektor ekonomi utama.”
  • Itu bermakna program Brain Drain tidak dipandang secara serius, malah ini juga menunjukkan ketidakupayaan kerajaan untuk mengatasi masalah yang telah mengganggu pertumbuhan Malaysia selama ini.

INFRASTRUKTUR

RMKe-9: Kerajaan akan membina kira-kira 43,800 unit rumah kos rendah melalui Program Perumahan Rakyat. Usaha ini akan diperlengkap dengan pembinaan kira-kira 29,000 rumah kos rendah dan kos sederhana rendah oleh Syarikat Perumahan Negara.

  • Hanya 31,859 unit (disewa) dan 1,650 unit perumahan awam (dijual)  telah dibina (m.s 422). Sasaran tidak dicapai dan kekurangan sebanyak 38,291 unit.

RMKe-9: Terminal pengangkutan bersepadu di Gombak dan Bandar Tasik Selatan akan dibina sebagai hab transit ke Kuala Lumpur.

  • RMKe-10: Antara projek besar yang akan dilaksanakan di bawah PPP termasuklah Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak. (m.s 58)
  • Akhirnya, terminal pengangkutan bersepadu Gombak akan dibina selepas perancangannya sejak tahun 1998.

RMKe-9: Kerajaan akan turut memperuntukkan RM1.48 bilion bagi pemulihan rangkaian pengagihan bagi mengurangkan kadar air tidak terhasil daripada 38% pada tahun 2005 kepada 30% menjelang tahun 2010.

  • Pengurangan kadar air tidak terhasil daripada 37.7% kepada 37.2% (m.s 428). Walaupun RM1.48 bilion diperuntukkan, sasaran tidak tercapai dengan julat sebanyak 7.2%.

PENSWASTAAN

Di bawah RMKe-10, gelombang baru penswastaan akan dilaksanakan. Projek yang sedang dipertimbangkan termasuk tujuh lebuhraya bertol, lima kampus cawangan Universiti Teknologi MARA, Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak, penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang dan pembangunan semula Kompleks Angkasapuri, Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Media. (m.s 92)

Kerajaan juga berjanji akan “Menerima pakai kaedah nilai untuk wang seperti pengagihan risiko yang optimum antara sektor awam dan swasta, kos jangka hayat, spesifikasi output yang membenarkan pembida membuat inovasi dalam rekabentuk projek, persaingan yang memberi nilai berpatutan dan mekanisme pembayaran berasaskan prestasi.” (m.s 93)

Walaubagaimanapun, adalah didapati bahawa kontrak bernilai RM900 juta untuk membina dan menyelenggara 3 kampus UiTM Kuala Selangor, Tapah dan Seremban sepanjang 23 tahun, telah dimenangi oleh Syarikat dimiliki Menang Corp (M) Bhd yang sekarang di bawah senarai PN1 di BursaMalaysia. Sebuah syarikat lagi, Inovatif Mewah Sdn. Bhd., adalah dikuasai oleh pengarah yang sama dengan Menang Corp. TRIplc pula merupakan sebuah syarikat di bawah PN17 sejak 2008[6].

Selain daripada itu, Monetisation aset awam menerusi penjualan, usaha sama atau pajakan jangka panjang bagi tanah yang berpotensi komersil, seperti tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh dan projek pembangunan tanah 1Malaysia Development Berhad di Sungai Besi (m.s  92) juga tidak melalui sebarang proses tender terbuka. Ini seumpama menggadaikan tanah kepada pelabur asing tanpa memaximasikan pulangan, dan juga tidak menggunakan kuasa secara wajar untuk membuat keputusan.

Ini tidak sejajar dengan jaminan Najib semasa beliau menjawat sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau berkata ”the land belonging to the federal government would be one of the new sources of income for the government. The development of the land would be done in an open and transparent manner, meaning tendering it to the highest bider.[7]” Bukan sahaja begitu, perbuatan sebegini juga tidak mematuhi jaminan dibuat dalam Model Baru Ekonomi dan RMKe10, malah lebih mirip kepada zaman Mahathir yang kerap berlaku korupsi dan penyelewengan kuasa.


[1] Ucapan RMKe-9, m.s 12

[2] PAKATAN RAKYAT’S RESPONSE TO NEW ECONOMIC MODEL: POLITICAL WILL NEEDED TO AVOID FAILURES OF THE PAST, 2010

[3]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_08.htm

[4] http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_e214cf52-ca9db1d0-10750560-43a71b30

[5] http://www.mampu.gov.my/pdf/rm9%202006-2010.pdf

[6] The Edge, 10 Mei 2010

[7] The Edge, 17 Mei 2010